1. Saya agak sedikit kecewa, tidak banyak. Tetapi kecewa. Begitu banyak respons yang saya terima ekoran tersiarnya Hikayat Dewan Ekonomi di blog saya baru-baru ini. Baik respons positif mahupun respon negatif. Semuanya saya terima dengan hati yang terbuka.
2. Rupa-rupanya hikayat tersebut telah menyebabkan sesetengah orang “melompat” dan terasa dengan apa-apa yang pernah mereka ucapkan kepada saya. Malah, ada sesetengah pihak yang tidak mahu mengaku dengan apa-apa yang telah mereka katakan kepada saya pada suatu ketika dahulu.
3. Namun demikian, itulah adalah sikap manusia – dan lumrah manusia untuk menjaga “periuk nasi” mereka sendiri. Dan saya sama sekali tidak akan mempedulikan semua itu, kerana kebenaran perlu didedahkan. Tidak kurang juga yang mahu agar hikayat ini tidak diteruskan lagi, kerana kononnya ia hanya membuka pekung dan keburukan organisasi kita sendiri, khususnya tentang apa-apa yang telah berlaku di Bahagian M selama ini. Menurut golongan ini, eloklah didiamkan sahaja, walaupun diri saya difitnah dengan begitu dahsyat. Pada pandangan mereka, terima sahajalah kezaliman yang berlaku ke atas diri saya. Bukankah itu lebih mudah? Tidak perlulah saya mendedahkan segala-galanya di dalam blog, semata-mata mahu mempertahankan diri saya yang dizalimi ini. Namun begitu, harus diingat yang meminta agar hikayat ini diteruskan adalah para pekerja DBP di bahagian lain, menurut mereka - mereka juga perlu mendengar penjelasan daripada saya dan tidak hanya sebelah pihak semata-mata, jadi sama-sama kita menilaikannya.
4. Nampaknya, dalam dunia yang semakin canggih dan berteknologi ini, masih ada yang jahil tentang makna blog, blogging dan bloggers. Dalam kes saya ini, saya pula yang dipersalahkan, tetapi manusia yang membawa isu blog ini ke pihak atas tidak pula dipersalahkan. Sesungguhnya, ada manusia yang mengambil kesempatan dalam kekalutan yang melanda pada ketika itu. Dan hal ini tiada sesiapa pun di DBP yang mengetahuinya – kecuali dengan membaca hikayat ini sehingga habis. Oleh yang demikian, sebelum kita menggunakan blog untuk menjatuhkan seseorang – kita harus faham apakah takrif blog dan fungsinya terlebih dahulu, sebelum kita mengambil apa-apa jua tindakkan.
5. Kejahilan ini, akhirnya mengundang kepada sikap minda tertutup dan mudah terasa apabila dikritik. Kemudian, dalam mesyuarat kita pun bercakap soal minda kelas pertama – seolah-olah minda kita sudah mencapai tahap yang membanggakan, padahalnya kita sendiri tidak boleh dikritik dan ditegur. Cepat naik angin dan melenting. Masih mengamalkan sikap membodek dan mencucuk bos. Adakah semua ini menggambarkan sikap manusia yang berminda kelas pertama? Saya tidak mengkritik DBP, tetapi saya mengkritik sesetengah manusia yang berada di tingkat 20 Menara DBP, yang masih mempunyai minda kelas ketiga.
6. DBP tetap relevan, yang tidak relevan ialah sesetengah pekerjanya – yang lebih gemar membodek dan bermain silat politik kotor, yang kadang kala lebih kotor daripada politik UMNO sendiri. Dalam sebuah organisasi yang bernama DBP – ia tidak harus terjadi. Kadangkala saya tersenyum sendirian – pelik melihat kebimbangan mereka terhadap blogger seperti saya. Bukan terkenal pun, malah blog saya ini pun tidak berpengaruh mana, jika hendak dibandingkan dengan bloggers seperti A.Kadir Jasin mahupun Tun Mahathir – yang berupaya menggerak massa.
7. Soalnya sekarang ialah, mengapa ada pihak yang tidak mahu bercakap benar, dan sanggup berbohong kepada orang ramai tentang hakikat yang yang berlaku di Bahagian M. Golongan ini lebih gemar menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menakut-nakutkan para pekerja di bahagian tersebut. Tekanan demi tekanan digunakan agar semua editor menjadi pak turut dan bukan editor yang mempunyai prinsip. Apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad, sememang terselah kebenarannya – kaum wanita tidak boleh memimpin, jika mereka menjadi ketua – mereka lebih muda mengikut emosi dan mudah dicucuk dan dipengaruhi orang lain.
8. Hal inilah yang berlaku di Bahagian M. Mengapa kadangkala di rumah, anak-anak sanggup menipu kedua ibu bapanya? Kita hanya tahu menyalahkan mereka, sedangkan anak-anak jadi seperti itu adalah disebabkan oleh sikap kita juga, yang gemar memberi tekanan hidup kepada mereka, melalui pelbagai undang dan hukuman yang remeh-temeh, di samping tidak mahu memahami jiwa mereka yang sebenar.
9. Tanpa disedari, kita sebenarnya lebih suka menggunakan kemarahan bagi mencari jawapan tentang mengapa dan kenapa orang bawahan kita tidak mahu melakukan apa-apa yang telah kita suruh dan arahkan, tanpa kita menyelami kehendak dan perasaan mereka. Hal ini berpunca daripada sikap ego dan sombong yang kita amalkan selama ini, sehingga kebaikan orang lain tidak kita nampak, manakala keburukan yang kecil pula kita besar-besarkan. Walau apa pun keadaannya, hikayat ini akan tetap saya teruskan, agar kebenaran tetap ditegakkan dengan sempurna.
10. Ingin saya ingatkan, kepada sesiapa yang tidak suka membaca hikayat ini, saya nasihatkan, agar mulai hari ini jangan lagi menatap blog saya. Dan tidak perlulah mengambil tahu dengan hikayat yang akan saya tulis ini. Saya tidak mahu para pekerja kontrak di DBP tidak akan disambung kontrak kerja mereka, gara-gara membaca blog saya dan dituduh sebagai dalang untuk menjatuhkan seseorang. Malah, mulai episod kedua ini, semua nama yang terbabit dalam hikayat ini akan ditulis dengan nama samaran. Hal ini bertujuan agar tiada sesiapa yang tersinggung dan mengamalkan sikap talam dua muka. Kebenaran itu sememangnya pahit rasanya – tetapi harus dikatakan.
11. Hikayat ini ditulis hanya untuk para peminat blog saya sahaja dan bagi mereka yang tidak suka, tidak perlulah bersusah payah membuka blog saya ini. Saya telah kehilangan beberapa sahabat yang sebelum ini sangat rapat dengan saya, semata-mata kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya selama ini, dan apakah saya perlu berdiam diri? Apakah saya perlu sembunyikan nama-nama mereka yang terlibat menjadi batu api bagi menganiaya saya selama ini? Dan saya rasakan, saya tidak perlu menjadi sebodoh itu, atau membiarkan sahabat-sahabat saya diperbodoh-bodohkan dengan alasan-alasan yang tidak dapat diterima oleh orang yang waras akalnya. Dan kepada mereka yang sudah termakan hasutan dan percaya atas pembohongan tersebut – saya berharap mereka insaf dan bertaubat. Dan kepada mereka yang sanggup memutuskan tali ukhwan dan persahabatan dengan saya, semoga Allah akan menyedarkan kalian pada satu hari nanti. Dan sesungguhnya hukum memutuskan hubungan silaturrahim adalah jelas, yakni haram.
12. Hikayat ini bukan ditulis untuk meraih simpati sesiapa, jauh sekali untuk mendapatkan sokongan – tetapi ia bermatlamat membongkar kisah yang berjudul “Sang Jahat yang Bermaharajalela” sekaligus mendedahkan sikap dan sifat sesetengah pekerja di Bahagian M, DBP yang lebih mementingkan diri serta pangkat, malah sanggup menjadi batu api, sehinggakan pekerja yang baik dikatakan jahat dan pekerja yang jahat dikatakan baik.
13. Kezaliman ini sudah sampai ke kemuncaknya, dan harus dihentikan dengan seberapa segera yang boleh. Agar tiada sesiapa lagi yang menjadi mangsa kezaliman dan mangsa kepada manusia sanggup membubuh racun tuba ke dalam periuk nasi orang lain. Dosa ini pasti akan ditanggung oleh mereka sehingga ke hari kiamat. Moga Allah mengampuni mereka. Oleh demikian, marilah sama-sama kita meneruskan pembacaan Hikayat Dewan Ekonomi Episod 2 : Lombong Emas En. Ferderhof.
14. Menurut dongeng Yunani, Procrustes merupakan seorang penyamun yang sering mengganggu masyarakat di sekitar wilayah Eleusis. Dia juga akan memaksa setiap orang yang telah ditangkapnya, agar berbaring di atas sebuah katil yang telah disediakan olehnya. Lalu Procrustes akan memotong anggota badan mereka, jika anggota badan mereka melebihi katil tersebut, atau mengetuk-ngetuknya dengan pengetuk agar bertambah panjang, jika anggota badan mangsanya lebih pendek daripada katil tersebut. Begitulah rutin kehidupan Procrustes, sebelum beliau dihukum bunuh oleh pemimpin tertinggi Yunani – Theseus.
15. Kisah ini sangat terkenal dalam masyarakat Yunani, sehingga tempat tidur Procrustes tersebut menjadi peribahasa terkenal – yang merujuk kepada orang atau individu mestilah bijak menyesuaikan diri mereka dengan sesuatu tempat atau persekitaran yang baharu.
16. Kita tinggalkan seketika kisah ngeri Procrutes di atas, kerana Hikayat Dewan Ekonomi Episod 2 ini akan lebih mencabar dan mengusik minda anda – sebuah hikayat yang akan mendedahkan segala-galanya. Mendedahkan cerita dan berita yang tidak pernah diketahui oleh kebanyakan orang, termasuk sebahagian besar para pekerja di DBP dan Dawama. Mulai episod kedua hikayat ini, semua nama yang terlibat akan menggunakan nama samaran – agar tiada sesiapa yang tersinggung dan terasa hati. Namun demikian, kepada mereka yang mengetahuinya, semoga kisah sedih ini menjadi iktibar kita semua. Tentang apa dan mengapa saya diperlakukan sedemikian – malah saya berkewajiban untuk mempertahankan diri saya daripada fitnah dan tuduhan yang sengaja dibesar-besarkan – sedangkan isu tersebut boleh diselesaikan secara baik dan penuh berhikmah dalam sebuah keluarga yang bernama “Bahagian M”. Itu pun jika kita mahu. Dan akhirnya para pembaca akan mengetahui mengapa kisah Procrutes di atas saya paparkan dalam episod kali ini.
17. Seperti kisah terdahulu, saya menguruskan majalah Dewan Ekonomi bermula keluaran Januari 2007 – tiada sesiapa yang menolong ketika itu, kecuali Yang Mulia En. Friedman. Seorang yang pendiam, banyak idea dan ikhlas. Walaupun Yang Mulia En. Friedman agak lambat dalam bertindak. Namun demikian, bekerja di bawah beliau sangat menggembirakan. Dengan pengalaman yang luas dan pernah mengemudi majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat – menjadikan Yang Mulia En. Friedman disegani dan dihormati di Bahagian M – atau setidak-tidaknya dalam kalangan pihak Kesatuan DBP. Seorang yang bersifat pendiam tetapi berbisa- itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan keperibadian Yang Mulia En. Friedman. Saya sangat menghormati beliau sehingga kini – walaupun semua orang tahu bahawa beliau akan bersara tidak berapa lama lagi. Satu kehilangan untuk DBP.
18. Saya banyak terhutang budi kepada Yang Mulia En. Friedman, dan kata-katanya yang sehingga kini masih saya ingat ialah, “Apa-apa yang telah engkau buat untuk Dewan Ekonomi sehingga kini, merupakan pencapaian yang sangat baik, daripada jualannya yang merosot di bawah Karangkraf, dan kini telah meningkat sekali ganda, merupakan bukti bahawa engkau merupakan seorang editor yang bagus dan berjaya, sesuatu yang sukar dilakukan oleh editor-editor lain.” Kata-kata yang hampir sama diluahkan oleh Yang Mulia En. Friedman kepada saya sewaktu perjumpaan kami di Universiti Malaya pada 2 Januari 2008 baru-baru ini.
19. Yang Mulia En. Friedman begitu banyak memberi dorongan, semangat dan idea kepada saya agar menjadi seorang editor yang baik dan berprinsip. Semua ini tidak akan saya lupakan. Malah, beliaulah orang yang mula-mula mempertahankan kredibiliti saya di Bahagian M daripada terus dipertikaikan oleh Makcik Jarum – seorang staf tua yang kerjanya mencari kesalahan dan keburukan orang lain untuk disampaikan kepada “ketuanya”.
20. Selama hampir lima bulan yang pertama, saya agak kelam kabut dalam menguruskan Dewan Ekonomi, Hal ini terjadi adalah kerana Dewan Ekonomi sedang tercari-cari identitinya yang tersendiri, agar jelas perbezaanya dengan Dewan Ekonomi ketika diterbitkan di bawah Karangkraf. Akhirnya keputusan dibuat, agar Dewan Ekonomi membina imej korporat, dengan meletakkan gambar tokoh-tokoh korporat terpilih sebagai hiasan kulit hadapannya. Hal ini, pada hakikatnya adalah sukar untuk dilakukan, kerana bukanlah suatu kerja yang mudah untuk mendapatkan pada setiap bulan tokoh-tokoh besar korporat negara yang sudi menjadi penghias kulit hadapan Dewan Ekonomi yang tidak dikenali ramai itu.
21. Malah, sebelum ini usaha seperti itu telah cuba dilakukan oleh Dewan Masyarakat – tetapi menemui kegagalan kerana sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada tokoh-tokoh korporat tersebut, yang lebih mementingkan status majalah dan hubungan akrab antara editor dengan mereka.
22. Apabila disebut “tokoh” kita harus faham – bukan semua CEO syarikat atau ahli-ahli korporat boleh digelar sebagai tokoh. Hal ini penting difahami kerana istilah tokoh korporat sudah pasti merujuk kepada individu yang terbukti mempunyai pengaruh dan telah memberikan sumbangan yang besar ke atas dunia korporat Malaysia, barulah ianya layak digelar sebagai tokoh korporat, dan seterusnya menjadi hiasan kulit hadapan majalah Dewan Ekonomi. Mengapa kita memerlukan tokoh? Jawapannya mudah, untuk menarik minat orang ramai membeli Dewan Ekonomi yang semakin merosot jualannya, malah hampir ditutup.
23. Di samping itu, Dewan Ekonomi memerlukan tokoh-tokoh korporat demi mengangkat imej majalah tersebut yang semakin jatuh. Untuk menjadi majalah yang hebat kita perlu memastikan Dewan Ekonomi dikaitkan dengan tokoh-tokoh besar dalam dunia korporat, agar orang ramai memandang tinggi kepada majalah tersebut. Namun demikian, bukanlah mudah untuk mendapatkan tokoh-tokoh korporat yang sudi menghiasi kulit hadapan Dewan Ekonomi untuk setiap bulan, apatah lagi pada masa yang sama saya turut diarahkan agar menyediakan sebuah kolum/ruang untuk wawancara tokoh-tokoh tertentu bagi mengupas isu fokus Dewan Ekonomi pada setiap bulan.
24. Lantaran itu, saya mempunyai dua tanggungjawab, pertama sama ada mahu atau tidak saya mesti mendapatkan tokoh korporat yang terkenal untuk setiap bulan bagi menghiasai kulit hadapan Dewan Ekonomi serta ruang Korporat – hal ini mestilah dilakukan secara eksklusif, agar cerita tersebut mempunyai nilai yang dipandang tinggi oleh para pembaca. Kedua, saya mesti mewawancara tokoh atau ahli dalam sesuatu bidang ekonomi, bagi mengupas isu fokus yang menjadi pilihan Dewan Ekonomi pada bulan tersebut.
25. Selain daripada itu, kerja hakiki saya – tetap wajib lakukan, yakni kerja-kerja mengedit, mencari penulis, merancang fokus dan menguruskan kerja-kerja majalah dari aspek pemilihan gambar, reka bentuk, reka letak dan final. Semua ini saya lakukan keseorangan untuk beberapa bulan setelah saya menjadi editor Dewan Ekonomi. Namun demikian, itu bukanlah masalah – pada saya itu adalah cabaran. Saya telah mempelajari sesuatu daripada semua itu.
26. Dewan Ekonomi – masalahnya hanya ada dua, pertama mengejar dateline iaitu majalah mestilah siap untuk dihantar cetak (PDF) pada 15 haribulan setiap bulan, alasannya mudah iaitu mengharapkan majalah-majalah terbitan DBP akan berada di pasaran selewat-lewatnya 20 haribulan pada setiap bulan – tetapi secara praktikalnya hal tersebut menemui kegagalan. Tidak pernah rasanya majalah-majalah terbitan DBP berada di pasaran seawal 20 haribulan pada setiap bulan.
27. Kelemahan ini, selain berpunca daripada unit pemasaran dan percetakan, ia juga berpunca daripada manuskrip yang diterima lambat oleh editor daripada penulis, atau para pereka bentuk sesebuah majalah itu jatuh sakit, atau seseorang editor majalah menunggu isu panas yang akan “meletup” sekaligus merombak seluruh isu utama majalahnya – maka, majalah tersebut akan lewat untuk dihantar cetak. Tetapi, kes ini agak terpencil sifatnya. Hal ini adalah kerana, kebanyakan majalah terbitan DBP tidak mengikut isu semasa, seperti surat khabar.
28. Oleh sebab itu, para editor akan menyiapkan terlebih dahulu isu yang hendak dibincangkan oleh majalalahnya bagi tempoh 6 hingga 12 bulan keluaran- sekurang-kurangnya ia memudahkan kerja mereka. Justeru itu, para editor agak relaks sedikit dan tidak perlu terkejar-kejar, kerana isu utama sudah ada, Cuma perlu mencari penulis yang sesuai serta pakar dalam isu yang hendak dijadikan fokus oleh majalah mereka pada bulan tersebut.
29. Lantaran itu, kita tidak berasa pelik jika majalah terbitan DBP tidak berupaya dijual dengan laris di pasaran terbuka, hal ini adalah jelas kerana majalah terbitan DBP tidak mengikut isu semasa dan sentiasa takut untuk melakukan perubahan – di samping kita lebih menekankan soal dateline (tarikh akhir) untuk majalah dihantar cetak ke kilang iaitu pada 15 haribulan setiap bulan berbanding dengan menyediakan bahan-bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi untuk majalah terbitan kita.
30. Di Bahagian M, “dosa besar” yang sukar diampun bagi seseorang editor ialah melanggar dateline tersebut, apa jua alasan yang diberikan oleh editor terbabit selalunya sukar dilayan sama sekali. Tidak kiralah, sakit atau apa sahaja alasanya – para editor mesti menyiapkan majalah mereka pada tarikh tersebut. Sama ada hari ahad, sabtu, cuti umum atau para pembaca namakan sahaja apakah hari tersebut – majalah mesti siap, tiada alasan tiada balasan. Itu adalah kewajiban.
31. Maka, dalam kamus para editor, tarikh 15 haribulan itu sangat “ditakuti” – kerana macam-macam boleh terjadi. Andaikata majalah mereka tidak sempat diterbitkan, maka bahana pasti akan menimpa. Kecuali majalah Dewan Masyarakat – terdapat sesuatu keistimewaan padanya. Jika majalah ini melanggar dateline tersebut, itu tidak menjadi masalah. Ia mempunyai keistimewaan yang sukar dibayangkan dengan kata-kata. Maka, keistimewaan inilah yang menyebabkan saya kurang berpuas hati (bukan saya seorang sahaja), seolah-olah ada istilah kasta dan anak emas di sana.
32. Namun demikian, jika majalah lain yang melanggar dateline tersebut – maka bersiap sedialah menerima hukuman daripada Mat Letup – nama yang sangat ditakuti atau mungkin juga dibenci. Maka, untuk memastikan Mat Letup tidak meletup, para editor harus bijak menguruskan majalah masing-masing. Sediakan alasan yang logik , atau setidak-tidaknya memberikan alasan sakit atau ambil MC sahaja.
33. Tetapi, bagi rakan-rakan yang rapat dengan Mat Letup – mereka tidak memerlukan sebarang alasan, kerana mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan adalah sukar untuk mereka dihukum oleh Mat Letup. Selain menjadi sahabat yang sangat rapat dengan Mat Letup – mereka juga merupakan penasihatnya yang sangat setia. Jadi, siapakah sebenarnya yang sering menjadi mangsa kemarahan Mat Letup? Kecondongan ini menyebabkan wujud pilih kasih kepada majalah tertentu. Jika majalah tertentu lewat, maka itu tidak mengapa dan apa-apa alasan pun akan diterima. Tetapi hal ini sangat berbeza, jika majalah Dewan Ekonomi yang lewat, alasan sukar diterima. Ketidakadilan ini sudah lama berlaku dan tiada sesiapa yang sanggup menegur. Dan setiap bulan majalah utama kesayangan DBP - Dewan Masyarakat dihantar lewat untuk dicetak, tetapi tidak menerima apa-apa kemarahan, seperti mana yang saya alami. Ini merupakan soal keadilan dan wujud pilih kasih. Adalah merupakan hal yang normal apabila sesebuah majalah lewat dihantar cetak sekitar 2-3 hari. Selain sesebuah majalah terpaksa menunggu giliran untuk dicetak di kilang Dawama Ulu Kelang (maklumlah untuk mencetak 10 jenis majalah) , ia juga memberi ruang kepada majalah-majalah yang berpotensi untuk pergi jauh untuk mendapatkan bahan yang lebih baik serta wawancara yang lebih menarik. Dewan Ekonomi tidak seperti majalah lain - ia banyak melibatkan wawancara serta berhubung dengan banyak pihak, banyak janji yang tidak ditepati serta banyak wawancara yang dibatalkan pada saat-saat akhir - semua ini memakan masa dan kami perlu mencari pengganti. Untuk menjadi majalah yang bagus, kita perlu bersabar dan bersedia memberi ruang kepada para editor mencuba idea yang baru.
34. Akhirnya saya terfikir semula kisah Procrustes di atas, rupa-rupanya Bahagian M bolehlah diumpamakan seperti katil milik Procrustes tersebut – sama ada badan kita akan dipotong-potong agar sama dengan saiz tempat tidur tersebut, atau pun boleh jadi tubuh badan kita akan diketuk-ketuk menjadi panjang agar bersesuaian dengan katil Procrustes itu, maka tepuk dada tanya iman dan selera kita.
Gambar : Penulis bersama Penyarung Kostum Predator di One Utama, ketika membuat Liputan. terfikir oleh penulis sesungguh di mana-mana kita bekerja sekali pun, jika kita membuat baik, maka manusia tetap mencari buruknya, seratus kebaikan boleh dihapuskan dengan hanya satu keburukan - manusia jarang mahu bersyukur. Gambar ini sangat simbolik, menunjukkan terdapat banyak Predator di sekeliling kita dan sedang menunggu mangsa seterusnya. Jadi berhati-hatilah sentiasa.
Comments
Terima kasih sebab meletakkan link blog saya di blog tuan.
saya adalah anak jati Perak dan sekarang bekerja di jabatan perdana menteri putrajaya.
jika diberi kesempatan. harap kita dapat bertemu satu hari nanti.
boleh YM saya juaini_shaharain
email pada saya: tintawarisan@gmail.com
Wallahhualam.
1.Office politic berlaku dimana-mana sahaja cuma dalam bentuk yang berbeza.
Saya bersimpati dengan saudara tentang perkara ini.
2.Dalam bekerja terdapat 2 perkara yang memperlahankan kita iaitu:-
a.Tidak mendapat keputusan untuk membuat tindakan.
b.Tidak mempunyai maklumat untuk membuat tindakan.
atasi 2 perkara di atas selesai masalah :p
1.Office politic ada di mana-mana, cuma dalam bentuk berbeza, hadapi dengan penuh tabah, berhemah & berprinsip.
2.Dua perkara yang memperlahankan kerja hanya ada 2:-
a.Tiada keputusan untuk bertindak
b.Tiada maklumat untuk bertindak
Atasi 2 halangan di atas, kerja pasti lancar. :p
Thanks
Teruskan memblog saudara.
mike - saya kurang arif akan hal ehwal politik sabah, tetapi saya cuba tidak menghampakan saudara.
Pemuda membangkut - itu adalah hakikat..
Terima kasih kerana memenuhi permintaan saya.
Kisah ini bertambah hangat nampaknya dan saya pasti mereka yang pernah menganiayai sdr akan seperti cacing kepanasan, ataupun dalam dunia manusia: seperti pesalah menunggu hukuman daripada Yang Arif ...
Sesekali kita perlu buat sedikit kejutan agar pendosa tidak terus leka. Semoga pendedahan ini dapat menyelamatkan iman beberapa banyak pendosa di bahagian Majalah.
Hari ini terlalu istimewa kerana Tuhan menghadiahkan kita seorang Azli Shukri yang berani dan cintakan keadilan.
Semoga Sdr panjang usia dan terus berbakti kepada umat yang teraniaya.
Terima kasih kerana memenuhi permintaan saya.
Kisah ini bertambah hangat nampaknya dan saya pasti mereka yang pernah menganiayai sdr akan seperti cacing kepanasan, ataupun dalam dunia manusia: seperti pesalah menunggu hukuman daripada Yang Arif ...
Sesekali kita perlu buat sedikit kejutan agar pendosa tidak terus leka. Semoga pendedahan ini dapat menyelamatkan iman beberapa banyak pendosa di bahagian Majalah.
Hari ini terlalu istimewa kerana Tuhan menghadiahkan kita seorang Azli Shukri yang berani dan cintakan keadilan.
Semoga Sdr panjang usia dan terus berbakti kepada umat yang teraniaya.
Kerana pekerjanyalah kami dipencenkan awal!!!
tidak sabar menanti sambungan hikayat ini.....
Mungkin saudara belum berjumpa dengan jenis manusia yang malas bekerja tetapi rajin mengintai "kesalahan" orang, yang sebenarnya kesalahan itu adalah kerana orang lain rajin bekerja sedangkan dia asyik cari poin untuk memburuk-burukkan orang yang rajin itu.
Saya pun ingin tahu sama ada golongan manusia seperti itu wujud di Bahagian Majalah atau tidak.
Jangan lupa untuk menjawab soalan ini dalam sambungan Hikayat saudara...
Terima kasih dah lawat blog saya...
Saya akan post berita menarik yang saya terima dari emel kawan2 saya lagi nanti...
Tentang gambar Foto Li Wei tu.. Saya pernah lihat di TV3.. Sekali sahaja.
Blog Tuan sangat informatif.. Ayah saya suka menganalisis politik.. Insya-allah saya suggest blog Tuan sebagai tambahan...
Dia pengikut Kadir Jasin.. n Antics of Husin Lempoyang. Selalunya Tranungkite menjadi tpt utama dia.
Salam
i want to read more on ur previous entries as well on updates... will link ya... :)
Mengapakah jadi begitu? Berani kerana benar, takut kerana salah.
Saudara juga pernah berkata bahawa hanya mengkritik sesetengah staf di bhg. M. Kritik aje la depan2. Tak perlu buka pekung bahagian ini. Cukuplah saudara semua sudah rasa semasa bekerja. Jagalah aib seseorang, nescaya aib anda akan terbala juga. Insya-Allah.
Saya tak terasa pun sebab tak terlibat dalam hikayat ni. Cuma, daripada tulisan2 saudara, saya tau saudara banyak ilmu agama. So, pastinya saudara tau cara nak handle masalah itu. Kan Islam menunjukkan banyak cara yang lebih baik dan berhemah. Itulah sebabnya saya cadangkan begitu. Jangan ikutkan rasa hati. Istighfar banyak2. Itu yang lebih afdal.