Skip to main content

Ulama-us Su'
Manusia Paling Bahaya


Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 13/08/2003)


Ulama-us su' ertinya ulama yang buruk. Namun demikian, pada umumnya masyarakat mengertikan ulama-us su' sebagai ulama yang keji atau ulama yang jahat. Ulama yang tidak mengikuti jejak nabi SAW ini, mempunyai bermacam-macam model. Ada yang menjadi tukang fitnah, ada yang menjual agama dan ada pula yang rosak akhlaknya. Golongan ulama jenis ini, sentiasa wujud pada setiap masa dan zaman untuk merosakkan masyarakat.


Dalam sejarah Islam, hampir setiap zaman dapat ditemui ulama semacam ini. Namun begitu, agama suci ini tetap dapat dibersihkan dengan kemunculan ulama-ulama yang ikhlas mempertahankan dan membersihkan agama Allah. Dalam kalangan masyarakat awam di negara kita, gelaran ulama yang diberikan kepada seseorang itu amat disanjungi lagi dihormati. Gelaran seperti tok guru, ustaz dan sebagainya merupakan simbol penghormatan masyarakat terhadap golongan ini, yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pengetahuan Islam. Oleh kerana kedudukan ulama dalam ajaran Islam adalah tinggi seperti mana sabda Rasulullah SAW "Ulama itu adalah pewaris para nabi'' (Riwayat Tirmizi), maka masyarakat awam amat mempercayai golongan yang dilabelkan sebagai ulama tersebut. Sedangkan tidak semua ulama boleh dilabel dan dikatakan sebagai pewaris para nabi, apatah lagi untuk mengikutinya, jika terbukti mereka tidak menurut jejak serta akhlak baginda Rasulullah s.a.w.



Hal ini pernah diisyaratkan oleh sabda baginda: "Celakalah bagi umatku (akibat) daripada (perbuatan) ulama-us su'.'' (Riwayat al-Hakim). Sabdanya lagi "Seburuk-buruk sesuatu daripada yang paling buruk ialah ulama yang buruk dan sebaik-baik sesuatu daripada yang paling baik ialah ulama yang baik.'' (Riwayat Ad-Darimi). Masyarakat akan musnah dan rosak apabila ulama-us su' dijadikan imam untuk diikuti serta dipercayai. Oleh itu, masyarakat awam harus mengetahui perbezaan antara ulama-us su' dengan ulama yang mewarisi ilmu para nabi.



Dua ciri ulama us-su' yang paling berbahaya dalam masyarakat kita pada hari ini, ialah: Ulama us-su' yang menyesatkan orang ramai dan kedua, ulama-us su' yang menjadi tukang fitnah. Golongan pertama menyesatkan orang ramai dengan fatwa-fatwa mereka yang salah. Oleh kerana mereka orang-orang yang dipercayai, maka apa-apa sahaja yang mereka katakan, akan dianggap sebagai pedoman serta menjadi pegangan dalam masyarakat. Namun demikian , sebenarnya mereka mengeluarkan pendapat atau fatwa yang mengelirukan. Apa-apa yang sebenarnya "haram" menurut Allah dikatakan "halal", dan sebaliknya apa-apa yang halal menurut Allah di "haram" kan pula.


Ulama-ulama demikian suka mentafsir ayat al-Quran serta hadisnabi mengikut nafsu serta selera mereka sahaja. Mereka gemar mengeluarkan fatwa tanpa banyak berfikir serta membuat rujukan. Bagi masyarakat awam yang jahil pula akan mudah percaya dan terpesona dengan gelagat ulama-ulama-us su' ini. Kesannya, masyarakat akan hidup dalam kesesatan dan kehancuran. Ulama-us su' tidak hanya terdapat dalam agama Islam, bahkan ulama seperti ini pernah merosakkan masyarakat Yahudi serta Nasrani seperti yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat nabi bernama Ady bin Hatim.


"Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW, dan pada leherku tergantung sebuah salib yang diperbuat daripada emas, Rasulullah SAW bersabda kepadaku "Wahai `Ady lemparkanlah berhala ini (salib).'' Kemudian baginda membaca ayat ini: "Mereka menjadikan orang-orang alim (ulama-ulama atau ketua-ketua agama) dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah." (At-Taubah: 31). Maka saya bertanya: "Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah ulama-ulama dan pendeta-pendeta mereka itu."Nabi pun bertanya: "Bukankah para ketua agama dan para pendeta itu menghalalkan bagi mereka terhadap barang yang diharamkan oleh Allah? Maka kemudian mereka (pengikut) ikut menganggap halal, dan para ketua agama dan para pendeta itu mengharamkan bagi mereka terhadap barang yang dihalalkan oleh Allah, maka kemudian mereka ikut menganggap haram?'' Saya menjawab "Betul ya Rasulullah.'' Maka baginda pun menjawab: "Demikian itulah yang di namakan ibadah (menyembah ) kepada mereka.''


Ulama-us su' kedua, ialah ulama yang menjadi penyebar fitnah. Rasulullah pernah bersabda: "Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.'' (Riwayat Baihaqi ).


Ulama jenis ini merupakan golongan ulama yang paling berbahaya sekali. Hal ini kerana, ia bukan hanya memporak perandakan masyarakat semata-mata, tetapi turut sama mencemarkan nama serta imej institusi ulama itu sendiri. Kesannya, Masyarakat akan hilang hormat serta memandang rendah kepada ulama-ulama lain yang ikhlas dalam perjuangan mereka.


Bagaimanakah seorang ulama boleh menjadi penyebar fitnah? Jawapannya mudah . Sama ada disengaja atau tidak, apabila seseorang ulama itu mula membenci terhadap sesuatu fahaman atau golongan lain, maka sudah tentu golongan atau fahaman yang tidak sealiran dengannya itu bakal dicerca, dikutuk atau dituduh dengan pelbagai cara, agar masyarakat menjauhi serta menolak fahaman atau golongan yang tidak sealiran dengannya itu. Maka, tanpa disedari oleh ulama tersebut, ketika dia mengeluarkan penilaiannya terhadap fahaman atau golongan tertentu itu, penilaiannya sudah mula bercampur baur dengan rasa marah, iri hati, benci serta berprasangka. Dan fitnah pun terjadi tanpa disedarinya.


Ulama tukang pembawa fitnah ini, tidak hanya menabur fitnah semata-mata tetapi lebih daripada itu, kadang kala dia sanggup membuka aib serta keburukan orang lain di hadapan khalayak ramai. Sedangkan Allah telah mengingatkan kita dengan firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang suka agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui (segala perkara), sedang kamu tidak mengetahui.'' (An-Nur: 19). Inilah janji Allah kepada mereka yang suka menabur fitnah.


Fitnah yang dilakukan oleh ulama-us su' ini adalah lebih bahaya daripada fitnah yang dilakukan oleh masyarakat awam. Hal ini kerana golongan ulama lebih mudah dipercayai orang ramai, kerana mereka berselindung di sebalik pakaian ala-ulama serta ucapan mereka juga dicampur-adukkan dengan ayat al-Quran serta hadis nabi. Dan ini akan lebih meyakinkan masyarakat yang kurang pengetahuannya mengenai agama Islam. Kesannya, tingkah laku ulama-us su' yang gemar memfitnah ini sedikit demi sedikit akan diikuti oleh masyarakat tanpa kita sedari.


Islam sebenarnya telah memberi garis panduan menghadapi golongan semacam ini antaranya: Pesanan serta ingatan daripada firman Allah "Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.'' (Al-Hujurat: 6 ). Dan "Maka bertanyalah kamu semua kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.'' (An-Nahl: 43).


Kesimpulannya, ulama-us su' yang suka mencetuskan fitnah serta gemar memberi fatwa-fatwa yang sesat adalah amat berbahaya kepada masyarakat. Maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah mendakwa bahawa ulama-us su' merupakan sejahat-jahat manusia sebagaimana kisah ini. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling buruk atau jahat?'' Rasulullah menjawab, "Ya Allah, hapuskanlah dosa-dosa kami. Bertanyalah kamu daripada hal-hal kebaikan dan janganlah bertanya daripada hal kejahatan. (Ketahuilah) Sejahat-jahat manusia itu, ialah seburuk-buruk ulama di tengah-tengah manusia.''(Riwayat al-Bazzar).


Dan benarlah juga pesanan yang diutarakan oleh Mu'az bin Jabal "Hendaklah kamu berhati-hati dan takut terhadap tergelincirnya seorang alim kerana kedudukannya yang agung di sisi orang ramai. Kemudian orang ramai itu ikut sama tergelincir dengannya.''

Comments

perfectwater75 said…
Salam!

Dalam konteks institusi keulamaan di Malaysia siapa yang saudara anggap sebagai Ulama-us Su'?
Dari penulisan saudara, nyata saudara mempunyai calon-calon terbaik untuk diketengahkan..

Thx!
p/s: bagaimana saya hendak pautkan blog saudara? Saya kurang arif bab blog kerana masih baru..mohon tunjuk ajar..tq!
C.H.E Dayat said…
salam abang, saya sudah emailkan soalan-soalan berkenaan dengan DEB di amail abang beralamat azli.dbp.gov.my.
azlishukri said…
Salam kembali - Ulama-us Su adalah seperti yang telah digariskan oleh Nabi besar kita, di Malaysia banyak Ulama Us-su' baik di dalam UMNO mahupun di dalam PAS. wallualam.

berkenaan untuk membuat pautan, mudah sahaja, saudara masuk ke customize dan klik pada add a gadget, di sana saudara boleh memilih gadget yang sesuai untuk dibuat pautan. selamat mencuba!
azlishukri said…
chedayat - insyaAllah abang akan jawab secepat mungkin. terima kasih.
eJAI said…
komen saudara saya telah terdelete semasa saya check email.jika boleh dan tidak keberatan,boleh saudara postkan kembali komen.Terima kasih
azlishukri said…
ejai - maksud saudara?
azmi yusof said…
salam singgah juga..terima kasih lawat blog saya..masih baru lagi dalam dunia ni..apapun thanks..
Cheguman said…
Azli,
Buku Psikosemantik tulisan you tu dah tiba petang semalam. Saya dah baca hampir separuh. Idea yg sgt menarik dan patut dibaca oleh sesiapa shj. Nanti SMS kan no acc, saya nak bayar. (Saya ingat nak beli beberapa buah lagi utk bagi pada adik2 saya).

Saya rasa elok dicetak semula dgn kertas yg lebih baik. Rugi rasanya hidangan yg baik disaji di atas meja yg usang.

Teruskan menulis.
kuanderas said…
Saudara Azli,
Bersempena dengan pemilihan UMNO, bolehkah kiranya saudara menulis sejarah hidup & perjuangang Syed Jaafar Albar.

Rasanya ramai pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO di pelbagai peringkat tidak mengetahui dengan mendalam.

Atau ada buku yang menulis tentang Singa UMNO itu

Thanks
hans said…
yups....
kalau kerana politik yg tahu agama pn bleh jadi lebih teruk dari y tak tahu agama
kan>??
azlishukri said…
azmi - terima kasih

demang - saya setuju, kualiti kertasnya adalah rendah, dan sekarang saya dalam proses mengemaskini buku tersebut. terima kasih atas sokongan saudara itu. nanti saya smskan

kuanderas - saya tak pasti buku berkenaan Singa UMNO itu ada diterbitkan, InsyaAllah saya akan cuba tulis.

hans - saya setuju.
Ki Kiey said…
hurm,

njoy bace dis entri:}
azlishukri said…
kikiey - jangan lupa belajar rajin2
perfectwater75 said…
Salam!

kalau tuan berhajat hendak menulis tentang singa umno jangan sesekali masukkan tentang anaknya kucing umno tu yer...Kenyataan beliau tentang ISA menunjukkan kedangkalan beliau sebagai seorang mneteri berkaitan..

thx!
p/s: Hishamuddin pun tak puas hati dengan kenyataan KUCING UMNO tu...
azlishukri said…
perfectwater75 - saya setuju
mummybosan said…
oh... that kucing memalukan profesion undang-undang Malaysia. He needs to learn more about law... dah lupa banyak agaknye...

can't accept his 'briliant comment' in PC... ntah apa nak jadi ngan Malaysia ni bila ditadbir oleh orang2 yang sekadar mengaku pandai...
azlishukri said…
mummybosan - saya setuju
Cheguman said…
Kucing Umno? ...alahai, manjanya... ala kucik-kucik...

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil