Skip to main content

MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 5 : Langit Cerah 16 September



Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mewar-warkan bahawa 16 September ini merupakan tarikh keramat, bersesuaian dengan hasratnya untuk menarik hampir 40 ahli parlimen BN berpaling tadah dan menyertai parti pakatan rakyat, sekali gus menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, begitu ramai mempercayainya. Bahkan, tidak ketinggalan dalam kalangan pemimpin UMNO dan BN yang sangat gelisah dengan percaturan politik Anwar tersebut. Namun demikian, izinkan saya melihat isu lompat parti ini di luar kerangka minda biasa.



Saya juga, seperti pemimpin-pemimpin BN dan UMNO yang lain, sama sekali tidak percaya akan berlakunya pertukaran kerajaan dengan cara yang sangat tidak demokratik itu. Pertama, saya ingin meminjam kata-kata Mohamad Sabu, Naib Presiden Pas yang mendakwa bahawa, beliau tidak berapa gemar menggunakan cara "lompat parti" sebagai jalan untuk merampas kepimpinan kerajaan BN. Menurut beliau lagi, cara inilah yang pernah ditentang oleh PAS pada suatu ketika dahulu. Dan jika cara ini yang digunakan semula, maka di manakah prinsip PAS yang dipegang selama ini? Bukankah dengan cara ini akan mengotori perjuangan suci PAS? dan jika cara kotor ini digunakan, apakah bisa ia akan berkekalan? Atau hanya sekadar merealisasikan hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, walaupun cuma untuk sehari?



Sehingga artikel ini ditulis, begitu ramai yang bingung dan berada dalam kondisi yang serba salah serta keliru, bahawa apakah mungkin terjadi pertukaran kerajaan seperti mana yang didakwa oleh Anwar, ataupun sebaliknya? Penyakit ini tidak hanya terkena dalam kalangan rakyat biasa , bahkan menghinggapi golongan politik dan akademik yang cerdik pandai. Saya bukanlah tukang tilik seperti Nostradamus, tetapi tiap-tiap kejadian yang berlaku bisa ada tanda-tanda awalnya yang memungkinkan sesuatu perkara itu terjadi. Hal ini merupakan sunnahtullah kehidupan di dunia. Jika kita demam, ada tanda-tandanya, jika seseorang itu hendak mati, juga ada tandanya.



Begitu juga dalam isu 40 ahli parlimen akan menyertai pembangkang. Ia tiada sebarang tanda apa-apa pun. Hal ini merupakan retorik dan angan-angan seorang manusia yang kemaruk untuk berkuasa. Ada benar juga dengan kata-kata Mohamad Sabu, sewaktu diwawancara oleh sebuah laman blog, katanya “pada pandangan saya biarlah kita kukuhkan dulu pentadbiran kita di kelima-lima buah negeri yang telah kita kuasai itu, buktikan bahawa kita benar-benar tiada nepotisme, kronisme, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, daripada situ rakyat akan yakin dan pilihan raya yang akan datang UMNO dan BN akan hancur.”



Pelbagai alasan yang diberikan sama ada yang menyokong atau yang menentang, berkenaan 40 ahli parlimen yang akan melompat parti pada 16 September ini. Namun demikian, apa-apa juga alasannya, mari kita sama-sama berfikir secara matang satu soalan ini. Pada pandangan kita selama ini, dalam kalangan ahli parlimen BN yang terdapat pada hari ini, siapakah yang agaknya mempunyai keberanian yang sama dengan Anwar Ibrahim? Rasa-rasanya ada atau tidak? Cuba kita fikirkan sejenak hal ini.

Pada pengamatan saya, Sehingga kini, masih tidak terjumpa walaupun seorang yang mempunyai keberanian setinggi Anwar Ibrahim, jadi apakah bisa mereka akan melompat parti menyertai pembangkang? Yang melompat hanyalah ahli parlimen yang benar-benar mempunyai keberanian setinggi Anwar Ibrahim sahaja. Dan jika tiada, mereka tidak akan berani melakukannya. Jika benar ada ahli parlimen yang sangat berani dan gagah perkasa, serta ikhlas memperjuangkan hak rakyat dan yakin dengan perjuangan Anwar Ibrahim, mereka tidak perlu menunggu sehingga 16 September dan tidak perlu berkumpul sehingga jumlahnya mencecah 40 orang.



Semua ini menggambarkan tiada keberanian dalam kalangan mereka. Jika benar ada dalam kalangan ahli parlimen BN yang sangat yakin dengan Anwar, lompatlah seorang-seorang, itu lebih menunjukkan keikhlasan dan maruah diri sendiri. Tetapi, jika menunggu sehingga genap 40 orang, makna mereka tiada keyakinan terhadap Anwar. Ia tetap omong kosong Anwar untuk mengharu-birukan ekonomi negara dan pelaburan.



Dalam hal ini ada baiknya, kita dengar kata-kata Ezam Mohd Nor ketika diwawancara oleh majalah SUARA baru-baru ini katanya, “Pengalaman saya dengan Anwar Ibrahim, beliau bijak dalam membuat percaturan politik dan membina persepsi terhadap perkara yang tidak ada. Bagi saya, pembentukan kerajaan 16 September ini merupakan angan-angan kosong. Kerana, bagi saya matlamat dan objektifnya membina persepsi tersebut bukan untuk membentuk kerajaan, tetapi untuk mempertahankan dan mengikat Pakatan Rakyat. Ini juga adalah kerana Pakatan Rakyat rapuh dan banyak masalah. Dalam tempoh beberapa bulan ini berapa banyak mesyuarat dalam Pakatan Rakyat telah diboikot oleh beberapa parti di dalam koalisi.”



Ezam turut menambah, “Kita kena faham Anwar bukan pemain maraton yang berstrategi. Pengalaman saya, Anwar tidak memainkan strategi jangka panjang. Dalam kitab politik Anwar, strateginya semua jangka pendek. Dia tiada strategi untuk lima tahun atau 10 tahun. Cita-citanya pun cita-cita yang terbatas untuk diri sendiri dan bukan untuk negara dan bangsa. Jadi, strategi untuk bulan ini hingga September inilah dia. Lepas September, dia akan buat strategi lain untuk tiga bulan atau enam bulan mendatang. Anwar tidak buat strategi untuk tiga tahun atau enam tahun.”


Berasaskan kepada kenyataan Mohamad Sabu dan Ezam Mohd Nor, saya sangat yakin bahawa Anwar Ibrahim sebenarnya berfikiran pendek dan bimbang akan hayat dan kelemahan parti pembangkang diketahui umum. Lantaran itu, beliau tergesa-gesa untuk “merampas” kerajaan dengan cara apa sekali pun. Bermoral atau tidak bermoral, itu cerita lain.



Apabila saya membaca Harakah edisi 8-11 September 2008, dengan tajuk yang besar di bahagian belakang surat khabar tersebut berbunyi, “Ikut Jadual : Rancangan Peralihan Kuasa 16 September”, tiba-tiba sahaja saya teringat mimpi indah pengasas dan Syeikhul Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad dalam tulisan beliau dan pemimpin-pemimpin kanan pergerakan tersebut pada suatu ketika dahulu, yang sering mendakwa bahawa, “Semuanya dalam Jadual Allah” untuk menobatkan Ashaari Muhammad sebagai Perdana Menteri Malaysia, menggantikan Mahathir pada suatu ketika dahulu. Malah, lebih berani lagi, mereka mendakwa bahawa Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya Syeikh Imam At-Tamimi bakal menyerahkan panji-panji perjuangan kepada Imam al-Mahdi untuk mengembalikan keamanan dan kedamaian dunia.



Semua janji-janji Ashaari Muhammad adalah palsu dan pengikut-pengikutnya turut ditipu. Begitu jugalah dengan tarikh 16 September, yang didakwa oleh Anwar Ibrahim sebagai tarikh keramat dan melompat. Sesungguh, Allah Maha mengetahui niat sebenar Anwar Ibrahim, apakah beliau ikhlas untuk agama, negara dan bangsanya, atau semata-mata mahu segera mencapai cita-cita politiknya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya yakin sama ada 16 September ataupun 20 September yang telah bertukar tarikh dan tiada ketetapan, sesungguhnya langit Malaysia tetap cerah pada tarikh-tarikh tersebut. Tiada lompat-melompat dan tiada pertukaran kerajaan. Sebenarnya, antara Anwar dengan Ashaari (2A) tiada bezanya. Masing-masing berkhayal dengan kerusi panas Perdana Menteri. Begitulah cara mereka menarik sokongan penyokong fanatik yang memuja mereka secara membuta-tuli. Dan seperti kata-kata Ezam, Anwar apabila berjanji, sama ada sesuatu perkara itu akan berlaku atau tidak, sesungguhnya beliau sudah pun menyediakan jawapannya, kerana itulah Anwar Ibrahim yang beliau kenali selama ini.

Comments

This comment has been removed by the author.
mummybosan said…
Mummy pun percaya, 16 September yang dikecoh2kan hanya gimik PKR sahaja. Yang mummy tak boleh percaya, macam mana pemimpin2 bijak pandai dalam UMNO/BN boleh panas punggung tak tentu arah macam budak2 terpengaruh dengan cerita PKR yang masih di alam fantasi tu. Nampak sangat yang mereka tak yakin dengan diri sendiri. Hingga perlu buat rancangan lawatan sambil belajar ke Taiwan. Guna duit siapa tu? Duit rakyat Malaysia yang rata2 kena ikat perut sekarang ni (macam mummy)? Nak belajar apa pula di Taiwan tu? Harap2 mereka cepat pandai untuk menjaga Malaysia dan bukan UMNO/BN sahaja.
TUN said…
PKR hanya mencari jalan untuk menimbulkan suasana kecoh.
dan sy percaya suasana huru-hara akan digunakan untk mereka mengambil kesempatan.relevan tak?
melayuangkat said…
Assalamualaikum Azli,

Ramai betul yang bosan dengan isu 16hb September ni.

Pada Mak Cik, cara nak jadi PM macam ni samalah strategy seorang penyangak. Tidak beretika langsung. Maaflah Azli, tapi biarlah Mak Cik berterus terang.

Jika seseorang pemimpin itu berhemah, ada maruah, senonoh dan beriman dia tidak akan menganggu gugat kerajaan yang sedia ada, kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat walaupun dia tidak setuju dengan pilihan rakyat jelata ini.

Tunggu sahajalah sehingga PRU seterusnya, bukan lama sangat pun, kurang dari 4 tahun pun.

Cuba Azli fikirkan, hanya kerana cita cita seorang insan kemaruk sangat nak jadi PM, satu Malaysia kecoh. Orang Melayu bertambah berpecah belah, Sumpah seranah jadi hal biasa dan mainan.

Kerusi Parlimen dah jadi satu mainan catur atau dam, boleh ditukar ganti, boleh pass kan pada ahli keluarga sesuka hati tanpa memikirkan pembaziran dari segala aspek pun.

Orang macam ini ke yang kita hendak jadi PM kita?? Waliyazubillah...Mak Cik mohon pada Allah swt, kesian dan kashianilah kita, jauh dan lindungilah kita semua rakyat Malaysia dari Pemimpin yang sebegini.
kuanderas said…
Saudara Azli,

1.Anwar Ibrahim ini berjaya menjadikan hak-hak istimewa orang Melayu tidak lagi sensitif.

2.Anwar Ibrahim berjaya menarik sokongan orang Melayu tanpa sedar kepada DAP yang Malaysian Malaysia.

3.Anwar Ibrahim bercakap soal kronisme & nepotisme tetapi

a.Anak & isteri bertanding dalam PRU ke-12.

b.Legasi Lim Kit Siang, Lim Guan Eng & Betty Chew.

c.Menantu Nik Aziz menjadi CEO PMBK tak apa pula.

Bagaimanapun UMNO & Barisan Nasioal juga perlu serius dalam memaklum kepada orang ramai dan rakyat tentang perkara ini.

Nampaknya pembangkang berjalan senang kerana salah laku mereka tidak diketahu ramai dan tidak digembar gembur.
azlishukri said…
mummy - saya sependapat.

tun- saya pikir mcm tu juga

melayuangkat - inilah yang anwar inginkan

kuanderas - bahaya kalau dia jadi pemimpin
Anonymous said…
Tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berat dalam tulisan saudara. Manakala yang memberi komen pula seolah-olah buta akan kebenaran dan tidak belajar politik Malaysia.

Yang buat kecoh bukan PKR, kekecohan adalah disebabkan ketidak yakinan UMNO dan sikap tidak profesional mereka. Janganlah menuduh yang bukan-bukan kepada PKR.

Kuanderas pun tak belajar Tamadun Islam dengan baik. Saya nasihatkan belajar sejarah Islam. Tun Guru Nik Aziz dah cakap, menantu dia mempunyai kelayakan untuk jawatan tersebut. lainlah kalau dia tak belajar atau bersekolah setakat tadika, tiba-tiba pegang jawatan tersebut, itu bolehlah disalahkan.

Tuan Guru kata, 4 Khalifah dalam Islam pun ada hubungan dengan Nabi S.A.W, jadi tidak timbul soal keluarga kalau ada kelayakan.

Tentang 16 September, kita perlu lihat secara akademik, kritis dan berhemah. Janganlah kita jadi macam burung kakak tua apabila beri komen, apa orang lain kata kita percaya. Kita kena selidiki dan barulah percaya. Sebelum tarikh itu, biarlah kita buat analisis dan mohon petunjuk dari Allah.

Jika kita kata angan-angan, bagaimana kalau memang ada kebenarannya. Kita bagai meludah ke langit kerana terlalu percayakan cakap orang.

Sepatutnya semua orang melihat perkembangan politik ini secara baik.

Mummybosan cakap dia ikat perut. Mesti sebab kenaikan kos sara hidup selepas kenaikan harga minyak. Tetapi dia tidak fikir, jika tiada Pembangkang, adakah kerajaan akan komited menurunkan harga minyak? Tapi itu mummybosan tak fikir, yang dia fikir PKR buat gimik.

Dalam politik Malaysia sekarang, hanya UMNO yang cakap gimik. Kalau gimik, kenapa Anwar menang Permatang Pauh, Kuasai Selangor dan beberapa negeri lain oleh PR. Ini bukan gimik tetapi realiti.

Saya setuju Ahli Parlimen BN lompat parti dan bentuk kerajaan. Lebih-lebih lagi dari Sabah. Buat apa Ahli Parlimen Sabah tunggu dalam BN. Mereka tak dihargai. Bagi jawatan menteri pun yang jaga Muzium. Sedangkan Sumbangan Sabah begitu banyak. Kalau Bukan Politik Sabah, Orang melayu di semananjung dah hancur politiknya di tangan pembangkang. Itu realiti sekarang. Tetapi, Sabah terus mundur dan diabaikan pembangunannya di bawah kerajaan sekarang. Jalan tanag Merah, sekolah tiada elektrik dan air, sistem pengangkutan awam yang lemah dan 1001 satu lagi kedaifan. Tapi negeri lain yang hanya beberapa kerat menang, dapat 7 jawatan menteri.

Saya komited dengan Perjuangan Pakatan Rakyat dan benci dengan UMNO-BN, selagi kepimpinan sekarang tidak diubah.
Anonymous said…
Kepada melayu angkat, tolong baca banyak buku politik dan kenegaraan Malaysia. Saya rasa anda kurang arif tentang ilmu siasah dan politik kenegaraan.
azlishukri said…
adil - terima kasih atas ulasan saudara, tuduhan saya ke atas Anwar Ibrahim? baca elok2 artikel saya itu semula. pernahkah saudara mengikuti ceramah Anwar? dan tengok dengan kepala sendiri mcm mana gaya pengucapannya. kita sokong jika penyelewengan BN di dedah, tetapi mengapa apabila tiap2 kali isu dua exco PKR di perak disabit dengan kes rasuah, terus kita hukum itu adalah konsiparisi. jika ia terjadi kepada exco BN, saya percaya confirm belum bawa mahkamah lagi orang PKR akan menghukum mereka bersalah dan kotor. PKR terlalu bersih? Anwar terlalu mulia? tepuk dada tanya iman kita.
zeme said…
Salam saudara Azli,

Permainan peristiwa September bakal diusahakan oleh Anwar bersungguh-sungguh, meskipun ia dilihat perang saraf yang hebat direncanakan kerana Anwar menyedari peluang beliau selepas peristiwa Disember akan berubah. Maka Anwar dilihat seolah-olah semakin "Desperado", bukan mengejar September tetapi menghambat Disember kerana Anwar sedar sekiranya sokongan ahli UMNO kembali padu maka sukar untuk Anwar memporak perandakan UMNO dan negara. Jadi waktu getir untuk UMNO sebenarnya sebelum Disember.
Anonymous said…
This comment has been removed by the author.
perfectwater75 said…
Salam Tuan!

Boleh ke kalau hendak gunakan hujah tidak bersandarkan kepada GURKHA UMNO yang baru iaitu EZAM MD.NOR kerana saya langsung tidak mempercayai apa yang keluar dari mulut dia jika saya teliti semula rakaman ceramah-ceramah beliau sepanjang menjadi ahli PKR sebelum ini.Dulu dia sedap menghentam Pak LAh tiba-tiba sekarang sedap mengangkat Pak LAh sedangkan banyak kes yang dilaporkannya ada yang tidak langsung diambil tindakan oleh pihak berwajib. Persoalannya, BOLEHKAH KESAKSIAN DIa DIGUNAPAKAI? Tuan lebih mengetahui akan hukumnya mengikut ISLAM....

sebelum terlupa, terima kasih kerana melawat blog saya.

mohon buat pautan kalau tidak membebankan tuan.
thanks!
mummybosan said…
Ni yang mummy hangin ni!!! Sesedap rasa ajer Encik adil ni kata mummy tak berfikir. Amboi, akal dan otak mummy ni barang perhiasan aje ke?Encik adil, silalah berpandangan adil seadil nama yang digunapakai. Betul macam kata Azli, sila baca elok2... termasuk komen mummy. Mummy tak pernah nafikan pun peranan PKR yang mencuakkan kerajaan UMNO/BN sehingga sudi tanpa rela menurunkan sedikit harga minyak (yang tak memberi kesan pun sebenarnya). Mummy 'percaya' 16 September hanya satu gimik tapi mummy tak kata pun ianya tidak boleh direalitikan. Gimik kan biasa dalam program2 realiti nih!

Encik adil menulis seolah2 macam kami ni tak pergi sekolah. Seolah2 Encik adil seorang yang tahu semua. Mummy pun pernah ke Sabah. Mummy pun dah tengok dengan mata kepala mummy sendiri keadaan di Sabah tu. Bukan setakat dengar cakap orang atau tengok TV3 sahaja. Mummy pun sama2 tak puas hati kenapa Sabah tak sama maju seperti di Semenanjung. Tapi mummy pun tak faham kenapa orang Sabah masih setia dengan UMNO/BN. Kenapa Encik adil? Mungkin terlalu ramai orang Sabah yang tak sekolah...

Jangan khuatir Encik adil, dalam keadaan UMNO/BN yang kelam kabut sekarang ni, jangan tunggu hingga 16 September, entah2 esok pagi2 kerajaan dah boleh bertukar. Selagi rakyat tahu makna 'demokrasi yang sebenar2nya', tak ada apa yang perlu dikhuatirkan kerana kuasa di tangan rakyat untuk menentukan kepimpinan negara.

Kepada penyokong2 UMNO/BN sedarlah kita sudah lama dikhianati. Kepada penyokong2 PKR, pandai2lah ambil hati jika benar2 ingin berbakti. Maaf jika mummy katakan bahawa komen seperti Encik adil ni mampu mengurangkan undi PKR. Dan satu lagi koleksi bacaan yang patut Encik adil tambah, buku undang2.
Cheguman said…
Sdra Adil,
Saya setuju dgn kenyataan saudara tentang isu menantu Tuann Guru Nik Aziz.

Namun tindakan sdra menyelar beberapa blogger mungkin disebabkan sdra banyak terlepas perbincangan isu politik semasa. Kenyataan Nik Aziz tentang perlantikan menantunya dan perbandingan dgn zaman Rasulullah dan khulafa rasyidin memang benar. Yang dibangkitkan oleh beberapa org di sini ialah kenapa dulu Tuan Guru Nik Aziz tidak berpendirian sedemikian?

Tentang gaya dan corak perjuangan Anwar Ibrahim? Berapa umur sdra? Ketika beliau berada dalam kerajaan sehingga ke tahap DUA TERTINGGI dalam Malaysia, saudara dalam darjah berapa?

Kalau nak tahu, rujuklah tulisan para pemimpin PAS yang dianggap otai. Jangan rujuk Husam dan yang sewaktu dgnnya.
Cheguman said…
Nampaknya Blogger Adil ni lempar batu sembunyi tangan... saya check link ke blog beliau dan tak jumpa apa2pun.

Kepada mummybosan,
Bertenang dan jgn mudah bosan. Hidup ni bukan lama sangat. Jangan marahkan org PKR macam si Adil tu sebab mentaliti pembangkang memang begitu: kecewa, marah, bosan... bercampurgaul.
azlishukri said…
perfectwater75 - terima kasih atas komen saudara, dan saya juga akan link blog saudara. Pertama berkenaan hujah yang saya gunakan dengan memetik kata-kata Ezam yang sauadara dakwakan bahawa orang yang tidak boleh dipercayai. Dalam kehidupan kita, ilmu tidak terbatas dijumpai oleh orang-orang Islam sahaja, malah kita juga menggunakan ilmu orang bukan islam dalam menerangkan sesuatu fenomena atau kejadian alam itu. Umpamanya ilmu sains. dalam soal ini, kata-kata Ezam bukanlah hujah utama saya, tetapi merupakan fakta sokongan memandangkan beliau adalah orang kuat anwar pada suatu ketika dahulu. Dalam Islam tiada masalah menerima pandangnya sekali tidak lari daripada akidah Islamiyyah. wallahualam.
perfectwater75 said…
Salam!

terima kasih atas respon tuan, saya tetap tak bersetuju dengan fakta sokongan tuan, kerana apa yang saya faham dia sudah banyak kali bersumpah ketika dalam pkr dulu tetapi kini dia kembali dalam umno dengan layanan yang saya sifatkan sebagai istimewa dari segi pemimpin umno menyambut kemasukan beliau.Sumpah mana yang hendak kita pakai dari neo gurkha umno ini? sumpah dia dalam pkr atau sesumpah dia dalam umno sekarang?

thanks!
azlishukri said…
perfecwater75 - jika seseorang sudah insaf dan yakin dengan apa-apa yang telah beliau lakukan dahulu adalah salah dan kembali membetulkan keadaan, mengapa tidak kita perhatikan kata-katanya. Ezam sama seperti orang lain, manusia biasa yang ada dosa. jika kata-katanya ada kebenaran mengapa tidak kita terima. Begitu juga saudara Anwar, semasa di dalam UMNO mcm-mcm dia menghentam PAS dan DAP dan sekarang apabila dia berada bersama pembangkang, kita dengar semua kata-katanya? apakah bezanya antara Ezam dan Anwar? cuba fikirkan.
perfectwater75 said…
This comment has been removed by the author.
perfectwater75 said…
Salam Azli!

Saya tidak tahu apa 'stand' ezam bila TDM kembali diterima UMNO?

Benarkah dia benar2 insaf? Atau ini hanya telahan saudara?

Seorang rakan memberitahu ketika ezam berceramah di Permatang Pauh hanya lebih kurang 50 orang sahaja yang mendengar ceramah beliau, sebab itu saya gelarkan dia sebagai GURKHA UMNO. Dia hanya dipergunakan. Atas prinsip mana yang dia pakai? Kalau dia kata hendak membanteras rasuah, saya rasa laporan yang dia buat terhadap kepimpinan UMNO satu ketika dulu masih belum di'settle'kan dan tiba-tiba sahaja dia kata Pak Lah telah melakukan sesuatu yang baik...pelik tapi benar.
Mohon Penjelasan Tuan!
perfectwater75 said…
Salam,

saya petik ulasan balas azli,
mummy - saya sependapat.

tun- saya pikir mcm tu juga

melayuangkat - inilah yang anwar inginkan

kuanderas - bahaya kalau dia jadi pemimpin

saya suka merujuk kepada pendapat tuan tentang ulsan kuanderas, kalau dia bahaya jadi pemimpin, tidakkah yang ada sekarang dan bakal pengganti juga terlalu bahaya? Adakah dalam hal ini, tuan menggunakan kaedah usul fiqh 'marsalihul mursalah'(kalau salah tolong betulkan) untuk mengiyakan kepimpinan hadhari yang ada sekarang?

Sebagai satu contoh, JAKIM,YADEIM dan apa ntah agensi yang satu lagi buat laporan polis terhadap RPK atas tuduhan menghina Islam melalui tulisannya (belum tentu dia yang menulis)tetapi pemimpin hadhari kalau dilihat isteri2 mereka lebih menghina suruhan Allah. Bagaimana Azli melihat keadaan ini? Adakah kerana menulis menjadi satu yang terlalu besar salahnya atau melakukan perbuatan yang dilarang Allah tidak menjadi kesalahan yang besar?

Saya tunggu jawapan rasional azli...

thanks!
Home User said…
aku berpendapat tidak berlaku 16 sept seperti yang dicanangkan. perkukuhkan dulu 5 negeri yang diperintah sekarang dan tunjukkan kepada malaysia yang PR mampu tadbir malaysia. ingat! BN bukan parti keramat. BN juga suka memarakkan api perkauman. patutnya dia juga mesti ditahan ISA. Aku percaya kalau isu perkauman ini dicanangkan oleh PR, tak sampai esok dah merengkok dlm ISA. tak gitu azli?
azlishukri said…
perfectwater75 - terima kasih atas minat saudara berkenaan Ezam dan kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini. suka saya menyertakan semula sebahagian daripada apa yang pernah Anwar Ibrahim katakan ketika beliau menjadi pemimpin di dalam UMNO yang beliau dakwakan sebagai terlalu kotor itu. cuba saudara renungkan kembali kata-kata beliau ini.

"Saya mencabar kepimpinan Pas supaya menyebut kitab, hadis, ijmak atau ulamak mana yang menyuruh orang-orang Islam bermusuhan sesama sendiri serta mengkafirkan orang lain seperti yang diamalkan pemimpin Pas". (Ucapan Anwar Ibrahim pada Majlis Ceramah di Masjid Kampung Seberang Marang, Terengganu pada 14 Mac 1986).


"Kerjasama antara Pas dan DAP jelas mengkhianati perjuangan orang Melayu dan boleh mencetuskan perpecahan kaum." (Ucapan Anwar Ibrahim pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Gombak, Kuala Lumpur pada 21 April 1995).

Sekrang cuba tanya kepada diri kita sendiri siapa yang lebih hipokrit? Ezam atau Anwar? mcm mana saudara boleh begitu yakin dengan Anwar? sedangkan dia sendiri merupakan sebahagian daripada kekotoran yang didakwanya terdapat di dalam UMNO. Salahkah UMNO membuang manusia seperti Anwar pada suatu ketika dahulu? apabila sekarang amat jelas siapa yang sebenarnya memecahbelahkan perpaduan kaum dan menaikkan semangat perkauman, siapa yang begitu rapat dengan yayasan masa hadapan milik Amerika itu? dan siapa pula yang sangat baik dengan pemimpin2 politik tinggi Amerika, kalau bukan Anwar Ibrahim. mengapa kita masih buta mata hati lagi, apabila Anwar berbaik dengan musuh Allah mengapa kita pula terikut sama? tak cukupkah bukti2 gambar betapa mesranya Anwar dengan musuh2 islam di luar sana? jika saudara tanyakan kepada saya, sama ada Anwar atau Ezam, saya lebih percaya kata-kata Ezam. Kerana Ezam adalah anak murid Anwar juga, tak akan dia lebih hebat daripada Anwar Ibrahim sendiri dari segi haipokrit dan tipu daya? baik, katakan tiba-tiba Ezam itu sebenarnya tali barut Anwar di dalam UMNO dan ini merupakan strategi Anwar, adakah saudara masih ingin mendakwa Ezam sebagai Gurkha UMNO yang baru? sudah pasti penyokong2 PKR akan menjilat ludah mereka kembali. Sekarang, mari saya menjawab persoalan bahawa apakah saya menggunakan fiqh 'marsalihul mursalah'jawapan saya YA! dalam keadaan sekarang, jika kedua-dua parti adalah kotor, maka wajib bagi kita memilih yang mana antara satunya yang kurang kotornya. Nah! sekarang bagaimanakah kita ingin tahu yang mana lebih kotor dan yang mana pula yang kurang kotornya? mudah, pertimbangkan secara waras yang mana satu lebih banyak membawa kerosakkan yang besar kepada negara dan mengancam keharmonian negara. DAP sememangnya daripada dahulu lagi tidak sekata dan membenci hak keistimewaan orang Melayu, tak perlu diucapkan lagi kata-kata yang diluahkan oleh Lim Kit Siang dan Karpal Sing. DAP memang bercita-cita mewujudkan Malaysia Malaysian - dan parti ini hendak kita sokong? mudaratnya amat besar ke atas ketenteraman negara pada masa hadapan. PAS parti yang mengkafirkan orang yang seagama dan sebangsa mereka - golongan ini yang saudara sokong? membawa mudarat yang sangat besar kepada agama. Maaf saya katakan, UMNO tidak bersih, tetapi UMNO mudaratnya jauh lebih ringan daripada PKR, DAP dan PAS. wallualam.
azlishukri said…
home user - jika saudara sudah percaya bahawa 16 September tidak akan berlaku, sudikah saudara mengisytiharkan bahawa Anwar seorang PEMBOHONG? sudikah saudara berkata sedemikian? jika tidak, saudara masih degil untuk menerima kebenaran. mengapa orang yang berbohong dan mengharu birukan negara masih saudara sokong?
perfectwater75 said…
Salam Azli,

Panjang lebar ulasan saudara tetapi bila sauara katakan UMNO lebih kurang mudfaratnya, saya salinkan kata-kata Dr.Asri bersandarkan hujah dan dalil yang kuat tentang assobiyyah.."

Terus setia tanpa bantahan sekalipun atas kesalahan dianggap sebagai istiqamah atau teguh pendirian. Sementara sesiapa yang menyokong atau mengkritik pandangan-pandangan pemimpin atau tokoh berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan dianggap tidak berpendirian.
Paksi kebenaran bagi mereka adalah tokoh, kumpulan, puak, parti bukan fakta dan alasan. Inilah asabiyyah yang sebenar. Nabi s.a.w pernah bersabda:
“..Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).
Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadis-hadis Sunan Ibn Majah:
“Bendera kebutaan adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil”. ( Al-Sindi, Syarh Ibn Majah, 4/326 Beirut Dar al-Ma’rifah)."

Saya tak pernah kata menyokong DSAI, hakikatnya ucapan yang tuan ambil itu adalah ucapan DSAI ketika dia menjadi ahli UMNO dan inilah dasar UMNO perjuangkan sampai sekarang. Tiada siapa dalam UMNO yang mempertikaikan apa yang diperkatakan DSAI ketika itu sampai sekarang baik ahli UMNO atau PKR. Bagaimana saudara boleh kata UMNO kurang mudaratnya setelah 51 tahun makin bertambah kerosakan di muka bumi Malaysia ini.Apa yang Melayu dapat?!

Saudara azli hanya jawab berkenaan DSAI dan Ezam tetapi tak pula nak jawab berkenaan Islam dihina melalui perbuatan atau saudara masih lagi memegang kaedah usul fiqh yang ada untuk mempertahankan tindakan isteri Imam Besar Hadhari dan timbalannya itu?mungkin saudara ada lain-lain ayat Al-Quran atau hadis sahih yang boleh menafikan perbuatan mereka itu tidak salah dan menurut syariat Islam sebenar. Usah alih pandangan dari setiap soalan yang diutarakan. Saya tahu saudara sentiasa bersedia dengan apa yang berkaitan DSAI dan UMNO sebab saudara memang pejuang UMNO.Gunakan hujah politik semasa bukannya diceduk dari kata-kata orang yang pernah duduk sekali tidur sebantal dan tidak lagi bersama kerana apa yang berlaku.Kalau Ezam saudara katakan sudah insaf tetapi dalam masa yang sama hujah dan sumpah politik beliau yang dulu masih boleh digunakankah? Asal ikut UMNO, segala dosa yang lalu sudah terhapus? Begitukah maksud saudara azli?

susah juga politik Malaysia, kalau ikut pembangkang apa jua yang digunakan jadi salah dan dikatakan 'politiking' tetapi kalau yang menggunakan itu UMNO maka setiap perkara menjadi halal dan langsung tiada haram...

Kalau Pembangkang guna masjid...itu poliik,
UMNO guna masjid - sebagai contoh letakkan syarat di sesetengah negeri JKKK jadi pengerusi kariah)itu soal pembangunan insan..
Kalau pembangkang berarak di jalanan...itu perhimpunan haram, tetapi kalau KJ dan juak-juaknya buat demo, itu sah dan wajib kerana memepertegakkan hak?

pelik tapi benar..sama juga dengan ISA..tahan 18 jam sebab keselamatan diri tahanan itu terancam...akta hasutan ada tapi tak guna,..akta perlindungan saksi pun ada juga tapi tak guna...

satu lagi pelik tapi masih benar,

Datuk Ahmad Said keluar kenyataan berbaur perkauman dan salah mengikut akta hasutan tetapi kerana Lembaga Disiplin UMNO sudah jatuhkan hukuman maka tak perlulah sebarang tindakan undang2 ke taas beliau lagi...

pelik kan? tapi UMNO punya pasal takde yang pelik...

saya tidak berpihak mana-mana tetapi soal adil bukan satu keutamaan dalam Islam yang SYUMUL...?


terpulang...Yang benar tetap benar!

thanks!
Home User said…
azli, siapa yang sokong anuar? aku? aku berpendapat 16 sept tidak berlaku peralihan kuasa. anda masih belum menjawab kenapa puak umno yang sorang tu tak kena ISA? anda ahli umno cuba jawab. adakah dengan perlucutan semua jawatan dalam UMNO memadai?
azlishukri said…
Perfectwater - tiada larikan pun hujah Dr Asri dengan saya, saya merayu agar saudara baca dahulu artikel saya berkenaan nasionalisme dan assabiyyah dalam blog saya ini, di situ ada pendirian saya berkenaan isu tersebut.

Isu mudharat yang lebih besar - saya tidak pernah berkata bahawa Isteri PM yang membuka tudung itu satu berbuatan yang halal. Is tetap berdosa kerana nas yang jelas dalam al-Quran. Ingin saya betulkan fakta bahawa Islam dihina di bawah UMNO, apabila Tun Mahathir berkata nabi tidak cukur janggut kerana tiada Gillet pada zaman tersebut, semua ulama UMNO dan ahli-ahli UMNO yang waras mengkritik Tun mahathir, termasuk pembangkang. di dalam UMNO sendiri penasihat agamanya juga menasihati Tun Mahathir, tetapi apabila Nik aziz berkata "dengan Syaitan pun PAS sanggup bersahabat" tiada seorang pun ulama PAS menegur kata-kata nik Aziz yang terang-terang bercanggah dengan ayat Quran "sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang nyata", malah harakah pun tidak menegur beliau. Nik Aziz dan Mahathir, tetap manusia ada dosa dan noda. Di dalam UMNO sekurang-kurangnya kritikan dan teguran ada kepada pemimpin atas, termasuk saya sendiri menegur Pak Lah melalui blog saya ini, cuba saudara baca keseluruhan blog saya. tetapi, PKR atau PAS sukar benar mereka ingin menegur kepimpinan Ulama mereka, kerana ststus Tuan Guru yang dipegang oleh kepimpinan tertinggi mereka. Bukankah ini takrif assobiyyah yang saudara lampirkan dalam hadis tersebut. saya tidak boleh menipu diri saya sendiri, bahawa kebenaran sudah sangat jelas. dan PAS, PKR dan DAP merupakan parti yang membawa mudharat yang sangat besar kepada negara. tetapi saudara tidak sedar, kerana kita beranggapan bahawa semua tindakkan pembangkang seperti demonstrasi itu adalah halal, tetapi sebenarnya adalah dosa besar di sisi Islam. tidak kira siapa pun yang buat, KJ atau Anwar - hukum tetap sama. tetapi mengapa apabila pembangkang buat kita katakan itu sebagai menuntut keadilan. oleh itu, saya menyeru agar saudara membaca artikel saya di dalam blog ini berkenaan ISA, Cara Islam Menasihat Pemerintah dan banyakkan lagi, ia akan membuka mata saudara, bahawa kebenaran sudah jelas di depan mata. wallahualam.
azlishukri said…
perfectwater - satu lagi saudara berkata bahawa "Bagaimana saudara boleh kata UMNO kurang mudaratnya setelah 51 tahun makin bertambah kerosakan di muka bumi Malaysia ini.Apa yang Melayu dapat?!" sekarang saya ingin bertanya kepada saudara mengapa saudara terlalu marah kepada UMNO dan BN apakah kezaliman yang mereka buat kepada saudara. adakah hak saudara telah dirampas? atau saudara ditangkap oleh polis tanpa sebab? atau harta sauadara dicuri oleh orang-orang UMNO? apa saudara marahkah ini? atau saudara terikut2 dengan rentak hasutan Anwar Ibrahim? yang dizalimi kalau benar pun ialah Anwar Ibrahim, bukan saudara, mengapa saudara begitu marah dan membenci UMNO/BN?
azlishukri said…
Home User - sekarang mereka bertiga telah pun dibebaskan. mengapa Ahmad Ismail tidak kena ISA? mudah sahaja jawapannya, ISA digunakan kepada sesiapa yang menyebarkan isu perkauman, ambil contoh diri kita sendiri, apabila kita berbual-bual di kedai kopi bersama kawan2, katakan kita bersembang pasai politik semasa,kita juga selalu bercakap berkenaan isu perkauman, kadang kala kita hentam orang cina dan india dalam perbualan kita itu, jika diikutkan, kita dah boleh dikenakan ISA. tetapi ia tidak terjadi kerana perbualan kita tersebut tidak tersebar dan mampu mempengaruhi orang ramai, tetapi apabila kenyataan Ahmad Ismail yang sepatutnya tidak ditulis di dalam surat akhbar cina tersebut, tetapi ia ditulis juga, maka tuduhan akan jatuh kepada wartawan tersebut, kerana boleh dituduh sebagai cubaan untuk mengapi2kan isu perkauman antara melayu dan cina. jika ia tidak dilaporkan, hal ini tidak akan menjadi isu, seperti mana kes kita bersembang politik di kedai kopi. kita kena tahu bezakannya. cuba saudara baca kembali akta ISA, sauadara akan mengetahui siapa dan bagaimanakah seseorang itu boleh ditahan. wallualam.
Unknown said…
Pada saya 16 sept. ker 16 okt. ker sama saja. Memang tidak mustahil. Kita manusia apa yang ada? Kita hidup pun adalah ihsan dari Allah Azzawajalla. Jadi kita tidak usah ribut dan kecuh.

Segala-galanya terletak pada kehendak Allah. Allah kata "Jadi, maka jadilah" dan ingat "Tidak bergerak sebesar zarah sekali pun tanpa izin Aku" Jadi di manakah berkuasanya makhluk/manusia?

bertenang, fikir-fikirkanlah!
azlishukri said…
mountdweller - benar, itu yang saya kritik saudara anwar ibrahim tu, tak payahlah sebut2 benda yang tak tahu jadi atau tidak lagi, buat jadi fitnah aje..si anwar ni.

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil

Tulisan Terbaik Mufti Perak

1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam 2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas. 3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan ma