Skip to main content
MEMPERKASAKAN EKONOMI
SUNNAH NABI YANG DIPINGGIRKAN

Oleh MUHAMMAD AZLI SHUKRI

(Artikel ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 22/12/2003)

Barangkali, antara sunah Nabi Muhammad yang mudah dilupakan oleh masyarakat Islam pada ketika ini, ialah sunah baginda memperkasakan ekonomi ummah. Hakikatnya, mereka mengetahui berniaga merupakan sunnah nabi yang terawal seperti sabdanya, “9/10 rezeki itu adalah daripada perniagaan” (Riwayat Tirmizi). Namun demikian, umat Islam seolah-olah terlupa mengamalkan sunah nabi yang berjuang memperkasakan ekonomi ummah ini.


Pendek kata, umat Islam tahu berniaga, tetapi cukup lemah apabila berhadapan dengan soal memperkasa dan memperluaskan perniagaan mereka dari semasa ke semasa. Inilah barah yang merebak secara meluas dalam kalangan negara Islam pada keseluruhannya. Seperti mana kata Tun Dr. Mahathir dalam Forum Perniagaan OIC di Hotel Marriott, baru-baru ini, “Kita perlu menyebarkan etika dan standard (perniagaan) sama ada semasa menjalankan perniagaan sesama sendiri atau dengan pihak lain.”


Maksud Dr. Mahathir ialah, umat Islam yang bergiat cergas dalam dunia perniagaan haruslah menyebar dan memperluaskan konsep ekonomi Islam yang bersifat menyeluruh ke seluruh pelosok dunia, agar umat Islam berupaya bersatu dan memperkasakan ekonomi mereka. Pada waktu yang sama, umat Islam digesa agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dalam selok belok dunia perniagaan dan ekonomi global. Hal ini bertujuan, agar umat Islam tidak ketinggalan dan tercicir jauh di belakang, berbanding dengan bangsa lain. Seperti mana saranan Dr. Mahathir dalam Forum yang sama, “Bagaimanapun, ketika kita memajukan etika perniagaan Islam, kita tidak seharusnya menolak etika dan sistem yang ada pada hari ini yang tidak bercanggah dengan Islam, hanya kerana mahu memperlihatkan perbezaan.”


Dalam sejarah Islam, sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul, kedua-dua disiplin ilmu inilah yang dikuasai baginda dengan amat baik, sehingga mengejutkan pemimpin Bahrain bernama Al-Ashajj apabila beliau mendapati Nabi Muhammad begitu mahir dalam soal perniagaan dan perekonomian negaranya, terutama di kota-kota besar perniagaan negaranya seperti, kota Safar, Mushaqqar dan Hijar. Akhirnya, Al-Ashajj berkata kepada baginda, “Anda nampaknya lebih mengetahui negara saya daripada diri saya sendiri.” Kisah ini dicatat dalam kitab Musnad Imam Ahmad.


Baginda juga berjaya memperkasakan ekonomi dan perniagaan Siti Khadijah dengan etika perniagaannya yang cukup tersusun dan menyenangkan hati para pedagang dari daerah-daerah lain. Oleh sebab itu, ketika baginda menjadi pengurus kepada perniagaan Siti Khadijah, perniagaannya begitu pesat berkembang dan nama baginda sentiasa meniti di setiap bibir para pedagang yang membanjiri kota-kota perdagangan semenanjung Arab, Syam, Yaman, Syria, Busra, Iraq, Yordania dan Jorash.


Baginda tidak hanya dikenali kerana perniagaannya yang maju, tetapi lebih daripada itu baginda dikenali sebagai pedagang dan usahawan yang serba cukup dengan ilmu perniagaan dan perekonomian, di samping etika perniagaannya yang penuh dengan kejujuran, kesetiaan, menepati janji, menjaga kualiti barangan, amanah dalam tadbir urus korporatnya, profesional dan memudahkan urusan jual beli. Dalam soal ini, ada baiknya jika kita memikirkan saranan daripada Dr Abdelouaheb Belkeziz, Setiausaha Agung OIC, yang menyatakan, “Negara-negara anggota OIC perlu mengkaji dan mencari jalan bagi mempermudah kemasukan pelaburan dana-dana Islam ke negara mereka.”


Pada saat Rasulullah menguruskan perniagaan Siti Khadijah, baginda mampu memperkasakan perniagaan dan ekonomi majikannya itu dengan mengadakan perniagaan secara shirkat (kerjasama) melalui beberapa tokoh perdagangan lain seperti Saib ibn Ali Saib, Qais ibn Saib dan Rabi ibn Badr. Dan kerjasama ini benar-benar menguntungkan kedua-dua pihak, sehingga Saib berkata, “Muhammad ialah rakan kerjasamanya dalam perniagaan dan selalu lurus dalam perkiraan-perkiraan perdagangan.”


Kekuatan dan kejayaan Rasulullah dalam memperkasakan ekonomi dan perdagangannya banyak bergantung kepada ilmu, akhlak dan etika dalam mengurus perniagaannya. Sehingga dicatatkan bahawa baginda berjaya meluaskan empayar perniagaannya hingga ke luar Semenanjung Arab dan lebih daripada 10 pasar besar perniagaan yang terkenal telah disertainya, seperti pasar Fumatul Jandal di utara Hijaz, Mushaqqar di Hijar, Suhar di Oman, Shir (Maharah) di sebelah pantai laut Arab antara Aden dan Oman, San'a Ibu kota Yaman, Rabiyah di Hadramaut, Ukaz di Najd, Nazat di Wilayah Kahibar, Hijr di Yamamah dan banyak lagi. Kejayaan baginda menguruskan perniagaannya benar-benar menggambarkan manifestasi daripada sebuah hadis baginda yang amat masyhur, “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Riwayat Bukhari).


Setelah Nabi Muhammad diutus menjadi rasul, baginda masih tetap mengurus dan memberi panduan kepada umatnya dalam menjalankan dan memperkasakan ekonomi umat Islam pada ketika itu. Sebab itu, ramai dalam kalangan sahabat baginda menjadi peniaga yang berjaya, seperti Abdul Rahman bin A'uf dengan haiwan ternakannya, Abu Bakar dengan perdagangan bahan pakaiannya, Umar dengan perniagaan jagungnya, Usman dengan perniagaan pakaiannya dan ramai lagi sahabat baginda yang terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan demi memperkasakan ekonomi orang-orang Islam.


Sehubungan itu, perjuangan meningkatkan taraf hidup umat Islam dengan cara memperkasakan ekonomi mereka merupakan sunah nabi yang harus diikuti dan diteladani, seperti mana kata-kata Syah Waliullah dari Delhi apabila beliau memperkatakan topik ini, “Cara istimewa ini sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa keredaan Allah atau kurniaan Allah tidak diperoleh dengan cara menjauhkan diri daripada perjuangan ekonomi. Tidak ada seorang rasul yang mengajarkannya. Orang yang meninggalkan kehidupan dunia dengan pergi ke gua-gua dan tempat-tempat pertapaan di gunung-ganang dan mengasingkan diri laksana orang yang tidak bertamadun.”


Memperkasakan ekonomi dan perniagaan umat Islam sebenarnya merupakan perkara yang berkait rapat dengan ajaran Islam itu sendiri, kerana itulah Allah menggesa agar orang yang beriman bertebaran mencari rezeki setelah selesai mengerjakan solat sebagai satu kewajipan terhadap mereka, seperti firman Allah dalam surah al-Jumu`ah ayat 10 itu memberi pengertian segala bentuk perniagaan yang halal dan sah termasuk jual beli, perindustrian, perdagangan dan sebagainya.


Pada dasarnya umat Islam hari ini, harus segera bergerak dan mencari jalan agar ekonomi mereka dapat diperkasakan, sekali gus memberi jalan keluar kepada umat Islam daripada belenggu dan tekanan ekonomi kapitalis barat. Hasrat ini tidak mungkin tercapai andai kata kita masih berdiam dan malas menerokai sirah Rasulullah dalam memperkasakan ekonomi umat Islam pada ketika baginda masih hidup.


Usaha Rasulullah tersebut pada waktu baginda memimpin kaum Muslimin dapat dilihat melalui arahan baginda yang berbeza kepada golongan miskin dan kaya sebagai satu cara untuk memajukan dan memantapkan ekonomi umat Islam pada saat tersebut. Sahabat-sahabat baginda yang miskin digalakkan agar memulakan penternakan ayam, kerana ia memerlukan modal yang kecil dan ini amat sesuai untuk golongan yang berpendapatan rendah. Manakala sahabat-sahabat baginda yang kaya disarankan agar menternak kambing biri-biri yang memerlukan modal yang lebih besar.


Afzal-ul-Rahman dalam bukunya Doktrin Ekonomi Islam, berpendapat bahawa “pada hakikatnya, ia (langkah Rasulullah tersebut) merupakan suatu amaran kepada golongan kaya supaya menumpukan kepada perniagaan dan industri yang memerlukan modal yang lebih banyak dan meninggalkan perniagaan serta industri kecil-kecilan untuk diusahakan oleh golongan miskin bagi mendapatkan penghidupan mereka.”


Hal ini bertujuan, agar kekayaan ekonomi tersebut dapat dikongsi dan dirasai bersama tanpa ada yang tertindas dengan teknik memonopoli. Akhirnya, umat Islam dapat bersatu padu dan saling memerlukan sesama mereka dalam sistem ekonomi yang telah diajar oleh baginda tersebut. Dalam konteks yang lebih luas pada hari ini, penyusunan dapat dilaksanakan dengan cara pengklasifikasian mana-mana negara Islam yang masih berstatus miskin, harus diberi galakan agar mengusahakan industri perniagaan yang bersesuaian dengan tahap kemampuan mereka, manakala negara-negara Islam yang maju atau membangun pula diberi peranan yang lebih besar bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada industri-industri mega. Maka, kitaran perkongsian kerjasama ekonomi akan berlaku apabila masing-masing negara Islam memainkan peranan mereka ini. Sekali gus bakal mewujudkan suasana saling memerlukan. Kesan secara tidak langsung ialah, kesatuan umat Islam mampu ditingkatkan kerana setiap negara akan membuka pintu kerjasamanya yang luas untuk saling berinteraksi dalam bidang perniagaan dan perdagangan sekali gus memperkasakan ekonomi umat Islam itu sendiri.


Seperti mana harapan yang diluahkan oleh Pengarah Pengajian Islam Pusat Oxford, United Kingdom, Dr. Farhan Ahmad Nizami, “Pengembangan kuasa institusi besar dunia seperti WTO dan IMF harus disekat dengan mewujudkan blok-blok ekonomi dalam kalangan negara-negara Islam.”

Comments

Cheguman said…
Wawancara CEO JCorp, MM, 27 Jul 08 bersesuaian dgn rencana ini: jihad ekonomi.

Sayangnya ramai yg menyamakan jihad dengan holy war dlm kristen.

Sebuah persembahan yg mantap.
BuDakHutaN said…
Pemikiran kritis dan kreatif perlu seiring dengan perkembangan ilmu dituntut...
Jihad dan perjuangan individu boleh rencana angkara...
jelas , pasti... tak lama lagi terbongkar.
Anonymous said…
Satu penulisan yang mantap dan berisi.Pendekatan ekonomi Rasulullah s.a.w yang adil,jujur dan amanah adalah metode yang terbaik.

Sayang sekali,negara-negara Islam yang kaya dengan khazanah alam seperti petroleum tidak mampu menjadi kuasa ekonomi dunia.
Anonymous said…
salam...

Terima kasih... keep in touch (",)
zeme said…
Salam saudara Azli,

Ya, menarik rencana memperkasa ekonomi dalam konteks perkembangan semasa. Namun batasan perkembangan ekonomi sekarang adalah bilamana ekonomi dipolitikkan dan bukan berdiri menguasai dunia sebaliknya politik menguasai dunia.

Wasalam.
S.YanaZ said…
Salam,
Azli...
memperkasakan atau memperkasa?

Saya mahu belajar daripada org DBP.
Tk.
azlishukri said…
shariah...dalam blog aku tulis memperkasakan...sedap bunyinya..yg betul memperkasa..

Pilihan Pembaca

Akhil 2009 : Hari Tanpa Esok

AKHIL 2009 Hari Tanpa Esok KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya. ''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.'' Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31. Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya. ''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja. ''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailka...
Hikayat Dewan Ekonomi Episod Satu : Kemelut Di Dalam Sarang Semut Oleh Muhammad Azli Shukri Menguruskan sebuah majalah, bukanlah semudah menerbitkan sebuah buku atau jurnal. Penerbitan sebuah majalah memerlukan kesinambungan idea dan komitmen para penulis. Saya diterima bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 Disember 2006 (mungkin kerana saya agak rapat dengan mantan Ketua Pengarah DBP dahulu, Datuk Dr Firdaus Abdullah) - sebagai staf kontrak (kontrak akan disambung pada setiap tahun). Oleh kerana latar belakang pekerjaan saya sebelum ini adalah dalam pendidikan dan bukan penerbitan, maka dunia penerbitan merupakan dunia baharu bagi saya. Setelah saya ditempatkan untuk bertugas di bahagian majalah, di bawah kendalian ketua editornya, Puan Padilah Hj Ali, maka saya terpaksa menyahut cabaran dengan apa-apa juga tugas yang akan diberikan olehnya kelak. Pada ketika itu, DBP baru sahaja mengambil alih penerbitan majalah yang sebelum ini telah difancaiskan kepada syarikat Karangkra...

Dewan Masyarakat atau Masyarakat Dewan?

Dewan Masyarakat atau Masyarakat Dewan ? Saya difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin akan melawat ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini (walaupun mungkin tidak kesampaian). Sama ada TS Muhyiddin jadi membuat lawatan ataupun tidak, ia secara tidak langsung menjelaskan betapa beliau merupakan seorang yang benar-benar berjiwa rakyat dan tidak suka dibodek. Lawatan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa DBP begitu diambil perhatian serius oleh Timbalan Perdana Menteri itu, malah tidak terkejut rasanya jika tidak lama lagi DBP akan ditransformasikan menjadi lebih baik daripada dahulu. DBP - nama yang sangat gah dan hakikatnya perlu banyak berubah. Pada pandangan peribadi saya, DBP bukan tidak hebat, sebaliknya terdapat segelintir "orang atasannya" yang lebih gemar menjadi pembodek dan main silat, sehingga nama baik DBP kotor dan dipandang tidak bermaya oleh masyarakat luar. Saya sebenarnya sangat kagum dengan Datuk Baha, salah seorang ahli Lembaga Pengelola DBP yang begitu...