Skip to main content

SBPA : Dunia Penerbitan Ilmiah Malaysia Bakal Hadapi Krisis

Dalam keghairahan Perdana Menteri memperkenalkan misi transformasi dalam sektor awam bagi menjenamakan semula imej UMNO dan kerajaan - seharusnya ia akan lebih membawa seribu rahmat kepada penjawat awam dan bukan mengundang kekeliruan yang bisa sahaja dijadikan senjata maut Pakatan Rakyat untuk terus menghasut mereka agar membenci kerajaan. Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan baru-baru ini sudah mula mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, bahkan ada yang merasakan bahawa SBPA lebih bersifat paksaan daripada mengemukakan satu dokumen tawaran.

Beberapa transformasi yang terkandung dalam SBPA sama sekali tidak mencermini hasrat dan laungan sebenar pihak kerajaan yang diuar-uarkan di media massa. Sebagai satu contoh yang sangat klasik - semalam Datuk Seri Najib mengumumkan dana sejumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku karya asli di negara ini melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kata lain - maksud tersiratnya adalah untuk memperkasakan dunia penerbitan di negara ini.

Tetapi, malangnya DS Najib terlupa, mulai tahun hadapan sudah tidak ada lagi jawatan Pegawai Penerbitan di seluruh universiti awam di negara ini - semuanya akan bertukar skim menjadi Pegawai Penerangan! Skim Pegawai Penerbitan di bawah SBPA sudah dijumudkan - ramai yang tidak tahu bagaimana sebenarnya pekerjaan seorang Pegawai Penerbitan universiti. Ia tidak boleh dimasukkan di bawah klasifikasi tugas seorang Pegawai Penerangan.

Tugas penerbitan di bawah Pegawai Penerangan tidak sama dengan tugas Pegawai Penerbitan di sebuah universiti awam yang menguruskan kerja-kerja penerbitan karya asli, jurnal, prosiding dan pembinaan judul! Justeru itu, mana mungkin kerajaan mampu memperkasakan dunia penerbitan ilmiah di negara ini, sekiranya jawatan dan tugas Pegawai Penerbitan universiti sudah pun diserapkan dalam fungsi bersama Pegawai Penerangan!

Kerja-kerja Pegawai Penerbitan tidak boleh dibebankan dengan tugas-tugas pentadbiran. Mereka adalah editor! Mengurus sebuah manuskrip karya ilmiah, bukan seperti menulis minit mesyuarat atau menguruskan sebuah tender sebut harga!

Bila disebut Pegawai Penerbitan - sebenarnya kita bercakap soal kualiti hasil sesebuah buku! Pegawai Penerbitan merupakan juruaudit terhadap bahasa, kandungan dan kualiti sesebuah karya ilmiah sebelum ia sampai ke tangan pembaca. Proses ini tidak boleh dibuat sambil lewa atau bersahaja. Jika seseorang Pegawai Tadbir boleh masuk dan keluar meeting tiga hingga empat kali sehari - Pegawai Penerbitan pula tidak boleh mengedit tiga atau empat buah buku dalam tempoh satu hari, itu kerja gila.

Pada ketika kerajaan cuba memperkasakan dunia penerbitan ilmiah di negara ini - di sisi lain mereka terlupa bahawa mereka jugalah yang meranapkan tiang-tiang serinya. Skim jawatan Penerbitan sewajarnya diperluas dan bukan dijumudkan. Penerbitan dan Penerangan dua perkara yang berbeza. Peranan dan fungsi kedua-dua jawatan tersebut terlalu besar dan tidak boleh dijamakkan dalam satu skim, cacar-merba jadinya. Saya khuatir - penjawat awam semakin jauh daripada UMNO/BN kerana isu-isu seperti ini. Wallahualam.

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre. Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat selama dua tahun iaitu RM3 juta pada tahun ini dan RM2 juta pada tahun hadapan. Tambah beliau, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

"Bagi membolehkan matlamat ini dapat direalisasikan secepat mungkin, kerajaan mengambil keputusan agar peranan ITNM diperluaskan iaitu selain menjadi peneraju dalam industri terjemahan, agensi ini juga akan bertanggungjawab menerbitkan karya asli dengan nama dan penjenamaan baru iaitu Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia (ITBM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan jubli emas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga di sini, malam ini. Menurut Najib, kerajaan yakin ITBM berupaya menguruskan peruntukan yang diberikan bagi memastikan karya asli penulis muda yang telah diterima dapat diterbitkan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Tambah beliau, kerajaan juga mengharapkan Pena sebagai 'pemegang saham' dalam peruntukan itu dan dapat turut melaksanakannya dengan menyaring serta memantau isi kandungan yang bakal dihasilkan penulis muda.

"Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Pena sebagai sokongan terhadap peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pertubuhan ini," katanya.

Najib menambah, kerajaan turut menyedari proses rumit percetakan yang sedikit-sebanyak melambatkan tempoh masa penerbitan sesebuah buku. Justeru kata beliau, sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) telah bersetuju membentuk kerjasama strategik bersama ITBM dan Pena.

Comments

Anonymous said…
Bravo la Tuan Azli... Selamatkan Pegawai Penerbitan... JPA dah terlebih teliti sehingga tidak tahu ada Pegawai Penerbitan di IPTA. perkara ni perlu diperjuang kalau tidak hasrat nak memperkasakan penerbitan sia2 saja.
azlishukri said…
InsyaAllah rakan2 lain sedang melakukannya...kami akan buat yang termampu

Pilihan Pembaca

UMNO 2009 : Tolong Jangan Baca Entri Ini, Nanti Kena ISA?

FROM NEW HOPE TO ONE HOPE Oleh Muhammad Azli Shukri Pagi ini Tun Mahathir telah menemui Perdana Menteri Malaysia yang baru iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyampaikan borang kemasukan semula sebagai ahli UMNO di Putrajaya. Serentak dengan itu, anak beliau Datuk Mokhzani Mahathir juga akan bertindak sama kembali kepada UMNO. Dan pada Isnin ini, Tun Mahathir dijangka turun berkempen di Dataran PPP, Batu 2 1/2 Simpang, Taiping untuk calon BN bagi kawasan Bukit Gantang. Semalam, sewaktu menyampaikan ucapan penghargaan kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di kaca television, Datuk Seri Najib mengumumkan pembebasan seramai 13 orang tahanan ISA dan pada masa yang sama menarik semula sekatan penerbitan terhadap akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang digantung permit penerbitannya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta. Malah, Datuk Seri Najib juga berjanji akan mengkaji semula akta ISA yang digunapakai selama ini. Saya secara peribadi melihat Datuk Seri Najib...

Daripada Rakyat Kepada Rakyat : Ke mana Mukhriz Selepas Ini?

Daripada Rakyat Kepada Rakyat Kita harus bersyukur - sesungguhnya "Kem Kebenaran" sudah menang. Setidak-tidaknya gandingan Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin sangat sesuai dan mampu meneruskan perjuangan UMNO. Setakat ini, nampaknya kumpulan bersih telah berjaya mewarnai dan menerajui kepimpinan tertinggi UMNO - walaupun saya agak kecewa sedikit dengan kekalahan Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Mukhriz Mahathir. Namun demikian, suara lantang masih wujud di dalam UMNO. Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya setelah bergelar Ketua Wanita UMNO, turut mengucapkan terima kasih beberapa kali kepada Tun Mahathir - kerana banyak menyokongnya dalam dunia politik. Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Najib juga dikatakan sangat rapat dengan Tun Mahathir - ini menandakan, InsyaAllah mungkin banyak idea dan pandangan Tun Mahathir akan didengari selepas ini. Saya ucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Syafie Apdal dan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana berjaya seperti mana...

Terima Kasih Para Perwakilan

Terima Kasih Para Perwakilan Akhirnya, kebenaran sudah mati - dan kehancuran UMNO berada di hadapan kita semua. Tahniah Khairy, dan Tahniah semua perwakilan. Semoga kesilapan ini akan menyedarkan kita semua. Sesungguhnya memang benar - kita masih belum mahu insaf dan bertaubat, kita masih mahu berkiblatkan wang dan kepentingan diri. Selamat maju jaya kepada Pemuda UMNO Malaysia. Akhirnya, kita dapat jua seorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang sudah pun didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Apa-apa pun sebagai ahli Pemuda saya akur dengan keputusan tersebut, namun demikian saya tetap berasa malu mendapat seorang Ketua Pemuda yang jelas terlibat dengan politik wang, setelah Lembaga Disiplin UMNO membuktikannya sebelum ini. Malu melihat cara dan gaya para penyokong Khairy yang seolah-olah begitu bongkak dan bangga dengan kemenangan yang penuh diselubungi dengan rasa curiga dan sangsi. Semoga kebenaran akan terselah jua akhirnya. Wallahualam.