Skip to main content

Usahawan Melayu

Mencari Jalan Pulang


Siri Kedua


Oleh Muhammad Azli Shukri


Mentaliti usahawan Melayu yang sekadar berpuas hati dengan apa-apa yang dikecapi, perlu dikikis dengan memupuk pencapaian tahap cemerlang dalam menguruskan perniagaan. Bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Abdul Rahman Maidin pernah menyatakan hal tersebut dalam satu majlis, ”Sikap ‘cukup cari makan dan bolehlah hendak hidup’ perlu dikikis,''. Katanya lagi, sikap sebegini tidak akan memberi inisiatif kepada usahawan Melayu untuk berkembang maju dan hanya mengundang masalah kelemahan jaringan sesama mereka pada masa akan datang.



Kenyataan bekas Presiden DPMM itu, merupakan sebahagian daripada masalah mentaliti yang dihadapi dalam kalangan usahawan Melayu. Terdapat beberapa lagi sikap, budaya dan mentaliti usahawan Melayu yang dikatakan menjadi penghalang utama untuk mereka berjaya dalam perniagaan, antaranya :



  1. Cukup dengan apa-apa yang ada

  2. Mudah putus asa

  3. Takut bersaing

  4. Ambil mudah dalam hal-hal yang serius

  5. Takut mencuba

  6. Terlalu mengharapkan pertolongan

  7. Suka menyalahkan orang lain

  8. Ingin cepat kaya

  9. Tidak berfikiran jauh

  10. Mencampuradukkan antara politik dengan perniagaan

  11. Tiada keyakinan dengan apa-apa yang hendak dilaksanakan

  12. Lambat bertindak dan mengambil peluang

  13. Ingin mudah dan cepat dalam semua perkara

  14. Tidak mahu meningkatkan pengetahuan

  15. Tidak peka dengan perubahan dunia perniagaan

  16. Mudah lupa diri

  17. Menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapat kedua (tidak serius)

  18. Tidak bersungguh-sungguh

  19. Tiada disiplin yang kuat dalam berniaga

  20. Suka mendengar khabar angin daripada fakta yang sebenar



Dua puluh perkara yang tertera ini, merupakan sebahagian daripada penyelidikan penulis sewaktu bertemu dengan tokoh-tokoh korporat yang ada di negara ini. Presiden Institusi Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Mirzan Mahathir turut berkongsi hal yang sama dengan penulis. Menurut beliau, kejayaan usahawan di Amerika Syarikat salah satu sebabnya adalah kerana mereka memisahkan antara politik dengan perniagaan. Mereka tahu membezakan kedua-dua kepentingan tersebut. “Kita kena belajar sikap baik yang terdapat dalam kalangan usahawan Amerika, mereka juga memisahkan antara kepentingan politik dengan perniagaan.” Jelas Mirzan. Beliau turut menjelaskan untuk melahirkan usahawan Melayu yang berjaya, sistem pendidikan negara ini perlu dikemas kini agar para pelajar dilatih berdaya saing sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini penting untuk membentuk usahawan Melayu yang berdaya saing pada masa akan datang.



Selain daripada itu, Mirzan turut menekan faktor inovasi yang perlu ada dalam kalangan usahawan Melayu, jika mereka ingin berjaya dalam perniagaan. Dunia sentiasa berubah, dan usahawan Melayu juga perlu cepat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan yang sentiasa berubah-rubah itu. “Satu lagi peluang yang ada sekarang adalah kemunculan industri Halal yang disokong oleh kerajaan, industri ini bukanlah semata-mata untuk orang Melayu sahaja, tetapi untuk orang Muslim di seluruh dunia. Jadi, pasarannya adalah luas. Orang Melayu sebenarnya harus menguasai industri ini kerana kita sememangnya terkenal dengan produk makanan. Industri Halal berkait rapat dengan makan.” Tambah Mirzan lagi.



Yang jelas, usahawan Melayu sememangnya boleh berjaya, khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan dunia orang Melayu itu sendiri seperti industri makanan dan pertanian. Hal ini disokong oleh Dato’ Mohd Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MeCD) yang melaporkan bahawa, “Produk keluaran kita sudah berada di tahap yang baik, banyak tempat yang saya pergi termasuklah pameran dan di pasar raya di luar negara, produk Malaysia ternyata berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan baik.” Bertitik tolak daripada hal tersebut, menurut Hashim lagi, MeCD mempunyai strategi untuk melahirkan usahawan, khususnya dalam kalangan bumiputera. Strategi pertama, membudayakan 1.5 juta masyarakat bumiputera dengan tumpuan kepada golongan siswazah, belia dan wanita.



Kedua, melahirkan 150 ribu usahawan baharu, dan ketiga memantapkan 25 ribu perusahaan sedia ada. Dengan sokongan daripada MeCD, tidak mustahil untuk mewujudkan sebuah komuniti usahawan Melayu pada masa akan datang dapat direalisasikan. Namun demikian, Hashim menegaskan bahawa, usahawan Melayu, khususnya usahawan muda perlu mengubah paradigma pemikiran mereka terhadap perniagaan. MeCD, menurut beliau cuba mendidik masyarakat Melayu agar melihat perniagaan sebagai pekerjaan pilihan utama dan bukan sebagai kerja sampingan. Hal ini penting jika usahawan Melayu ingin bersaing dengan bangsa lain.




Hakikatnya, bukan semua usahawan Melayu mempunyai sifat negatif seperti mana yang tertera di atas, sebaliknya menurut Ketua Eksekutif International Center for Leadership in Finance (ICLIF), David J.S Winfield berpendapatan bahawa, terdapat ahli-ahli korporat tempatan yang mempunyai kemahiran dan daya pemikiran yang jauh lebih baik daripada usahawan di Eropah. ICLIF yang ditubuhkan oleh Bank Negara adalah bertujuan untuk melatih ahli-ahli korporat tempatan agar berdaya saing dan tahan diuji dalam menempuh arus globalisasi dunia masa kini.



Beliau yang mengagumi kejayaan anak tempatan menerajui syarikat seperti Petronas dan Maybank, turut berpendapat bahawa orang Melayu sebenarnya boleh berjaya dalam perniagaan, jika mereka mahu dan bersungguh-sungguh. “Jika anda melihat kejayaan Petronas ketika ini, mereka telah melebihi tahap berjaya. Petronas yang dikendalikan oleh anak tempatan adalah antara syarikat yang kukuh dan terbaik di dunia. Saya membesar hampir di seluruh dunia dan pernah bekerja di firma petroleum di Kanada. Saya dapat lihat industri ini dalam diri saya. Bagi saya, Petronas ialah contoh terbaik dan merupakan syarikat yang bagus.”




Kenyataan ikhlas Winfield tersebut sekali gus membuktikan bahawa, usahawan Melayu dan ahli korporat Melayu sebenarnya boleh berjaya dan cemerlang dalam perniagaan jika mereka mahu. Tiada kekangan dalam soal tersebut. Jika orang luar turut mengagumi cara pengurusan dan pemikiran barisan pentadbiran tertinggi Petronas, mengapa kita tidak mengambil contoh dan belajar daripada mereka?




Ketika penulis bertemu dengan Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia dan sekarang merupakan pemilik Bank ICB, beliau menyatakan bahawa, dahulu selepas kemerdekaan Malaysia, orang Melayu tidak mempunyai “role model” dalam bidang perniagaan, yang ada ketika itu hanyalah usahawan-usahawan Cina yang berjaya. Berbeza pada hari ini, Malaysia selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berjaya melahirkan berpuluh-puluh ahli korporat Melayu yang boleh dijadikan contoh dan teladan. Jika dahulu masalah utama yang dihadapi usahawan Melayu untuk berjaya dalam perniagaan adalah disebabkan faktor ketiadaan “role model”, tetapi kini masalah itu sudah tiada.



Usahawan Melayu seharusnya boleh belajar dan berguru dengan tokoh-tokoh korporat tempatan yang terbukti berjaya. Daim turut bersetuju, bahawa kebanyakan usahawan Melayu terlalu ingin cepat berjaya dan kaya. Sedangkan dalam perniagaan hal tersebut adalah sebaliknya. Menurut beliau lagi, apabila usahawan Cina datang menemui beliau, mereka akan membawa sekali kertas cadangan perniagaan mereka dan bertanya apakah kelemahan yang perlu dibaiki dalam kertas cadangan tersebut. Namun demikian, hal ini sangat berbeza dengan usahawan Melayu yang datang menemui beliau yang lebih banyak bertanyakan bagaimanakah ingin mendapatkan bantuan dan memohon sokongan beliau untuk mendapatkan pinjaman. Begitulah perbezaan secara ringkas antara mentaliti usahawan Melayu dengan Cina yang ditemui Daim.




Pandangan Daim tersebut dikongsi bersama dengan Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim, katanya “Ushawan Melayu patut sedar bahawa, tiada jalan pintas untuk berjaya. Resipi untuk berjaya ialah menekankan budaya tekun bekerja.” Beliau turut menambah, “bukan semua orang boleh menjadi usahawan, seorang usahawan memerlukan pengetahuan dan kefahaman yang meluas dengan apa-apa yang ingin dilakukan. Jangan sesekali takut bersaing, sifat bersaing itu perlu wujud dalam diri setiap usahawan yang ingin berjaya. Jangan cepat putus asa, sentiasa tingkatkan usaha dan sekiranya gagal, tidak bermakna gagal selamanya. Sesiapa yang bekerja kuat dan berusaha bersungguh-sungguh, pasti mendapat pulangan yang lumayan.”




Gambar : Penulis bersama Tun Daim Zainuddin.








Comments

add said…
Salam MAS,

Bangsa melayu sebenarnya rajin,tekun dan berhati waja dalam bisnes. Kekadang modal menjadi "bayangan" dalam diri, dimana ramai diantara kita belum sepenuhnya berani nak terjun dalam bidang yang akan diceburinya kerana takut tersungkur. Maka dengan ini sewajarnya pihak kerajaan memberi peluang serta panduan bermula A-Z kepada bangsa melayu kita. Walaupun kita telah ada PUNB tetapi PUNB ni sebenarnya cekik darah juga dan usahawan masih terikat dengan banyak syarat dan peraturan itu dan ini...

Sewajarnya pihak berkuasa tempatan pun memberi peluang yang ikhlas dalam menguatkuasakan peraturan dan mestilah mempunyai budi bicara dan perikemanusiaan dalam menangani masalah penjaja yang bertatih di tepi jalan. Kalau peniaga cina mereka boleh bagi rasuah kerana mereka ini beli dengan harga murah dari pemborong kaun dia,manakala peniaga melayu dah beli dengan pemborong ke3 atau keempat, tu yang tak leh nak hidup meniaga ni.
dalam bisnes, kita bermula dengan kecil-kecilan,dan bila dapat untung sikit simpan, tetapi yang menjadi masalahnya peniaga kita ni pun satu hal. Bila dapat untung sikit tukar hphone, bila utung lebih sikit tukar kereta,, so bila nak maju. Kita lihat bagaimana liciknya peniaga h/ware cina berniaga, mereka ni biasanya mengajikan orang melayu. So mereka tutup perniagaan pada hari jumaat kerana jika berniaga pada hari tersebut, pekerja mereka akan rehat lama iaitu 2 jam berbanding dengan hari biasa sejam sahaja. betapa cerdiknya orang cina. dan kalau kita pergi beli kperluan dikedai orang cina tak pernah cakap tak de, paling tidak pun baru habis atau keluar sekejap pergi ambil dikedai kawan sebelah walaupun tidak ada untung, tetapi demi nak menarik pelanggan.
azlishukri said…
satu kupasan yang menarik add..
Anonymous said…
Assalamualaikum Brother Azli,
Saudara telah senaraikan, termasuk 20 dalam penyenaraian ini sikap orang-orang kita berniaga. Bangsa yang cukup kita sayangi.
Ada kebenarannya. Darah Melayu saya juga terpaksa akur dengan senarai ini.
Saya berpandangan bahawa inilah juga sikap yang harus kita kikis dalam pencarian ilmu. Baik untuk menjadi usahawan atau pelajar yang berjaya, sikap-sikap ini adalah racun hidup.


1.Cukup dengan apa-apa yang ada
2.Mudah putus asa
3.Takut bersaing
4.Ambil mudah dalam hal-hal
yang serius
5.Takut mencuba
6.Terlalu mengharapkan
pertolongan
7.Suka menyalahkan orang lain
8.Ingin cepat kaya
9.Tidak berfikiran jauh
10.Mencampuradukkan antara
politik dengan perniagaan
11.Tiada keyakinan dengan
apa-apa yang hendak
dilaksanakan
12.Lambat bertindak dan
mengambil peluang
13.Ingin mudah dan cepat dalam
semua perkara
14.Tidak mahu meningkatkan
pengetahuan
15.Tidak peka dengan perubahan
dunia perniagaan
16.Mudah lupa diri
17.Menjadikan perniagaan sebagai
sumber pendapat kedua (tidak
serius)
18.Tidak bersungguh-sungguh
19.Tiada disiplin yang kuat
dalam berniaga
20.Suka mendengar khabar angin
daripada fakta yang sebenar

Cuma satu lagi sikap yang wajib kita elakkan ialah CEMBURU YANG MELUAP-LUAP yg menghasilkan HASAD DENGKI.

Kalau CEMBURU YANG MELUAP-LUAP yg menghasilkan KEINGINAN UNTUK BERLUMBA-LUMBA, InsyaAllah berjaya.
Saya yakin.
fahana_ann said…
saya save site ni bawa balik baca kat rumah...suke bace tntang keusawahann
C.H.E Dayat said…
salam abang azli, sudah lama saya tak melawat blog abang mahupun blog saya sendiri. ini kerana saya sedang bercuti di kampung halaman, ni barulah ada masa skit nak memberi komen.

Kebanaran 100% kenyataan yang dinyatakan oleh abang. ini kerana saya sendiri terdiri daripada keluarga usahawan. Ayah saya ialah seorang peniaga. Saya dapat memerhatikan bahawa rata-rata sikap rakan ayah saya yang mempunyai perniagaan bersikap acuh tak acuh. Walaupun diberi peluang yang baik dengan keuntungan RM 100,000.00 sebulan pun gagal menjaga perniagaannya dengan baik. Ini adalah kerana sindrom kekebalan didalam otak mereka yang merasakan diri mereka kebal kerana mereka ini terdiri daripada keluarga VVIP.

Peniaga melayu juga tidak customer-oriented didalam perniagaan dimana mereka memikirkan keuntungan semata-mata. Jadi, bagaimana hendak mendapat keberkatan didalam perniagaan?

Peniaga melayu juga mempunyai PHD yang tinggi. Dengki-mendengki antara satu sama lain.

Saya akan kupas lagi di tulisan saya di blog saya kemudian.

Sekian saja..

p/s * bagaimana masalah politik dalaman di pejabat abang azli? sudah selesai?

Salam perjuangan

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com
azlishukri said…
fahana - bagus tindakkan awak tu..

Dayat - belum selesai..
C.H.E Dayat said…
teruskan perjuangan.. jika kita percaya kita berada di pihak dan jalan yang benar, nawaitu kita benar2 ikhlas, nescaya Allah ada di sisi kita..
Anonymous said…
Apakah rahsia kejayaan Rasulullah itu? Mari kita belajar dari baginda. Kita sedang berhadapan dengan orang Islam, khususnya orang Melayu. Walaupun berada di dunia kemajuan, tetapi kita berhadapan dengan dunia yang paling maju. Kita tidak mampu untuk mencabar kemajuan Amerika, Eropah atau Yahudi. Sudahlah begitu, kita umat Islam, selalu bergaduh dan berperang sesama sendiri. Ertinya umat Islam hari ini tidak ubah seperti bangsa Arab Badwi, berhadapan dengan Rom dan Parsi di waktu itu. Jadi pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini jika hendak bangunkan semula orang-orang Islam, mesti contohi Rasulullah SAW.

Apa yang berlaku, sehingga hari ini, tiada siapa pemimpin yang mahu mengambil contoh dari Rasulullah SAW. Bahkan kebanyakannya masih mencontohi Yahudi, Amerika atau Barat. Padahal negara-negara umat Islam sudah lama merdeka. Ada yang sudah 50 tahun dan ada yang sudah 100 tahun merdeka tetapi masih hina, masih tertinggal dan masih berpecah belah kerana tidak mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh.
Apakah anak kunci kepada kejayaan Rasulullah SAW sehingga bangsa Arab yang begitu mundur, jahat dan ketinggalan waktu itu, mampu diproses hanya dalam tempoh 23 tahun? Sehingga mereka dapat mengatasi Rom dan Parsi. Rahsia inilah yang perlu kita ketahui supaya dapat kita contohi untuk dapat pula kita bangunkan semula umat Islam sama ada orang Melayu, orang Arab dan lain-lainnya. Insya-Allah, jika kita contohi Rasulullah SAW, dalam masa yang pendek, kita akan dapat hasil yang sama dengan apa yang telah dicapai oleh baginda.

Cuba lihat, kalau kita baca ayat-ayat Al Quran yang Rasulullah SAW guna untuk mendidik bangsa Arab, ayat pertama yang Rasulullah SAW guna, bukan ayat yang berkaitan dengan ekonomi. Baginda berjuang juga tidak bermula dari kebudayaan atau kemajuan. Tapi dimulakan dengan:
Maksudnya:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu..." (Al Alaq: 1)

Dari ayat ini ada dua perkara yang penting iaitu:
1. Ilmu
2. Tuhan

Kedua-dua perkara ini digunakan oleh Rasulullah SAW untuk mendidik bangsa Arab. Iaitu Baginda beri ilmu dahulu, kemudian beri Tuhan. Bila ada ilmu maka dapat miliki Tuhan, dapat buat kemajuan dan rasa bersama serta sifat bekerjasama akan datang sendiri. Anak kuncinya adalah Tuhan. Dari membaca dapat ilmu. Dari ilmu lahir perlaksanaan. Dari perlaksanaan lahir kemajuan dan dari kemajuan, lahirlah tamadun.

Dari ayat ini, Tuhan mengajak umat Islam supaya membaca atas nama Tuhan, mencari ilmu atas nama Tuhan, melaksanakan ilmu atas nama Tuhan, buat kemajuan, bina tamadun, berekonomi, berjemaah dan bekerjasama atas nama Tuhan. Buat apa pun mesti atas nama Tuhan.


Tentang ilmu, tidak perlu kita bahas sangat. Walau tidak didorong pun, orang memang hendak pandai dan hendak belajar. Tetapi untuk beri Tuhan, itulah yang susah. Rasulullah SAW hendak beri Tuhan itu, bukan sekadar untuk aqidah cukup makan. Kita sudah belajar bahawa Tuhan wujud. Wujudnya Tuhan tidak ada permulaan, tidak serupa dengan yang baharu, tidak didahului oleh tiada dan Tuhan itu berkuasa. Ini hanya aqidah untuk cukup makan. Aqidah yang begini, apakah boleh menyebabkan orang takut dan cintakan Tuhan? Siapa boleh akui bahawa dia sudah cinta dan takut dengan Tuhan? Rasa malu, rasa hina dengan Tuhan? Merasakan Tuhan segala-galanya, hingga tanpa ada Tuhan, tidak boleh hidup? Merasa Tuhan diperlukan sepanjang masa. Tiada siapa yang merasa demikian.


Aqidah kita, kalau hanya cukup makan, ia diibaratkan seperti makan nasi tanpa lauk. Aqidah kita hanya sekadar agar jangan jadi kafir. Padahal Tuhan itu patut ditakuti dan dicintai. Sepatutnya kita rasa bahagia dengan Tuhan, rasa bahagia bersandar dengan Tuhan. Jadi yang dimaksudkan kerja hendak bagi Tuhan kepada manusia mesti sampai ke peringkat ini. Bukan sekadar beri aqidah cukup makan. Kalau aqidah cukup makan, kita akan bergaduh, berperang, tidak boleh bekerjasama, tidak boleh bersatu, tidak boleh maju dan tidak boleh tumbangkan musuh. Yang menyedihkan, hari ini, yang dikatakan ulama-ulama itu pun aqidahnya hanya setakat cukup makan. Bagaimana mereka hendak mengajar manusia?

Kalau ulama itu aqidahnya hanya setakat cukup makan, apa yang diberinya pada orang, apa yang diajarkan juga adalah aqidah cukup makan. Sebab itu perjuangan Rasulullah SAW ada dua peringkat yakni:
1. Perjuangkan Tuhan selama 13 tahun, padahal Tuhan itu Esa, tidak banyak.
2. Rasulullah SAW perjuangkan syariat selama 10 tahun sahaja sedangkan syariat itu beribu-ribu banyaknya.
Rasulullah perjuangkan Tuhan selama 13 tahun di era Mekah sehingga Sahabat-Sahabat takut dengan Tuhan, cinta dengan Tuhan, rasa besar dengan Tuhan, rasa bahagia dengan Tuhan dan rasa seronok berkawan dengan Tuhan. Sebab itu pengaruh dunia langsung tidak masuk ke hati mereka. Kerana itulah mereka boleh bersatu, bekerjasama, sanggup jual seluruh dunianya untuk Tuhan. Mereka rasa cukup apabila dapat Tuhan. Yang lain jadi kecil.

Bila takut dengan Tuhan, semua dikorbankan. Kerana cintakan Tuhan maka mereka tidak terpengaruh dengan cinta dunia, cinta duit atau cinta pangkat. Oleh kerana sudah tidak hendakkan dunia kerana Tuhan, Tuhan beri mereka dunia. Ini rahsianya. Selagi umat Islam cinta dunia, mereka bukan sahaja akan bergaduh, berebut sesama sendiri, bahkan dengan anak isteri pun boleh bergaduh. Kerana harta bergaduhlah adik-beradik. Inilah akibatnya bila cinta Tuhan sudah beralih kepada cinta dunia. Sebab itu Tuhan tidak serahkan bumi ini kepada orang Islam, tetapi diberi kepada orang kafir. Biarlah orang kafir bergaduh pasal dunia.

Jadi rahsia agar umat Islam berwibawa dan dapat kuasai dunia ialah kita mestilah takut dan cinta pada Tuhan. Untuk didik orang agar takut dan cintakan Tuhan itu bukan boleh dibuat oleh sebarang pemimpin. Kalau zaman dahulu Rasul saja yang buat kerja ini. Selepas itu, mujaddid sahaja yang mampu buat. Sebab itu, dengan rahmat Tuhan, di setiap awal kurun, ada mujaddid. Bila datang awal kurun, umat Islam wajib cari pemimpin mujaddid ini. Bila jumpa, mesti taat padanya sebab hendak bersandar dengan ulama sudah tidak boleh sebab ulama pun aqidahnya hanya cukup makan.

Jadi rahsia umat Islam hendak bangun semula, jangan mulakan dengan ekonomi atau dengan kemajuan, tapi mestilah bermula dengan memberi Tuhan. Beri Tuhan sampai datang rasa takut dan cintakan Tuhan. Anak kuncinya adalah Tuhan. Dapat Tuhan, dapat segala-galanya. Dapat Tuhan, Tuhan akan serah dunia. Buktinya orang Arab, bila dapat Tuhan maka mereka dapat kekuatan luar biasa. Akhirnya dapat menjadi empayar dunia. Inilah yang sudah dilupakan umat Islam. Mereka berjuang bermula dari ekonomi, bukan bermula dari mendapat Tuhan.
Ano Nyme said…
Terima Kasih, tulisan tuan Azli memberi semangat pada saya.
Saya melayu, dilahirkan dari keluarga miskin, tiada kenalan (cable) yang dapat membantu, tiada modal atau wang untuk mulakan perniagaan, tiada bantuan kerajaan, tak ada bank yang sudi beri pinjaman, tak ada grant kerana industri saya ceburi tak glamour.....namun saya redah jugak, usaha jugak sampai boleh niaga. Apa yang saya lihat di depan saya hanyalah idaman saya...iaitu

Saya akan pastikan syarikat saya "www.pestsciences.com " menjadi sebuah syarikat pest control terbesar dan terbaik di dunia. Insyaallah
azlishukri said…
kapten - saya setuju dengan pandangan kapten.

Marzuki - saya sangat2 setuju dengan saudara. sememangnya saya sedang berusaha menyelidik berkenaan perniagaan cara rasulullah.

Subhi - semo saudara berjaya. saya sangat berharap agar suatu hari nanti ada saudara mara saya bekerja dengan saudara.
Anonymous said…
Assalamualaikum Dan Salam Pertemuan.

Sepertimana saya bicara dan katakan lewat tulisan terdahulu, saya akan kembali untuk memberi pandangan berkenaan kemelut, yang dikatakan politik dalaman, yang tentunya menjejaskan kerjaya saudara Azli.

Saya tidak berminat untuk menjadi pembela kepada individu, sedari dahulu hinggga kini. Tetapi saya terpanggil ini kerana BAHASA MELAYU, dan perjuangan DBP, sebagai badan yang menjadi benteng akhir Bahasa Melayu. Tetapi bentengnya semakin rapuh kerana banyak "penyakit" yang menyelubungi penghuninya.

Maklumat yang saya perolehi semalam dari seorang rakan sekolah saya kini pegawai kanan, (Walaupun tidak rasmi) mengatakan Saudara Azli Tidak Dilanjutkan Kontrak Perkhidmatan pada saat-saat akhir perkhidmatannya. Semuanya lantaran "percaturan" orang tidak bertanggungjawab. Hanya Allah yang tahu perkara ini.

Percaturan ini dikaitkan pula dengan kejayaan Saudara Azli mengemudi Majalah Dewan Ekonomi, majalah yang suatu ketika dahulu di campak ke Karangkraf dan dipandang Hina dalam kalangan orang tertentu.

Tetapi Saudara Azli berjaya menghidupkannya, mengalahkan majalah yang diagungkan pihak tertentu, seperti Majalah Budaya, Sastera, Bahasa dan lain-lain. Apatahlagi majalah ini dikemudi orang rapat kepada ketua.
Nah bangsaku, kalau inilah sikap yang kita pelihara dalam diri, tidak salah kata orang kebanyakan, Kemana Halatuju DBP, badan yang kita sanjung-sanjung selama ini?

Lebih malang lagi apabila penglibatan Saudara Azli dalam Politik UMNO-BN, turut dikaitkan menurut rakan saya ini. Pada saya apa salahnya, Kerana Saudara Azli kuat mendokong kerajaan UMNO-BN, berbeza pandangan itu perkara biasa. sedangkan calon Timbalan Presiden UMNO pun ada pertandingan. Malah Calon Presiden. Tetapi tidak pula yang bertanding itu dipecat. Ini demokrasi.

Saya juga hairan, bukan tiada pegawai di DBP yang berpolitik, ada yang menulis dalam akhbar pembangkang suatu ketika dahulu. Ketika mengulas isu Bahasa Melayu-Bahasa Malaysia. Jadi kenapa saudara Azli menjadi mangsa, sedangkan beliau pendokong UMNO-BN?

Saya tumpang simpati kepada Saudara Azli. Kalau ada unsur penganiayaan, fikirkanlah. Saudara Azli ada tanggungan dan memerlukan sumber pendapatan dalam kegawatan ini. Kalau benar beliau di tamatkan kontrak, sepatutnya maklumkan sebulan atau tiga bulan. Dapatlah beliau mencari pekerjaan lain. Ini beliau akan tertekan dan hilang mata pencariannya.


Impak yang lebih besar kepada Bahasa Melayu. Bagaimana kita nak memperjuangkan Bahasa Melayu dalam dunia Korporat/Ekonomi, jika majalah baik yang bertindak menjadi wadah ini dicatas. Setahu saya, tiada majalah Ekonomi Berbahasa Melayu di Malaysia yang baik, sebaik Dewan Ekonomi yang telah dibangunkan dan dihidupkan saudara Azli itu.


Saya berpandangan bahawa Majalah Ekonomi tidak akan dapat menemui sentuhan ajaibnya dibawah editor baharunya. Sesungguhnya, seseorang editor bukan sahaja perlu pandai buat kerja, tetapi jaringan perhubungan dengan orang politik, korporat dan ilmuan mesti kuat. Saudara Azli memiliki itu semua, tetapi rakan sejawatnya belum tentu, begitulah penjelasan kawan saya itu.

Saya mula bimbang, adakah Encik Anuar dan Puan Ritah akan menerima nasib yang sama. Hal ini demikian kerana mereka sangat baik, ada blog dan mampu pergi jauh, berpandangan dan berani berhujah dalam blog mereka. Semoga hal ini tidak berlaku.

Percayalah, jika terus hidup dengan kemarahan dan dengki, kita tidak akan maju.

Saya sedikit terharu memikirkan nasib bangsa dan bahasa kita. Ke mana akhirnya kita nanti....?

Dato' Adil
Bangsar, Kuala Lumpur.
Anonymous said…
kat dbp banyak penyengat yang dah tua... dengki dengan pegawai baru...
azlishukri said…
dato' adil - saya terharu dengan tulisan dato' seolah2 dato' tahu banyak perkara. susah untuk saya memberi komen akan hal tersebut. saya percaya ada pihak yang ingin membunuh dewan ekonomi. tetapi saya tidak tahu. namun demikian, untuk membunuh majalah dewan ekonomi, editornya harus dibunuh terlebih dahulu. itulah asasnya, pada suatu ketika dahulu, majalah ini hendak ditutup sekitar awal tahun 2006, tetapi dipertahankan oleh Datuk Ishak Harun, salah seorang ahli lembaga pengelola paling lama di DBP. namun demikian, kontraknya sebagai ahli lembaga pun sudah ditamatkan baru-baru ini. saya tidak tahu politik jenis apa yang sedang dimainkan oleh pihak tertentu di DBP. semoga Allah menerima taubat mereka.
Anonymous said…
SIAPA SEBENARNYA AKAN TEMUI JALAN PULANG?

1. Usahawan yang malas meneroka teknologi dan perniagaan baru.

2. Usahawan yang kurang modal untuk kembangkan pasaran dan perniagaan.

3. Orang Melayu yang menjadikan dengki sebagai senjata utama.

4. Pegawai Lama yang dengki dengan pegawai baru tanpa sebab.

5. Mereka yang tidak mahu bertaubat setelah melakukan kesalahan.

6. Mereka yang suka mengampu dan malas membaca.

**************************


Tawaran Terbuka Kepada Saudara Azli.


Jika benar saudara Azli kini tidak lagi bekerja di DBP, saya ingin menawarkan saudara bekerja di Perusahaan Saya sebagai :

Pegawai Komunikasi dan Media
Gaji Permulaan : RM 4500.00

Dato Adil
Bangsar, KL.
azlishukri said…
dato adil - InsyaAllah akan saya pertimbangkan.
Anak Kuala said…
tahniah atas segala komitmen saudara untuk satu perjuangan
Saudara Azli

Penulisan dan pemerhatian yang menarik...

Saya amat bersetuju

Budaya yang berkembang mekar dikalangan orang Melayu, bukan usahawan sahaja, ia seolah-olah telah dibentuk pemikiran sejak anak-anak lagi.

Budaya 'ok lah tu' dan budaya 'dah ada sudah lah'. Budaya ini terbawa-bawa mungkin, dan sehingga hari ini orang melayu ini terus dibelenggu dengan masalah status quo..

Sekadar pandangan

Pilihan Pembaca

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw