Skip to main content


Usahawan Melayu
Mencari Jalan Pulang

Siri Pertama

Oleh Muhammad Azli Shukri



Setahun lalu, ketika merasmikan Kongres Jihad Ekonomi 2007 dan Akademi Kecemerlangan Perniagaan Melayu (Gabex), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia melahirkan rasa dukacitanya terhadap orang Melayu yang menurut beliau masih terlalu lemah dalam dunia perniagaan. Hal ini berikutan sikap bangsa Melayu itu sendiri kurang bersemangat untuk bersaing, mudah putus asa dan ingin cepat menjadi kaya. ‘‘Saya malu. Saya bukan nak peleceh bangsa saya, tetapi sekadar memberi maklum balas,’’ ujar beliau dalam majlis tersebut. Perdana Menteri menekankan bahawa, orang Melayu bukannya tidak boleh berniaga, tetapi mereka perlu membina keupayaan berteraskan ilmu yang boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk bersaing dalam dunia perniagaan.



Abdullah turut mengingatkan bahawa, orang Melayu tidak boleh terus-menerus bergantung harap dengan kuasa politik yang mereka miliki pada hari ini. Katanya, tanpa keupayaan dalam bidang ekonomi, kuasa politik orang Melayu tidak akan kekal selama-lamanya. ‘‘Kalau kuasa politik tidak membawa kejayaan kepada ekonomi, satu hari nanti kuasa politik milik orang Melayu akan hilang. Hilang politik kerana tiada ekonomi, sesat politik kerana tiada syariah,’’ kata beliau lagi. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang Melayu agar bermuhasabah, melihat kesilapan yang pernah dilakukan dan meneliti kelemahan yang perlu diperbaiki. ‘‘Kita mesti muhasabah diri. Jangan menyalahkan orang kerana agama mengajar kita untuk bermuhasabah ,’’ jelas beliau.



Dalam hal ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang cukup sinonim dengan istilah “Jihad Ekonomi” dan “Jihad Perniagaan” berpendapat bahawa, usahawan Melayu jika ingin berjaya dalam perniagaan mereka harus kembali kepada akar budaya bangsa dan agama mereka sendiri, iaitu Islam. Usahawan Melayu yang beragama Islam seharusnya mengambil pendekatan Islam dalam urus tadbir korporatnya, barulah perniagaan mereka berjaya dan berkembang. “Untuk membina organisasi yang berjaya, pertama kenali diri kita, masyarakat kita dan latar budaya kita. Rata-rata orang Melayu pada hari ini mengendalikan perniagaan mereka dengan mengikut cara orang Cina berniaga. Tiada salahnya cara demikian, tetapi terikut-ikut dengan cara mereka akhirnya merosakkan organisasi kita sendiri.”



Beliau turut mengambil contoh di JCorp yang dikemudikan dengan acuan semula jadi yang terdapat dalam diri orang Melayu itu sendiri. Umpamanya konsep jemaah yang merupakan ciri Islam dan menitikberatkan soal kepentingan ummah berbanding dengan kepentingan peribadi. Konsep ini diamalkan di JCorp, dengan meletakkan JCorp sebagai hak milik masyarakat dan bukan sebagai hak milik individu, oleh sebab itu setiap pekerjanya akan lebih mementingkan kepentingan bersama dan bukan kepentingan peribadi.



Bagi Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Tuan Syed Ali Alattas pula mendakwa bahawa usahawan Melayu kini di sifatkannya berada dalam keadaan “darurat”. “Bilangan usahawan Melayu kelas menengah dan atas semakin mengecil, tokoh-tokoh perniagaan Melayu yang hebat sekitar tahun 90-an semakin tenggelam dan tinggal legenda sahaja, “ ujar beliau lagi. Bertanyakan bagaimanakah hal ini dapat di atasi, Tuan Syed dengan tegas berkata, “Pihak yang berwajib harus melakukan sesuatu, peranan MeCD, MARA, PUNB, GLC dan MITI perlu disemak kembali bagi memantapkan usahawan Melayu. Dan agensi-agensi ini jangan merangka dan melaksanakan dasar “ikut suka”, khususnya yang melibatkan usahawan Melayu”.



Daripada dua pandangan tokoh korporat tersebut, jelas bahawa terdapat dua elemen penting yang membantutkan usahawan Melayu mencipta kejayaan dalam perniagaan. Pertama, sikap dan cara pemikiran usahawan Melayu terhadap dunia perniagaan itu ada yang tidak kena dan perlu diperbetulkan. Kedua, peranan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan dan perniagaan di Malaysia harus disemak semula, sama ada benar-benar telah mencapai objektif dan matlamat penubuhannya. Kedua-dua faktor ini, merupakan perkara asas dalam membangunkan usahawan Melayu yang benar-benar berdaya saing dan mampu membangunkan ekonomi negara.



Walau bagaimana pun, sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970, kedudukan ekonomi orang Melayu semakin baik. Hal ini sama sekali tidak dinafikan oleh Tuan Syed, menurut beliau, “Perkara ini dapat dilihat melalui hak milik bumiputera yang hanya 2.4 peratus pada tahun 1970, telah meningkat kepada 18.7 peratus pada tahun 2002. Hak milik individu dan institusi meningkat daripada 1.6 peratus pada tahun 1970 kepada 17.6 peratus pada tahun 2002. di samping itu juga, kita tidak dapat nafikan juga bahawa hak milik bukan bumiputera turut meningkat daripada 32.2 peratus pada tahun 1970 kepada 43.3 peratus pada tahun 2002. Sementara itu, hak milik warganegara asing menurun daripada 63.3 peratus pada tahun 1970 kepada 28.9 peratus pada tahun 2002.”



Dari aspek sikap dan mentaliti usahawan Melayu yang dikatakan, ingin cepat kaya, mudah putus asa dan budaya kerja yang lemah mungkin ada benarnya. Menurut bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Tun Dr. Lim Keng Yaik, “Usahawan Cina boleh berjaya dalam perniagaan adalah kerana bangsa Cina, bangsa yang rajin bekerja dan tidak boleh ditekan atau dipaksa. Jika mereka ditekan atau dipaksa, mereka akan lebih kuat bekerja. Sikap ini sudah sebati dalam budaya kerja mereka turun temurun.”



Menyentuh bagaimanakah mewujudkan usahawan Melayu yang berjaya dalam perniagaan, Lim Keng Yaik berkata, “Jika bangsa Melayu ingin berjaya dan cemerlang dalam bidang ekonomi dan perniagaan, mereka perlu mewujudkan sebuah Komuniti Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera yang mana, komuniti tersebut memiliki budaya kerja yang diperlukan, dan budaya kerja yang baik adalah berasaskan pada sistem pendidikan yang baik juga. Kita perlu bertanya, adakah sistem pendidikan yang disediakan untuk anak-anak kita pada hari ini menitik beratkan budaya persaingan, atau sebaliknya? Kalau ini masih tidak lagi disediakan, saya ingat sampai mati pun kita tidak akan berjaya mewujudkan peniaga-peniaga yang berdikari, malah akan terus bergantung pada kerajaan.”



Bertitik tolak daripada itu, siri khas yang bermula pada kali ini, akan membincangkan cara dan kaedah terbaik untuk usahawan Melayu berjaya dalam perniagaan dan ekonomi. Malah, laporan ini juga akan menjawab persoalan asas yang menjadi polemik dalam dunia perniagaan Melayu selama ini, apakah benar orang Melayu tidak boleh berjaya dalam perniagaan dan ekonomi? Apakah benar usahawan Melayu tidak tahu berniaga dan mengurus? atau pernyataan tersebut sekadar mitos untuk melemahkan generasi Melayu yang akan datang? Ikuti sambungan laporan khas ini dalam siri yang akan datang.



Gambar : Penulis sedang diwawancara oleh sekumpulan pelajar dari UiTM, berkenaan tentang DEB dan ekonomi orang Melayu. Penulis juga memohon maaf kerana sudah agak lama tidak mengemaskini blog ini, kerana terdapat sedikit masalah politik dalaman di tempat kerja penulis.

Comments

Pok Li said…
Saudara Azli saya bersetuju dengan kenyataan bahawa; Pertama, sikap dan cara pemikiran usahawan Melayu terhadap dunia perniagaan itu ada yang tidak kena dan perlu diperbetulkan. Kedua, peranan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan dan perniagaan di Malaysia harus disemak semula, sama ada benar-benar telah mencapai objektif dan matlamat penubuhannya. Kedua-dua faktor ini, merupakan perkara asas dalam membangunkan usahawan Melayu yang benar-benar berdaya saing dan mampu membangunkan ekonomi negara.... Ketiganya ialah sikap orang Melayu sendiri dalam membantu perniagaan orang Melayu. Kita masih lagi terdengar ungkapan kurang percaya kepada kebolehan perkhidmatan dan perniagaan orang Melayu. Mereka tidak menyokong terus menerus seperti bangsa Yahudi dan kaum Cina. Pengukuhan perniagaan orang Melayu harus timbul dari sikap dan kesedaran orang Melayu sendiri. Kedai Cina boleh hidup dalam masyarakat Melayu. Kedai Melayu belum tentu teguh dalam masyarakatnya sendiri.
Anonymous said…
Assalamualaikum ya akhi,

Yang paling menarik adalah kenyataan akhir saudara, 'masalah politik dalaman di tempat kerja'.
Lain bunyinya. Harap dapat dirungkaikan permasalahan itu dan diselesaikan dengan penuh kesabaran.

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca.
RAHISAM RAMLI said…
Salam Saudara Azli-Saya tertarik dengan keluaran DE bulan ni kerana menyentuh mengenai usahawan muda.

Dan ketika ini juga saya sedang bekerjasama dengan seorang usahawan muda melalui PUNB.

Disebalik kelemahan kita, yang sedang meningkat naik perlulah kita terus sokong dan bantu.
Walau apapun masalah politik dalaman, usahawan muda jangan dilupakan.
hans said…
yups
masalah kadang2 berpunca dari orang melayu yg terdiri dari usahawan itu sendiri atau masalah politik dalaman..
betul2....
apa2pun mahu 1000 jalan taknak 1000 dalih..
selamat menyambut ari raya aidiladha

p/s: wat korban ke tahun nih?
Nasionalis said…
blog ini sudah disebaraikan. maaf lambat sekali menyenaraikan. tajuk tulisan terkini saudara tidak dapat di pickup oleh bloglist. harap letakkan tajuk dalam kotak atas dan bukan bersama text.
Syuk said…
saudara azli, anda mempunyai blog yg ditulis dgn baik sekali...
syabas...
sy nak sambung bc blog saudara nie... he2
Anonymous said…
Saudara Azli,
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Anda antara pemuda Melayu yang berwawasan, memang tak menghairankan kalau ada orang yang teringin sangat menjahanamkan karier saudara. Bersabarlah... Kata pepatah Melayu hanya jauhari yang mengenal manikam, hanya orang yang 'pandai' akan menghargai bakat saudara.
Politik di tempat kerja hanyalah sebahagian daripada agenda mematangkan saudara dalam mengharungi liku-liku hidup yang lebih jauh lagi.
Apa pun, saya sentiasa mendoakan kejayaan anda!
azlishukri said…
pok li - saya sangat setuju dengan saudara pok li..inilah masalah byang kita hadapi..

kapt - memang benar saya menghadapi politik tempat kerja yang 'agak' mengecewakan...tetapi saya teringat akan ayat Allah "janganlah kamu berputus asa daripada rahmatKu"..maka saya harus tabah menerima ujian ini..

Rahisam - saudara merupakan salah satu penulis DE yang sangat saya kagumi..

hans - saya buat korban tapi tidak sampai seekor.

Nasionalis - nanti saya akan betulkan. terima kasih kerana mengingati.

boysepang - saya juga akan link blog saudara.

Anonymous - saya harap doa saudara semua..moga Allah meredhai perjuangan saya.
lieliq said…
selamat hari raya aidiladha....
Artozy said…
li, apa khabar. macam biasa, hidup sikit kepala hotak baca tulisan-tulisan kau (sebab selalu-selalunya di awang-awang ja' hahaha)
Budak Kampung said…
Saudara Azli, kata2 akhir itu menampakkan 2 perkara

1. Saudara seolah2 sedang ditekan
2. Ada pendengki di bahagian saudara, yang tidak gemar melihat saudara lebih baik daripada orang lain.


Kita bekerja ditempat yang sama, saya harap saudara berterus terang, apakah saudara masih menjadi editor majalah Dewan Ekonomi?
AhmadRazinHjYob said…
Salam,

Bangsa Melayu mesti keluar dari mimpi dan angan angan. Kita sedang dihimpit dari setiap segi akibat sikap murah hati dan lembut kepada orang lain. Maka seharusnya kita punyai semangat dan iltizam untuk mempertahankan Tanah Melayu ini dari sebarang anasir dan provokasi orang lain yang menganggap kita sebagai satu bangsa yang lemah dan mudah menyerah kalah..
Anonymous said…
Sikap dan pemikiran itu penting selain politik dalaman. Rakyat Amerika begitu bangga apabila dapat menikmati hasil kejayaan drp usaha sendiri dan menerima sesuatu dengan percuma merupakan sesuatu yang memalukan. Rakyat Jepun begitu menghormati kerja dan syarikat mereka. Kita pula kurang berdaya saing dan mudah berundur apabila menghadapi kesusahan. Belum lemas kita telah terkial-kial minta tolong. Minda tewas sebelum bertarung harus dikikis.
Pemuda Membakut said…
salam saudara,
satu post yang baik.. ini adalah salah satu kelemahan orang kita yang amat nyata... keep it up...

p/s; hahahah ada masalah politik dalaman rupenya hehehehehe patutlah lama tak update blog... cheers
azlishukri said…
artozy - jangan ko pergi awang-awangan sudahlah...

Budak kampung : saudara akan tahu juga akhirnya nanti..
Hope said…
Saya rasa perkara pertama sekali yang perlu diperbetulkan ialah mentaliti yang ada dikalangan orang Melayu. Saya rasa orang Melayu terlalu 'dimanjakan', di spoon-feed oleh kerajaan bertahun-tahun lamanya sehingga menyebabkan kebanyakkan mereka menjadi terlalu bergantung kepada orang lain, to them, there is always something to fall back on, and akan sentiasa ada orang yang akan membantu mereka.

On top of that, hak keistimewaan orang Melayu pada saya adalah something yang perlu dipertimbangkan semula supaya orang Melayu boleh bersaing secara sihat dengan bangsa yang lain. Dan mereka perlu sedar that mereka perlu memperbaiki diri dan bukan hanya berharap pada kuota bumiputera dari kerajaan.

Saya bukan menentang hak keistimewaan orang Melayu, malah saya setuju orang Melayu patut diberi hak keistimewaan, tetapi ia perlu dikaji semula supaya tidak memberi kesan negatif kepada mentaliti masyarakat Melayu.

Of course this is not the only reason kenapa orang melayu tidak berjaya dalam perniagaan, tetapi mentaliti dan cara pemikiran is the core problem.
Adakah Melayu masih mudah lupa?
Anonymous said…
Assalamualaikum Dan Salam Hormat.

POLITIK KOTOR DAN JIJIK SESEKALI MENJAHANAMKAN ORANG TIDAK BERDOSA.


Daripada maklumat yang saya perolehi, ada cubaan menjatuhkan Saudara Azli, hal ini kerana faktor dengki staf-staf lama di Bahagiannya. Saya sedang mengikuti perkembangan ini dan mendedahkan dalam masa terdekat. Saya mengetahui politik dalaman yang menimpa saudara Azli pada minggu lepas sebelum aidiladha, melalui seorang pegawai kanan di DBP.

Percayalah, bukan sahaja usahawan Melayu Mencari Jalan Pulang, tetapi beberapa kerat pegawai lama yang dengki dengan pegawai baru akan menemui jalan pulang mereka.

Dato Adil
Bangsar, KL.
Hasrina Baharum said…
Benih yang baik, campak ke laut jadi pulau; terdampar di darat subur menghijau! Nikmati resah dalam tenang, pasti bahagia akan jelang.
Anonymous said…
Sdr Azli,
Tuhan sediakan rezeki untuk mereka yang berusaha. Kalau DBP tak ada tempat bagi saudara, saya yakin rezeki saudara lebih murah di tempat lain.
Akhir-akhir ini, DBP memang amalkan dasar mencantas bakat, takut ada orang muda yang menonjol sebab yang tua-tua tu tak tonjol-tonjol lagi.
Kalau inilah sikap pentadbir DBP, memang DBP tak akan relevan lagi da...
Semoga mereka yang berkuasa cepat sedar... Amin
Cheguman said…
Assalamualaikum,
Tahniah. Satu tulisan yang baik dan saya tidak mahu lagi menyentuh tentang komponan asas yang perlu ada dalam memajukan perniagaan seperti ilmu dan kemampuan untuk bersaing. Dan saya juga merasa tidak perlu mengulas pandangan saudara yang saya rasa sudah cukup molek.

Bagi saya kita perlu realistik dalam memajukan ekonomi ummah. Allah taala tidak menjadikan manusia ini satu aras/darjat sahaja. Namun Allah taala tidak pula menentukan siapa yang harus berada di satu-satu aras/darjat itu.

Maksud saya, dalam sesebuah negara pasti ada golongan di atas, pertengahan, dan bawahan. Menafikan hakikat ini hanya akan memenatkan kita dalam mencari penyelesaian terbaik. Bukankah dalam harta si kaya itu ada hak si miskin? Konsep sedekah dan zakat adalah isyarat daripada Tuhan betapa manusia tidak akan menjadi samarata sampai bila-bila. Malah ianya menjadi satu alat ujian untuk manusia yang mahu berfikir dan bertaqwa.

Justeru kita perlu bergerak dalam dua strategi. Pertama, memantapkan golongan yang berpotensi untuk memimpin perniagaan dan kedua menyediakan ruang yang sesuai bagi menjamin pendapatan yang lebih baik untuk golongan pekerja.

Jika strategi yang saya kemukakan ini diperhalusi, kita mungkin hanya membuang masa kerana ianya telahpun diusahakan oleh kerajaan melalui GLC.

Jika demikian, di manakah silapnya GLC?

Konsep wakaf memang baik namun saya lihat kita belum begitu berjaya dalam menguruskan koperasi yang juga ‘tidak berpaksi kepada pemilikan individu’. Mungkin konsep wakaf lebih luas dan berupaya menyelesaikan masalah yang tidak mampu ditangani oleh koperasi. Cuma secara peribadi saya perlukan lebih penjelasan mengenai konsep wakaf tersebut dan bagaimana ia dilaksanakan.

Berbalik kepada pendapat awal saya tadi, saya masih berkeyakinan bahawa GLC sebenarnya masih satu kaedah yang baik. Kemudian saudara Azli memaparkan usaha mengetengahkan konsep wakaf yang membuka ruang yang lebih luas dan tidak mengutamakan pemilikan individu.

Dalam konsep GLC, rangsangan yang digunakan ialah ganjaran kemewahan untuk para pemimpin GLC. Cara ini tiada bezanya dengan kapitalis yakni wang menjadi motivasi utama bagi menggerakkan kejayaan.

Sebaliknya saya melihat konsep wakaf mengutamakan iman dan taqwa sebagai benteng utama serta keredhaan Ilahi sebagai pendorong. Maka konsep ini memerlukan keempat-empat ‘Q’ disepadukan bagi melahirkan modal insan yang berkesan. ‘Q’ pada maksud saya ialah intelek, emosi, jasmani, dan rohani.

Saya tidak ingin memanjangkan tulisan saya ini namun saya harap perbincangan ini akan menjadi permulaan yang baik bagi mencari jalan untuk membaiki ekonomi orang Melayu dan seterusnya memberi kestabilan pada negara kita. Saya katakan demikian kerana selagi kita melihat masalah hari ini hanya akan selesai apabila masalah ekonomi diselesaikan,, maka kita sebenarnya silap. Masalah ekonomi hanya akan selesai apabila semua masalah lain seperti intelek, jasmani, emosi, dan rohani diselesaikan terlebih dahulu.

Wallahu’alam.
azlishukri said…
kepada semua bloggers yang memberi dorongan dan semangat saya ucapkan ribuan terima kasih..
Politik yang bagaimana sedang terjadi di tempat kerja?

Politik cantas-mencantas? Politik menabur fitnah?
azlishukri said…
nadzri - politik ditempat kerja bermaksud hasad dengki dan iri hati serta suka kipas orang atas

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

Lagi Kisah Siti Nurhaliza : Mana Perginya Produk CTea?

Lagi Kisah Siti Nurhaliza Mana Perginya Produk CTea? Oleh Satu Hala (Malaysia Instinct) Inilah antara benda-benda yang buat sakit hati dengan orang kaya Melayu ni. Datuk K sanggup perabis RM66,550 untuk beli nombor plate KCT 1 untuk isteri tercinta, Datuk Siti Nurhaliza. Kononnya cintan maut habislah tu kan. Tak tahulah kot-kot Rozita Che Wan yang dulu orang kata dapat Mercedes dari Datuk K (lepas dah kahwin dengan Siti) pun akan dapat nombor plate yang sama. Gasaklah hal Rozita Che Wan tu. Yang penulis tertarik nak tulis ialah sikap orang macam Datuk K dan Siti Nurhaliza. Parasit adalah perkataan paling tepat. Tahu tak Siti Nurhaliza adalah pemohon pinjaman Tekun untuk bisnes barang solek Simply Siti. Kalau tak percaya, pergilah cek dengan Tekun. Pasti nama Siti akan terpacul. Sakit hati betul penulis dengan orang-orang macam ini. Dah tahu duit banyak, gunalah duit sendiri untuk berniaga, tak pun pinjamlah bank. Gi pinjam dengan Tekun tu buat apa? Mentanglah bayar

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil