Skip to main content

Sesat Di Hujung Masa

KETIKA bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor mengutarakan kebimbangannya mengenai agama baru yang sedang berkembang atas asas hak kebebasan individu, banyak pihak memandang sepi kecualilah seorang daripada penyokong pembangkang menulis dengan nada marah mengecamnya dengan sebuah hipotesis sebagai perangkap politik untuk menutupi perjuangan membangunkan demokrasi dalam politik Malaysia.

Belum pun sampai sebulan culaan itu dibuat, kini semakin terdedah bahawa apa yang dimaksudkan oleh Rahim mula membuktikan gema perjuangan untuk Malaysia menerima kedudukan sekumpulan pejuang kebebasan hak asasi yang mendesak agar "komuniti mereka" tidak dipandang serong sebagai "komuniti yang bermasalah" kerana mereka juga mempunyai hak sebagai warganegara.

Tuntutan mereka itu sebenarnya bukan sahaja boleh dilihat melampau kerana mahu mendapat pengiktirafan, ia adalah satu bentuk perjuangan yang boleh meruntuhkan nilai-nilai budaya, moral dan agama masyarakat Malaysia yang masih terus bergelut dengan percaturan pelbagai fahaman yang tidak masuk akal.

Arus gerakan 'komuniti songsang' yang dikenali sebagai pengkid, lesbian, gay dan homoseksual itu sebenarnya mendapat nafas baru apabila pada 17 Jun 2011 Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Hak Asasi telah meluluskan resolusi mengiktiraf kedudukan mereka dalam konteks orientasi seksual, kesamarataan gender dan perkahwinan sejenis.

PBB melihat 'komuniti songsang' atau lesbian, biseksual, gay dan transeksual (LBGT) sebagai kelompok yang semakin berpengaruh kerana mereka sudah berjaya mendapat ruang kebebasan di banyak negara Eropah dan sebahagian besar negeri di Amerika Syarikat.

Kelompok LBGT yang berusaha mempromosikan perjuangan mereka telah berjaya membentuk persepsi baru bahawa apa yang berkaitan dengan kehidupan mereka bukan lagi sesuatu yang jijik dan tidak bermoral, ia adalah satu budaya yang perlu dihormati.

Asas perjuangan untuk mengiktiraf LBGT mendapat kekuatan moral apabila Belanda dan Perancis membawanya untuk dibahaskan dalam platform Majlis Hak Asasi PBB bagi menebus dosa silamnya yang pernah menghukum dengan kejam pengamal-pengamalnya sebelum meletusnya Revolusi Perancis.

Dalam kes perjuangan 'komuniti songsang' senarionya menjadi semakin jelas apabila UNHCR menyifatkan undang-undang Tasmania (pulau di selatan Australia) menilai homoseksual sebagai satu bentuk diskriminasi dan bertentangan dengan International Covenant on Civil dan Political Rights (ICCPR) berdasarkan Perkara 2,17 dan 26. Akhirnya, Tasmania terpaksa memansuhkan undang-undang tersebut dan mematuhi ICCPR yang ditandatanganinya.

Di Malaysia, akhir-akhir ini corak kehidupan pengamal seks bebas ini sudah berubah sehingga menjadi satu tuntutan yang lebih bersifat mendesak, termasuk menganjurkan perhimpunan terbuka untuk menuntut perubahan undang-undang sebagaimana telah berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sebagai warganegara, mereka mempunyai hak untuk hidup berasaskan pilihan mereka sendiri, dan undang-undang tidak sepatutnya menyekat kebebasan tersebut. Atas prinsip kebebasan, mereka juga berhak untuk hidup sebagai pasangan yang sah kerana perkahwinan bagi mereka bukan lagi terhad antara lelaki dan wanita.

Mereka menggunakan definisi perkahwinan sebagai perkongsian antara pasangan atas prinsip kerelaan dan pasangan itu pula boleh dalam bentuk sesama jantina. Matlamat perkahwinan sebagai mengembangkan institusi keluarga tidak lagi boleh diterima kerana mempunyai anak atau zuriat juga adalah pilihan.

Bagi mereka, matlamat utama ialah memenuhi naluri seks, kerana seks dengan pasangan kelainan jantina adalah sesuatu yang menakutkan apabila trauma kehidupan silamnya tidak dapat dipadamkan.

Sebenarnya, langkah memperjuangkan kebebasan individu itu adalah suatu prinsip penebusan dosa moral masyarakat Barat yang ditindas oleh elit agama dan ini sebenarnya tidak berlaku dalam Islam. Masyarakat Barat memberikan kelonggaran dan kebenaran 'komuniti songsang' itu sebagai usaha untuk menebus dosa silam sebagaimana mereka melakukan tindakan yang sama kepada masyarakat Yahudi.

Atas kecenderungan baru di Eropah menghadapi penghijrahan masyarakat Islam setelah berpecahnya Kesatuan Republik Sosialis Rusia, banyak negara telah meletakkan syarat hanya boleh menerima mereka yang mengamalkan budaya LBGT dalam kalangan Muslim, maka perkembangan itu mula dikaitkan dengan sikap sebenar negara-negara Barat.

Barat menganggap dengan membenarkan kemasukan pasangan Islam ke negara mereka, ia bukan sahaja akan menambahkan bilangan penganut Islam, bahkan akan mempengaruhi struktur demografi berasaskan agama.

Mempromosikan kebebasan asasi menerusi budaya LBGT itu sebenarnya satu strategi Barat untuk melumpuhkan Islam dan seterusnya menebus dosa-dosa silam elit gereja. Sebab itulah di Barat, LBGT bukan lagi satu isu. Tetapi, dalam masa yang sama kepura-puraan Barat terus berlaku, kerana masyarakat awam tetap tidak boleh menerima pemimpin politik mereka mengamalkan budaya tersebut.

Malaysia terus mempertahankan bahawa budaya LBGT adalah salah dalam apa aspek sekalipun. Undang-undang yang sedia ada akan menghukum pelakunya sebagaimana terkandung dalam seksyen 377A, 377C dan 377D, Kanun Kesiksaan; dan perkahwinan yang sah dalam Seksyen 69 Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Pembubaran Perkahwinan) 1976 adalah antara lelaki dan wanita, bukannya sesama jenis.

Islam tidak boleh menerima LBGT dan tidak akan bertoleransi dengan tuntutan 'komuniti songsang' kerana budaya itu adalah satu bentuk kemungkaran.

Meskipun Malaysia merupakan anggota PBB, tidak bermakna Malaysia harus meminda undang-undang berkenaan hal itu bagi menyesuaikan keputusan tersebut. Malaysia mempunyai kebebasannya sendiri untuk menentukan rupa bentuk masyarakatnya tanpa perlu menodai sekatan-sekatan yang terdapat dalam agama, kerana hak asasi itu bukanlah tiket kebebasan tanpa batas.

Kepada golongan ini ruang untuk kembali ke pangkal jalan masih luas dan hayati firmannya yang bermaksud: Barang siapa di dunia ini buta (gelap) maka di akhirat kelak juga buta, dan akan lebih sesat jalan lagi. (Maksud al-Quran Surah Al-Isra ayat 72)

Comments

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca ...

Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan. 2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jaw...

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil...