Skip to main content

Akhirnya Terbentuk Sudahlah Negara Berkebajikan Yang Kita Idam-Idamkan..

Alhamdulillah, setelah selesai Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2012, Jumaat lalu - maka secara rasminya sudah sempurna dan terbentuklah sebuah negara Berkebajikan yang diidam-idamkan oleh setiap rakyat Malaysia selama ini. Hal ini sekalu gus, menjadikan perjuangan Pakatan Rakyat tidak lagi relevan dan berguna. Dengan pemansuhan ISA dan penambahbaikan sistem Pilihan Raya melalui Jawatankuasa Khas Parlimen yang ditubuhkan oleh DS Najib, maka sayugia diumumkan bahawa negara Berkebajikan yang dilaung-laungkan oleh PAS, sudah pun terbentuk dengan nyata dan bukan lagi melalui ilusi dan fantasi Anwar Ibrahim atau Nik Aziz.

Oleh kerana negara Berkebajikan sudah pun terbentuk, maka tiada lagi isu yang boleh dipolitikkan oleh Pakatan Rakyat - bahkan isu yang wajib diberi perhatian oleh rakyat pada masa kini adalah isu liwat yang membabitkan moral Ketua Pembangkan, Anwar Ibrahim yang tidak selesai-selesai hampir 4 tahun. Kebenaran perlu ditegakkan, walau pun pahit ungtuk ditelan oleh para penyokong ta'asub Anwar Ibrahim. Baca rencana di bawah tulisan IZHAM YUSOFF, Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

BELANJAWAN 2012 JELAS menampakkan kesungguhan kerajaan untuk mengimbangi kebajikan rakyat dan kelestarian ekonomi negara. Walaupun ramai yang mengharapkan atau pun masih ada yang menganggap belanjawan tersebut adalah belanjawan pilihanraya, tanggapan itu sama sekali meleset.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan satu belanjawan yang jelas mengimbangi keperluan untuk membantu meringankan beban kehidupan masyarakat dalam menangani masalah kenaikan kos kehidupan samada di bandar mahupun di desa.

Dalam masa yang sama pihak kerajaan masih berjaya mengurangkan defisit belanjawan daripada 5.4 peratus KDNK pada tahun 2011 kepada 4.7 peratus KDNK bagi tahun 2012. Pengurangan defisit belanjawan mencerminkan kejituan hasrat kerajaan untuk menyediakan belanjawan yang berhemah.

Walaupun ramai pihak mungkin mengatakan bahawa Belanjawan 2012 ada unsur-unsur populis, namun begitu apa yang jelas adalah pihak kerajaan telah mengekalkan disiplin fiskal bagi mengurangkan defisit belanjawan dari masa ke semasa. Ini jelas mencerminkan kebijaksanaan pihak kerajaan mengimbang keperluan semasa dan masa depan ekonomi negara.

Belanjawan kali ini memberikan tumpuan kepada lima tunjang utama iaitu:

Meligat pelaburan; mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus

Inovasi, program transformasi luar bandar dan memperkejap perkhidmatan

Awam dan meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat. Kalau dibandingkan dengan Belanjawan 2011, jelas sekali Belanjawan 2012 adalah menyambung usaha yang telah dimulakan pada tahun 2011. Perbezaan yang ketara bagi Belanjawan 2012 adalah penekanan khusus kepada transformasi luar bandar.

Program transformasi luar bandar adalah satu inisiatif yang penting bagi mengoptimumkan potensi luar bandar sebagai penjana pertumbuhan ekonomi baru. Sehingga kini kebanyakan aktiviti ekonomi berpusat di Lembah Klang ataupun di Pulau Pinang dan Johor. Melalui program RTC, beberapa pusat transformasi luar bandar yang bertindak sebagai pusat integrasi logistik, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian dan berbagai aktiviti sokongan seperti perbankan dan insurans, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga, akan dibuka.

Untuk menggalakkan usahawan untuk berniaga di luar bandar, dana sejumlah RM100 juta akan disalurkan kepada golongan professional yang ingin menawarkan perkhidmatan guaman, perakaunan dan klinik di pekan pekan kecil seluruh negara. Peruntukan ini dapat membantu pembentukan RTC di seluruh negara. Tanpa kehadiran perkhidmatan professional di RTC, peniaga, penternak dan usahawan tani masih lagi perlu melanggan perkhidmatan tersebut di Bandar yang berdekatan.

Disamping meneruskan agenda kerajaan untuk membangunkan infrastruktur asas di luar bandar seperti menyediakan jalan, bekalan air dan elektrik, apa yang menarik bagi Belanjawan 2012 adalah usaha untuk membawa perkhidmatan perbankan ke luar bandar. Ianya akan dibangunkan oleh sebuah syarikat GLC - BSN, di mana agen akan dilantik di kawasan luar bandar untuk menyediakan perkhidmatannya.

Turut menerima perhatian adalah pengusaha bas di luar bandar. Bagi membantu pengusaha bas berhenti henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaikpulih bas.

Penekanan

Perkhidmatan Awam turut diberikan penekanan didalam Belanjawan 2012, di mana Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam [SSPA] akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia [SSM] di mana struktur gaji penjawat awam akan diperbaiki.

Pihak kerajaan juga turut bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi memberi peluang mereka yang masih berkemampuan untuk memberikan sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Penjawat awam juga disediakan kemudahan untuk meningkatkan kelulusan akademik melalui program bantuan yuran pengajian. Belanjawan 2012 menyediakan bantuan yuran pengajian sebanyak RM200 juta bagi penjawat awam untuk mengikuti program latihan di peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran falsafah.

Dalam usaha kerajaan menangani kesan inflasi yang melanda negara, berbagai langkah telah diambil termasuklah pemberian subsidi untuk berbagai barangan harian. Disamping itu pihak kerajaan telah mengadakan berbagai program untuk membantu pengusaha pertanian dengan skim pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi.

Bagi golongan sederhana terutamanya di sekitar Lembah Kelang, keperluan mendapatkan rumah pada harga yang berpatutan amatlah sukar ditangani.

Untuk tujuan tersebut, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia [PR1MA]. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menaikkan had maksimum harga rumah yang layak untuk mengikuti Skim Rumah Pertamaku daripada RM200,000 kepada RM 400,000. Kedua-dua inisiatif ini jelas menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan untuk membantu golongan sederhana untuk memiliki rumah pada harga yang berpatutan dan pada kadar kos kewangan yang tidak membebankan.

Keprihatinan pihak kerajaan untuk meringgankan beban perbelanjaan harian di kalangan masyarakat berpendapatan rendah dapat dilihat melalui usaha memberi bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah [household] yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Bantuan ini bakal memberi manfaat kepada lebih dari pada separuh daripada bilangan isi rumah di Malaysia.

Disamping itu, bantuan sebanyak RM100 turut disalurkan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dan menengah di seluruh negara.

Bagi pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, matrikulasi dan tingkatan enam pula, mereka layak untuk menerima baucar buku bernilai RM200.

Berbagai andaian telah dibuat tentang Belanjawan 2012 ini. Ada yang ingin melihat cukai pendapatan dikurangkan bagi korporat dan persendirian malahan ada yang ingin melihat cukai bagi sesetengah barangan seperti rokok dan arak dinaikkan bagi mengurangkan beban kewangan negara. Sudah tentu pihak kerajaan mempunyai sebab musabab mengapa isu isu tersebut tidak disentuh didalam Belanjawan 2012.

Progresif

Pihak kerajaan kebelakangan ini telah mengambil langkah yang lebih progresif dalam mengurus keadaan ekonomi dan tidak segan untuk mengambil langkah yang berani untuk menangani keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan juga pasaran harga komoditi utama dunia.

Oleh itu sebarang kenaikan harga barangan atau cukai keatas barangan tersebut tidak lagi perlu disertakan didalam pembentangan belanjawan negara.

Telahan saya adalah pihak kerajaan ingin menentukan supaya Belanjawan 2012 dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat dan di mana jua mereka berada. Banyak golongan yang tidak diberikan perhatian didalam peruntukan kerajaan telah mula mendapat pembelaan. Sebagai contoh, golongan belia yang merupakan generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan ke arah negara maju telah diberikan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi menjalankan berbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri.

Rintihan para pemandu teksi juga telah diambil kira oleh pihak kerajaan bagi Belanjawan 2012 kerana pemilik teksi bajet persendirian akan dikecualikan 100 peratus duti eksais dan jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, pemansuhan cukai jalan dan pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman pembelian teksi baru buatan tempatan.

Begitu juga dengan nasib para nelayan, yang kebanyakan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukkan RM300 juta akan membantu untuk membaik pulih rumah mereka dan dilengkapi dengan infrastruktur asas.

Belanjawan 2012 menitikberatkan taburan nikmat kekayaan negara kepada semua pihak memandangkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar bagi kebanyakan keluarga di bandar dan luar bandar. Pemansuhan bayaran sekolah rendah menengah yang bakal melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM150 juta juga menjurus kepada memberikan bantuan secara terus kepada semua isi rumah di serata pelosok negara.

Belanjawan 2012 adalah bertepatan dengan tema yang dipilih yakni, Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara amatlah jelas perhatian yang diberikan supaya pembelaan diberikan kepada semua lapisan masyarakat samada di bandar mahupun desa, di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, Orang Asli mahupun bekas wirawan dan wirawati negara, golongan belia mahupun golongan warga emas, pengusaha teksi mahupun nelayan, polis, tentera mahupun guru. Semuanya akan menerima sumbangan dari belanjawan.

Oleh itu adalah menjadi tanggung jawab mereka yang menerima manfaat dari Belanjawan 2012 yang merangkumi semua rakyat Malaysia untuk bersama sama membantu kerajaan melaksanakan berbagai program di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional menuju destinasi - negara maju pada tahun 2020.

Comments

Anonymous said…
Bagi fish kat rakyat memang itu kebajikan, tapi mana fishing tool n method utk kenyang dlm jangka masa panjang. Mana capital injection utk cushioning economics effect dan defisit. Dan, mana iltizam kuat utk membenteras ketirisan habis-habisan, dan juga keborosan.
Faizal Tajudin said…
Bajet yang realistik.. apa pun pelaksanaan dan pematuhannya juga penting untuk kita sama2 lihat nanti..

Fishing tool n method tu rasanya memang dah sedia ada untuk rakyat.. cuma masih tidak cukup berani di"pegang" oleh rakyat sasar.. Mungkin di masa depan tools tu kena diberikan bersekali dengan fishnya juga ;)

Pilihan Pembaca

6 Asas Penting Mengapa Perhimpunan Bersih Haram Di Sisi Islam

Demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Maksud saya, isu ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk penyokong-penyokong PKR yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran selama ini bagi menjatuhkan kerajaan. Mengapa para ulama membisu? Mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum? Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar? Aneh, dan kadangkala menjadi misteri dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahup

Perniagaan Para Sahabat Nabi Teladan Sepanjang Zaman

BELIAU SEORANG SAHABAT NABI YANG BIJAK. Tergolong dalam kalangan pengumpul al-Quran. Banyak meriwayatkan hadis nabi. Peniaga yang sangat berjaya di Madinah. Keuntungan perniagaannya sehari pernah mencecah 300 dinar (anggaran bersamaan RM360,000). Abu Darda’, sahabat nabi yang hebat berniaga ini berkata, “Yang paling membuatku gembira ialah ketika berdiri di ambang pintu masjid. Setelah itu aku berniaga, sehingga dalam sehari aku mendapat untung 300 dinar, sementara aku tetap mendirikan semua solat di masjid.” Perniagaan adalah tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Mereka yang berjaya menguruskan masanya bersama Tuhan. Konsisten dan berdisplin bersama Allah setiap hari, pasti masanya akan dipenuhi dengan keberkatan dan aktiviti perniagaan yang produktif. Bercita-cita menjadi kaya bukanlah kesalahan di sisi Islam. Yang salah apabila lalai dengan kekayaan. Enggan berzakat dan bersedekah. Kekayaan ‘Abdurrahman ibn ‘Awf dianggarkan mencecah RM 2 bil

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca