Skip to main content

Tuan, Berapa Harga Putrajaya?


Tuan, Berapa Harga Putrajaya?

Oleh Jamhariah Jaafar


1. Rakyat terutama yang pernah menyokong pembangkang sehingga memberi gabungan pakatan pembangkang di empat negeri untuk memerintah, sudah pasti melihat dengan serius gelagat pemimpin parti yang menjulang kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 atas slogan ‘kuasa rakyat’ kerana nyata mereka akhirnya turut menjadi ‘gila kuasa’.

2. Malahan, kelemahan itu turut diakui ramai pemimpin pembangkang termasuk penyokong kuat mereka dan mereka bukan sekadar semakin hilang hala tuju, malahan kritikan dan kutukan rasuah yang hebat dilemparkan kepada parti pemerintah kini berbalik kepada mereka.

3. Dalam tempoh dua tahun saja, semakin ramai pemimpin pembangkang ketiga-tiga parti menunjuk belang masing-masing – ada yang menyalahgunakan kuasa, bertelingkah untuk membuktikan siapa lebih berpengaruh, tidak segan silu mengamal kronisme dan nepotisme, malahan amalan rasuah turut berleluasa.

4. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan saja terus cuba membatalkan kes liwat dan sehingga hari ini tertangguh lebih 20 kali, tapi turut mengheret kesnya ke gelanggang antarabangsa dengan mengguna pengaruh teman lamanya di Washington.

5. Usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore; bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dan bekas Duta AS ke Malaysia, John Mallot mendapat tempelakan seorang penulis, Roy Thinnes yang dengan sinis berkata:

6. “Gore dan Wolfowitz berkelakuan seolah-olah Anwar adalah Nelson Mandela, bukan seorang oportunis.... dan sesumpah (chameleon) yang pakar dalam seni memperdayakan orang.” Thinnes yang menulis mengenai tiga sahabat ini, berkata Anwar, orang yang dipertahan Al Gore bukan saja menyerang Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Najib Razak, bahkan turut mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, yang dianggap lemah kerana tidak cukup lantang mengutuk Israel.

7. Kata penulis ini, Anwar mengutuk kaum Yahudi kerana menguasai segala-galanya termasuk Kerajaan Malaysia sehingga mencetus perasaan tidak puas hati Washington. Tidak cukup dengan gelagat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini yang cuba menggugat keharmonian negara dengan menggunakan pengaruh di gelanggang antarabangsa, partinya sendiri bergolak dengan pergelutan kuasa di kalangan orang kanannya.

8. Setiap orang tahu betapa Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang diketuai PKR kini mengalami pergelutan kuasa serius antara Menteri Besarnya, Datuk Seri Khalid Ibrahim serta orang kanan Anwar, Mohamed Azmin Ali yang menjadi Pengerusi PKR Selangor.

9. Itu belum ditambah kerenah pemimpin PKR lain seperti Datuk Zaid Ibrahim yang ketika ini ‘merajuk’ sehingga tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti November depan.

10. Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor yang baru berusia dua tahun empat bulan ini juga menunjuk tanda ketidaksepakatan antara parti gabungan, di samping berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan isu moral yang serius – membabitkan ketiga-tiga parti gabungannya – PKR, DAP dan PAS.

11. Ramai tersenyum sinis apabila penyokong kuat pakatan pembangkang dalam buruan, Raja Petra Kamarudin, meluahkan kekecewaannya terhadap perangai pemimpin semua parti gabungan ini yang tidak mengambil masa lama untuk melupakan janji mereka kepada rakyat Malaysia.

12. “Seorang pemimpin PAS pernah memberitahu saya: ‘Apa bezanya antara PAS dan UMNO atau pakatan pembangkang dan Barisan Nasional? Rasuah juga wujud dalam parti pembangkang seperti ia berlaku dalam parti pemerintah.

13. “Saya menjawab, mungkin dalam PAS atau PKR, tapi sudah pasti bukan dalam DAP. Pemimpin PAS itu hanya tersenyum dan sekarang saya tahu mengapa,” kata anak raja dalam buruan ini meluahkan kekecewaan di dalam blognya, terhadap isu rasuah yang turut berlaku di kalangan pemimpin DAP.

14. Apa yang pasti, bukan seorang dua penyokong pembangkang membidas pemimpin mereka kerana melupakan rakyat yang memberi kuasa, bahkan semakin ramai kecewa melihat pemimpin yang diharap dapat membuat perubahan kepada landskap politik negara kini leka dan asyik dengan usaha mengejar kehebatan kuasa peribadi masing-masing.

15. Pepatah Inggeris mengenai power corrupt, absolutely power corrupt absolutely nyata berlaku dengan mudah tanpa mengira siapa mereka dan kelakuan ‘gila kuasa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’ pembangkang memang dijangka sejak dari awal.

16. Rata-rata yang menang Pilihan Raya Umum Ke-12 tempoh hari adalah manusia biasa. Tidak ramai yang memiliki kemewahan dan kesenangan hidup seperti Anwar, Azmin atau Zaid. Apa lagi pemimpin PAS sebelum ini ramai sekadar menjadi pendakwah bebas atau orang biasa, yang dalam melaksana operasi parti pun mengharap derma orang ramai.

17. Jadi perkara pertama yang dilakukan sudah pasti untuk mendapat sedikit kekayaan untuk keselesaan hidup masing-masing. Tapi takkan kaum keluarga dan handai taulan hendak dilupakan – maka kekayaan di negeri yang diperintah sudah pasti diagihkan sesama sendiri.

18. Manakala, pemimpin pembangkang yang kaya raya dan mereka yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat pula bagai dirasuk hanya satu impian iaitu merampas Putrajaya walau apapun kosnya.

19. Dalam menggapai impian, mereka sudah pasti akan melakukan apa saja untuk merosakkan imej kerajaan pemerintah hari ini... apa saja sehingga sanggup melihat rakyat pelbagai kaum yang selama ini hidup aman dan damai, diselubungi dengan perasaan saling curiga, tidak puas hati dan membenci antara satu sama lain.

Comments

TAAVEEKUN PERAK said…
salam ziarah sdra,
DR M sedang pukul Anwar.Mmg benar apa yg dikatakan sdra.Kubur panggil Anwar mari dan keamanan Malaysia flying kick Anwar.

Pilihan Pembaca

Daripada Rakyat Kepada Rakyat : Ke mana Mukhriz Selepas Ini?

Daripada Rakyat Kepada Rakyat Kita harus bersyukur - sesungguhnya "Kem Kebenaran" sudah menang. Setidak-tidaknya gandingan Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin sangat sesuai dan mampu meneruskan perjuangan UMNO. Setakat ini, nampaknya kumpulan bersih telah berjaya mewarnai dan menerajui kepimpinan tertinggi UMNO - walaupun saya agak kecewa sedikit dengan kekalahan Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Mukhriz Mahathir. Namun demikian, suara lantang masih wujud di dalam UMNO. Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya setelah bergelar Ketua Wanita UMNO, turut mengucapkan terima kasih beberapa kali kepada Tun Mahathir - kerana banyak menyokongnya dalam dunia politik. Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Najib juga dikatakan sangat rapat dengan Tun Mahathir - ini menandakan, InsyaAllah mungkin banyak idea dan pandangan Tun Mahathir akan didengari selepas ini. Saya ucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Syafie Apdal dan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana berjaya seperti mana...
Kebenaran Tanpa Penghujung Oleh Muhammad Azli Shukri "Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki. Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar a...
KENALI DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Siri Pertama "Saya membesar seperti kanak-kanak lain." Oleh Muhammad Azli Shukri Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi. Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan...