
Oleh: Stevie Ong : Ambiga Sreevanasan, atau wajar digelar wanita besi, atas semangatnya berjuang menentang arus. Beliau mendedikasikan hidupnya untuk memperjuangkan hak asasi manusia. Untuk itu, beliau telah dikritik dan diprovokasi berbagai pihak tetapi beliau berjaya meraih penghormatan dan menerima penghargaan dari berbagai pihak juga.
Atas kesungguhan beliau memperjuangkan pendiriannya, beliau telah menerima anugerah International Women of Courage pada tahun 2009 oleh kerajaan Amerika, dan hanya baru-baru ini, pada 23 September tahun ini, beliau menerima anugerah tertinggi Perancis Chevalier de Legion d’Honneur (Knight of the Legion of Honour) daripada kerajaan Perancis.
Amatlah ironi sekali apabila pihak yang sebelum ini menentangnya iaitu ketika beliau memperjuangkan kemurtadan Lina Joy, juga telah berarak di belakangnya dalam Bersih 2.0. Dan kini, pihak yang sama juga, bersama-sama dengan beberapa pihak lain sekali lagi ‘menggila’ kerananya apabila beliau merasmikan Festival Seksualiti Merdeka.
Apakah kesalahan yang dilakukan Ambiga? Apakah kita semua menyokong hak asasi manusia atau tidak? Jika ya, kenapa ada dwistandard? Kenapa hak sesetengah orang diiktiraf dan sesetengah lagi tidak pula?
Apa salahnya Ambiga merasmi dan menyokong pesta untuk meraikan perbezaan seksualiti?
Ambiga sentiasa konsisten dalam memperjuangkan hak asasi manusia – tidak kira sama ada hak untuk menukar agama, hak untuk berdemonstrasi di jalanan atau hak untuk mempunyai selera seks songsang atau luar tabie.
Pakatan Rakyat, sebagai sebuah parti politik yang meletakkan hak asasi sebagai perjuangan utama wajib menunjukkan sokongan yang nyata terhadap Ambiga dalam isu ini.
Homoseks, lesbian, biseksual bukan lagi perkara ‘taboo’ termasuk di negara-negara konservatif. Telah dilaporkan bahawa hanya semalam, pasangan lesbian pertama telah dinikahkan di Nepal. Negara tersebut baru sahaja mengiktiraf hak kumpulan LGBT dan telah meminda undang-undang untuk mengelak diskriminasi terhadap golongan tersebut. Pasangan tersebut, Courtney Mitchell 41, dan Sarah Welton, 48 dari Denver Colorado telah diraikan dalam adat perkahwinan Hindu di kuil Dakshinkali di selatan Kathmandu.
Malaysia, walaupun begitu pesat membangun, ternyata jauh ke belakang dalam isu-isu hak asasi manusia. Golongan LGBT di Malaysia tidak mungkin mampu memperjuangkan hak mereka tanpa platform politik.
Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat perlu menyatakan pendirian tegas dalam isu ini dan tidak harus takut kehilangan sokongan dari golongan jumud dan terkebelakang. PAS, mungkin menjadi masalah tetapi mereka telah membuktikan yang mereka mampu bertoleransi dan mengalah dalam banyak perkara termasuk dalam hal-ehwal agama Islam, dengan itu bukanlah masalah besar untuk mereka bersikap lebih terbuka terhadap isu LGBT jika DAP dan PKR menangani mereka dengan cara yang betul.
Comments
Blog tuan telah dilink di blog kami.
Mohon link blog MyMassa di blog ini.
http://mymassa.blogspot.com
Terima kasih.