Tetamu Kehormat...

September 30, 2014

Sedikit Pengetahuan tentang Perang di Yaman

Oleh ZIN MAHMUD

Ada dua peperangan sedang berlaku di Yaman. Pertama perang antara Sunnah wal Jamaah dan Syiah. Kedua, perang antara pengganas dan tentera. Di antara Sunnah dan Syiah, maka pihak kerajaan adalah yang Sunnah. Sementara Syiah merupakan golongan pemberontak. Di kalangan pengganas dan tentera pula, kedua-duanya adalah Sunnah. Di pihak pengganas, mereka adalah mujahidin yang menentang kerajaan yang menjadi sekutu Amerika Syarikat. Sementara di pihak kerajaan pula, mereka melihat pengganas itu sebagai mengancam keselamatan negara dan rakyat. 

Tetapi Yaman mempunyai sejarah konflik yang panjang. Dalam sejarah silam, Yaman pula terkenal sebagai negara bertamadun purba yang pernah menjadi wilayah Habsyah semasa zaman sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w. Kemudian di situ jugalah muncul raja terkenal, Abrahah yang menyerang Mekah dan kisahnya diabadikan sebagai pihak yang dimusnahkan oleh burung ababil. Dalam sejarah Islam, Yaman diperintah oleh kerajaan Syiah. Mereka berpegang kepada fahaman mazhab Syiah Zaidiah. Iaitu mazhab Syiah yang paling hampir dengan Sunnah wal Jamaah. 

Pegangan mereka berbeza daripada Syiah yag ada di Iran. Maka sehingga hari ini, terdapat banyak penganut Syiah di bahagian selatan. Di akhir pemerintahan Islam pula, Yaman adalah sebahagian daripada pemerintahan khilafah Uthmaniah. Tetapi selepas kejatuhan Uthmaniah, di sebelah utara menjadi bebas dan dikenali sebagai Yaman Utara dengan ibu negara Sanaa. Sementara di sebelah selatan dikenali sebagai Yaman Selatan dengan kota pelabuhan Aden terletak di dalam penjajahan Britain. Dalam keadaan begini, Yaman Utara lebih konservatif, sementara Yaman Selatan oleh kerana di bawah penjajahan Britain serta mempunyai pelabuhan adalah lebih terbuka dan dipengaruhi oleh idea-idea Barat khususnya fahaman nasionalisme kiri dan sosialisme. Maka tidak hairanlah di sebelah selatan, muncul pergerakan kebangsaan yang berupa pengangkatan senjata menentang penjajahan Britain.

Maka ketika dunia melalui proses pembebasan tanah jajahan, muncul dua Yaman yang berlainan fahaman, malah berperang di antara satu sama lain. Yaman Utara merupakan kerajaan Yaman yang pro-Amerika Syarikat dan bersekutu dengan Arab Saudi. Sementara Yaman Selatan menjadi Republik Demokratik Rakyat Yaman, sebuah negara sosialis, malah boleh dikatakan komunis. Ia bersekutu dengan Mesir pimpinan Presiden Gamal Nasser dan pada satu masa bergabung dengan negara itu serta Syria untuk menjadi Republik Arab Bersatu (UAR), suatu gagasan yang gagal. Tetapi kejatuhan Kesatuan Soviet dan pergerakan komunis keseluruhannya membawa perubahan mendadak kepada Yaman. Kerajaan kiri Yaman Selatan tumbang dan ia digantikan dengan pemerintahan biasa, bermaksud tidaklah bersifat kiri dan pro-komunis.

Dengan kejatuhan kerajaan kiri Yaman Selatan, negara itu menurut jejak langkah Jerman. Jerman yang berpecah kepada Jerman barat dan Jerman Timur telah bersatu. Maka begitulah dengan Yaman. Yaman Utara disatukan dengan Yaman Selatan untuk menjadi satu Yaman, dengan Sanaa di utara sebagai ibu negara. Bermaknanya kuasa berada di tangan bahagian utara. Apabila kuasa berada di sebelah utara, ia bermakna bahawa pihak yang mendominasi ialah di kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bukannya Syiah. Bermakna juga golongan konservatif lebih berpengaruh daripada golongan radikal. Perbezaan ini jugalah akhirnya menghasilkan jurang yang mencetuskan dua peperangan, iaitu antara pihak Sunnah dan Syiah, dan golongan konservatif dan radikal. Tetapi pertembungan antara konservatif dan radikal pula menghasilkan satu aliran yang pemikirannya ultra-konservatif tetapi tindakannya ultra-radikal hingga terkelauar daripada nilai-nilai kemanusiaan. DI sinilah muncul golongan yang bersekutu dengan pergerakan pengganas bunuh diri yang menjadi musuh Amerika Syarikat, iaitu Al-Qaeda. 

Timbul persoalaan mengapakah Yaman muncul sebagai negara yang menjadi pangkalan baru bagi Al-Qaeda selepas Afghanistan? Mudah untuk melihat bahawa Al-Qaeda menjadikan Yaman sebagai pangkalan dari sudut bahawa pemimpinnya Osama bin Laden berasal usul dari negara itu. Tetapi tentunya bukan irtu menjadi penyebab utama. Perlu diingat bahawa pangkalan awal bagi Osama adalah di Sudan. Dia tidak memilih Yaman walaupun tentunya dia mempunyai banyak rangkaian sanak saudara di situ. Mungkin kerana keadaan kerajaan Sanaa dan Khartoum yang berbeza hingga mendorong Osama untuk berada di Sudan dan bukannya Yaman. Setelah ditolak daripada Sudan, barulah Osama berpindah ke Afghanistan dengan mendapat ruang daripada Taliban yang memerintah. Tetapi apabila digempur, tentunya Al-Qaeda perlu mencari tempat lain walaupun ia mempunyai sekutu di Pakistan. Dari segi tempat yang sedang kacau dan boleh dijadikan pangkalan baru Al-Qaeda ialah di Iraq dan Somalia. 

Namun begitu ternyata kedua-dua tempat ini tidak pula muncul sebagai pangkalan baru. Mungkin di Ieaq kehadiran tentera Amerika menyukarkan kehadiran mereka. Sementara Somalia yang mempunyai penduduk yang berminda merdeka mungkin tidak memberi ruang kepada pengganas ini. Justeru apabila disedari bahawa Yaman muncul sebagai tempat baru kumpulan ini, maka ia menimbulkan tanda tanya. Tetapi apa yang Amerika Syarikat mahu lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras Al-Qaeda di Yaman. Kalau di Iraq, mereka mempunyai kedudukan untuk melakukannya. Begitu juga di Pakistan dan Afghanistan. Tetapi Amerika belum begitu menguruskan kehadirannya di Yaman. Maka itulah yang sedang dilakukan dan menjadi medan peperangan bagi kuasa besar itu.

September 29, 2014

Sindiran Pedas Presiden Gerakan kepada Anwar

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong mengucapkan tahniah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana akhirnya cita-cita beliau untuk menyingkirkan pemimpin selepas berpuluh-puluh tahun mencuba akhirnya berjaya dengan tergulingnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Katanya, adalah sesuatu yang amat malang bagi Abdul Khalid kerana memiliki ketua seperti Anwar walaupun khidmatnya sebagai bekas Menteri Besar Selangor diperakui cemerlang tetapi semua itu langsung tidak dipandang Ketua Pembangkang tersebut disebabkan keghairahannya mahu menjatuhkan pemimpin. "Anwar memang tabiatnya suka menjatuhkan pemimpin. Beliau cuba menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berjaya, kemudian Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pula menjadi sasaran pun tidak berjaya tetapi nafsunya tidak pernah padam apabila cuba pula menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak. "Bagaimanapun saya harus mengucapkan tahniah kepada Anwar kerana hasil usaha tanpa mengenal erti jemu untuk menjatuhkan pemimpin akhirnya beliau berjaya, tetapi mangsanya ialah Abdul Khalid sendiri," katanya sinis sewaktu berucap merasmikan Persidangan Gerakan Selangor di sini hari ini.

September 28, 2014

Tiada Lagi Jalan Pintas ke Syurga

Kenyataan anak Nik Aziz ini agak keras, sekali gus membuktikan dakwaan UMNO selama ini bahawa PAS hanyalah kuda tunggangan DAP adalah benar dan tepat. Dalam sejarah tahaluf siyasi PAS, inilah tahaluf siyasi yang paling merugikan PAS. PAS sekadar pernah ditendang keluar oleh BN, manakala S46 dan Hamim pula pernah mengetuk kepala PAS. Tetapi, DAP dan PKR melakukan pengkhianatan terhadap PAS jauh lebih zalim daripada UMNO dan S46 lakukan. Janggut dan serban PAS tidak hanya dijerut dan dibuang, bahkan tengkuk PAS juga telah diikat sehingga PAS tidak mampu berbuat apa-apa..terpekik dan melolonglah dalam muktamar..tetapi tiada makna..yang berkuasa tetap PKR dan DAP. Baca berita di bawah:
 
KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin PAS hari ini mendakwa partinya kini menjadi mangsa buli sekutunya, DAP dan terdapat usaha bagi membakar sentimen penyokong Pakatan Rakyat supaya membenci PAS. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, berkata adalah menjadi satu kerugian besar kepada Pakatan Rakyat andai DAP yang menyokong PKR terus membuli PAS.

"Mungkin susah DAP nak terima. Tapi pada saya, bila PAS tukar angin, PAS marah pada DAP, saat itu DAP akan rugi. DAP akan rugi lama. Mungkin undi Cina dan India akan bertukar. "Mereka jadi cuak dengan DAP. Mereka rakyat yang mahukan keamanan, kebenaran dan setia kawan dalam kehidupan. Itu pandangan saya. DAP akan rugi lama jika PAS marahkan DAP," katanya menerusi entri terbaru dalam laman Fecebooknya yang dimuat naik awal pagi ini.

Nik Abduh mendakwa ada pemimpin DAP yang menyatakan bahawa PAS akan dihukum rakyat berikutan isu Selangor yang sehingga kini masih tidak menentu. Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menempelak sekutunya yang seolah-olah terlalu gembira dan megah bila mendapat kuasa. "Gembira dan megah sangat bila sudah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli sudah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu," katanya. Biarpun PAS sentiasa dibuli, katanya, parti itu tetap berjaya dalam hidupnya serta memenangi banyak pilihan raya dan memerintah beberapa negeri. Beliau menjelaskan PAS juga parti yang tidak akan terkubur kerana nyawa dan ideologinya adalah Islam, malah sehingga kini masih belum kelihatan pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan PAS. Kenyataan Nik Abduh itu merujuk kepada beberapa keadaan malang yang ditimpa PAS termasuk isu pengurangan jawatan EXCO Selangor yang diberi kepada PAS serta penggantungan tugas seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang juga Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

September 10, 2014

Mahathir Perhalusi Cara untuk Memimpin Malaysia Menjelang Tahun 2020

Buku hasil syarahan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad berjudul "Cabaran Kepimpinan Masa Hadapan" sangat menarik untuk dibaca dan diteliti kupasannya. Menceritakan nasib para pemimpin dunia yang mengakhiri usia mereka dengan penuh tragis dan kekecewaan - Mahathir bijak mencipta analogi serta kiasan tentang persoalan bagaimana kepimpinan harus disulam dengan kebijaksanaan. Malaysia, menurut Mahathir adalah sebuah negara yang sangat unik - yang mana setiap kaum dibenarkan untuk mengekalkan cara hidup masing-masing bersama budaya, nilai dan pegangan agama. Namun demikian, ia tidak akan selama-lamanya berpanjangan dengan aman - jika pemimpin utama negara, khususnya Perdana Menteri tidak bertindak secara bijak dalam menangani isu-isu sensitif.

Buku ini menceritakan tentang "kepimpinan yang bijak" - tentang untung nasib pemimpin yang dibenci oleh rakyatnya sendiri - tentang masa hadapan kepimpinan negara dan yang lebih penting, tentang nasib Malaysia jika kita salah mengundi pemimpin yang lemah lagi tidak bijaksana. Kepada mereka yang gemar menyimpan koleksi tulisan dan ucapan bekas Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat ini - maka buku di atas sudah semestinya harus dimiliki. Dapatkan naskah anda hari ini, bagi membuka minda dan mencerah pilihan! Kepada sesiapa yang berminat, sila tinggalkan email anda di dalam blog ini. Harga senaskah RM35 (termasuk bayaran pos). 

September 9, 2014

Apakah Makna "Derhaka" Kepada Sultan di Sisi Perlembagaan?

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan Parti Keadi­lan Rakyat (PKR) dan DAP yang ing­kar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-ma­sing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar yang baharu. Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda. Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon Menteri Besar daripada ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama. "PKR dan DAP pula masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di sisi lain, Dr Abdul Aziz Bari menggambarkan bahawa "derhaka kepada sultan" bukanlah satu kesalahan jenayah. Maka, ia tidak ada masalah, dan pelakunya juga tidak boleh disabitkan dengan apa-apa hukuman. Ini hanyalah pandangan peribadi Aziz Bari. Pada hakikatnya, apabila sultan menggunakan perkataan derhaka atau biadap kepada individu yang tidak mendengar titahnya - ia sebenarnya mempunyai makna secara tidak langsung di sisi undang-undang - perbuatan derhaka kepada baginda sultan menggambarkan bahawa si pelaku telah melakukan "aktiviti hasutan" tanpa disedarinya dan dengan niat serta cubaan untuk menimbulkan kebencian serta penentangan rakyat kepada institusi sultan dan sistem beraja yang sememangnya telah sah termaktub di sisi perlembagaan negara. 

Ada kemungkinan pihak terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan. Pada hari ini, konsep derhaka kepada sultan tidak lagi dilingkari dengan tabu dan kepercayaan tahyul, sebaliknya ia mempunyai tempat di sisi undang-undang - bersesuaian dengan istilah Raja Berperlembagaan itu sendiri. Sekiranya "derhaka" terhadap sultan tidak mempunyai merit di sisi undang-undang, maka "restu" sultan juga boleh dikira sebagai sesuatu yang sia-sia. 

Khalid Samad pernah digelarkan oleh Sultan Selangor sebagai "individu biadab" kerana cuba mempertikaikan kuasa baginda berhubung peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan tidak lama selepas itu, beliau telah didakwa di bawah Akta Hasutan. Maka, selepas ini apakah PKR dan DAP juga bakal dihadapkan ke mahkamah atas alasan yang sama? Sama-sama kita nantikan episod berikutnya. Wallahualam.

September 8, 2014

Apabila Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia Dibelasah - Di Mana Para Mujahiddinnya?

Pada saat Anwar melancarkan "Langkah Kajang" tiada sesiapa pun yang bertempik dan melalak menyalahkan Anwar bertindak secara bersendirian. Padahalnya, segala yang telah berlaku di Selangor pada hari ini adalah berpunca daripada Anwar. PAS tidak bersalah dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia juga tidak bersalah. Yang bersalah ialah Anwar Ibrahim - KETUM PKR.

KUALA LUMPUR 7 Sept. - DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak 'menyerang' Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka berikutan pendirian tegas Presiden Pas itu yang menolak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor. Malah, beberapa pemimpin DAP khususnya Tony Pua yang diketahui cukup rapat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertindak cukup celupar apabila mempersoal sejauh mana kehebatan Abdul Hadi dengan mengaitkan kegagalan Pas mempertahankan Terengganu dan Kedah. 

Di pihak PKR, 'serangan' ke atas Presiden Pas dimulakan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail apabila beliau menyifatkan sokongan rakyat kepada Pas semakin merosot di bawah pimpinan Abdul Hadi. Dakwanya, keadaan itu terbukti jika melihat kepada pengaruh Pas di Terengganu, Kedah dan Perak yang menyaksikan Barisan Nasio-nal (BN) berjaya merampas kembali pucuk pimpinan negeri. Tidak cukup dengan Saifuddin, turut sama 'menyerang' Abdul Hadi ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad apabila beliau yang baru dianggap setahun jagung dalam dunia politik secara lantang mengarahkan Pre-siden Pas itu menarik balik kenya-taannya yang mendakwa Wan Azizah sebagai tidak berkebolehan.

Persoalannya kini apakah akan ada pemimpin-pemimpin kanan Pas selain daripada kumpulan ulama bangkit mempertahankan Presiden Pas tersebut yang sedang diserang sebegitu rupa ataupun mereka yang dikenali sebagai puak 'Anwarinas' itu hanya membisu membiarkan Abdul Hadi keseo-rangan. Tony Pua menerusi Facebook-nya berkata, kenyataan Abdul Hadi yang merujuk kepada ketidakupayaan Wan Azizah itu dibuat oleh seorang lelaki yang gagal mempertahankan Terengganu selepas hanya berupaya untuk menjadi Menteri Besar negeri itu hanya sepenggal. "Lelaki yang enggan menggantikan Menteri Besar Kedah (merujuk kepada Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak) meski pun telah terlantar selama berbulan-bulan di hospital," katanya yang kemudian mendapat lebih 1,000 sokongan rakan Facebooknya sebagaimana dipetik, hari ini. Tidak cukup dengan Tony Pua, Naib Pengerusi DAP Selangor, Teng Chang Khim juga menghangatkan suasana apabila meminta Abdul Hadi menilai kemampuan beliau sebagai Presiden Pas terlebih dahulu sebelum bertindak mempersoal kewibawaan Wan Azizah. 

"Biar fakta yang bercakap. Abdul Hadi adalah Menteri Besar apabila Pas kehilangan kuasa di Terengganu dan beliau merupakan Presiden Pas ketika parti itu hilang kuasa di Kedah. Itu adalah rekod kemampuan beliau," katanya sinis. Sementara itu, seperti juga Nik Nazmi, Ketua Penerangan Wani-ta PKR, Azura Aziz juga tampil mengecam Abdul Hadi tetapi beliau bertindak lebih jauh apabila menyifatkan Presiden Pas tersebut sebagai mengkhianati pakatan pembangkang. "Siapa dia untuk mengatakan bahawa Wan Azizah tidak mampu? Dia cuba meletakkan tiga nama daripada Pas dan bukannya apa yang telah dipersetujui semasa mesyuarat pakatan rakyat. Jika dia tidak berpuas hati dengan gabung-an pakatan, dia harus meninggalkan parti," katanya.

September 5, 2014

MH370 : Kesimpulan Mungkar!

Akhirnya - seperti yang dijangka dan bakal dibenci oleh hampir seluruh umat Islam-Melayu  di Malaysia, episod kehilangan MH370 sudah semakin hampir dimuktamadkan. Dengan kesimpulan yang sememang sudah dapat diramal sejak awal-awal lagi. Penulis buku "Good Night Malaysian 370: The Truth Behind the Loss of Flight 370." - Geoff Taylor and Ewan Wilson akhirnya bertindak senada dengan media-media Barat yang sebelum ini begitu galak  menyimpulkan bahawa Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang MH370 - sebagai perancang dan pelaku yang telah mengakibatkan pesawat malang itu hilang di Lautan Hindi. Hebat! sungguh hebat. Itulah yang dapat kami katakan. Kapten Zaharie nampaknya jauh lebih hebat daripada perisikan CIA, Mossad, KGB dan seangkatan dengannya, sehingga berjaya membuat sebuah kapal terbang hilang secara misteri sehingga tidak ditemui jawapannya sehingga ke hari ini. 

Hakikatnya, buku tulisan juruterbang dan wartawan itu tidak lebih sekadar mengesahkan kesimpulan dan fitnah yang sudah lama dirancang oleh media Barat - hanya dengan cara menyalahkan Zaharie sahaja, buku tersebut boleh dipasar dan dijualkan ke pasaran Barat - ia sama sekali sukar diterima di negara ini. Apakah yang mereka peroleh dengan menyalahkan Zaharie sebagai penyebab dan pemusnah MH370? Ia hanya akan lebih mengundang kebencian dan meningkatkan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap orang Islam yang dikaitkan sebagai pengganas.

Buku yang menonjolkan perkataan "Kebenaran di Sebalik MH370" - adalah disengajakan bagi membuat satu tanggapan rumusan terakhir yang bersifat laporan keputusan yang mahu "memaksa" dunia agar menerima kesimpulan tersebut, sekali gus membina satu persepsi global bahawa umat Islam-Melayu Malaysia juga boleh mengundang bahaya kepada dunia. 

Ini bukan lagi percubaan - buku tersebut ditulis dengan agenda tertentu. Ia bukan mencari kebenaran, sebaliknya mahu mengundang kontroversi dan persepsi. Mereka mahu buku tersebut diperdebatkan, dibincang dan yang lebih penting mereka seolah-olah mahu buku tersebut dijadikan rujukan utama bagi meletakkan Zaharie di dalam kandang pesalah secara total. Benarkan mereka mahu mensasarkan Zaharie seorang? Atau sebenarnya mahu memperlihatkan bahawa juruterbang Melayu-Islam juga berpotensi menjadi pengganas yang mengancam komuniti antarabangsa?

Jika Zaharie mampu melakukan semuanya ini, maka beliau adalah juruterbang paling hebat di dunia dan perancang yang jauh lebih gagah daripada Osama bin Laden - iaitu watak yang  dituduh sebagai dalang  menghancurkan WTC dalam tragedi 11 September 2001. Umat Islam di Malaysia sememangnya dalam perhatian, namun bagaimana cara mereka memerhatikan kita, kita masih tidak mengetahuinya. Bacaan tambahan sila klik di sini : International Business Times.