Tetamu Kehormat...

February 10, 2014

Projek Kajang : Siapa Punya Idea?

KUALA LUMPUR 9 Feb. - 'Projek Kajang' yang didakwa dijalankan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan pintu kemusnahan bagi pakatan pembangkang. Seorang ulama Pas, Dr. Mohd. Abd. Rahman Kajani berkata, perkara itu memandangkan PKR yang sebelum ini membuat keputusan sendiri bagi mewajarkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah membelakangi konsep musyawarah dan muafakat yang sepatut menjadi amalan semua parti pakatan pembangkang. "Tidakkah keputusan ini dan sebegini bersifat sebelah pihak dan jahat dengan mengabaikan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat? Adakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar mewakili PKR atau mewakili pembangkang? "Cara bertindak sebegini dalam membuat keputusan besar bakal menghancurkan Pakatan Rakyat jika mendapat kuasa lebih besar lagi iaitu Putrajaya," katanya melalui laman sosial pro-ulama Pas, Eh-Haraki baru-baru ini. Mengulas lanjut, Mohd. menegaskan, tindakan pasukan pemikir Anwar dalam PKR iaitu Rafizi Ramli, Abdul Rahim Ghouse dan Saifudin Nasution yang mengemukakan idea perletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh bagi memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga penuh dengan tanda tanya. "Tidakkah tindakan tersebut merupakan satu cara membuat keputusan yang sangat bahaya untuk kemajuan pembangkang dan apakah cukup otak untuk empat orang berfikir untuk satu keputusan yang besar? "Tidakkah suatu yang merosakkan organisasi apabila cara membuat keputusan sebegini menjadi amalan. Terpaksa mengiyakan satu kesilapan. Tidakkah mereka pemimpin yang perlu memimpin bukannya dipimpin," soalnya.