Tetamu Kehormat...

October 19, 2013

Mukhriz Tewas Sekali Lagi...

Maafkan saya jika pandangan ini tidak digemari ramai pihak - tetapi saya menunggu sehingga saat-saat akhir untuk memberikan "ramalan" yang mungkin tidak berapa "tepat" tapi saya mengesyakinya akan terjadi. Namun demikian - segalanya ditentukan oleh Allah - kita hanya mampu menjangka berdasarkan "sikap" dan senario ahli-ahli UMNO di peringkat bawah yang baru sahaja selesai mengundi bagi ketiga-tiga sayap utama UMNO sabtu lepas. Ternyata tidak terlalu banyak perubahan yang berlaku - seperti mana yang diharap-harapkan oleh sebahagian besar ahli UMNO tanpa jawatan dan para simpati UMNO di luar sana - Dan untuk sekali lagi, saya merasakan bahawa Mukhriz Mahathir akan tewas sekali lagi dalam cubaannya untuk mendaki hieraki kepimpinan tertinggi UMNO dalam pemilihan parti tersebut hari ini. Saya penyokong Mukhriz sejak dahulu lagi - walaupun beliau tewas menentang Khairy untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO - namun, pada kali ini melihat senario ahli UMNO akhir umbi dan strategi beliau berkempen - saya percaya Mukhriz akan tewas sekali lagi - bukan masalah ketokohan - sebaliknya ahli UMNO akar umbi pada kali ini tidak lagi seperti dahulu - kelantangan dan semangat kental perjuangan tidak lagi menambat hati mereka - yang tinggal hanya peluang dan habuan. Jangan kecewa sahabat-sahabatku jika Mukhriz hari ini gagal sekali lagi - setidak-tidak kita sudah dapat menghidu terlebih awal. Wallahualam.

October 18, 2013

Aqidah Anwar, Biar Allah yang Tentukan!

Meskipun Pakatan Rakyat (PR) sepakat kalimah Allah boleh digunakan semua pihak termasuk golongan bukan Islam, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din (gambar) bagaimanapun menolak perkara itu dan menegaskan perkataan Allah adalah eksklusif untuk Islam sahaja. Agama-agama lain jelasnya tidak berhak menggunakan kalimah Arab itu kerana Allah merujuk kepada Tuhan Yang Satu, bukannya berbilang Tuhan. ''Dengan kata lain, kalimah suci ini hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja sementara permohonan daripada agama lain, mahkamah tidak membenarkannya," katanya dipetik dari Utusan Malaysia. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam menegaskan pendirian pembangkang itu konsisten dalam isu kalimah Allah, selagi ia tidak disalahgunakan oleh penganut agama lain. "Pakatan Rakyat (PR) kekal konsisten dengan pendirian kami dahulu. "Cuma sekarang kami menggesa supaya semua pihak bertenang dan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ini," kata Anwar dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Pada 8 Januari lalu, PR mencapai pendirian penggunaan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan dan menegaskan kalimah berkenaan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat. 

Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Lim dan Anwar. Haron, bagaimanapun dalam kenyataannya, meminta semua pihak bersiap sedia kerana masih terdapat satu lagi mahkamah yang boleh mendengar tuntutan tersebut iaitu Mahkamah Persekutuan. ''Masih ada satu lagi tempat medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan. Mungkin arahan tidak terduga akan berlaku nanti atau mungkin juga Malaysia bukannya medan untuk pertarungan mempertahankan kalimah Allah. 

''Sebaliknya hingga ke peringkat Mahkamah Antarabangsa. Mungkin akan sampai ke sana. Apa pun sebagai umat yang faham tentang Islam itu sebagai agama tauhid wajib mempertahankan kalimah suci ini," katanya. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh Isnin lalu memutuskan akhbar mingguan Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka sebagai rujukan kepada Tuhan. – 18 Oktober, 2013.