Tetamu Kehormat...

August 21, 2013

Perjanjian Amman Message dan Pengiktirafan Syiah : Milik Siapa Dosa Ini?

Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) menegaskan penganut ajaran Syiah di negara ini tidak mempunyai halangan mengamalkan mazhab itu. Bagaimanapun menurut beliau yang menjadi kesalahan apabila pengikut Syiah cuba untuk menyebarkan ajaran tersebut. "Siapa pun mereka sama ada penganut Buddha, Hindu mereka berhak untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing namun yang menjadi salah apabila mereka cuma mengembangkan ajaran tersebut kepada orang Islam," kata Jamil Khir dalam satu sidang media selepas merasmikan pameran Haji: Pengalaman Malaysia di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur. 

Jamil Khir berkata demikian mengulas mengenai laporan perjanjian "Amman Message " pada tahun 2005 yang ditandatangani bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi dan juga menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Othan dan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim. Perjanjian itu merupakan inisiatif dari pemerintah Jordan pada ketika itu dimana ia adalah satu deklarasi bagi tujuan memperjelaskan kepelbagaian mazhab seperti Sunni, Syiah, Ibadi dan Thairi. "Sesiapa pun yang mengamalkan satu dari empat mazhab sunnah mengikut undang-undang Islam seperti (Hanifi, Maliki, Shaf'i dan Hanbali), dua dari mazhab Syiaah (Ja'fari dan Zaydi) serta mazhab Ibadi dan Thahiri adalah muslim. 

Menggelarkan mereka orang yang ingkar dan sesat adalah sangat mustahil," kata perjanjian tersebut. Kenyataan Jamil Khir hari ini bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini yang menyatakan mana-mana individu yang bersekongkol dengan fahaman Syiah akan didakwa di mahkamah sivil dibawah Enakmen Kawalan Pencegahan Penyebaran Bukan Muslim. Hukuman juga boleh dijatuhkan dibawah undang-undang Enakmen Pertahanan Jenayah mengikut fatwa. "Negara ini mengamalkan sunnah wal jamaah, tindakan tegas akan diambil bagi siapa yang mengembangkan ajaran ini, " kata Jamil Khir sebelum ini. 

Perjanjian Amman juga mengetengahkan persamaan antara kepelbagaian fahaman mazhab Islam selain dari mengandungi isu dan kekangan dalam fatwa. "Tidak ada siapa boleh mempersoalkan fatwa tanpa ada kelayakan yang diiktiraf dalam mengikut fahaman mazhab masing-masing. Tidak ada siapa boleh membangkitkan isu berkaitan fatwa tanya merujuk pada kaedah mazhab Islam," kata perjanjian itu lagi. – 20 Ogos, 2013.

August 14, 2013

Abdullah Terperangkap?

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penerbitan buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia dilihat sebagai satu strategi pihak tertentu untuk memecah-belahkan UMNO terutama menjelang perhimpunan agung parti itu pada Disember nanti. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, penyusun dan penerbit berkenaan didakwa sengaja mempergunakan persepsi buku ini yang seolah-olah pandangan 100 peratus bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sedangkan sebenarnya tidak sedemikian. "Pandangan Abdullah sebenarnya biasa tetapi yang menimbulkan kontroversi adalah penulisan penyusun buku terbabit yang seolah-olah memberi persepsi buruk kepada bekas Perdana Menteri itu, khususnya menyentuh hubungannya dengan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad. "Jelas mereka pergunakan Abdullah untuk merosakkan perpaduan UMNO, lebih-lebih lagi menjelang Perhimpunan Agung UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Abdullah yang juga bekas Perdana Menteri kelima semalam menafikan beliau terlibat dalam penulisan, penerbitan dan pelancaran buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia yang bakal dilancarkan oleh pemimpin pembangkang, Nurul Izzah Anwar dalam waktu terdekat. Menurutnya, persetujuan beliau diwawancara oleh penyusun buku, Prof. James Chin dan Prof. Bridget Welsh berlandaskan kepada prinsip keterbukaan yang menjadi pegangannya. Malah kata Abdullah, cerita yang cuba digambarkan oleh penyusun-penyusun buku itu bukan hasil sebenar apa yang telah mereka peroleh ketika temuramah dilakukan pada tahun 2011. Menurut Azmi, pihak yang berkenaan akan menggunakan apa sahaja medium untuk menimbulkan salah tanggapan terhadap Abdullah dan UMNO. "Satu daripada strategi mereka adalah menggunakan orang dalam kalangan UMNO dan bukan pembangkang untuk mengkritik parti itu," ujarnya. Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan tidak menolak sebahagian isi kandungan buku itu dibuat atas persepsi penulis. "Secara peribadi saya belum lagi membaca lagi tentang buku ini tetapi berdasarkan ulasan yang disiarkan dalam akhbar, saya dapati itu merupakan buku kompilasi artikel hasil wawancara beberapa tokoh termasuk daripada kalangan Barisan Nasional (BN) untuk mengulas kepimpinan Abdullah. 

"Ini menimbulkan dilema baharu sama ada wawancara Abdullah yang menyentuh tentang kepimpinan UMNO selepas zamannya itu berdasarkan fakta sebenar berlaku dalam parti atau hanya mungkin persepsi penulis itu," katanya. Menurutnya, jika terdapat percanggahan maklumat yang mengelirukan dan mungkin diadakan dengan niat terancang untuk memecahbelahkan parti, pemimpin UMNO mempunyai kuasa untuk memperbetulkan dan memperjelaskan dengan kadar segera supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO.