Tetamu Kehormat...

May 31, 2013

Kisah Saari Sungib dan Pengajaran kepada Semua Pemimpin PAS

SHAH ALAM 30 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Hulu Klang, Saari Sungib (gambar) diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) setelah kalah dalam satu kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini. MAIS dan Pemegang Amanah LZS selaku pihak plaintif mengemukakan saman itu terhadap Saari berhubung kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Siasat Pindah Wang LZS' yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 17 Mac 2009. Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi tersebut pada 14 Mei lalu. Beliau berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif yang diwakili peguam daripada firma guaman, Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua berjaya membuktikan kewujudan elemen fitnah melalui kenyataan Saari dalam akhbar berkenaan. ''Sehubungan itu, Hakim Datuk Suraya Othman telah mengarahkan Saari membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi keterlaluan RM100,000 kepada plaintif. ''Beliau juga perlu membayar kos sebanyak RM30,000 dan faedah pada kadar lapan peratus ke atas jumlah RM300,000 dari tarikh keputusan sehingga penyelesaian penuh,'' katanya dalam kenyataan tersebut. Memetik kenyataan dalam akhbar Sinar Harian pada 17 Mac 2009 itu kata Mohamad Adzib, Saari mendakwa berlaku pemindahan wang zakat yang tidak diagihkan oleh LZS bernilai jutaan ringgit ke satu akaun lain pada 11 Disember 2008.

May 30, 2013

Tun Mahathir Dedahkan Segalanya....

1. Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

2. Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.

3. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

4. Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

5. Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

6. Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

7. Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

8. Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

9. Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British. Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

10. Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

11. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

12. Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan. Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang. 

13. Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

14. Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

15. Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

16. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah. Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia. 

17. Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

18. Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

19. Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini. Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

20. Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

21. Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

22. Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka. 

23. Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

24. Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

Borang 14 : Borang Talkin untuk Anwar Ibrahim




Tun Mahathir Belum Mati!

1. Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang cintakan agama, bangsa dan Negara. Setiap tindakan beliau adalah demi kepentingan Negara. Kepentingan Negara diutamakan melebihi kepentingan peribadi.


2. Atas keperibadian inilah, beliau marah dengan tindakan Britain yang telah menaikkan yuran pengajian di United Kingdom sebanyak 3 kali ganda bagi pelajar luar [New Straits Time, 27 May 1981]. Britain merupakan destinasi pengajian tinggi yang utama bagi Malaysia dan pelajar Malaysia merupakan pelajar asing paling ramai di United Kingdom pada masa itu. Beliau menganggap tindakan ini menjejaskan hubungan sebagai sebuah Negara commonwealth.


3. Beliau juga marah dengan tindakan Britain yang tidak memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airlines di lapangan terbang Heathrow.


4. Selain daripad itu, beliau juga telah mengarahkan rancangan untuk mengambil alih Guthrie dari Britain supaya tanah-tanah pertanian ini kembali menjadi hakmilik rakyat Malaysia. Hasilnya, melalui operasi `Dawn Raid’ atau serangan subuh, Malaysia sebagai sebuah Negara yang kecil telah berjaya mengambil alih syarikat Guthrie melalui pasaran terbuka dengan permainan mereka.


5. Tindakan beliau ini mengundang kemarahan Britain dan mereka (Guthrie, London Stock Exchange dan Kerajaan Britain) telah melemparkan pelbagai tuduhan dan mengaitkan tindakan `Dawn Raid’ ini sebagai satu tindakan yang bersifat nasionalisme. London Stock Exchange (LSE) pula kemudianya menukar kod pengambilalihan (takeover code) untuk mengelakkan Malaysia mengambilalih syarikat-syarikat lain.

6. Dr.Mahathir kemudianya dengan lantang bersuara bahawa tuduhan nasionalisme yg dibuat oleh Britain adalah untuk menghalang dan menakutkan pelaburan Negara asing ke Malaysia. Beliau juga lantang mengkritik tindakan LSE menukar kod untuk menghalang Malaysia mengambil-alih syarikat-syarikat lain seperti Dunlop, Barlow dan Harrison kerana menurut beliau, London tidak melakukan sedemikian apabila Arab, America dan Japan mengambil alih syarikat-syarikat Britain yang tersenarai di pasaran London Stock Exchange tetapi apabila Malaysia melakukannya, mereka mengubah peraturan.


7. Beliau menyifatkan tuduhan dan tindakan Britain ini sebagai contoh mentality colonial  yang masih dipunyai oleh mereka [Far Eastern Economic Review, October 30, 1981].


8. Beliau juga mengkritik mesyuarat CHOGM dan mengatakan bahawa mesyuarat tersebut hanya lebih banyak bercakap dan tidak memberikan hasil. Beliau tidak menyertai CHOGM 1981. Beliau menyatakan bahawa lebih banyak yang boleh dibuat didalam Negara daripada hadir ke meeting CHOGM [Asiaweek, October 9, 1981 dan The Far Eastern Economic Review, September 25, 1981]


9. Lanjutan dari beberapa tindakan Britain seperti menaikkan yuan pengajian, melarang hak pendaratan tambahan dan serangan mereka terhadap operasi `Dawn Raid’ ini telah menyebabkan Dr. Mahathir melakukan kempen `Buy British Last’. Ini bukanlah satu polisi kerajaan sebaliknya adalah satu tindakan berani beliau sebagai seorang Perdana Menteri untuk mempertahankan maruah Negara. Kempen ini bermula dengan tindakan beliau yang mengarahkan semua pembelian oleh kerajaan Malaysia dari Britain perlu dirujuk kepada beliau dan perlu disertakan dengan sumber alternative dari syarikat selain Britain. Pembelian dari Britain hanya boleh dilakukan sebagai pilihan terakhir [Far Eastern Economic Review, October 9, 1981].


10. Lanjutan dari tindakan berani beliau ini, kerajaan Britain mula rasa terancam sebab Malaysia merupakan Negara dagangan Britain yang agak besar dan banyak syarikat Britain bergantung kepada urusniaga di Malaysia.


11. Selepas 5 bulan kempen `buy british last’ berjalan, pada Februari 1982, Britain telah menghantar Setiausaha Luar, Lord Carrington dan Menteri Pertahanan, John Notts ke Kuala Lumpur untuk berbincang tetapi tidak membuahkan hasil. Ini memaksa Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher sendiri yang berjumpa dengan beliau untuk menamatkan kempen `buy british last’ dan menyelesaikan isu CHOGM.


12. Lanjutan dari perjumpaan ini yg dibuat di London pada tahun 1983 oleh Margaret Thatcher, beberapa resolusi dibuat antaranya kerajaan Britain menyediakan bantuan kewangan sebanyak 160 juta pound sterling sebagai subsidi kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di UK dan memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airlines di Heathrow International Airport [The far eastern economic review, April 14, 1983].


13. Dengan satu tindakan berani beliau ini yang dilakukan secara bersendirian, sumbangan sebanyak 160 juta pound telah diberikan untuk pendidikan rakyat Malaysia. Terima Kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad.


14. Dengan tindakan kerajaan Britain ini, maka kempen `Buy British Last’ dihentikan. Beliau juga menghadiri mesyuarat CHOCGM 1985 dan 1987 dan mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat CHOGM 1989 dan sukan komanwel 1998.


15. Lanjutan dari ini juga, Malaysia dan Britain menandatangani perjanjian jual beli kelengkapan perang (Arms deal) bernilai 1.3 Billion pound dan projek Hydroelectric Power Station (Pergau Dam) di Kelantan yang bernilai 234 juta pound.


16. Tetapi, pada tahun 1994, kerajaan Britain dan Media di Britain telah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Malaysia dan Tun Dr. Mahathir. Mereka mengatakan bahawa projek Pergau Dam ini adalah `gula-gula’ kepada Malaysia sebagai pembalasan kepada perjanjian pembelian senjata oleh Malaysia. Malah media di Britain juga menuduh bawah Tun Dr. Mahathir menerima rasuah. Media di Britain telah cuba menghubungkaitkan perjanjian jualbeli senjata dengan projek Pergau Dam [The Sunday Times, January 23, 1994]dan telah menuduh perbuatan rasuah bernilai USD 500,000 kepda Dr. Mahathir [The Sunday Times, February 20, 1994].


17. Dr. Mahathir telah menyampaikan kekecewaanya kerana kerajaan Britain tidak membetulkan tanggapan bahawa sebenarnya projek Pergau Dam adalah low-interest loan (concessionary loan) dan bukannya grant. Dr. Mahathir juga menuntut editor Sunday Times untuk meminta maaf diatas tuduhan rasuah yang dibuat keatas beliau.


18. Mahathir telah menulis surat kepada Financial Times dengan menyatakan “…no contracts in exchange for British press freedom to tell lies” [The Financial Times, March 17, 1994].


19. Akibatnya, selepas Malaysia menerima penghantaran 28 buah British Aerospace Hawk Jet-fighter trainers (melalu perjanjian jualbeli senjata), Mahathir memberitahu Duta Britain, Duncan Slater bahawa Malaysia tidak lagi akan memberi kontrak kepada Britain. Tindakan ini kelihatan seperti kempen `Buy British Last’ II.


20. Tindakan berani Dr. Mahathir kali ke-dua ini juga bakal menjejaskan banyak contract syarikat Britain yang bernilai melebih 1 billion pound sterling termasuk kontrak projek KLIA. Tun Dr. Mahathir sekali lagi bertindak tegas dan berani mempertahankan maruah Negara dan dirinya dari dicemari dengan penipuan oleh media Britain atas nama kebebasan media.


21. Hasilnya, selepas 3 bulan, editor Sunday Times tersebut telah ditukarkan dan tidak lagi bersama akhbar The Sunday Times.


22. Selepas tindakan akhbar The Sunday Times ini, Dr. Mahathir menyatakann bahawa beliau dapat melihat pembaharuan dan penambahbaikan dalam laporan media Britain terhadap Negara Malaysia. Seterusnya, Dr. Mahathir menyatakan, sekiranya media Britain tidak lagi membuat laporan penipuan terhadap Malaysia, Malaysia boleh kembali berurusniaga dengan syarikat Britain.


23. Sekali lagi, ketegasan Dr. Mahathir terbukti dalam mempertahankan maruah Negara daripada dicemari oleh penipuan media Britain.


24. Peristiwa-peristiwa ini sepatutnya mengingatkan kita bagaimana seorang pemimpin yang begitu kuat sifat cintakan negaranya, bangsanya dan agamanya yang sanggup melakukan apa sahaja demi Negara yang dicintai.


25. Sayangnya, peristiwa-peristiwa ini tidak dipedulikan oleh sebahagian masyarakat Malaysia, sebaliknya mereka lebih mahu mempercayai cerita-cerita fitnah yang ditaburkan oleh sesetengah pihak yang benci kepada beliau. Terlalu banyak fitnah-fitnah dan cerita tipu yang disebarkan mengenai Tun Dr. Mahathir. Tetapi, sepertimana ramai yang maklum, Tun Dr. Mahathir tidak pernah kisah dengan cacian yang dibuat terhadap dirinya kerana yang penting bukanlah dirinya, tetapi Negara Malaysia. Beliau telah meletakkan kepentingan Negara melebihi segala-galanya.

May 29, 2013

Kisah Dajjal Berkod 28/98

Mengikut hadis sahih, salah satu ciri yang terdapat pada batang tubuh Dajjal ialah, dia bermata satu (buta sebelah matanya). Kelicikan dan strategiknya sangat halus dalam menghasut manusia agar meninggalkan agama Allah dan menyeru manusia agar mengikuti segala pembohongan dan tipu dayanya. Saya telah terlepas pandang bahawa sepupu Dajjal telah lama muncul di Malaysia - yakni sejak tahun 1998 lagi - matanya sememangnya satu - yang satu lagi adalah mata lebamnya dahulu. 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyelar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tetap mahu menjadi Perdana Menteri sehingga ke saat kematiannya. Selain Anwar, katanya, para pemimpin pembangkang seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mempunyai nilai moral tinggi untuk bersara setelah kalah dan ini berbeza dengan pemimpin politik Barat yang menerima kekalahan secara terbuka dan meletak jawatan seperti bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown. "Biar saya ingatkan anda, Anwar telah mengatakan dia akan bersara jika gagal menawan Putrajaya (memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Anwar tidak mengotakan janji. "Dia (Anwar) tidak akan bersara sehinggalah pada saat kematiannya. Dia tetap mahu jadi perdana menteri," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar China Press yang dipetik daripada blog http://kadirjasin.blogspot.com/ hari ini. Daim turut mengkritik tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang sehingga kini tidak dapat menerima kekalahan dan menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13 yang tidak memihak kepada mereka. Katanya, tindakan itu sengaja dilakukan pembangkang khususnya Anwar dan Kit Siang secara tidak bertanggungjawab agar mereka ditahan polis kerana perhimpunan sebegitu dikhuatiri menimbulkan insiden tidak diingini antara kaum, khususnya Melayu dan Cina. 

"Bagaimanapun Anwar dan Kit Siang tidak peduli (kerana) jika terjadi lagi insiden antara kaum, mereka akan menyalahkan Barisan Nasional (BN). Jika anda sanggup mengorbankan keamanan dan kestabilan untuk keuntungan anda, kepimpinan jenis apakah ini?" soalnya. Beliau menambah, para pengundi Cina yang hampir keseluruhan memilih pakatan pembangkang dalam PRU-13 sebenarnya telah termakan dakyah serta perkauman DAP kononnya masyarakat tersebut adalah mangsa yang dipinggirkan di negara ini. Katanya, DAP juga menyebarkan sentimen bahawa PRU-13 lalu merupakan peluang bagi masyarakat Cina untuk 'mengajar' MCA dan Gerakan yang selama ini berada di bawah telunjuk UMNO dengan memberikan mesej bahawa mereka tidak mahu lagi dibuli UMNO dan Melayu. "Cybertrooper mereka (pembangkang) bekerja 24 jam sehari dengan menghantar maklumat salah, putar belit, khabar angin dan sebagainya. Di mana (orang) Bangladesh? Di manakah kejadian terputus bekalan elektrik? Berapa ramai yang hilang dakwat di jari mereka mengundi sebanyak dua kali? "Tun Dr. Mahathir Mohamad melarikan diri dengan menaiki jet peribadi? Penipuan demi penipuan sehingga masyarakat Cina percaya kepada (slogan) 'Ubah' dan 'Ini kalilah'," katanya.

May 27, 2013

Pemuda UMNO Hilang Taring?

Saya mengharapkan - sayap UMNO khususnya Pemuda akan lebih agresif dan proaktif ke hadapan dalam menghadapi dakyah dan provokasi pembangkang terhadap kerajaan dan Barisan Nasional. Apatah lagi setelah Pemuda UMNO diberi "habuan lumayan" oleh Perdana Menteri dengan melantik ketuanya, saudara Khairy Jamaluddin sebagai menteri penuh - dan ini merupakan satu penghormatan kepada Pemuda UMNO. Maka, setelah diberi ganjaran yang sebesar itu - kami, para pemuda UMNO akar umbi mengharapkan, suara Pemuda UMNO pada kali ini akan lebih segar, tegas dan proaktif dalam bertindak mengharungi tuduhan-tuduhan tidak berasas pakatan pembangkang. Ingat, zaman untuk bersenang-lenang sudah berakhir dan kerja harus dimulakan sekarang.
KUALA LUMPUR 26 Mei - Dalam berdepan 'serangan' bertubi-tubi pembangkang termasuk dakwaan palsu mengatakan kerajaan melakukan penipuan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, suara pergerakan sayap khususnya Pemuda UMNO dilihat lesu untuk menangkis dakyah berkenaan. Kritikan sedemikian dinyatakan Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah yang jelas kecewa dengan sikap membisu pergerakan sayap parti itu terhadap isu-isu dibangkitkan pembangkang. "Selaku aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sayangkan negara dan mengharapkan kesinambungan kepemimpinan Melayu dan Islam terus bersinar di tanah air ini, sudah tentulah kami amat mengharapkan agar digembleng usaha semua pihak. 

"Bersatu dan sederap dalam mempertahankan ketuanan Melayu akan menjadi pemangkin dalam meniti cabaran yang begitu mencabar masa kini. "Malangnya, ketika kami berhempas pulas menggalas cabaran memastikan maruah Melayu dan Islam tidak tergadai, Pemuda UMNO seolah-olah lesu dan macam tidak tahu berbuat apa-apa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran Awang Selamat menerusi ruangan Analisis Mingguan yang antara lain meminta pemimpin pergerakan sayap UMNO supaya tidak terlalu pasif malah digesa bangkit menjawab gelombang penipuan pembangkang. Menurut Awang Selamat, sikap pasif itu hanya memberi isyarat salah dan mengelirukan kepada majoriti rakyat yang memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN). Mohd. Mustaffa berkata, Pemuda UMNO seharusnya bertanggungjawab menjadi benteng utama mempertahankan ketuanan bangsa daripada terus dirobek golongan cauvinis dan petualang negara. 

"Sebagai contoh, ketika NGO Islam mencari jalan mengekang kemaraan musuh dengan menjadikan kempen boikot barangan sebagai sebahagian daripada alat tempur serta mengajar Melayu di AirAsia supaya jangan lupa diri, Pemuda UMNO kelihatan sepi seperti tidak tahu mengikut rentak tari pejuang. "Tidak dinafikan penglibatan segelintir pemimpin Pemuda UMNO dalam usaha mereka menggembleng tenaga dan berusaha membantu kerajaan tetapi peranan yang lain di mana?" soal beliau. Katanya, sepanjang pemerhatian, Pemuda UMNO khususnya di peringkat bahagian seolah-olah lebih berminat dan memfokus terhadap pengaruh mereka dalam kelompok parti sahaja tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Pengaruh itu, ujarnya, adalah satu keutamaan dan bukannya agenda parti serta mempertahankan kerajaan yang ada. "Oleh yang demikian, semoga teguran ini dilihat dari sudut positif serta membina dan pemimpin tertinggi UMNO perlu mengkaji dengan lebih serius berkaitan kriteria pemilihan kepimpinan Pemuda UMNO jika parti itu ingin terus relevan kepada perjuangan agama dan bangsa. "Bangunlah Pemuda UMNO bersama kami dalam mengembalikan maruah ummah," tegasnya.

May 23, 2013

Giliran Chua Tian Pula Ditahan

Kita bersyukur, sangat bersyukur - pada kali ini Polis dan pihak kerajaan semakin bertegas dan tidak lagi tunduk dengan sebarang provokasi Anwar Ibrahim atas nama "kuasa rakyat" - sedang mereka telah tewas dalam pilihan raya yang lalu. Saya percaya dan yakin, tidak lama lagi semakin ramai para pemimpin pembangkang akan tersungkur satu demi satu atas segala dosa yang telah mereka lakukan di negara ini. Sasaran kita mudah - heret mereka ke mahkamah dan hukum mereka demi keamanan dan kesentosaan rakyat Malaysia.  Rakyat memberi kemenangan kepada BN bukan hanya untuk memajukan negara ini sahaja, bahkan kami juga mahu para pemimpin pembangkang seperti Anwar Ibrahim disumbat ke penjara semula. Mereka telah begitu banyak merosakkan keamanan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut hari ini dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan. Difahamkan kedua-duanya ditahan secara berasingan dalam tindakan keras polis hari ini. Ini adalah siasatan ketiga polis mengenai hasutan semenjak pilihan raya 5 Mei. Yang pertama adalah aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim yang didakwa di bawah Akta Hasutan di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi ini.

Akhirnya Pathmanabhan Dihukum Mati

SHAH ALAM: Peguam N Pathmanabhan dan tiga bekas pekerja ladang dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, dengan kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, hampir tiga tahun lalu.  Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.  Katanya, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu. Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

May 22, 2013

Kemunculan Semula Kebenaran!

Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperolehi majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU13 yang lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya memperoleh 89 kerusi sahaja. Pada PRU12 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN memenangi 140 kerusi Parlimen.

Pada PRU13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen. Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904). Bagaimanapun, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR.

Berdasarkan analisis keputusan pengundian PRU13, BN memperolehi undi popular di Perlis, Kedah dan Perak berbanding PR. Di Kedah, Umno berjaya menguasai negeri itu dengan memperoleh undian sebanyak 399,890 bersamaan 45.28 peratus. Manakala, Pas dan PKR pula hanya memperolehi sekitar 24.2 peratus. Perlis juga menjadi kubu kuat Umno kerana memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan memperolehi 64,192 undi bersamaan 55.55 peratus. Umno juga mendominasi Perak apabila memperolehi undi sebanyak 277,859 bersamaan 24.64 peratus mengatasi undi parti lain. Calon BN tewas di beberapa kawasan kerana bilangan pengundi kaum Cina yang ramai.

DAP pula mendapat 261,882 undi, manakala Pas dan PKR masing mendapat 109,913 dan 244,073 undi di Perak. Bagaimanapun, di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar dikuasai DAP yang memenangi kesemua enam kerusi Parlimen dan memperoleh undian tertinggi berbanding parti-parti lain. Sebanyak 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Pulau Pinang, hanya enam kerusi sahaja dimenangi DAP tetapi jumlah undiannya iaitu 272,664 bersamaan 37.72 peratus berbanding PKR hanya lima kerusi iaitu 177,896 bersamaan 24.61 peratus. Umno yang bertanding di lima kerusi di Pulau Pinang hanya memperoleh 118,613 undian bersamaan 16.41 peratus.

Agak mengejutkan apabila analisis mendapati Umno mendominasi peratusan undian di kubu kuat Pas di Kelantan iaitu 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 untuk kerusi Parlimen. Pas memperoleh 41.1 peratus dengan 332,407 jumlah undi. Bagaimanapun, PKR tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi dan hanya mendapat 9 peratus undian dengan 73,071 undian sahaja. Rekod kerusi Parlimen di Terengganu pula menunjukkan Umno mendahului dalam kutipan jumlah undian, iaitu 283,455 dengan 51.5 peratus, hasil daripada kemenangan empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Pas pula memperoleh 42.5 peratus dengan jumlah undi 233,893, manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu. Umno turut merekodkan pencapaian tertinggi mendahului parti lain dengan 55.5 peratus atau 337,896 undi, berdasarkan kemenangan 10 kerusi yang ditandingi di Pahang. Ini diikuti PKR yang mencatat 17.7 peratus dan memenangi tiga daripada lima kerusi yang ditandingi, sementara Pas merekodkan peratusan 17.2 peratus (104,743 undi). DAP di Pahang tidak mendapat sambutan, di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah undi dipungut sebanyak 59,027 undi.

Di Selangor, PKR mendominasi kerusi Parlimen apabila memenangi sembilan daripada 11 kerusi ditandingi dengan jumlah 550,950 undi. Namun, pengaruh Umno tetap tidak boleh dinafikan kerana parti itu berjaya memporehi 335,406 undi berbanding Pas (270,506) dan DAP (253,302). Di Wilayah Persekutuan, DAP memperlihatkan penguasaan apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandinginya dengan 229,337 undi. Pengaruh PR di Wilayah Persekutuan juga dibuktikan dengan jumlah undi dimenangi PKR iaitu 154,457 undi mengatasi Umno (127,771 undi) walaupun kedua-dua parti menang empat kerusi.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, pengaruh Umno ternyata masih belum boleh digugat. Jumlah kerusi dan undi yang dimenangi parti ini tetap mendahului PR dengan peratusan melebihi 40 peratus di setiap negeri. Sabah terus kekal menjadi negeri simpanan tetap Umno berdasarkan analisis mendapati parti itu mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus, manakala PKR hanya menang satu kerusi dengan jumlah 22,598 undi dengan peratusan 7.2 peratus manakala DAP hanya mendapat 14,226 undi atau 4.5 peratus.

Umno tidak ada di Sarawak tetapi neheri itu kekal sebagai kubu kuat BN. Analisis juga mendapati jumlah undian rakyat di Sarawak terhadap DAP ialah 139,480 undi, manakala PKR memperoleh 26,909 undian hasil kemenangan satu kerusi. Secara keseluruhan, Umno dan BN masih lagi kekal sebagai popular hampir di kesemua negeri, kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Ini diikuti oleh DAP yang masih kekal mendominasi di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, manakala dominasi PKR kekal di Selangor. Umno kekal mendominasi di peringkat Parlimen kerana mampu untuk mendapat 3,416,310 undi dari 120 kerusi yang ditandingi dan mereka berjaya menang 88 daripadanya. Manakala DAP pula mendapat 1,386,404 dari 51 kerusi Parlimen yang ditandingi, jumlah ini membuktikan bahawa DAP adalah parti yang masih popular dan menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan bandar. (sumber klik di sini).

Khairy, Azran dan Kalimullah Ditempelak Oleh Zainuddin Maidin

Seorang wartawan yang bertukar menjadi jutawan dan hartawan, tiba-tiba menjadi berani menampilkan diri untuk turut mengkritik Utusan Melayu (Utusan Malaysia) suara UMNO dan institusi teragung perjuangan Melayu(Lihat Nasionalisme Melayu oleh Prof.William R.Roff), demi untuk membela Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X Azran Osman Rani yang meluat dengan Utusan Malaysia kerana bersikap rasis.

Azran telah mengugut akan menggunakan kuasanya menarik balik iklan Air Asia di Utusan Malaysia yang didakwanya bersikap rasis tetapi telah dipertahankan oleh Mantan Menteri Rafidah Azi sebagai pandangan peribadi..

Inilah  bekas menteri yang walaupun telah kayaraya tetapi  lebih mementingkan penerbangan percuma dari harapan rakyat yang diletakan kebahunya bila menjadi Penegerui Air Asia..

Orang Melayu jangan hairan, jika budi Tun Dr. Mahathir kepadanya pun boleh dilupakan, inikan pula Utusan Melayu yang sekadarkan memberikan ruang kepadanya untuknya menulis seminggu sekali di Mingguan Malaysia bagi mempromokan dirinya semasa dia masih jadi pensyarah UM.

Melihat sikap bekas menteri ini, Kalimullah telah menyatakan kebanggaan  melihat rakyat bersatu mengutuk Utusan Malaysia sebagai rasis.?

Tuan Kalimullah saya ingin bertanya rakyat yang mana? Juawatan juawatan Cina yang menjadi rakan karib anda tuan atau rakyat yang menyokong DAP dan Parti Keadilan atau rakyat jati yang menyokong calon-calon UMNO yang memenangi 88 kerusi Parlimen.

Sebenarnya Kaliimullah  sendiri tidak pasti dan bertanya "Dari mana munculnya pihak yang menyokong Utusan ini. Mesti dari ceruk mana? (I wonder sometimes under which rock some of these Utusan personalities crawled from. Must be real sank dark place).

Memanglah benar mereka ini dari ceruk ulu,rakyat murhin yang miskin, orang kampong yang bodoh dan taksub yang tidak pandai menjadi sumber maklumat golongan anti kerajaan atau agen kepada negara jiran  untuk mencari wang.

Mereka adalah dari keturunan rakyat asal negara ini dan bukannya dari keturunan bangsat yang tiba-tiba lupa daratan kerana menemui kekayaan.

Mereka tidak termasuk dalam golongan yang telah dijangkakan oleh mendiang Tan Sri C.C. Too, Ketua Perang Saraf Malaya dan Malaysia (1956-83), bahawa  menerusi penyusupan dan subversion dengan bantuan communist surrogates akan mencetuskan "suasana revolusi baru" yang akan dipercepatkan dan ditingkatkan oleh sebarang recesi ekonomi.

CPM was merely temporarily suspending its armed struggle but through infiltration and subversion with help communist surrogates would creat a new revolutionary situation which would be expedited and agravated by any future economic recession( Lihat The Communist Party Of Malaya by Aloysius Chin halaman 248.

Kalimullah telah memainkan peranan dalam usaha mendekatkan UMNO dengan anasir-anasir revolusi ini, setelah ketuanya dibebaskan dari tahanan dengan Khairy Jamaluddin menjadi sebagai jambatan, tetapi telah digagalkan oleh kebangkitan nasionalisme dan patriotisme Melayu dan UMNO.

Tetapi Kalimullah tidak putus asa dan berusaha sehingga saat terakhir untuk menggagalkan kemaraan Datuk Seri Najib menuju ke Perdana Menteri dengan berlindung di sebalik Malaysian Insider. Untuk seketika, dia menyembunyikan kukunya  menunggu musuh lemah.  

Tetapi tiba-tiba dia tampil ke hadapan, apabila sahaja sahabat karibnya Khairy Jamaluddin menjadi menteri kabinet, memperlihatkan kepakarannya mencakar can cakaran ini  jika  terlalu  angkuh akan merosakan masa depan Khairy.

Konspirasinya dengan Khairy Jamaluddin diketahui umum dan demikian juga dalam percubaan untuk menyekat  Datuk Seri Najib ke kedudukan No 1. Ketika dia berada dipuncak kuasa NST, dia mengarahkan akhbar itu ke arah memburukan Tun Dr. Mahathir dan menidakkan semua jasanya..

Sebagai seorang rasis yang anti Melayu, dia tidak merasakan perbuatannya itu adalah menghina  rakyat Malaysia  yang menyanjung dan memuja Dr. Mahathir sebagai penebus maruah bangsa dan dan pemahkotaan nama negara diseluruh dunia.

Kalimullah tidak dapat meliahat diluar kotak rasismenya. Apabila orang Melayu dan Islam melihatnya sebagai tidak menghormati kedaulatan agama Islam dan juga tidak menghromati orang Melayu ketika dia mempersendakan Nabi Muhammad dengan siaran gambar kartun Nabi  berkali-kali, walaupun dibantah oleh umat Islam (Mukhriz tentu masih ingat), maka dia merasakan ketika itu sebagai juara liberalisme dan pluralisme agama di Malaysia.Dia merasa selamat kerana berlindung dibawah ketiak Khairy.


Kalimullah mempunyai sikap anti semuanya yang bersifat Melayu.Kalimullah  tidak sedar apabila dia tidak senangi oleh majority besar rakyat Malaysia dan hanya diberikan tepukan  oleh sebahagian kecil  bukan Melayu,maka dia adalah rasis.

Kebencian bangsa Melayu kepadanya menunjukkan bahawa dia rasis.

Tidak semesti seseorang itu tidak rasis, bila dia menjadi popular hanya kepada bukan Melayu yang merupakan golongan kecil.

Adalah lebih baik bagi Khairy memisahkan diri dari seorang yang rasis seperti ini, kerana sebarang hubungan dengannya akan menyebabkannya terpalit, akan  membuka kembali pekong luka lama yang akan memburukan masa depannya. Bahawa Kalimullah menyerang Utusan Melayu dilihat oleh rakyat,pemerhati pemerhati pemerhati politik  khususnya; orang Melayu  sebagai menumpang kekuatan Khairy. 

Masa depan Khairy bukan berada di tangan Kalimullah, tetapi di tangan UMNO dan ditangan rakyat Malaysia. Jika dia tidak berhati-hati  maka pelaung  menjadi Perdana Menteri di hari muka  akan musnah..

Pada peringkat ini, Khairy harus memilih antara Utusan Malaysia, Kalimullah atau Air Asia. Seorang Ketua Pemuda mesti berani  untuk mempertahankan warisan suara keramat bangsa Malaysia yang  keagungannya tercatit dalam lipatan sejarah negara. ( Untuk mengetahui lebih lanjut bacalah buku saya yang  baru diterbitkan:  Kisah Sejarah Utusan Melayu Didepan Api Di Belakang Duri. Terjual di MPH dan lain lain kedai buku di seluruh negara. Bahasa Inggerisnya sedang diterjemahkan oleh Wan Hulaimi  wartawan bebas di  London yang menterjemahkan buku saya Mahathir Di Sebalik Tabir - Sumber Zainuddin Maidin

Selepas Zahid, Muhyiddin Pula Tunjuk Ketegasan!

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) membuat pengubahsuaian dalam Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam tempatan (IPTA).

Dong Zong pada 1 April lalu, sebelum pilihan raya umum ke -13 telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang tentang pengiiktirafan UEC, namun tiada sebarang kata putus dicapai.

"Pendirian kerajaan jelas, kalau ada perubahan pun kita mahu pihak disebelah sana buat pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara.

"Mana-mana pihak yang mahukan mereka diterima, mereka juga harus bersedia buat sedikit perubahan," kata Muhyiddin (gambar) merujuk kepada tuntutan kumpulan tersebut yang mahu UEC diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Dalam perjumpaan sebelum ini dengan Dong Zong, Najib menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA.

Dalam sidang media hari ini di Kementerian Pengajian Tinggi di sini, Muhyiddin berkata setakat ini Dong Zong belum memberikan sebarang jaminan untuk membuat sebarang pengubahsuaian terhadap syarat yang diberikan sebelum ini.

"Sampai sekarang kita belum terima kata putus daripada Dong Zong untuk membuat pengubahsuaian.

"Dan bagi kami, jika mereka ikut dasar dan akta, ia tidak jadi masalah," kata beliau lagi.

Dong Zong merupakan kumpulan yang aktif memperjuangkan hak pendidikan masyarakat Cina serta lantang menggesa kerajaan untuk mengiiktiraf sistem persekolahan tinggi aliran Cina, kumpulan tersebut menguruskan 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina di sekitar Malaysia.

Sekolah vernakular Cina dan Tamil hanya wujud di peringkat sekolah rendah dan merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Walaupun bahasa Mandarin dan Tamil masing-masing digunakan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran yang digunakan ialah satu sistem pendidikan kebangsaan adalah sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu.

Tiada sekolah Cina atau Tamil di peringkat sekolah menengah.

Tetapi terdapat 60 institusi swasta yang dikenali sebagai sekolah persendirian Cina, di mana Mandarin dan Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar.

Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Baru-baru ini sebaik saja berakhir pilihan raya 5 Mei, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan bekas pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat.

Dalam satu forum bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu, Mohd Noor berkata sistem persekolahan tersebut tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

"Menurut Perlembagaan, kita sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah sahaja. Sepatutnya kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"Hapuskan oleh kerana Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis kebangsaan kerana adanya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya sekolah Cina, India, ia memecah-belahkan rakyat," katanya Mohd Noor.

Abdul Rahman pula menegaskan sekolah vernakular sebagai punca perkauman semakin meluas dikalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara, serta mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sejurus kenyataan kontroversi itu, parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab kedua-dua individu tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

PR juga mengkritik dan mengecam kedua-dua individu tersebut kerana dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di dalam negara.

Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 15 Mei lalu membuat satu laporan polis ke atas Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang panel dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan berbentuk hasutan tersebut dan menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.

May 21, 2013

Zahid yang Mereka Tidak Kenali!

Biar apa-apa pun yang mereka cakap berkenaan kamu...ada yang kata bengkeng dan pongoh, ada pula yang mengutuk kamu tidak cerdik. Biarkan..cakap la apa-apa pun. Tegas dan keras mesti kamu tunjukkan. Menteri yang menjaga keselamatan negara wajib berwajah bengis dan kasar - ini bukan zaman pemuda yang menghormati orang tua, ini juga bukan zaman orang berbudi, kita berbahasa dan ini juga bukan zaman mulut manis berwajah senyum - tetapi, ini zaman orang biadab dan kurang ajar, zaman yang tidak boleh diajar dan tak mahu mendengar kata, - dan inilah juga zaman manusia bertopengkan syaitan dan Dajjal - Maka, cara untuk mengajar puak-puak Dajjal ini hanyalah dengan campuran citarasa "kurang ajar, tegas dan bermulut celupar"

Teruskan Tuan Zahid Hamidi. Kami beri kemenangan besar kepada UMNO bukan untuk menjadi pondan, kami beri undi kepada UMNO bukan untuk menjadi pengecut. Tetapi, kami mahu undi kami tempoh hari, disusuli dengan tindakan tegas, tanpa banyak cakap, beradab dan mengambil apa-apa sahaja tindakan tegas terhadap Anwar dan para penyokongnya.

Ingat! BN pernah menang besar 198 kerusi parlimen pada tahun 2004 - tetapi sejak Anwar Ibrahim keluar daripada penjara - Malaysia tidak pernah aman sentosa dan BN tidak pernah kembali memperoleh 2/3 majoriti kerusi parlimen. Apakah mesejnya? Inilah tanggungjawab Tuan Zahid. Masanya sudah tiba, untuk kita bersatu padu - gunakan seluruh kuasa yang ada - dan kuasa kebenaran pasti melenyapkan kuasa kebatilan Anwar Ibrahim. Takbirrrr....!!!!