Tetamu Kehormat...

June 4, 2013

Mimpi Ngeri Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kekecohan dan huru-hara dijangka berlaku dalam salah satu daripada lima demonstrasi jalanan yang dirancang oleh pembangkang bulan ini. Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, maklumat tentang perancangan itu diperolehinya daripada sumber dalaman pembangkang. Beliau mendakwa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang mencetuskan suasana huru-hara itu bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. "Walaupun pakatan pembangkang mendakwa mereka berhimpun secara aman, kita khuatir insiden tidak diingini seperti letupan akan berlaku sehingga mengakibatkan peserta demonstrasi tercedera. "Anwar seterusnya akan menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai dalang di sebalik insiden tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Lum Yong mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor yang mendakwa Anwar menganjurkan perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalihkan tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya. Tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau. Tambah Lum Yong, Anwar merancang untuk melakukan sesuatu yang drastik apabila menyedari momentum perhimpunan haram yang dianjurkannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin berkurangan. "Anwar akan tetap meneruskan perancangannya walaupun tidak mendapat persetujuan daripada Pas dan Bersih," ujarnya. 

Beliau juga berpandangan, motif utama Anwar menganjurkan siri perhimpunan haram adalah untuk memuaskan keghairahannya menjadi Perdana Menteri. Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar memberitahu, rakyat mahu melihat kerajaan bertindak tegas untuk mengekang perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang. "Kita tidak sepatutnya membiarkan Anwar terus membohongi rakyat dengan tuduhan palsu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi siri perhimpunan haram," ujarnya. Jelas beliau, tindakan Anwar selepas PRU-13 tidak menghairankan kerana segalanya telah dirancang sejak sekian lama.

No comments: