Tetamu Kehormat...

April 11, 2013

Siapa Lagi yang Bakal Mengikut Jejak Langkah Mereka?

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum, sekaligus menjadi presiden MCA pertama yang tidak dicalonkan. Chua berkata ini akan membantu proses peremajaan parti dengan membenarkan muka baru diketengahkan, dan juga membolehkan beliau mengetuai kempen pilihan raya MCA di seluruh negara. Saya tidak tahu sama ada beliau merajuk atau sememangnya sejak awal-awal lagi tidak direstui oleh Perdana Menteri. Namun demikian, jika beliau menarik diri atas kesedaran sendiri - maka itu petanda baik untuk BN, tetapi sekiranya atas sebab lain, maka ia memberi kesan yang buruk terhadap BN. Mana mungkin seorang yang berstatus presiden parti tidak dicalonkan untuk mewakili partinya sendiri. Ia hanya menyebabkan kemarahan ahli parti. Hal yang sama juga berlaku ke atas Ketua Wanita UMNO,  Datuk Seri Shahrizat yang turut menarik diri daripada bertanding. Ia tanda yang baik untuk parti - yakni seseorang yang ingin menjadi calon parti, bukan sahaja bersih daripada skandal, bahkan wajib kelihatan bersih daripada sebarang isu yang memungkinkan parti mengalami kekalahan teruk dalam PRU yang bakal tiba ini. 

Cerita yang sama juga berlaku ke atas PKR - presidennya Wan Azizah turut menarik diri daripada menjadi calon - atas sebab apa, kita semua tidak tahu. Namun demikian, yang jelas Wan Azizah tidak mahu menjadi beban kepada parti. BN sudah pasti akan memainkan isu "kronisme" anak beranak dalam PKR, sekiranya Wan Azizah turut menjadi calon. Wan Azizah asalnya ingin diletakkan di Permatang Pauh yang dikatakan kawasan paling selamat untuk menang. Namun demikian, penduduk di kawasan tersebut tetap mahukan Anwar. Manakala Anwar pula dilihat cuba "meluaskan" kemenangan PR melalui kaedah berhijrah ke kawasan lain bagi mewujudkan momentum kemenangan yang dikatakan semakin hampir. Namun demikian, semua strategi ini tidak lagi berhasil. Bagi mengelak PKR daripada terus dituduh sebagai parti anak-beranak - maka Wan Azizah terpaksa dikorbankan. Manakala, bagi BN pula - berundurnya Chua Soi Lek dan Shahrizat ia secara tidak langsung memberi mesej penting dan serius bahawa BN benar-benar mahukan calon yang tidak hanya berwibawa, bahkan bersih daripada sebarang skandal - soalnya benarkah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO juga dikatakan akan berundur mengikut jejak langkah Soi Lek, Shahrizat dan Wan Azizah? Kita tunggu dan lihat Jumaat ini.