Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berkata, perubahan jika ingin dibuat, sepatutnya dilakukan secara tersusun dan bukannya dengan kadar segera, lebih-lebih lagi dalam krisis ekonomi yang melanda dunia. "Beberapa negara Eropah yang menghadapi kegawatan ekonomi kini, sehingga mencetuskan masalah pengangguran ... sedangkan di Malaysia keadaannya cukup berbeza dengan ekonomi yang baik serta kadar pengangguran yang amat rendah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Agensi berita nasional itu juga melaporkan, mengenai persekitaran kempen politik semasa, Daim percaya BN mampu memenangi dua pertiga daripada kerusi Parlimen pada pilihan raya ini. Beliau berkata pada pilihan raya 2008, BN menghadapi masalah berkaitan sabotaj dalaman, namun kali ini Pakatan Rakyat pula sedang menghadapi masalah sama apabila ramai beranggapan mereka boleh menang di kawasan tertentu lalu bertanding Bebas.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap pada majlis kempen calon BN Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen itu malam tadi, Daim berkata kecekapan jentera penting bagi memastikan calon bertanding terus mendapat sokongan berbanding kehadiran besar dalam ceramah. Beliau berkata, apabila jentera pilihan raya yang cekap serta lancar mampu mengenepikan sebarang unsur sabotaj, sekali gus menjamin kejayaan calon yang bertanding. Menurutnya, ceramah Pakatan biasanya berusaha membawa ramai 'orang luar' untuk menggambarkan kempen mereka mendapat sokongan hebat.

Bagaimanapun, jelas beliau, ada hadirin ke ceramah pembangkang hanya disebabkan perasaan ingin tahu atau sekadar 'suka' mendengar kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan. Terdahulu Tengku Adnan dalam ucapannya menghargai kehadiran Daim dan turut bersama para hadirin menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi" buat beliau.