Tetamu Kehormat...

April 25, 2013

Di Sini Tiada Lagi Hassan Ali!

Sehari dua ini timbul pula kisah kesediaan PAS memberi izin kepada DAP menggunakan lambang bulannya. Ini berikutan dengan terdapat kemungkinan bahawa Pendaftar Pertubuhan berkemungkinan tidak mengizinkan DAP menggunakan lambang roketnya akibat masalah yang dihadapi oleh parti itu di dalam pemilihan pucuk pimpinan pada 15 Disember yang lalu. Sejak sebelum hari penamaan calon lagi DAP telah membayangkan hasrat mereka untuk menggunakan lambang PAS dan hasrat mereka itu telah disambut baik oleh pimpinan PAS. 

DAP pula dengan dada terbuka menerima tanda persahabatan dan kesetiakawanan PAS itu. Dari laporan yang diterima tanda persahabatan dan setiakawan itu dibuat oleh PAS dengan persyaratan bahawa DAP akan bersetuju dengan PAS untuk mendirikan Negara Islam dan melaksanakan hudud seperti yang diperjuangkan oleh Parti Islam itu. Walaupun diakhir-akhir ini kedua-dua matlamat itu kelihatan tenggelam timbul akibat daripada pengaruh Anwarinas atau parasit di dalam PAS yang di”grand design”kan oleh puak Anwar Ibrahim dan pimpinan DAP. 

Karpal Singh seperti biasa tetap dengan pendiriannya bahawa semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh PAS itu tidak menjadi sebab mengapa DAP harus melembutkan posisi yang diambil terhadap Negara Islam dan Hudud. Karpal Singh terus berkeras bahawa DAP tidak sama sekali akan mengubah pendirian bahkan kelihatan semain angkuh dan bongkak untuk menolak Islam dan Hudud. Jelas kelihatan dalam banyak hal PAS bukan sahaja setakat bersedia untuk berlembut dari sudut mempertahankan prinsip perjuangan tetapi dipihak DAP pula setakat yang diketahui aliran jalur teras yang selama ini mereka pegang dan laksana tidak pernah tergugat. 

Amaran dan ancaman sering di keluarkan oleh pimpinan tertinggi DAP seperti bersedia keluar dari Pakatan dan meletakkan jawatan  secara “en-bloc” seandainya PAS meneruskan hasrat untuk melaksanakan Negara Islam dan Hudud. PAS pula di satu sudut yang lain, kadang-kadang kelihatan begitu tegas dan sangat meyakinkan tetapi pada banyak ketikanya jalur teras yang di ambil sentiasa kehilangan taringnya bak kata pepatah menjadi lembut seperti kerak nasi. Kita diberitahu anggapan yang mengatakan bahawa DAP telah menyatakan kesanggupan untuk menerima perjuangan PAS melalui permohonan mereka untuk menggunakan lambang bulan milik parti itu tidak lebih daripada sekadar pernyataan untuk melunakkan hati ahli dan penyokong PAS disamping cuba memenangi hati pengundi-pengundi Melayu Islam. 

Kenyataan balas Karpal Singh yang enggan berundur walau seincipun dari garis posisi asal mereka membayangkan bahawa DAP sememangnya parti cauvinis Cina yang berhasrat menjadikan Malaysia negara sekular dilihat begitu konsisten sejak dari awal lagi. 

Parti yang “flip flop” ialah PAS. Kita kerap melihat keghairahan pimpinan PAS memberi kenyataan media terutama dikalangan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden mereka menjadikan PAS seolah-olah hilang punca dan tidak menemui jawapan yang menepati pukulan maut untuk menyerang balas DAP. Inilah kelemahan PAS. Kelemahan itu semakin meninjol bila golongan Anwarinas atau parasit menguasai batang tubuh parti Islam itu. Untuk PRU ke 13 ini rasanya ahli dan penyokong PAS dan para pengundi tidak perlu lagi berfikir panjang dan memberi masa kepada saf pimpinan parti itu untuk menolak DAP dan PKR yang dilihat menjadi batu api kepada hubungan di antara PAS dan DAP. 

Para pengundi tanpa ragu-ragu lagi semestinya menolak Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 ini. Persoalan Negara Islam dan Hudud sebenarnya bukan sahaja tidak dipersetujui oleh DAP malah PKR pun tidak pernah memberikan persetujuan supaya Pakatan Rakyat akur kepada hasrat PAS untuk melaksanakan Negara Islam dan Hudud itu. Bagi pengundi Melayu Islam tidak ada yang lebih tinggi daripada mengagungkan Islam dalam membuat pilihan pada 5hb Mei yang akan datang ini. Atas dasar itu tidak juga PKR, tidak juga DAP dan tidak juga PAS sendiri yang mempunyai kekuatan dan daya juang yang tinggi untuk melaksanakan cita-cita agung meletakkan Islam ke mercunya. 

JATI telahpun menyatakan posisinya secara begitu jelas bahawa atas alasan-alasan yang kukuh dari sudut syarak dan realitiy politik semasa mewajibkan seiap pengundi Melayu Islam memangkah calon-calon UMNO/BN dalam PRU ke 13 ini. Diharapkan dengan sokongan NGO-NGO Muslim dan pengundi-pengundi Melayu Islam akan memberi kekuatan kepada UMNO terutamanya untuk mengambil alih tanggungjawab mendaulatkan Islam itu. Kita sama-sama mendoakan agar cita-cita dan hasrat murni ini dikabulkan oleh Allah SWT. 

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
PRESIDEN JATI
Tmn Tun Dr Ismail, KL
24 APRIL 2013

1 comment:

skodeng said...

PAS dah jauh tersasar dari matlamatnya....... PAS diperkudakan oleh puak2 yang bencikan Islam. tidakkah PAS sedar? atau PAS memang tak sedar diri?