Tetamu Kehormat...

March 28, 2013

Mengapa Parlimen Masih Belum Bubar? Hujah Khir Toyo Menghampiri Kebenaran.

1. Hari ini merupakan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sembilan berfungsi. Mungkin pada hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hasan akan mengumumkan pembubaran DUN. DUN juga boleh terbubar sendiri selepas 12 tengah malam ini. Namun saya berharapkan Menteri Besar akan mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Negeri untuk membubarkan DUN. Adalah tugas Menteri Besar untuk memohon perkenan membubarkan DUN. Jika tidak, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama dalam sejarah pilihan raya negara yang terbubar secara sendiri.

2. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai tempoh sehingga 28 April ini untuk membubarkan Parlimen. Namun sebelum tarikh tersebut akan terdapat beberapa negeri akan terbubar dahulu seperti Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang DUN pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, terdapat beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang DUN mereka pada bulan Mei 2008.

3. Kemungkinan besar Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen dalam minggu ini. Ini menjadikan kerajaan Negeri Sembilan akan berada di bawah kerajaan sementara untuk tempoh yang agak panjang.

4. Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kerajaan Negeri Selangor akan membubarkan Dewan Negeri Selangor pada 22 April 2013 sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan pada masa tersebut. Tarikh ini tidak menghairankan kerana ia merupakan hari terakhir penggal Dewan Negeri Selangor.

5. Hakikatnya, hak untuk membubarkan DUN Selangor terletak kepada Menteri Besar dan DYMM Tuanku Sultan Selangor. Ia tidak ada kena mengena dengan Penasihat Ekonomi Negeri mahu pun Ketua Umum PKR.

6. Anwar juga mendakwa Najib takut untuk membubarkan Parlimen kerana tidak yakin boleh memenangi pilihan raya umum kali ini.

7. Saya tidak fikir Najib masih belum membubarkan Parlimen kerana takut kalah. Ini kerana kajian dan pemerhatian pelbagai pihak sama oleh jentera Barisan Nasional, badan-badan pemerhati bebas, mahu pun penganalisis politik dan ekonomi antarabangsa meramalkan Barisan Nasional akan kembali memenangi pilihan raya kali ini dengan pencapain yang lebih baik dari tahun 2008.

8. Misalnya, The Economist Intelligence Unit (EIU), sebuah unit penyelidikan majalah terkemuka The Economist, meramalkan Barisan Nasional akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Malahan The Economist menyatakan bahawa pada pandangan pemerhati antarabangsa, keputusan pilihan raya jelas akan memihak kepadaBarisan Nasional.

9. Kaji selidik oleh Merdeka Centre dan Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) juga mendapati Barisan Nasional akan kembali memerintah kerajaan Persekutuan.

10. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyatakan kajian pasukannya mendapati Barisan Nasional akan memenangi 160 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun saya agak skeptikal dengan kajian ini, namun ia bukanlah mustahil.

11. Malahan Tun Daim Zainuddin sendiri yang terkenal dengan bacaan politik beliau yang sangat ampuh juga meramalkan BN akan menang dalam pilihan raya kali ini.

12. Berdasarkan pandangan pelbagai pihak dalam dan luar Negara, kajian bebas atau dilakukan oleh parti, BN akan kembali memerintah Malaysia untuk lima tahun akan datang. Justeru tidak timbul andaian dan tuduhan Anwar Ibrahim bahawa Najib tidak membubarkan Parlimen kerana takut kalah.

13. Soalan ini agak sukar untuk dijawab. Hanya Allah dan Perdana Menteri sahaja yang mengetahui sebab sebenar. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu, nyata beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk memastikan idea, falsafah dan pelan transformasinya dirasai oleh majoriti rakyat.

14. Saya fikir apa yang Najib mahukan sekarang ialah kemenangan 2/3. Untuk mendapat kemenangan 2/3 agak sukar berbanding sekadar untuk menang. Sebab itu beliau mengambil masa yang lebih sedikit untuk membuktikan kebolehan beliau dan meyakinkan sebahagian rakyat yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

15. Beliau dilihat seolah-olah tidak cukup masa untuk meyakinkan majoriti rakyat agar memberi kemenangan 2/3 kepada Barisan Nasional. Ini tidak menghairankan kerana hanya pada 3 April tahun ini genap empat tahun pentadbiran beliau. Ini bermakna beliau kekurangan setahun untuk penggal pentadbiran penuh.

16. Oleh kerana beliau mengambil alih pentadbiran dalam keadaan parti yang lemah dan berantakan, pentadbiran yang dikritik hebat dan hampir dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya 2008, tugas Najib tidak semudah disangka.

17. Selain itu, keengganan Najib membubarkan Parlimen lebih awal mungkin beliau bimbang Pakatan akan cuba membuat tindakan tidak beretika seperti melewatkan pembubaran DUN Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

18. Jika ini berlaku dan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mahu mengadakan pilihan raya serentak maka masa kerajaan Persekutuan sementara boleh mencecah sehingga dua bulan. Ini boleh memberi kesan serius kepada ekonomi dan pentadbiran Negara. Malahan masa yang sedemikian panjang boleh mengancam keselamatan sekiranya kempen politik menjadi kian panas.

19. Justeru saya fikir Najib akan hanya membubarkan Parlimen seawalnya selepas ulang tahun keempat pentadbirannya pada awal April ini atau menunggu sehingga saat akhir, sekaligus mengelakkan Pakatan melakukan taktik memanjangkan masa pilihan raya untuk menimbulkan ketegangan kepada rakyat.

20. Tindakan Najib untuk memenuhi penggal yang ada harus dipuji bukannya dikritik. Ini merupakan catatan demokrasi yang penting kepada Negara ini. Perdana Menteri memilih untuk mengabaikan keistimewaannya untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut.

21. Bukankah selalunya pembangkang menuduh tidak mempunyai cukup masa berkempen dan menuduh Barisan Nasional tidak professional kerana mengumumkan pilihan raya mengejut? Sekarang apabila semua orang sudah mengetahui bila pilihan raya akan diadakan, tiada unsur kejutan lagi, Pakatan masih tidak berpuas hati. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

22. Ramai juga yang bertanya kepada saya, mengapa Anwar begitu beria-ia mahukan pilihan raya segera sedangkan masanya memang telah pun hampir tiba. Apakah kerana beliau yakin akan menang atau takut banyak lagi isu terbongkar dan makin ramai yang meninggalkan Pakatan nanti?

21. Wallahhualam! Hanya Allah yang maha mengetahui. — www.drkhir.com

6 comments:

Anonymous said...

.
.
.
Masih berbisa hujah dari Khir Toyo.
Lagi lambat PRU13, maka lebih ranum cerita Anwar.
Lebih banyak yg terbongkar, lebih banyak nanah busuk keluar, lebih banyak kudis berjangkit dsb.

Pakatan Haram sudah tiada modal. Ceramah yang mereka bawa adalah tajuk lama - tajuk bosan yang tidak membangun.

Tajuk AES, Rosmah, Atlantunya yang semuanya telah di jawab.

Buku Jingga keluaran Pakatan Haram adalah satu yang tidak relevan dan memperbodohkan minda. Ulasan dari Khir Toyo mengenai Jingga ini amat di alu-alukan.


.

.

.

Anonymous said...

tipu budak2 tak sekolah boleh lh. cuba lh cari hujah yg biso bonar... ini hujah budak spm boleh jwb.. adoiii

Anonymous said...

Dalam kehidupan harian , mengurus perniagaan , berkasih sayang , bertugas /berkerja dan berpolitik mesti ada stretegy.PM mempunyai stretegy utk PRU13 .....tunggu dan lihat!!!!!!!!

Anonymous said...

Ternyata dari segi moral, BN sudah dianggap 'mengaku kalah' kerana jika mereka merasakan BN akan mampu membentuk kerajaan negeri, sudah pasti DUN tidak perlu dibubar atau terbubar secara automatik.

Anonymous said...

semakin lewat parlimen dibubar, semakin yakin rakyat bahawa kerajaan bn tiada keyakinan utk menang. ini pastinya memberi kelebihan kpd pakatan rakyat. rakyat tidak sabar2 mahu melihat pemimpin2 umno yg lain menerima nasib yg sama seperti khir toyo.

PRU 13 : RAKYAT VS BN

Anonymous said...

Kalau kita baca kenyataan toyo ni secara intelek ternyata apa yg cuba dimaklumkan ialah najib tidak mempunyai keyakinan. Jika najib berani saperti pak lah buat PRU13 dua tahun dulu ternyata mungkin BN boleh menang. Tapi sikap najib ni menyebabkan semua pihak bersetuju BN sedang menuju kehancuran. Kita lihat lim kit siang dan pemimpin pas kini semakin berani utk menawan johor. Sebab mereka yakin menang.