Tetamu Kehormat...

March 28, 2013

DUN Negeri Sembilan Automatik Bubar Hari Ini!

SEREMBAN 28 Mac - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terbubar secara automatik hari ini apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam tadi, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di negara ini. Pembubaran itu berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(3) yang menyatakan Dewan Negeri berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama dan kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu. Mesyuarat pertama DUN Negeri Sembilan berlangsung pada 27 Mac 2008 dengan agenda utama melantik Speaker dan upacara mengangkat sumpah anggota DUN. Selama ini, DUN Negeri Sembilan dibubarkan lebih awal sebelum tamat tempohnya dengan tarikh pembubarannya dibuat mengikut tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum bagi kawasan DUN dan Parlimen di negeri ini diadakan serentak. Memandangkan Parlimen belum dibubarkan lagi setakat ini, maka DUN negeri ini terbubar secara automatik tengah malam tadi berdasarkan fakta ia merupakan yang pertama bersidang berbanding DUN lain serta Parlimen. Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac, 2008. Sidang pertama Dewan Rakyat berlangsung pada 28 April, 2008. Bagi DUN lain, Pahang mengadakan mesyuarat pertamanya tahun itu pada 7 April, Johor dan Melaka (21 April), Selangor (22 April), Perak (25 April), Perlis dan Kelantan (28 April), Pulau Pinang (2 Mei) serta Terengganu, Sabah dan Kedah pada 5 Mei. Berikutan pembubaran secara automatik DUN Negeri Sembilan, pilihan raya untuk kerusi DUN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut peraturan pilihan raya. Negeri Sembilan kini ditadbir kerajaan sementara di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Sementara itu, Speaker DUN Negeri Sembilan Datuk Razak Mansor berkata, beliau akan memaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran secara sendirinya badan membuat undang-undang itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini. - BERNAMA

3 comments:

Anonymous said...

Agaknya kita tak payah.pakai sultan lagi. Nak bubar pun dah tak mau ikut adat mengadap sultan terlebih dulu minta perkenan. Yelah dah moden main otomatik sajalah...

Anonymous said...

apa masalah dengan otomatik?? mana ko tahu MB x mengadap sultan??

Anonymous said...

Masaalahnya jawatan mb akan terbubar dengan bubarnya dewan undangan negeri. Oleh kerana pekenan Yang Di Pertuan Besar belum diperolehi secara otomatik mb tidak dapat pekenan untuk menjadi mb sementara dan yang paling layak memangku jawatan mb ialah setiausaha kerajaan negeri. Waktu mb datang mengadap beliau sudah tiada apa-apa jawatan. Perkara paling mudah untuk mb minta perkenan sebelum bubar tidak dilakukan dan ini memudahkan pembangkang menjadikan issu sensasi.