Tetamu Kehormat...

December 26, 2012

Kenyataan Terbaru Tuan Ibrahim dedah Wajah Sebenar PAS

PAS mula rasa tertekan, ragu, kelam-kabut dan panas dengan kenyataan terkini Lim Guan Eng berhubung isu kalimah Allah yang tetap mahu digunakan oleh penganut Kristian di dalam kitab Bible mereka. PAS berpecah kepada dua kumpulan dalam menjawab permasalahan ini - golongan pertama yang diketuai Nik Aziz secara "mudah" mengizinkan nama Allah digunakan oleh penganut Kristian bagi menggantikan perkataan "God" di dalam Bible. Manakala golongan kedua pula yang diketuai oleh Harun Din secara tegas menolak kehendak Lim Guan Eng tersebut. Mungkin agaknya, PAS melihat pengaruhnya yang sejak akhir-akhir ini semakin lemah, dengan kadar segera menukar strategi melalui lidah Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim bagi menangani isu sensitif ini daripada terus memakan diri. Sekiranya dahulu PAS sangat bertegas dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh puak-puak Kristian, kini nada mereka sudah mula berbeda. Mengapa ye? Inilah padahnya jika mereka "beriman" kepada Tahalul Siyasi dengan menggunakan hawa nafsu. PAS terlalu yakin dan percaya untuk menang dan martabatkan Islam di Malaysia, mereka "wajib" bekerjasama (tahalul siyasi) dengan DAP (yang tidak gemar kepada Islam itu) dan pada masa yang sama meninggalkan umat Islam yang lain - benarkan kefahaman seperti ini? Benarkan ini cara yang diajar oleh Rasulullah?

Parti yang tidak tentu hala prinsip perjuangannya seperti PAS, sudah tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. PAS sudah benar-benar terpesong daripada landasan asal perjuangan mereka. Demi kuasa dan putrajaya, PAS seolah-olah hampir "sudah beriman" dengan "Tahalul Siyasi" - kononnya Tahalul Siyasi dengan DAP la satu-satunya jalan untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia tercinta ini! Benarkan begitu? PAS diingatkan jangan menambah rukun Iman. Islam boleh ditegak dan dimartabatkan di Malaysia tanpa memerlukan bantuan DAP! Cukuplah Allah dan Rasul menjadi pembela bagi kita semua. Wallahualam.

Berikut ialah kenyataan penuh Tuan Ibrahim: Soalnya mengapa bukan Nik Aziz yang membuat kenyataan? Bukankah sebelum ini Nik Aziz yang sangat lantang dan ke hadapan dalam menangani isu kalimah Allah ini?


Bible Bahasa Melayu menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan


PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.

Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.

Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.

Harus diingat, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya.

Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Sehubungan itu,  permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.

Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.



Tuan Ibrahim Tuan Man


Ketua Penerangan PAS Pusat

26 Disember 2012

Isu Guna Kalimah Allah Cukup Dr. Haron Din yang Menjawabnya


Kita Masih Lena Dibuai Mimpi

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Kerajaan Persekutuan digesa untuk membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu. Dalam perutusan Krismas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini,  gesaan itu dibuat berikutan kerajaan Barisan Nasional (BN) jelasnya sering melaungkan bahawa mereka mesra rakyat yang membawa keamanan, kemakmuran berlandaskan prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi termasuk juga integriti. “Selain membenarkan perkataan Allah seperti yang digunakan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan ribuan tahun di negara Timur Tengah, BN juga harus menghentikan taktik menakutkan pengundi Melayu dengan mendakwa negara Kristian akan tertubuh di negara ini. “Penganut Kristian tidak pernah mahu menubuhkan sebuah negara Kristian di negara ini ... mereka taat kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya dalam perutusan tersebut. Akhbar The Herald menerima masalah apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghalamg penerbitan bahasa Melayu Bible - Al Kitab - daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian. Mahkamah bagaimanapun pada 2009 memutuskan tindakan KDN itu bercanggah dengan sistem perundangan, dan penghakiman tersebut menyebabkan siri serangan ke atas beberapa gereja di negara ini. Kerajaan Persekutuan berhujah penggunaan perkataan Allah adalah eksklusif untuk komuniti Islam sahaja.