KUALA LUMPUR 16
Okt. - Tiga anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Pulau
Pinang iaitu Penang Global Tourism Sdn. Bhd. (PGTSB), PDC Nusabina Sdn.
Bhd. (PDCN) dan PDC Homes Sdn. Bhd. (PDCH) didapati telah mencatat
kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan 2008 hingga 2010. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati, kerugian terkumpul
sehingga 2010 bagi ketiga-tiga syarikat itu berjumlah lebih RM6.8 juta
iaitu masing-masing RM1.09 juta, RM5.16 juta dan RM583,035. PGTSB yang bertindak sebagai Majlis Tindakan Pelancongan Negeri itu
mencatatkan kerugian tersebut ekoran peningkatan jumlah perbelanjaan
berbanding kekurangan pendapatan yang diterima.
Peningkatan ketara terhadap jumlah operasi dan pentadbiran iaitu
daripada RM2.67 juta pada 2009 kepada RM4.66 juta pada 2010 ekoran
promosi perlancongan yang dijalankan Pejabat Pelancongan Negeri Pulau
Pinang telah dipindahkan kepada PGTSB yang berjumlah RM2.96 juta "Pada pendapat audit, PGTSB perlu mengkaji keperluan untuk membiayai
perbelanjaan aktiviti promosi yang dijalankan pejabat pelancongan Negeri
bagi memastikan kawalan dalaman terhadap peruntukan dan perbelanjaan
aktiviti dapat ditingkatkan," kata laporan itu.
Kerugian terkumpul tertinggi yang dicatatkan PDCN iaitu sebuah
syarikat kontraktor industri pembinaan kerja-kerja awam dan struktur itu
disebabkan penurunan pendapatan ketara pada 2010 berbanding tahun
sebelumnya kerana sebahagian besar pendapatan bayaran projek yang
dijalankan pada tahun sebelumnya diterima pada 2008 dan 2009. Oleh itu, pada pendapat audit, PDCN perlu mendapatkan lebih banyak
projek pada masa akan datang supaya operasi syarikat mampu menjana
keuntungan.
Sementara itu, PDCH yang melaksanakan projek-projek perumahan dan
komersial mencatatkan kerugian tersebut untuk tiga tahun berturut-turut
disebabkan jumlah perbelanjaan pentadbiran meningkat dan tiada
pendapatan daripada projek yang diperoleh kerana projek pembinaan hanya
bermula pada Disember 2010 dan belum dijual. Selain itu, PDCH juga tidak menyediakan perancangan jangka panjang bagi menentukan hala tuju syarikat. "Syor audit ialah PDCH sebagai pemilik dan pegawai penguasa projek
perlu meningkatkan pemantauan terhadap projek-projek yang dijalankan
serta memastikan kesemua peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa
tempatan dipatuhi sepenuhnya," katanya.
