AIDCNews – 14/06/12 – Seperti kata Ibnu Kaldun, ‘jika kamu ingin
melihat generasi yang akan datang, maka lihatlah generasi pada masa
kini’. Apa yang bakal terjadi kepada generasi Malaysia pada masa hadapan,
maka lihatlah apa yang telah berlaku kepada generasi Mesir pada masa
kini. Meskipun geopolitik ataupun geosenario di antara Mesir dan Malaysia
berbeza, namun ada usaha bersungguh-sungguh untuk mengimport apa yang
berlaku di Dataran Tahrir juga berlaku di Dataran Merdeka. Kestabilan politik tergugat, negara huru hara dan ekonomi merudum,
itulah yang telah terjadi di Mesir, meskipun hampir satu tahun Hosni
Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Penaja dana-dana asing yang sama menyalurkan dana kepada NGO-NGO
tempatan di Mesir dan Malaysia untuk mengadakan demonstrasi jalanan. “Kita lihat apa yang berlaku di Malaysia, juga berlaku di Mesir.
Misalnya NDI dan Konrad Adenauer Foundation memberi bantuan kepada NGO
kononnya untuk memperkayakan demokrasi. “Dan kita lihat NGO-NGO tersebut pula menggunakan dana itu untuk memporak-perandakan dan menyusahkan lagi proses demokrasi. “Sama juga di Malaysia. Agenda tersuratnya memang baik, tidak ada
salahnya untuk memperkayakan demokrasi, tetapi bagaimana pula dengan
agenda tersiratnya..? “kata pakar Geostrategis dari UTM, Dr Azmi Hassan.
Menurutnya, selepas revolusi Mesir, keadaan ekonomi lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan era Presiden Hosni Mubarak. “Kerana ekonomi negara mereka sekarang jatuh teruk. Tiada siapa mahu
melabur di Mesir walaupun dikatakan demokrasi telah berjalan dengan
begitu baik sekali, pilihan raya Parlimen telah dijalankan, pilihan raya
Presiden pun hampir-hampir tamat. “Tetapi ekonomi Mesir bukan sahaja tidak berada di takuk lama, tapi
makin teruk daripada era Hosni Mubarak yang dituduh dikatator itu
sendiri”
Ikutilah wawancara lengkap AIDC bersama Dr Azmi Hassan, 6 Jun di UTM Jalan Semarak.
AIDC : Dr. pernah bercakap tentang ‘cobra gold,’ iaitu
latihan ketenteraan Amerika Syarikat dengan beberapa negara. Boleh Dr
jelaskan lebih lanjut..
Dr Azmi : Latihan Cobra Gold asalnya ditubuhkan adalah di
antara Thailand dan Amerika Syarikat (AS) sahaja. Dua negara sahaja.
Tetapi setelah beberapa kali dijalankan, kebanyakan latihan diadakan
berdekatan perairan Thailand. Beberapa negara menjadi pemerhati. Ini
termasuklah Singapura, Malaysia, Brunei dan juga Korea Selatan. Jadi, pada ketika ini Malaysia dikatakan bukan sahaja sebagai pemerhati, tetapi sebagai anggota tetap cobra gold. Maksudnya, jika dilakukan latihan cobra gold, Malaysia juga boleh turut serta. Jadi, apakah kebaikan latihan ketenteraan ini adalah untuk
memantapkan kerjasama pertahanan supaya kita dapat memahami di antara
satu sama lain. Bukan sahaja di antara Malaysia-Thailand, tetapi di
antara Malaysia-Thailand dan juga AS Presiden AS, Barrack Obama mengatakan bahawa, kawasan Asia Pasifik
sebagai pangsi kepada startegi global. Bermaksud rantau ini adalah
penting bagi mereka. Jadi adalah penting bagi Malaysia untuk turut serta
supaya kita tidak ketinggalan. Supaya kita tidak disisihkan dalam arus
global yang baru ini. Kita patut bersama-sama, bukannya menjadi sekutu AS tapi bersama-sama supaya kita tahu apa yang berlaku.
Bermakna, tidak bijaksana kita menyisihkan daripada cobra gold ini ?
Memang betul sebab kita tahu AS adalah kuasa yang hampir unipolar,
kuasa tunggal. Jadi, tidak memberi manfaat kepada Malaysia kalau kita
menyisihkan diri daripadanya. Walaupun Malaysia bukan sekutu kuat AS secara di atas kertas, tapi
kita bersama-sama dalam menjaga keselamatan Asia Pasifik ataupun menjaga
keselamatan Asia Tenggara itu sendiri. Jadi, kita bukan hanya berbaik dengan AS, tetapi kita juga
berbaik-baik dengan China, kuasa tunggal yang besar di rantau Asia
Pasifik. Jadi, itulah prinsip dasar luar Malaysia yang dipegang selama ini.
Tidak menyebelahi mana-mana pihak dan juga tidak memusuhi mana-mana
pihak. Kita sertai cobra gold kerana ingin tahu apa yang berlaku di antara AS, Thailand dan sekutu-sekutunya yang lain. Itu prinsip utama kita. Bukan berpihak-pihak ataupun menyebelahi mana-mana satu pihak sahaja.
Tetapi adakah AS mempunyai agenda lain katanya pada masa
hadapan akan merancang untuk memindahkan majoriti armada ke Asia
Pasifik. Seperti kesinambungan daripada cobra gold ?
Cobra gold itu hanya sebahagian kecil sahaja kerana ia sudah bermula sejak dua dekad. Tetapi strategi nak memindahkan sebahagian besar armada ini berpunca
daripada polisi Presiden Barrack Obama. Satu faktor sahaja kenapa mereka
memberi tumpuan kepada Asia Pasifik kerana kebangkitan China dari segi
ekonomi dan juga dari segi ketenteraan. Tiada cara lain untuk mengekang China daripada bertindak sesuka hati
kecuali AS hadir di Asia Pasifik secara besar-besaran. Itu saja caranya. Polisi menempatkan semula armada mereka di Asia Pasifik bukan satu
perkara baru. Memang sudah lama, cuma baru-baru ini diputuskan mereka
perlu memindahkan aset-aset tertentu secara besar-besaran daripada
Atlantik ke Pasifik. Jadi, kita mesti tahu muslihatnya.
Muslihatnya bukan lagi tersirat.
Sudah tersurat walaupun dinafikan. Muslihatnya kerana kebangkitan China. Sebab itu dikatakan tadi, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka
tidak boleh nampak menyebelahi mana-mana pihak. Kita tidak boleh nampak
menyebelahi pihak AS, juga tidak boleh mengenepikan China kerana jumlah
dagangan China-Malaysia atau China-ASEAN, jumlah begitu besar. kalau Presiden Barrack Obama mengatakan itu adalah strategi pangsi,
Pasifik, namun dua tiga hari lepas, Setiausaha Pertahanan, Leon Panneta
mengatakan ini bukan Pangsi, ini cuma mengimbangi.
Jadi, apa pun ungkapan yang digunakan, kita perlu berhati-hati dengan agenda mereka supaya kita tidak terperangkap. Tetapi dalam masa sama, Malaysia perlu memanfaatkan kehadiran AS sebaik-baiknya. Sebab saya melihat, sekiranya tanpa AS, China akan berleluasa
tingkah-laku mereka. Jika kita lihat tuntutan bertindih Spratly ataupun
Paracel, China bertindak sesuka hati. Jadi, Malaysia perlu pandai menggunakan kehadiran AS untuk sedikit sebanyak mengekang China. Sebab sekarang ini kita lihat, Asean kalah dengan China. Jadi, kita perlukan sesuatu. Kita kena pandai, strategi kena betul.
Ada pendapat mengatakan Datuk Seri Najib dikatakan disenangi oleh kuasa-kuasa formal, manakala kuasa-kuasa lobi, behind the scenes pula lebih cenderung kepada Datuk Seri Anwar dan mereka pula mahu Selat Melaka.
.
Ya, Selat Melaka jelas sekali begitu penting kerana sebahagian besar
laluan minyak dari negara Asia Barat, ke Korea Selatan, China, Jepun
melalui selat ini. Jadi, sesiapa yang dapat mengawal Selat Melaka ini seumpama mempunyai satu landasan yang hebat. Kalau kita nak anologikan, Iran mengawal Selat Hormuz. Kalau tutup
Selat Hormuz, habis Negara Arab eksport minyak. Jadi siapa mengawal
Selat Melaka, mereka akan berkuasa. Jadi berbalik kepada perbandingan antara Datuk Seri Najib dengan Datuk Seri Anwar itu, siapa yang dipilih kuasa besar. Ramai mengatakan Najib begitu cenderung mahu berbaik dengan AS,
tetapi, kalau kita lihat dasar-dasar beliau, tingkah-laku beliau, tidak
menjurus ke arah itu.
Beliau menggunakan prinsip bahawa kepentingan
Malaysia perlu didahulukan. Kalau kita ingat, empat tahun lepas, AS cuba mengutarakan apa dipanggil ‘Original Barry Times Security Initiative’ untuk Selat Melaka, iaitu untuk membawa marin-marin AS supaya menjadi peronda di Selat Melaka. Pada ketika itu, Malaysia menolak..Malaysia tidak mahu. Kerana
Malaysia tidak mahu kedudukan marin AS itu akan membawa pencegahan dari
segi keselamatan geopolitik Asean. Justeru dalam konteks ini, kita lihat Najib berfikiran secara rasional. Maka, nak kata Malaysia tunduk kepada AS, saya tidak nampak perkara
itu berlaku. Kerana dalam banyak perkara, polisi-polisi yang cuba
dikemukakan kepada Malaysia, ditolak. Satu lagi contoh..saya katakan ‘paksaan’ AS untuk menyertai dalam inisiatif yang dipanggil PSI, ‘Population Security Initiative’ untuk mengekang penularan bahan-bahan nuklear.
Malaysia mengatakan, negara ini tidak boleh menyertai regim tersebut
kerana ianya tidak direstui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB), tetapi hanya inisiatif dari AS. Tetapi, untuk mengekang penularan nuklear ini, Malaysia
memperkenalkan undang-undangnya tersendiri, di bawah naungan
undang-undang antarabangsa, iaitu ‘strict the bill’ pada tahun 2010. Jadi banyak perkara di antara Malaysia dengan AS, memang mempunyai
hubungan yang agak akrab, tetapi Malaysia mempunyai prinsipnya yang
tersendiri.
Tapi berbeza dengan Anwar, kita tahu bahawa ada dua tiga orang
pemimpin AS begitu mudah atau begitu intim dengan beliau. Saya melihat
mereka begitu mudah mempergunakannya jikalau Anwar ditakdirkan menjadi
Perdana Menteri Malaysia. Jadi, itu bezanya. Memang benar Najib dengan Washington memang
rapat. Memang benar, Anwar dengan Washington memang rapat. Tetapi,
kerapatan, keakraban itu berada pada landasan yang berbeza. Kita ada bukti-bukti yang telah mengesahkan perkara ini sememangnya benar dan berlaku.
Kalau sekiranya lobi-lobi AS seperti Madeline Albright, Al
Gore, Paul Wolfowitz dan sebagainya melalui NGO-NGO mereka mahu Anwar
berkuasa di Malaysia, maknanya tidak boleh ditolak kemungkinannya itu ?
Bukan sahaja tidak boleh ditolak kemungkinan itu tetapi itulah
hakikat yang sebenarnya. Kumpulan itu sememangnya merestui Anwar menjadi
Perdana Menteri Malaysia. Memang jelas mereka mahu mempergunakan kedudukan dan jawatannya
sebagai Perdana Menteri itu. Sebabnya mereka tidak boleh mempergunakan
Najib, jadi mereka mereka memilih calon alternatif. Sememangnya dari beberapa peristiwa yang sudah berlaku, sudah ada
isyarat yang menunjukkan mereka mampu mempergunakan Anwar untuk
kepentingan agenda mereka. Kalau kita lihat sekarang, bantuan dana asing kepada NGO-NGO ataupun
parti politik yang menggunakan prinsip memperkayakan demokrasi.
Kita
lihat bagaimana mereka menggunakan dana asing itu untuk memperjuangkan
agenda asing di negara kita sendiri. Jadi, begitu jelas, walaupun belum lagi menjadi Perdana Menteri,
tetapi mereka sudah boleh mempergunakannya dan bersedia memperjuangkan
agenda asing. Jadi, bayangkan kalau sudah menjadi Perdana Menteri ? Sememangnya itu merupakan satu perkara yang sudah terang, bukan lagi satu anggapan ataupun propaganda.
Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga sendiri mengaku menerima
dana daripada yayasan dana asing, OSI (Open Society Institue) dan NDI
(National Endowment for Democracy), manakala dalam masa sama Ambiga
sering dikaitkan dalam agenda bersama dengan Anwar.
Itu yang mereka katakan, terima dana itu untuk memperluaskan, memperkayakan demokrasi. Tetapi kita lihat apa yang berlaku di Malaysia, juga berlaku di
Mesir. Misalnya NDI dan Konrad Adenauer Foundation memberi bantuan
kepada NGO kononnya untuk memperkayakan demokrasi. Dan kita lihat NGO-NGO tersebut pula menggunakan dana itu untuk memporak-perandakan dan menyusahkan lagi proses demokrasi. Sama juga di Malaysia. Agenda tersuratnya memang baik, tidak ada
salahnya untuk memperkayakan demokrasi, tetapi bagaimana pula dengan
agenda tersiratnya..? Bersih menerima dana asing, mereka mengatakan demonstrasi jalanan itu
salah satu cara mereka, dengan secara tidak langsung menyusahkan dan
memudaratkan negara. Jadi, kita perlu berhati-hati dengan badan-badan yang menerima dana
asing ini. Memperjuangkan agenda mereka sebenarnya memperjuangkan agenda
tersirat pembahagi dana tersebut. Itu yang kita perlu hati-hati.
NGO-NGO pemberi dana di Mesir dan Malaysia adalah dari
kelompok yang sama, seperti ada pertalian dan membuktikan digerakkan
oleh dalang yang sama ?
Memang. Kalau kita lihat sejarah penubuhan NDI semasa era Presiden
AS, Ronald Reagan. Apa yang dilakukan oleh NDI pada hari ini sebenarnya
pernah dilakukan oleh CIA iaitu menyalurkan bantuan kepada NGO-NGO
untuk menjatuhkan pemerintah negara mereka. Tetapi dalam masa sama NGO –NGO itu pula bersetuju dengan CIA ataupun Washington. Tindakan ini bertentangan dengan akta CIA itu sendiri, maka tidak
hairan selepas itu ditubuh pula NDI supaya nampak satu pertubuhan bukan
kerajaan yang tidak bahaya. Supaya nampak apa yang cuba dilakukan oleh NDI itu begitu murni
sekali, memperjuangkan demokrasi. Maka, ramai yang tidak mempersoalkan
motifnya. Kalau CIA itu, lain bunyinya. Persepsi pun lain. NDI walaupun memperjuangkan demokrasi tapi perjuangan demokrasi
mereka hanya kepada negara-negara yang tidak selari dengan Washington.
Itu jelas sekali.
Mungkinkah bantuan NGO-NGO yang kebanyakannya ditaja oleh
lobi-lobi Zionis ini kerana faktor penglibatan Anwar dalam badan-badan
antarabangasa seperti International Crisis Group (ICG) ataupun Council
of Foreign Relation (CFR). Jadi, mereka perlu bantu rangkaian mereka
dalam konteks di Malaysia ?
Memang. Mengapa mereka begitu senang membantu Anwar kerana beliau
sudah dikenali sejak dari zaman beliau berada dalam kerajaan pada satu
masa dahulu. Dari situ asasnya, dari segi arena antarabangsa. Masalahnya, bantuan itu bukan untuk kebaikan negara kita. Bukan untuk
kebaikan negara tetapi kebaikan untuk sesiapa yang memberi bantuan itu.
Katakan Washington, untuk kebaikan Washington, tetapi apakah agenda
tersirat mereka ? Cuba kita fikir, jikalau kepimpinan Malaysia sekarang boleh
bekerjasama dengan AS, kenapa mereka masih perlu memberi bantuan kepada
pihak pembangkang ataupun NGO yang membangkang. Kenapa pihak luar beriya-iya memberi bantuan kepada pembangkang.
Kerana mereka tahu, satu hari nanti mereka boleh menggunakan pelaburan
yang telah mereka laburkan untuk meraih manfaat mengikut agenda mereka
sendiri.
Sebab itu Ketua Pembangkang mahukan perhimpunan BERSIH
berlaku di Malaysia walaupun pada hakikatnya suasana di Timur Tengah dan
Malaysia berbeza ?
Memang betul. Anwar cuba menggunakan sentimen, menyemarakkan sanubari
rakyat Malaysia yang mungkin bermaksud, ‘ tengok apa yang berlaku di
Negara Arab, Mesir, Tunisia dan lain-lain itu, juga boleh berlaku di
Malaysia’. Jadi, beliau mengajak rakyat Malaysia supaya berdemonstrasi, mungkin
lebih jauh lagi menyeru supaya berlaku satu revolusi untuk menjatuhkan
kerajaan yang sedia ada. Tapi satu perkara yang perlu kita fahami adalah senario di Negara Arab dengan senario yang berlaku di negara kita jauh berbeza. Tidak ada pemangkin yang boleh menyemarakkan hati rakyat Malaysia supaya memberontak terhadap kepimpinan kerajaan sekarang. Mesir, 40 tahun di bawah Hosni Mubarak. Tunisia, dah lama di bawah
Zine al-Abedine. Itu pemangkinnya. Dah lama, 10 tahun..20 tahun..satu
dekad..dua dekad di bawah kepimpinan diktator. Perkara ini tidak berlaku
di Malaysia. Jadi, untuk menyamakan bahawa apa yang berlaku di negara Arab boleh
juga berlaku di Malaysia, itu adalah satu persepsi yang saya katakan
sebagai dangkal dan tidak mengerti realiti yang sebenarnya.
Seperti kata Tun Dr. Mahathir “Bukan soal pilihanraya,
tetapi melakukan demonstrasi jalanan sebelum dan selepas pilihan raya
untuk mengambil kuasa..”
Memang benar apa yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir itu. Kalau kita lihat modus operandi pembangkang, itu saja cara mereka,
berdemonstrasi di jalanan. Cubaan menghuru-harakan negara dengan harapan
sesuatu yang buruk boleh berlaku dan kerajaan yang sedia ada boleh
dijatuhkan. Dalam masa sama, pembangkang cuba memberi gambaran bahawa
pemerintahan Malaysia adalah satu pemerintahan yang kejam, pemimpin
diktator dan sebagainya. Itulah cara untuk menggambarkan kepada rakyat Malaysia dan masyarakat
global dengan harapan kekacauan akan berlaku. Itulah modus operandi
mereka. Kalau secara aman, secara demokrasi..sukar mereka untuk menawan
Putrajaya. Jadi, mereka perlu melakukan perkara yang luar biasa, cara
yang tidak sah, cara kekejaman atau revolusi. Sebab itu mereka suka menggunakan ungkapan revolusi untuk menjatuhkan
kerajaan. Itu modus operandi mereka. Bukan sesuatu yang menghairankan,
sudah berlaku di negara-negara lain, sebab itu rakyat Malaysia kena
memahaminya secara mendalam.
Maka tidak hairan, dalam satu penggal, dua perhimpunan yang membawa mesej sama dilaksanakan iaitu BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0..
Sebab itu kalau kita lihat Bersih yang baru-baru ini, BERSIH 3.0,
banyak kelompok yang berbeza-beza. Ada kelompok yang memperjuangkan isu
pilihan raya. Ada kelompok yang memperjuangkan tentang alam sekitar. Tetapi, mereka cuba gambarkan, ‘sebegitu ramai yang hadir itu adalah
memperjuangkan satu revolusi untuk membantah kepimpinan yang sedia ada’.
Itu yang cuba mereka gambarkan. Kalau kita lihat apa yang sebenarnya berlaku, kelompok yang cuba
melakukan revolusi ini adalah sekumpulan kecil sahaja, yang lain cuma
terpalit kerana mereka berada di situ. Maka selepas perhimpunan BERSIH 3.O, ramai di kalangan mereka berasa terkilan, terkilan kerana perhimpunan mereka telah dihijack, diperalatkan oleh sekumpulan tertentu dari pihak politik parti pembangkang. Kaedah mereka untuk menjatuhkan kerajaan ini bukan secara halal,
bukan secara gentleman, tetapi menggunakan silap mata, cuba mengaburi
persepsi rakyat dan pengundi di Malaysia.
Mungkin unsur hijack sudah berlaku dalam Bersih 2.0, tetapi lebih menyerlah dalam BERSIH 3.0…
Ya, memang benar. Yang sedihnya semuanya terpalit sama. Mereka yang
memperjuangkan isu yang betul, yang mereka percaya juga turut terpalit
dengan agenda tertentu yang dibawa oleh sekumpulan kecil itu. Nampak
seperti mereka telah dipergunakan. Sebab itu kita perlu berhati-hati walaupun apa yang diperjuangkan itu
betul, tetapi jangan sampai dipergunakan, diperalatkan untuk mencapai
cita-cita pihak yang lain. Sebab itu dalam masa pilihan raya akan datang, tidak lama lagi, kita
kena berfikir betul-betul kerana peristiwa yang berlaku itu menyerlahkan
fakta yang sebenar. Apakah mereka mahukan kerajaan sekarang meneruskan kepimpinannya memerintah ataupun mahukan sesuatu yang baru memerintah.
Kena fikir berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan.
Di Mesir selepas revolusi, selepas Hosni Mubarak berundur, apa berlaku seterusnya ?
Kalau sesebuah kerajaan itu dijatuhkan secara paksa, secara revolusi, keamanan tidak akan tercapai. Jelas berlaku di Mesir. Itu adalah sesuatu yang amat sedih, walaupun pilihan raya telah
dijalankan, dua calon Presiden terakhir itu bukan datangnya dari calon
revolusi. Jadi, nampak sangat mereka yang memulakan revolusi itu telah
dipergunakan, telah diperalatkan untuk mencapai cita-cita pihak lain. Sebab itu demonstrasi jalanan dan revolusi bukan jalan penyelesaiannya. Libya juga menempuh senario yang sama. Tidak pernah aman sampai
sekarang. Walaupun Muammar Gaddafi sudah tidak ada. Suku-sakatnya sudah
tidak ada, tetapi rakyat Libya masih berperang sesama sendiri. Sebab itu saya bersetuju apabila Rusia dan China menolak campur
tangan asing dalam menyelesaikan masalah Syria. Kerana kedua-dua kuasa
besar ini nampak agenda sebenarnya kenapa mereka mahu mengenepikan
Bashar al-Assad. Kerana ada agenda tersirat. Sebab itu, rakyat Malaysia perlu menilai apa yang berlaku di Mesir,
Libya, Syria ketika ini kerana ia adalah contoh yang jelas. Jikalau ada
campur tangan asing, maka kita perlu berhati-hati dengan agenda tersirat
asing itu. Kita perlu berhati-hati supaya negara kita juga tidak dimusnahkan.
Sudah setahun Hosni Mubarak berundur tetapi kerajaan baru
masih juga gagal dibentuk. Sudah tentu ia juga memberi impak kepada
rakyat..
Betul. Ya hampir setahun. Bukan sahaja Presidennya belum dapat
dipilih tetapi perlembagaannya masih belum dapat diputuskan. Sekarang
diperintah oleh Majlis Tentera. Majlis Tentera juga ada percaturan mereka sendiri, jikalau kuasa
Presiden diberi sepenuh-penuhnya, katakan kepada Mohammed Morsi dari Muslim Brotherhood maka susah juga kepada pihak tentera. Sebab itu, kemudaratan bukan sahaja kepada tentera Mesir tetapi kepada rakyat jelata. Kerana ekonomi negara mereka sekarang jatuh teruk. Tiada siapa mahu
melabur di Mesir walaupun dikatakan demokrasi telah berjalan dengan
begitu baik sekali, pilihan raya Parlimen telah dijalankan, pilihan raya
Presiden pun hampir-hampir tamat.
Tetapi ekonomi Mesir bukan sahaja
tidak berada di takuk lama, tapi makin teruk daripada era Hosni Mubarak
yang dituduh dikatator itu sendiri. Jadi, kesan akhirnya dapat dirasa oleh rakyat Mesir sendiri. Kesan
yang sama juga dirasakan oleh rakyat Iraq. Saddam Hussain telah dibunuh
tetapi mereka berada di tahap yang lebih teruk berbanding dengan era
Saddam Hussain. Hosni Mubarak telah dihukum seumur hidup, tetapi kehidupan rakyat jelata tidak berubah, malah makin teruk nampaknya. Jadi kita perlu berhati-hati dalam hal ini, berhati-hati dengan
cubaan mengimport revolusi yang berlaku di negara lain ke negara ini. Kalau itu berlaku, kedamaian atau kestabilan yang kita kecapi selama 55 dekad yang lepas, akan musnah dengan sekelip mata. Apabila itu berlaku, sukar untuk berbalik kepada yang asal. Di Mesir, tidak boleh berbalik ke pangkal jalan. Di Tunisia, masih
berbalah di antara satu sama lain. Di Libya, masih berperang, perang
saudara di antara satu sama lain. Mereka nak berbalik, berpatah kepada
yang asal, memang sukar sekali.
Maknanya janji-janji manis demokrasi dan kebebasan sekadar
retorik, tetapi tidak mampu memenuhi impian keamanan dan kedaulatan
negara..
Itulah yang dikatakan bahawa demokrasi itu tidak boleh digunakan
mengikut acuan demokrasi di Barat. Demokrasi Barat tidak boleh
dilaksanakan seratus peratus di Mesir, Iraq, ataupun Afghanistan, sama
sekali tidak sesuai. Memang sudah terbukti demokrasi ala Barat tidak boleh digunakan. Demokrasi itu, mesti berpijak di bumi yang nyata. Jangan kita ambil contoh yang ekstrim di negara Arab, kita ambil contoh di negara kita sendiri, Malaysia. Demokrasi Barat mementingkan hak individu, mementingkan apa sahaja hak individu walaupun seorang. Seorang itu mempunyai hak.
Dalam konteks ini, ia tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya di Malaysia
kerana negara kita sebuah negara yang majmuk, negara berbilang bangsa,
berbilang kaum dan berbilang agama. Jadi, pentingnya demokrasi itu diacuankan mengikut keadaan geopolitik
ataupun geosenario negara tersebut. Tidak boleh menggunakan seratus
peratus demokrasi ala Barat. Itu masalahnya sekarang di Malaysia, mereka memperjuangkan demokrasi ala Barat. Sama juga di negara Arab. Apabila 40 tahun di bawah diktator,
tiba-tiba mendapat kebebasan, mereka tidak tahu menguruskan kebebasan
itu.
Sepatutnya negara mereka tidak kacau-bilau seperti hari ini kerana sudah tidak ada diktator. Memang demokrasi perlu tetapi demokrasi juga perlu ada kekangannya.
Kenapa dilakukan kekangan-kekangan itu kerana keadaan di negara kita
adalah berbeza dengan keadaan di AS. Jauh berbeza. Kita kena ikut acuan kita sendiri. Demokrasi yang terhad mengikut keadaan.
Saya kekadang terfikir, adakah Arab Spring yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan Syria adalah sambungan daripada projek ‘war on terorism’
yang dilakukan oleh tentera AS di Iraq dan Afghanistan. Adakah itu
sambungannya, bezanya antara perang tentera dengan perang minda ?
Memang benar. Strategi yang digunakan adalah berlainan tetapi
objektifnya adalah sama iaitu untuk menjatuhkan regim yang tidak selari
dengan Washington. Kalau di Iraq, mereka menggunakan kuasa ketenteraan seratus peratus.
Tetapi, apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, AS sudah dapat
pengajaran. Untuk menukar regim secara ketenteraan walaupun mereka merupakan satu
kuasa besar, ketenteraan yang hebat, namun dalam jangka masa panjang
mereka tidak dapat bertahan, kerana kosnya terlampau tinggi. Bukan sahaja kos wang ringgit tetapi kos nyawa juga terlampau tinggi. Jadi, mereka perlu menggunakan strategi lain.
Bermula dengan Tunisia,
Mesir dan Libya. Dan Libya itu walaupun dilakukan ketenteraan, tetapi
AS berada di belakangnya. Yang menjadi dalangnya adalah Perancis dan
United Kingdom. Tapi masih sama juga, matlamatnya untuk menukar regim. Walaupun Iraq, Afghanistan, rakyat mereka sengsara, terseksa, sama
juga di Mesir, Tunisia, rakyat mereka sengsara walaupun modus
operandinya berbeza namun pada akhirnya objektifnya tetap sama iaitu
menukar regim yang disukai pihak asing. Kita lihat sekarang, mereka menggunakan alasan demokrasi untuk
menukar regim yang mereka tidak sukai. Perkara yang sama juga berlaku di
Syria. Mereka cuba memaksa, mengumpulkan semua masyarakat antarabangsa
mengutuk Bashar Assad untuk mencapai matlamatnya iaitu menukar regim. Itu sahaja matlamat mereka, menubuhkan kerajaan yang selari dengan mereka. Jadi pada akhirnya, tiada perbezaannya.