Tetamu Kehormat...

April 26, 2012

DAP Menentang Bersih 3.0?

KUALA LUMPUR, 26 April — Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini menyuarakan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan “Duduk Bantah” oleh Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
Tunku Abdul Aziz ketika berucap pada sidang Dewan Negara di Parlimen hari ini menolak perhimpunan berkenaan kerana ia bakal menimbulkan kekacauan walaupun pada awalnya dikatakan sebagai perhimpunan aman.
“Prinsip demonstrasi jalanan selalunya dimulakan dengan situasi aman, namun banyak kes perhimpunan yang berakhir dengan kekacauan dan keganasan.
“Siapa akan bertanggungjawab? Penganjur mungkin tiada di lokasi, dan telah menjadi kebiasaan, masyarakat akan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku kekacauan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dewan berhenti rehat.
Tambahnya lagi, ini adalah prinsip peribadinya dan beliau telah pun menyuarakan pendapat tersebut kepada pucuk pimpinan partinya.
“Saya membantah. Ia berdasarkan prinsip dan pendirian individu, dan saya telah memaklumkan kepimpinan parti berhubung perkara ini, apa sahaja tindakan parti, itu keputusan mereka,” katanya lagi.
Tambah beliau, ada banyak lagi cara lain yang boleh digunakan selain mengadakan demonstrasi jalanan.
“Matlamat utamanya adalah untuk mengadakan tunjuk perasaan. Perlukah timbulnya isu lokasi demonstrasi tersebut? Pihak berkuasa sudah keluarkan kenyataan, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) adalah pemilik Dataran Merdeka, saya rasa ia tidak bertanggungjawab jika kita menentang mereka.
“Kita menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang apabila berdemonstrasi. Sedangkan kita bakal memimpin negara. Kita ajar orang menentang undang-undang, ada sesetengah undang-undang yang tidak baik, tapi ada caranya, kita ada Parlimen ... sedangkan kita adalah wakil rakyat, di situ sudah  berlakunya pertentangan,” tambahnya lagi.
Jelas beliau, pihaknya tidak menentang hak untuk mengadakan perhimpunan, namun penganjur perlu mematuhi arahan pihak berkuasa kerana mereka merupakan pasukan keselamatan yang sah.
“Saya tidak menentang hak untuk berhimpun, sejak sekian lama saya sudah berjuang untuk hak asasi manusia.
“Maksud saya adalah, siapa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara? Polis ...  jika mereka nasihat supaya menukar lokasi, kita harus ikut, tapi mereka tentang polis, sedangkan polis adalah pihak berkuasa yang sah ...  saya tidak akan menyokong tindakan yang menyalahi undang-undang,” tegasnya lagi.
Tunku Abdul Aziz bagaimanapun tidak mengetahui sama ada terdapatnya pendapat serupa sepertinya di dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Saya tidak libatkan pihak lain. Ini adalah pendapat peribadi saya, kami mungkin satu organisasi, tapi tak bermakna kami abaikan pendapat masing-masing.
“Sesetengah perkara kami sokong, tapi ada sesetengahnya kami bantah,” tambahnya lagi.
Bersih 3.0 dijangka akan tetap berlangsung di Dataran Merdeka pada 28 April ini walaupun DBKL telah memberi amaran mereka akan mengambil tindakan keras jika penganjur bertegas untuk mengadakan perhimpunan tersebut di dataran bersejarah berkenaan.
Malah, pihak DBKL juga sebelum ini telah mengemukakan lokasi di dua Stadium milik mereka di Cheras dan Titiwangsa, manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum itu turut menawarkan Stadium Merdeka, dan Stadiun Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi alternatif bagi perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu.
Penganjur Perhimpunan “Duduk Bantah” itu menjangkakan seramai 500,000 peserta akan menyertai perhimpunan tersebut di seluruh dunia dengan penyertaan 84 badan bukan kerajaan (NGO) lain bersama-sama mereka.

April 8, 2012

Dr Hassan "Bantai" Tuan Ibrahim


Himpunan Anti-Murtad dan Anti-LGBT 28 April Ini?

Saya cadangkan sempena kempen Bersih 3.0 yang bakal diadakan pada hujung bulan ini di Dataran Merdeka, Moh kita pakat ramai-ramai turun bagi menggerakkan pula kempen anti-Murtad dan anti-LGBT, biar satu dunia tahu, di samping kononnya sistem pilihan raya kita tidak bersih, rupa-rupanya Islam dan budaya nilai murni rakyat Malaysia juga penuh dengan budaya kuning tajaan Pakatan Rakyat, perjuangan Islam entah ke mana, budaya sonsang diberi tempat dan gejala murtad dianggap remeh - yang utama lagi afdhal yang diperjuangkan oleh puak-puak ini hanyalah sekitar rasuah, kroni, dan demokrasi, seolah-olah itulah tuhan mereka.

Isu murtad dan gejala gay - itu bukan urusan PAS, DAP atau PKR. Pandai-pandailah rakyat Malaysia selesaikan. Jahanam negara kalau macam ini. Rasuah dilihat lebih besar dosanya daripada murtad dan kebebasan individu lebih utama daripada masalah LGBT. Semua orang lupa, baik dalam PKR, mahu pun dalam DAP dan PAS - mereka ingat gejala rasuah dan kroni tidak berlaku dalam parti-parti tersebut. Hanya orang bodoh sahaja yang percaya seperti itu.

KUALA LUMPUR, 8 April — Kumpulan anti lesbian, gay, biseksual transeksual (LGBT) akan menganjurkan perhimpunan 21 April ini sebagai protes menentang amalan seks ‘songsang’. Perhimpunan tersebut akan dianjurkan di Dataran Merdeka seminggu sebelum perhimpunan Bersih yang dijadualkan berlaku 28 April ini diketuai oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM). Presiden JMM Azwanddin Hamzah berkata, perkembangan amalan biseksual dan homoseksual adalah “pergerakan terancang” oleh sesetengah individu yang bertolak ansur terhadap agama semata-mata pegangan politik.

“Kami bukan mendiskriminasikan individu yang dilahirkan sedemikian. Namun begitu, kami menentang kumpulan yang menggalakkan gejala ini.

“Kita harus menghentikan perkara ini ... ini adalah agenda sesetengah individu yang berniat untuk menghapuskan moral masyarakat dan ajaran agama,” katanya dipetik New Sunday Times (NST) hari ini.

Azwanddin juga menolak untuk disamakan perhimpunan JMM dengan perhimpunan Bersih 28 April ini, menegaskan “bukan seperi penganjur Bersih” perhimpunan anti LGBT ini adalah “protes untuk masa depan negara.”

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata kepada NST, walaupun setiap individu berhak menyuarakan pendapat mereka, gejala LGBT adalah bertentangan dengan norma masyarakat.

“Walaupun ini adalah perhimpunan aman, kami harap suara kami ini akan didengari dan amalan sedemikian tidak boleh dimaafkan,” katanya. Kumpulan sayap kanan dan parti politik tetap menentang amalan LGBT di negara ini. Pemimpin politik juga telah meluluskan usul untuk mendakwa mana-mana ahli politik yang mengamalkan amalan seks songsang.

April 7, 2012

Pak Samad Akhir Usia Emasnya Sebagai Pengkhianat

KUALA LUMPUR, 7 April — Sayap pemuda Perkasa mendakwa pemimpin Bersih 2.0 menggunakan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said untuk menarik lebih ramai umat Islam dan pelajar menyertai perhimpunan pada 28 April ini.

Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris berkata “Pak Samad” telah menjadi seorang pengkhianat bersama Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavasan dan mengingatkan penulis berusia 76 tahun agar jangan mengorbankan kepercayaan hanya kerana seorang wanita.

“Samad Said, jangan jadi pengkhianat kepada negara. Ia amat jelas siapa Ambiga... Saya berdiri teguh dalam keyakinan saya bahawa beliau anti-Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam Irwan memberi amaran kepada umat Islam agar tidak menyertai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April di Dataran Merdeka kerana ia diketuai oleh Ambiga yang menurut mereka anti-Islam dan “pengkhianat” bangsa.

Beliau juga mengkritik Pak Samad ekoran penglibatannya, berkata ia sesuatu yang “malang” apabila individu yang diangkat sebagai ikon negara dalam bidang seni dan kesusasteraan tidak berkalakuan bijak.

“Jangan anda berani mencuba menarik penglibatan pelajar, Samad said. Jangan menjadi seorang pengkhianat,” katanya.

“Anda seorang umat Islam. Anda perlu tunjukkan anda tidak menyokong Ambiga. Anda sepatutunya mempertahankan Islam.

“Jangan memecahkan orang Melayu... hari ini anda mempunyai orang Melayu yang menyokong PAS, PKR dan Umno.

Beliau menambah bahawa sokongan terbuka Ambiga terhadao satu penganjuran program seperti Seksualiti Merdeka yang merupakan bukti Ambiha tidak menghormati Islam.

Seksualiti Merdeka bukan sahaja menentang kepercayaan Islam tetapi juga mementang Kristian. Jadi ia menunjukkan beliau seorang pengkhianat kepada agama,” katanya. Irwan menggesa komuniti Melayu untuk berada di rumah pada 28 April dan bersabar menunggu pilihan raya umum ke-13 jika mereka benar-benar mahu menunjukkan kemarahan terhadap kerajan.

“Tunggu Parlimen dibubarkan,” katanya.

Semalam Pak Samad berkata persoalan tentang agama dan bangsa tidak timbul dalam perhimpunan itu.

“Soal Ambiga yang mereka kata anti-Islam itu hal lain, mereka harus lihat bukan Ambiga sahaja yang berada dalam Bersih.

“Kalau lihat Ambiga seorang yang beragama Kristian yang ingin ditentang, adakah saya sebagai umat Islam ini juga mahu ditentang?” katanya.

Tambah Pak Samad: “ Sesiapa yang boleh membantu meningkatkan demokrasi, sama ada Kristian atau Islam.” Pada Rabu lalu Bersih 2.0 mengumumkan cadangan mengadakan himpunan ketiga menuntut pilihan raya bersih dan adil, mengatakan walaupun kerajaan berjanji melakukan reformasi tetapi usaha ke arah itu kurang meyakinkan.

Pada himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, polis menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menghuraikan peserta himpunan yang menyaksikan lebih daripada seribu ditahan, ramai tercedera dan kematian seorang bekas tentera.

Ekoran tindakan ganas pihak berkuasa, kerajaan dikritik di peringkat antarabangsa, membawa kepada Akta Perhimpunan Aman tahun lalu dan pembentukan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) untuk mengkaji pembaharuan sistem pilihan raya.