KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor diminta menjelaskan mengapa sebahagian besar tanah
yang dibeli daripada Talam Corporation Berhad (Talam) masih mempunyai
kaveat pendaftar dan kaveat persendirian. Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, sebagai
contoh, tanah di Danau Putra mempunyai lebih daripada 100 kaveat.
Menurut beliau, pencarian tanah yang dilakukan baru-baru ini
menunjukkan kepentingan tanah itu hanya dilindungi dengan satu kaveat
yang dibuat oleh kerajaan PKR Selangor manakala kebanyakan tanah itu
masih digadai kepada pihak bank. "Kaveat membolehkan pihak-pihak berkepentingan untuk menuntut hak
milik tanah itu. Lebih banyak kaveat, lebih banyak pihak yang berhak ke
atas tanah itu.
"Sekiranya anda membeli tanah yang banyak kaveat, sudah tentu anda
bimbang kerana ramai orang boleh menuntut tanah tersebut," katanya pada
sidang akhbar berhubung isu pembelian tanah milik Talam oleh kerajaan
PKR Selangor di Wisma MCA di sini hari ini. Tee Yong memberitahu, kesemua kaveat berkenaan perlu dilupuskan
sebelum tanah itu dapat dijual dengan harga lebih tinggi di pasaran
kerana ia masih belum bebas daripada sebarang bebanan.
Tambah beliau, pendedahan itu menunjukkan satu lagi contoh
ketidakcekapan kerajaan PKR Selangor dan sesiapa yang menjadi penasihat
kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam
transaksi tersebut sepatutnya dipecat. "Saya rasa orang ini tentu bukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua
kerana dia sering menonjolkan diri sebagai seorang yang paling bijak dan
ingin memberi gambaran bahawa dia seorang yang serba tahu," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Tee Yong turut mempersoalkan mengapa hak
milik tanah tersebut masih belum ditukar kepada kerajaan negeri atau
anak-anak syarikatnya walaupun selepas dua tahun pembayaran dibuat
kepada Talam.
Menurut beliau, pencarian yang dibuat baru-baru ini menunjukkan nama
Talam dan anak-anak syarikatnya termasuk Maxisegar Sdn. Bhd. dan
Continental Heights Development Sdn. Bhd. masih tertera pada geran tanah
sebagai pemilik. "Kita mahu tahu apa status sebenar hak milik tanah itu. Kerajaan PKR Selangor kata semuanya sudah selesai. "Siapakah yang berbohong? Dalam hal ini, geran tanah tidak berbohong," katanya. Tambah Tee Yong, kerajaan PKR Selangor juga perlu menyelesaikan
gadaian bank pada tanah-tanah terbabit dan memindahkan hak milik kepada
pihak-pihak yang berhak untuk melindungi kepentingan rakyat. Sementara itu, beliau mendesak kerajaan PKR Selangor menjelaskan
tentang pemberian diskaun sebanyak RM64 juta kepada Talam sebagai
insentif penyelesaian hutang lebih awal kepada Universiti Selangor
(Unisel).
Menurutnya, diskaun berkenaan hanya boleh diberi sekiranya Talam
membayar hutang sebanyak RM248 juta kepada Unisel sebelum tempoh
Perjanjian Tambahan yang dimeterai dengan kerajaan negeri terdahulu
tamat pada 8 Mac 2008. "Bagaimanapun, insentif itu masih diberikan selepas kerajaan PKR
Selangor dan Talam memeterai perjanjian baru pada 2010 iaitu dua tahun
selepas perjanjian terdahulu tamat tempoh. "Talam tidak berhak mendapat diskaun kerana gagal mematuhi perjanjian
ini. Kenapa ada layanan istimewa? Adakah ini berlaku kerana terlepas
pandang yang menunjukkan tidak kompetennya kerajaan PKR Selangor?"
katanya. Tee Yong berkata, pemberian diskaun tersebut amat tidak wajar dalam
situasi Unisel sedang berdepan masalah kewangan yang meruncing pada masa
ini.

2 comments:
Pasal caveat tu dan kaitan jual beli tanah biasanya mengambil masa berbulan dan bertahun baru selesai dan setiap tanah tu mempunyai pelbagai caveat tu biasalah. Takkanlah semuanya selesai dalam sekelip mata. Yang kasi kat Talam free tu dan Talam dok cagarkan hak rakyat kenapa. Kalau Talam efisien tak jadi macam ini. Chua ni pandai atau terlalu pandai sampai bengap.
Chua keluar kenyataan berdasarkan kajian, bukan macam kau bercakap berdasarkan pandangan orang ataupun dengar cakap, lg bengap lu...
Post a Comment