KUALA
LUMPUR 7 Ogos - Selepas lebih sebulan dibongkar dakwaan penyelewengan
hampir RM1 bilion berhubung isu hutang Talam Corporation Berhad (Talam)
membawa kepada penemuan baru yang lebih mengejutkan apabila syarikat itu
didakwa menjual aset hartanah bukan miliknya yang terletak di Bukit Ulu
Yam, Selangor. Menariknya, penemuan mengejutkan di sebalik skandal tersebut
didedahkan secara 'tidak sengaja' Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok dalam
blognya yang mendakwa tanah di Bukit Ulu Yam itu milik SAP Holdings
Berhad dan bukannya Talam. Sehubungan itu, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong
menuntut penjelasan kerajaan PKR Selangor yang mana jika benar tanah
tersebut milik SAP Holdings bagaimana Talam boleh bertindak menjualnya
sehingga kerajaan negeri kemudian 'mencadangkan' Kumpulan Hartanah
Selangor Berhad (KHSB) membelinya.
Beliau hairan bagaimana Talam begitu hebat sehingga boleh menyakinkan
kerajaan PKR Selangor menjadikan KHSB 'pak sanggup' membeli tanah bukan
miliknya dengan harga RM18 juta iaitu RM5.3 juta lebih mahal berbanding
nilai pasaran yang hanya berjumlah RM12.7 juta. Katanya, tidak cukup dengan itu, pada 2010, kerajaan PKR Selangor
menerima 60 peratus saham dalam sebuah syarikat yang mempunyai aset
tunggal cuma 79.6 hektar di Bukit Ulu Yam dan belum memulakan operasi
sejak diperbadankan serta mempunyai hutang berjumlah RM807,000 dengan
harga RM4.2 juta. "Kami tuntut penjelasan kerajaan PKR Selangor jika benar pendedahan
Teresa itu bagaimana Talam boleh menjual tanah milik syarikat lain dan
kerajaan negeri sendiri bersetuju dengan perkara itu. Saya percaya
status pemilik sebenar yang didedahkan Teresa ada kebenaran kerana
beliau Exco.
"Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjawab kenapa
kenyataan beliau berbeza dengan kenyataan pemimpin DAP Selangor? Pihak
mana sebenarnya yang betul? Abdul Khalid atau Teresa?," katanya selepas
membawa pemberita melawat tanah seluas 79.6 hektar itu di Bukit Ulu Yam,
hari ini. Minggu lalu, Tee Yong mendedahkan bagaimana KHSB dikatakan dipaksa
menjadi 'pak sanggup' bagi melunaskan hutang Talam apabila kerajaan PKR
Selangor 'mencadangkan' pembelian tanah milik syarikat itu di Bukit Ulu
Yam dengan harga RM18 juta walaupun mempunyai kecerunan kelas tiga dan
empat iaitu melebihi 35 darjah. 'Cadangan' awal itu ditolak kerana hasil kajian 55 peratus tanah
seluas 160 hektar tersebut tidak boleh dibangunkan namun, KHSB tetap
diarah kerajaan PKR Selangor membeli tanah berkenaan daripada Talam
tetapi ia kemudian dinafikan Teresa yang mendakwa tanah itu milik SAP
Holdings.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilikan saham sebanyak 60 peratus
ke atas sebuah syarikat yang tidak menyakinkan, Tee Yong berkata, ia
mempunyai kaitan langsung dengan arahan agar KHSB mengambil alih tanah
'milik' Talam di Bukit Ulu Yam sebagaimana didedahkannya minggu lalu. "Persoalannya, dalam pemilikan saham ini adakah kerajaan PKR Selangor
menjalankan penilaian harga secara bebas melalui penilai dilantik dan
adakah terdapat sebarang usaha terutama dalam bentuk undang-undang bagi
mengambil kira soal hutang RM807,000 yang ditanggung syarikat itu,"
katanya.

No comments:
Post a Comment