KUALA LUMPUR 27
Julai - Tahap ekonomi semasa Malaysia kini berada pada kedudukan yang
cukup sesuai bagi kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13). Justeru, penganalisis pasaran berpendapat pilihan raya umum wajar
dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini kerana khuatir ketidaktentuan
ekonomi Eropah dan pergolakan di Asia Barat akan menjejaskan kestabilan
ekonomi. Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata,
kedudukan ekonomi memang menjadi antara faktor penting yang diambil kira
dalam menentukan pilihan raya. Menurutnya, mengambil kira faktor itu, Malaysia memang dalam keadaan
terbaik untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini berbanding tahun
depan.
Jelas Kim Leng, ketidaktentuan ekonomi Eropah dan masalah kemelesetan
Amerika Syarikat dikhuatiri akan menjejaskan fundamental di rantau ini
dan memberi risiko kepada Malaysia. "Kita khuatir lagi lama masa diambil untuk mengadakan pilihan raya, banyak kekangan dalam aspek ekonomi akan timbul. "Kalau ia benar-benar berlaku, maka kerajaan akan berhadapan dengan isu ekonomi pula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Ketua Pengarah Institut Pengajian Strategik Antarabangsa, Datuk Dr.
Mahani Zainal Abidin turut berpendapat kerajaan sewajarnya tidak
menunggu sehingga tahun depan untuk mengadakan pilihan raya. Beliau berkata, persekitaran ekonomi yang mapan dan pasaran stabil di Malaysia wajar dijadikan sandaran.
"Ketika kebanyakan negara mengalami kemelesetan dan ketidaktentuan
dalam ekonomi, Malaysia masih stabil hasil transformasi besar-besaran
Perdana Menteri. "Hasilnya ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan baik dan kestabilan ini merupakan tarikan kepada pelaburan asing. "Bagaimanapun, kemasukan pelaburan baru mungkin terjejas kerana bagi
pihak mereka pula mahu melihat keputusan pilihan raya, memandangkan
tempoh berakhir semakin hampir," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Kanan Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwa
Ahmad Tajuddin pula berpendapat, ekonomi dan pasaran akan memberi reaksi
lebih baik seandainya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat
berbanding ditangguhkan kepada tahun depan. Katanya, pandangan itu berdasarkan persekitaran dan ketidaktentuan ekonomi luaran dan dalaman. Menurut beliau, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya telah
menyebabkan ekonomi dan pasaran tidak boleh bergerak pada landasan yang
betul. Jelasnya, masalah itu dihadapi oleh syarikat-syarikat korporat kerana
sukar untuk membuat keputusan dalam operasi dan hala tuju mereka. "Meskipun ekonomi negara sekarang dalam keadaan baik tetapi keputusan
tidak boleh dilakukan kerana sukar untuk menjangkakan apa yang akan
berlaku dalam tempoh jangka pendek dan sederhana. "Malah, ia juga menjejaskan aliran masuk pelaburan asing kerana mereka juga mahu satu kepastian dalam pelaburan yang dibuat. "Justeru, kebanyakan korporat memang menyambut baik seandainya pilihan raya diadakan lebih cepat," ujarnya.

1 comment:
layarilah laman portal web berita yang disediakan PERCUMA tanpa perlu melanggan Freemalaysiakini2 , sebarkan kepada rakan-rakan anda.
Post a Comment