Filem sejarah terbaru Tanda Putera arahan pengarah terkenal Datuk Shuhaimi Baba, yang antaranya merakamkan tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang dijangka bakal mencetuskan kontroversi.

Pelbagai pihak tertanya-tanya sama ada filem itu memuatkan babak pemimpin popular DAP Lim Kit Siang yang didakwa kencing di tiang bendera Selangor di rumah menteri besar ketika itu Datuk Harun Idris.

NONEIni ekoran Facebook rasmi filem itu memuatkan gambar lama Lim dengan keterangan bertulis: '

"Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.

"Ketika itu DAP berarak ke rumah Datuk Harun mendesak beliau meletakkan jawatan beberapa hari sebelum tragedi 13 Mei 1969 kerana DAP telah menang besar di dalam pilihan raya.''

Bagaimanapun, menurut seorang penggiat filem yang telah menonton tayangan pratontonnya kelmarin, babak tersebut tidak dimuatkan.

Malah, semakan Malaysiakini juga mendapati, gambar dalam laman sosial itu juga telah dikeluarkan daripada laman sosial rasminya. Ketika semakan kali terakhir dibuat tengah hari tadi, gambar itu masih ada.

NONELim sebelum ini pernah menjelaskan, semasa itu, beliau tidak berada di Kuala Lumpur. Menurutnya lagi, antara 11 hingga 13 Mei 1969, beliau berada di Melaka, Petaling Jaya dan Sabah.

Shuhaimi - pengarah terbaik tiga kali dalam festival filem Malaysia - bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas perkara itu.

''Saya malas nak jawab soalan sebab orang tak tengok lagi filem itu. Lebih baik tengok dulu. Saya harap awak dapat tengok filem ini," kata Shuhaimi.

Babak Anwar Ibrahim juga ada?
Malaysiakini juga berjaya mendapatkan skrip filem itu dan mendapati tiada babak sedemikian dimuatkan.

Berdasarkan Facebook rasmi filem ini juga, antara watak yang menarik ditonjolkan ialah watak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu pemimpin pelajar.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada babak itu dimuatkan dalam filem itu. Tetapi, berdasarkan skrip, disebut terdapat babak "ketua pelajar" yang ditahan polis dekat pagar Universiti Malaya pada 1970.

Terdapat juga kain rentang yang digunakan dalam filem ini yang turut dipercayai boleh menimbulkan kontroversi seperti ''Melayu balik kampung'' dan ''darah dibalas dengan darah'' dalam bahasa Cina.
NONE
Tanda Putera memfokuskan tentang kepimpinan perdana menteri kedua Tun Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Filem yang menelan belanja sehingga RM4.8 juta ini sepatutnya ditayangkan pada 13 September ini. Bagaimanapun, penayangannya terpaksa ditangguhkan untuk suatu masa yang tidak pasti.

Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) penangguhan tayangan filem itu tiada kena mengena dengan bahang pilihan raya umum ke-13.

Filem yang dibiayai oleh Finas dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) itu menampilkan beberapa pelakon terkenal seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim.

Shuhaimi sebelum ini terkenal dengan filem-filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, 1957: Hati Malaya, Mimpi Moon dan Layar Lara. (Sumber Malaysiakini).