Tetamu Kehormat...

June 5, 2012

Membalas Hujah Syura Ulama PAS yang Menghalalkan Demonstrasi Bersih 3.0

Majlis Syura Ulama PAS tetap berdegil dengan menentang keputusan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah menghukum haram kepada sesiapa yang menyertai demonstrasi Bersih 3.0 baru-baru ini. Nik Aziz dan para ulama politiknya membuat keputusan sebulat suara bahawa halal menyertai demonstrasi Bersih 3.0  - bahkan dituntut jika niat dan matlamatnya adalah suci. (Baca di sini). Hujah dangkal lagi terpesong yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang diketuai Nik Aziz, benar-benar membuktikan bahawa PAS sudah terlalu jauh daripada perjuangan asalnya. Di bawah ini saya mengemukan hujah balas bagi membatalkan hujah Majlis Syura Ulama PAS yang menghukum halal demonstrasi Bersih 3.0. Semoga Allah membuka hati kita semua.

Demonstrasi, sering dilihat dari kaca mata perundangan dan ekonomi, jarang kita melihatnya dari aspek agama. Isu  ini acapkali disisihkan daripada kaca mata Islam, bahkan tidak kedengaran langsung dalam kalangan ulama tempatan membicarakannya, seolah-olah mereka turut redho atas segala tindak tanduk para penyokong PKR dan PAS yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran bagi menjatuhkan kerajaan.

Mengapa para ulama membisu? Mengapa mereka tidak bercakap perkara yang hak? Dan mengapa mereka menyembunyikan ilmu dan hukum? Jika berkenaan Karnival Sure Heboh atau konsert artis, para ulama pantas memberikan hukum, tetapi dalam isu demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering dianjurkan oleh parti pembangkang, tiada ulama pun yang menegur. Apakah mereka takut dituduh sebagai penyokong kerajaan? Atau mereka tidak mahu bercakap benar?

Aneh,bahkan kadangkala menjadi tanda tanya  dalam kalangan ulama tempatan, baik yang berfahaman salaf mahupun tidak. Mereka seolah-oleh bersetuju bahawa cara berdemonstrasi itu merupakan cara terbaik menegakkan kebenaran dan keadilan di negara ini. Tidak kurang juga terdapat ulama-ulama kerajaan yang termakan dengan pelbagai alasan yang dikemukakan oleh para ulama parti pembangkang, kononnya demonstrasi yang sering diadakan itu adalah bertujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

Maka, mereka pun menghimpunkan ribuan manusia membanjiri jalan-jalan raya sambil berarak memprotes kerajaan yang mereka dakwa terlalu zalim itu. Manakala, para peguam dan pengamal undang-undang yang jahil pula – mengangkat bendera sokongan, kononnya semua itu adalah sah di sisi undang-undang dan kerajaan tidak sepatutnya menghalang mereka untuk berdemonstrasi.

Begitulah syaitan menyesatkan kita semua. Dan kini, saya tidak bisa lagi menyembunyikan ilmu yang telah saya ketahui, setelah mengkaji dan melakukan penyelidikan. Kebenaran tetap kebenaran, kerana sifat kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan. Mengapa ini semua terjadi? tak lain dan tak bukan ia disebabkan kegagalan kita menguasai disiplin ilmu lain yang tidak kita pelajari di universiti.

Lantaran itu, pernahkah kita bertanya bagaimana Islam memandang demonstrasi? Dan apakah pula hukumnya jika kita sama-sama menyertai dan menghalalkannya? Rakyat jadi keliru, apakah ini budaya yang disarankan oleh Islam dalam mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Apakah berdemonstrasi itu juga merupakan sebahagian daripada menegakkan kebenaran dan keadilan dalam Islam?

Demonstrasi pada amnya merujuk kepada konsep tunjuk perasaan, baik ia bersifat aman, mahu pun ekstrim. Yang penting, konsep demonstrasi difahami sebagai cara untuk meluahkan rasa ketidakpuashatian di khalayak ramai dengan mengadakan perarakan serta rapat umum yang melibatkan orang ramai.

Pada dasarnya, demonstrasi bukanlah kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyampaikan dakwah serta menganjurkan amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat. Hal ini adalah kerana, demonstrasi mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa pelakunya bermaksiat kepada Allah. Apatah lagi jika demonstrasi itu dilakukan dengan tujuan membuka aib golongan tertentu, serta menjatuhkan kepimpinan masyarakat Islam. Maka, hal ini amat jelas dosanya. Antara kemungkaran yang dibawa oleh demonstrasi adalah :

1. Demonstrasi amat jelas berbentuk tasyabbuh, yakni perbuatan yang menyerupai perbuatan orang-orang kafir. Sedangkan tasyabbuh amat dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia termasuk kaum mereka.” (Riwayat Abu Dawud). Menurut Ibn Taimiyyah, tasysbbuh kepada orang kafir, mempunyai beberapa tingkat hukum. Yang tertinggi adalah haram, dan yang terendah adalah makruh. Sebagai contoh, tasyabbuh kepada pakaian orang-orang kafir yang mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah haram. Dalam hal ini, berdemonstrasi adalah mirip golongan kafir. Hanya golongan yang lemah iman dan yang tidak beriman sahaja suka melakukan demonstrasi.

2. Demonstrasi termasuk khuruj, yakni keluar menentang pemerintah, yang jelas ditegah oleh Rasulullah dalam banyak hadis shahih baginda. Seperti, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang tidak disukainya daripada penguasanya, maka hendaklah ia bersabar, kerana barangsiapa yang memisahkan diri daripada jamaah sekadar sejengkal, maka kematiaannya adalah kematiaan jahiliah.” (Riwayat Bukhari).

“Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara yang tidak mengikut petunjuk dan tidak menjalankan sunnahku. Dan akan bangun pada mereka (dalam kalangan mereka) laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Bertanya Huzaifah, bagaimanakah saya hendak lakukan jika saya menemuinya, Ya Rasulullah? Baginda bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat, walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah.” (Riwayat Muslim).

“Akan ada pemerintah yang kamu mengenali mereka dan kamu mengingkarinya. Maka, barangsiapa yang mengenali, sesungguhnya ia telah bebas dan barangsiapa yang membenci maka ia selamat. Akan tetapi orang yang redho dan mengikutnya? Mereka bertanya, bolehkah kami memerangi mereka? Rasulullah bersabda, Tidak! Selama mereka bersolat.” (Riwayat Muslim).

Hadis-hadis sahih di atas merupakan peringatan Rasulullah agar umat Islam mengelakkan sebarang perkara yang boleh memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Demonstrasi sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara, bahkan lebih banyak menimbulkan kerosakan. Demonstrasi di jalan-jalan raya serta di tempat awam, merupakan tatacara meluahkan perasaan yang terpesong jauh daripada roh Islam yang lebih menggalakkan musyawarah serta menanamkan perasaan sabar.

3. Unsur ketiga pula, demonstrasi sering disertai dengan ucapan-ucapan dan ceramah yang menaikkan semangat dalam kalangan para petunjuk perasaan. Di samping itu, para penceramah dan pemidato juga akan membuka aib serta keburukan individu serta pemimpin tertentu yang tidak mereka senangi. Perbuatan sebegini cukup jelas dilarang oleh Islam. “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang.” (Al-Hujrat 12). “Sesungguhnya orang-orang yang menyukai agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (An-Nur 19).

4. Selain daripada itu, demonstrasi juga memiliki unsur ikhtilath, yakni bercampur-baur antara lelaki dengan perempuan. Bahkan kadang-kala berhimpit-himpit dan bergesel-geselan. Perbuatan ini sama sekali bercanggah dengan etika sosial Islam. Walaupun kadang-kala terdapat demonstrasi yang memisahkan antara lelaki dengan perempuan, tetap perbuatan menggalakkan wanita keluar dari rumah untuk menyertai demonstrasi tersebut merupakan perbuatan yang membelakangi sunnah. Malah, ia juga boleh menimbulkan fitnah.

5. Unsur kelima, ialah demonstrasi itu sendiri mampu mencetuskan huru-hara, di samping mencetuskan bermacam-macam fitnah yang akhirnya kembali kepada masyarakat Islam itu sendiri. Dan sesungguhnya, inilah unsur yang amat berbahaya kepada agama, masyarakat dan negara. Hal ini bermakna, demonstrasi lebih banyak membawa mafsadat (kerosakan) berbandingan dengan maslahat (kebaikan) terhadap harta benda, perasaan dan jiwa yang sememangnya ditegah oleh Allah di dalam Al-Quran.

6. Unsur keenam, ialah demonstrasi bukanlah cara menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut Islam, kerana demonstrasi lebih menjurus ke arah kekerasan dan lebih condong untuk menunjukkan pengaruh dan kuasa. Sedangkan dalam menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar, sifat halus dan penyabar adalah dituntut.

7. Demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh para sahabat atau pun para ulama muktabar generasi awal Islam, walaupun mereka dizalimi oleh pemerintah pada zamannya. Malah, kita semua sedia maklum bagaimana Imam Ahmad diseksa, Imam Abu Hanifah dizalimi, tetapi kita tidak pernah mendengar walaupun satu ayat daripada mulut para Imam Mujtahid ini, yang menyeru atau menghasut rakyat dan para pengikutnya, agar bangkit dan berdemonstrasi ke jalan-jalan raya bagi menjatuhkan kerajaan atau pemerintah pada waktu itu. Jelaslah, ini bukanlah akhlak Islam dan amalan ulama muktabar.


Firman Allah dalam surah Ali Imran, “Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan dari sekelilingmu.” Dalam hal ini, Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘Anil Mungkar, mengemukakan dua buah hadis shahih berkenaan keperluan sifat lemah lembut dan halus dalam berdakwah.


Sabda Rasulullah, “Tiadalah sikap halus dalam sesuatu hal, melainkan memperindahkan sesuatu itu dan tiadalah sikap kasar dalam hal melainkan memperburukkannya.” (Riwayat Muslim). “Allah bersifat sangat halus, menyukai sifat halus dalam semua urusan dan Dia memberi kerana sikap halus itu, sesuatu yang tidak akan Dia berikan kerana sikap kasar.” (Riwayat Bukhari).


Kemudian, Ibn Taimiyyah menyambung, “Para penyeru dakwah (yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar) harus bersifat sabar dan tabah terhadap setiap gangguan, sebab ia pasti menemui gangguan. Jika tidak tabah dan sabar, maka ia lebih banyak membawa kerosakan daripada maslahat. Demonstrasi merupakan kaedah menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar yang terpesong daripada cara berlemah lembut dan bijaksana dalam menyampaikan risalah tauhid, yang dituntut oleh Islam.

Berasaskan hujah-hujah di atas ini, agak malang kerana masih terdapat dalam kalangan umat Islam di negara ini yang cuba menghalalkan demonstrasi dengan beralaskan kepada riwayat-riwayat mungkar, serta tidak boleh dijadikan dalil dan hujah. Seharusnya, umat Islam khususnya di Malaysia, menjadikan peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman sebagai ikhtibar, kerana peristiwa berdarah tersebut adalah berpunca daripada tercetusnya fitnah yang dijaja melalui demonstrasi oleh Abdullah bin Saba’ dalam kalangan kaum muslimin. Dan akhirnya, demonstrasi menjadi amalan umat Islam sehingga Saidina Ali turut menjadi mangsa.

Inilah kesan serta impak daripada perbuatan golongan yang gemar menganjurkan demonstrasi. Manakala, masyarakat yang jahil pula begitu mudah terpengaruh dengannya, tanpa berfikir panjang. Sedangkan Allah mengingatkan kita dengan firmannya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungjawapannya.” (Al-Isra 36).  

Maka mari sama-sama kita mengambil manfaat daripada firman Allah dalam surah Fusshilat ayat 33-34, “Siapakah yang lebih baik perkataanya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara mu dengan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia.”

Sesungguhnya kebenaran sudah jelas, tetapi kita degil dengan mengikut hawa nafsu sebagai petunjuk. Dan benarlah dengan firman Allah ini, “Dan siapa yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya, dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun.” (Al-Qashash 50).

Apabila kita sudah dihadapkan dengan kebenaran, janganlah berpaling lagi. Peganglah ia kuat-kuat, agar iman kita bertambah.Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu, tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu, apabila kamu telah mendapat petunjuk.” (Al-Maidah 105).

Dan sekarang, bagaimanakah prinsip kita terhadap demonstrasi yang sering dilakukan dan dianjurkan oleh pihak pembangkang, khususnya PKRdan PAS? Masihkah kita menerimanya sebagai perkara yang halal? Bukankah sebelum ini kita disajikan dengan macam-macam demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang, seperti demonstrasi BERSIH, demonstrasi turun harga minyak dan pelbagai lagi. Jadi pada hari ini, sebagai manusia yang mengaku beriman kepada Allah. Tepuklah dada dan tanyakanlah iman kita.


Manakala, bagi sesetengah ulama yang masih tidak berani berkata benar dalam hal ini, fikirkanlah tentang kepentingan agama, bangsa dan negara . Janganlah kita begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan retorik kosong pihak yang menghalalkan demonstrasi jalanan yang jelas terpesong jauh daripada tatacara berdakwah generasi salaf.


Sesungguhnya, pada hari ini, kebenaran seakan-akan tidak diendahkan lagi, malah, bagi mereka yang mengkritik parti pembangkang kerana menganjurkan demonstrasi jalanan pula yang dipersalahkan, kononnya mereka tidak demokratik dan tidak memahami perundangan. Dan kini, saya rasakan kebenaran sudah berada di sisi gelapnya. Manakala ulama pula, membisu seribu bahasa. Semoga Allah selamatkan negara ini.Wallahualam.

3 comments:

Hahn said...

Macam lah orang PAS saja baca Quran. Orang lain tak baca....

Bodoh bodoh orang atau semalas malas orang Islam pun tahu maksud ayat: Jangan kamu melakukan kerosakan atas muka bumi

Ayat 11 dan 12 dari surah Al-Baqarah;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ * أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
Apabila diberitahu kepada mereka, ”jangan kamu lakukan kerosakan di atas muka bumi”.

“Sesungguhnya kami adalah orang yang melakukan pembaikan” jawab mereka.

Sebenarnya, mereka adalah golongan yang melakukan kerosakan, tetapi mereka tidak sedar dan tidak perasan.

Malas malas pun takkan Al-Baqarah tak sempat baca sampai habis? Kitab apa yang PAS ni baca? Kitab Jingga? atau Jinggay?

Lagi mentaati permintah itu juga di tuntut. Sunnah nabi juga. Macam mana ni? Kita yang cekai tak sampai Mesir belajar pun tahu.

Anonymous said...

hahahaha....bro, apa nak heran....yang kuarkan Fatwa nie dari Majlis Fatwa, mmg dah terbukti sahih dan yakin....yg puak parti anak setan tue kuarkan fatwa bahalol dia untuk anak2 setan dalam parti anak setan jer...fatwa bodo tue utk diorg jer...sbb diorg ada neek najeeis yg jadi ketua parti anak setan, tue yg fatwa2 bodo kuar...org Islam nk berkawan ngn Islam, tp neek najeeis nk kawan ngn setan, dia sndr ngaku palk tue...hahahaha...bodo nak mampus btul org tua kutuk tu...harap kain lilit2 tebal atas kepala, tue yg bertambah bahalol tue...ops lupa...dia kan murshitdoll parti anak setan, mmg ar dia perangaimcm setan pun...hahahaha...bodo btul neek najeeis tue..hahahaha...

riza said...

Salam,

Kepada saudara budiman...tidak baik amalan nya jikalau kita guna kata kata yang tidak elok hanya untuk menyakiti saudara kita yang berlainan fahaman politik...

Sekadar mengingati sesama saudara.