Tetamu Kehormat...

March 29, 2011

"Hidup Mati UMNO-BN Di Tangan Allah, Bukan Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat"

Saya amat tertarik dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang berbunyi, "Hidup Mati Saya Di Tangan Allah, Bukan UMNO-BN" (baca di sini). Pada hemat saya, semua orang tahu akan hal itu. Tidak perlu rasanya menggunakan nama Allah bagi menunjukkan diri beliau terlalu bersih dan baik. Cukuplah dengan bersumpahlah terlebih dahulu, InsyaAllah masyarakat akan segera bersimpati dengan saudara! Tiada gunanya cuba meraih simpati masyarakat Melayu dengan kata-kata teraniaya - sedangkan hidup bergelumang dengan dosa. Sudah terlalu banyak dosa Anwar Ibrahim terhadap negara tercinta ini - dan sudah penuh langit Malaysia dengan fitnah Anwar Ibrahim terhadap para pemimpin UMNO, khususnya kepada Tun Mahathir, Tun Daim, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Najib, Datin Sri Rosmah, Datuk Seri Aziz Sahmsuddin, Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Seri Adnan Manshor, Tan Sri Sanusi Junid, dan ramai lagi pemimpin UMNO yang menjadi mangsa kejijikan mulut Anwar Ibrahim selama ini. Cukuplah Anwar - hentikan hipokrit kamu! Sekiranya saudara boleh berkata sesungguhnya "hidup mati saya di tangan Allah, bukan UMNO-BN", maka kami juga menggunakan nada yang sama dengan kamu, "Sesungguhnya hidup mati UMNO-BN di tangan Allah, bukan di tangan Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat"! Takbir! Wallahualam.

March 26, 2011

Apa Mesej Tersirat Dr Asri?

Saranan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abdin yang mengajak masyarakat agar menolak para pemimpin yang suka menyelak aib orang lain sepatutnya disokong dan didokong oleh segenap lapisan masyarakat. Dengan kata yang lebih mudah - pada hari ini, golongan yang gemar mencari aib dan memburukkan saudara seIslam, sebenarnya lebih menjurus kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat. Bermula pada tahun 1998, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerusi empuk Timbalan Perdana Menteri - pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap Tun Mahathir Mohamad, bahkan tanpa rasa berdosa - golongan reformasi tergamak melabelkan Tun Mahathir sebagai Mahafiraun serta Mahazalim. Dan yang terkini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani pula dilabelkan sebagai "Haramssani" gara-gara menegur Nik Aziz - semua gejala ekstrim membuka aib kepemimpin negara dipelopori oleh para pendukung reformasi Anwar Ibrahim dan kemudian disambut baik, serta dihalalkan pula oleh sebahagian besar pemimpin PAS atas nama agama dan perjuangan.

Dan pada hari ini, secara tiba-tiba kita mula bercakap soal moraliti dalam politik, setelah sekian lama PAS dan PKR mengamalkan permainan politik gaya Machivelli. Seandainya sebuah parti yang menggelarkan diri mereka sebagai Parti Islam Se-Malaysia pun gagal untuk mendidik dan mengawal mulut ahli-ahlinya agar meninggalkan umpatan, cacian, fitnah dan buruk sangka terhadap saudara seIslamnya dalam kalangan ahli UMNO - maka, apakah Dr Asri masih mengharapkan sebuah masyarakat politik yang bersih serta menekankan soal moral dan etika dalam berpolitik? Hakikatnya, kita masih terlalu jauh daripada kenyataan dan masih mengharapkan sebuah negara utopia menjadi realiti. Wallahualam. Baca laporan di sini...

March 24, 2011

Isu Video Seks Anwar : Bersumpah Jalan Terbaik

Saya sebenarnya tidak berminat sama sekali untuk mengupas dan menulis berhubung isu klip video seks yang didakwa melibatkan Anwar Ibrahim. Saya bimbang sekiranya ia hanyalah fitnah atau salah sangka. Namun demikian, ini tidak bermakna tiada jalan keluar dan penyelesaian untuk Anwar Ibrahim. Masih ada satu jalan lagi yang tidak pernah digunakan oleh Anwar Ibrahim, walaupun beliau mengetahui sekiranya "jalan ini" yang beliau pilih - segala masalah akan selesai dengan mudah. Jalan yang saya maksudkan adalah dengan melakukan sumpah. Bersumpahlah wahai Anwar Ibrahim sekiranya tuan benar-benar difitnah dan tidak terlibat langsung di dalam klip video lucah tersebut. Hanya dengan melakukan sumpah sahaja, nama Anwar Ibrahim dapat dibersihkan dengan sesuci-sucinya. Yang saya bimbang sekarang hanya satu - iaitu pengakuan berani Ummi Hafilda yang sudah awal-awal lagi mendakwa, bahawa beliau mempunyai 18 klip video lucah lagi yang membabitkan Anwar Ibrahim. Sekiranya semua klip ini didedahkan - saya yakin negara akan terus diselubungi dengan konflik dan ketegangan - justeru itu, Anwar Ibrahim diminta segera bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Besar bahawa beliau benar-benar bersih daripada sebarang gejala seks - agar semua masalah dapat diselesai dengan segera. Wallahualam.

March 19, 2011

Isu Loteri Di Kelantan : Tiada Lagi Bulan Di Dalam Dada Karpal!

Akhirnya PAS terus ditipu dan diperdaya oleh DAP. Tiada kata-kata yang lebih hanyir daripada perkataan Nik Aziz yang mendakwa kononnya "di dalam dada Karpal ada bulan" - sekarang di manakah bulan itu? PAS dan Nik Aziz semakin tersepit dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Karpal Singh dalam isu pengharaman loteri di Kelantan - sudahlah sebelum ini DAP menolak negara Islam dan hukum Hudud PAS, kini mereka semakin berani campur tangan dalam urusan pentadbiran Islam di Kelantan. Soalnya, apa yang mampu dilakukan oleh Nik Aziz sekarang? Masih sayang dan cintakan DAP? Mana perginya Dewan Ulama PAS yang suka mengeluarkan fatwa itu? Dan apa pula pendirian Ketua Pemuda PAS dalam hal ini? Fikir-fikirkan. Baca laporan menarik di sini...

Terima Kasih Teoh Beng Hock!

Lain yang diharap, lain pula yang dapat - agaknya itulah yang terjadi apabila niat tidak ikhlas berjuang dalam medan politik. Isu kematian Teoh Beng Hock yang disensasikan oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat sejak setahun lalu - akhir semakin hampir kepada kebenaran. Niat asal PR yang bertungkus-lumus mahu menjatuhkan imej SPRM dan kerajaan BN menemui jalan buntu. Sejak isu tersebut mendapat liputan dan promosi hebat PR, orang ramai sebenarnya sudah boleh meneka bahawa kematian Teoh Beng Hock sebenarnya boleh diklafikasikan sebagai kes bunuh diri dan bukan kes beliau dibunuh. Sekarang - isu kematiannya telah membongkar banyak kisah yang hanya memakan diri Anwar Ibrahim dan DAP sendiri. Tanpa disangka, rupa-rupanya terdapat faktor yang teramat kuat mengapa Teoh Beng Hock sanggup melakukan perkara di luar batasan tersebut. DAP adalah parti yang tidak boleh dipercayai langsung - mereka mengutuk kononnya BN merompak duit rakyat tetapi yang sebenarnya merompak duit rakyat adalah para pemimpin mereka sendiri. Kematian Teoh Beng Hock secara tidak langsung telah membawa banyak kebaikan kepada BN, di samping mendedahkan perilaku sebenar DAP. Baca kisah menarik di sini..

Tahniah Mufti Selangor!

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor. Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor. Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor. Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis. Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang Selasa lalu. Sambung bacaan anda di sini...

March 18, 2011

Nama Allah Dihina Lagi!

Agaknya inilah ajaran Islam yang ingin diperjuangkan oleh PAS serta sekutu-sekutunya. Nama Allah Yang Maha Mulia tidak hanya dihina oleh para penganut Kristian, bahkan atas fatwa PAS dan keizinan para ulama besar mereka yang menghalalkan kalimah Allah diguna sesuka hati oleh orang bukan Islam - maka inilah natijahnya. Nama Allah dihina sebegini rupa, manakala nama nabi junjungan besar kita pula difitnah sesuka hati. Nauzubillah minzalik. Inikah yang PAS mahu? Bagaimana sekiranya budak sial ini mengaku bahawa dia adalah penyokong PAS? Apakah PAS akan mengampunkan segala dosanya? Fikir-fikirkanlah. Klik di sini... Sumber : Klik di sini...

Dewan Ulama PAS Semakin Mengarut

Saya pun sudah tidak tahu lagi apa yang hendak jadi dengan sebuah parti yang bergelar Parti Islam Se-Malaysia ini. Islam apabila dipolitik, maka inilah bahananya. Hukum dikeluarkan mengikut selera politik dan kepentingan undi. Isu Bible yang diedarkan dalam Bahasa Melayu - menurut Dewan Ulama PAS tiada mendatangkan sebarang masalah - malah menurut ketuanya, Harun Taib, Al-Kitab itu hanya diedarkan untuk penganut Kristian sahaja, jadi umat Islam tidak perlulah risau dalam soal itu. Soalan saya mudah - Siapakah Harun Taib yang dapat menjamin kitab Bible dalam versi bahasa Melayu itu hanya akan beredar dalam kalangan penganut agama Kristian sahaja? Malah, lebih mendukacitakan lagi, Harun Taib berhujah tiada masalah sama sekali apabila kalimah Allah yang Maha Mulia itu tertera di dalam Bible tersebut bagi menggantikan perkataan "God" atau tuhan.

Pada hemat saya, fatwa Dewan Ulama PAS yang penuh dengan agenda kepentingan politik sempit parti tersebut sangat berlawanan dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am Pas sendiri, Dato' Dr Harun Din dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melarang sama sekali nama Allah dijaja di dalam kitab milik kristian itu demi menjaga akidah umat Islam, khususnya generasi muda. Tampak jelas kelihatan, Dewan Ulama PAS tidak layak menggelarkan diri mereka golongan ulama, kerana terbukti fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh majlis tersebut sangat lemah dari segi hujah dan lebih mengutamakan kepentingan politik sempit PAS (Baca di sini). Wallahualam.

March 14, 2011

Isu Penghinaan Azan : Ke Mana Perginya Penyokong Ultraman?

Isu Penghinaan laungan Azan yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) harus dipandang serius oleh kerajaan. Jangan kita terlalu asyik membantu orang lain, sehingga terlupa isu-isu besar yang sedang mengancam akidah umat Islam di negara ini. Pada hemat saya apa yang telah didedahkan oleh PPIM ini (baca di sini) sungguh biadab dan kurang ajar terhadap agama Islam - malah, saya tidak teragak-agak menyokong sepenuhnya penggunaan ISA kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam klip video tersebut. Sudah sampai masanya - umat Islam bersatu demi mempertahankan Islam yang semakin dihina dan dimaki sesuka hati oleh orang kafir. Baca laporan di bawah :

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak tertentu yang mempersendakan laungan azan dan menyiarkannya menerusi laman ‘‘YouTube’’. Pegawai Kerja PPIM Mustaffa Hamzah berkata klip video yang disiarkan itu adalah sengaja dibuat untuk memperleceh dan memperkecilkan amalan agama Islam. “Laungan azan adalah ibadah bagi umat Islam dan bukan sesuatu yang patut dipersenda serta dijadikan bahan gurauan.

“Justeru PPIM mendesak kerajaan mengenakan hukuman keras termasuk ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau sepadan dengannya agar mereka sedar dan menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa semua agama adalah murni,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Beliau berkata PPIM juga khuatir jika tindakan itu tidak dibendung akan membawa tindak balas yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum. Mohd Mustaffa berkata masyarakat boleh melayari laman web PPIM di www.muslimconsumers.org.my untuk menonton contoh penghinaan yang dilakukan terhadap agama Islam itu. — Bernama

Siapa Sebenarnya Lidah Bercabang?

Daripada Abu Hurairah r.a , katanya Nabi SAW bersabda : "Tanda-tanda orang munafik itu ada 3 iaitu : 1. Apabila berkata , dia dusta 2. Apabila berjanji , dia mungkir dan apabila diberi amanah, dia khianati." (Riwayat Al-Bukhari). Justeru itu, jangan mudah terpedaya melihat luaran seseorang yang hebat menutur ayat-ayat al-Quran dan berpakaian seperti ulama besar - sedangkan belum tentu orang seperti itu mulia di sisi Allah atau mungkin juga tergolong dalam kalangan orang-orang munafik akhir zaman. Wallahualam. Sambung bacaan anda di sini....

March 13, 2011

Bersyukur Kepada Allah : Berakhirnya Akademi Fantasia!

1. Saya sangat bersetuju dengan artikel tulisan saudara Syafiq Kamarul berhubung isu berakhirnya program realiti TV terkenal saluran Astro iaitu Akademi Fantasi. Sudah tiba masanya program yang banyak mengundang maksiat seperti AF ini dihentikan segera. Baca tulisan menarik beliau ini : ANTARA PERKARA YANG WAJA disyukuri ialah pengumuman bahawa program realiti TV popular Astro, Akademi Fantasia (AF) adalah yang terakhir pada tahun ini. Sejak dimulakan pada 2003, hanya Mawi yang boleh dianggap sebagai juara yang amat berbekas dalam hati para peminat seni suara tanah air, terutama remaja Melayu Islam (ramai yang mengatakan Mawi sebagai satu fenomena, telah ditentukan rezekinya sedemikian walaupun ada peserta lain yang lebih baik, dan pernah tersingkir pada peringkat awal, tetapi dimasukkan semula).

2. Dalam AF3 (2005) dengan Pengetuanya, M Nasir, Mawi menjadi juara (meskipun ramai yang mengatakan suara pemenang ketiga, Felix, lebih merdu) dan penyanyi tanah air paling popular setanding Siti Nurhaliza. Sementelah selepas itu dalam album pertamanya, Yang Tercinta, Mawi turut merakamkan lagu "Lagu Jiwa Lagu Cinta" (lirik oleh Allahyarham Loloq) yang hit bersama Nasir (yang mencipta melodinya). Bagaimanapun, secara keseluruhannya, tiada juara AF yang berjaya menjadi legenda. Seperti kata Siso (bekas ahli kumpulan Kopratasa), sia-sia sahaja jika gagal melahirkan legenda.

3. Mawi sendiri kian tenggelam. Auranya bukan sahaja malap, malah hampir padam. Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, dia langsung tidak tersenarai dalam lima calon akhir kategori Penyanyi Lelaki Popular. Yang tetap teguh dan bertahan ialah M Nasir sendiri (living legend) walaupun sejak sedekad lalu hanya muncul dengan dua buah album (Phoenix Bangkit/2001 dan Sang Pencinta/2006) sahaja – lima tahun sekali.

4. AF dijalankan selama tiga bulan. Cukupkah tempoh itu melahirkan yang ampuh, apatah lagi menjadi legenda - tanpa mengira siapa pengetuanya. Antara tokoh selain M Nasir yang pernah menjadi Pengetua AF ialah Freddie Fernandez, Ramli MS, Ramli Sarip, Datin Tiara Jacquelina, dan Norman Abdul Halim (Norman KRU). Tiara sendiri mencetuskan kontroversi dan teguran penonton kerana penampilannya selalu seksi (tidak sopan) di hadapan pelajarnya, sementara Norman mengatakan dia lebih baik daripada pengetua sebelumnya (Norman menjadi Pengetua AF8-2010). AF di bawah Ramli Sarip pula dianggap paling lemah.

5. Mawi dianggap paling bertuah kerana sangat diminati walaupun dia juga artis "mi segera". Dia kini menjadi sebaliknya selepas menjuarai AF3 apabila tidak lagi menjadi rebutan, dan buruan media. Prestasi semakin tenggelam Mawi dikatakan ada kaitan dengan skandal cinta (?) bersama pelakon/penyanyi Diana Rafar, dan perkahwinannya dengan Ekin.

6. Filem lakonan keduanya, Jin Notti pula menyerlahkan betapa dia tidak boleh berlakon dengan baik. Mujur Magika (filem ketiganya, juga terbitan KRU Studios) yang diangkat sebagai Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 seperti membantu dia dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010. Skandal dan perkahwinan, ditambah dengan terbengkalainya filem Aduh Saliha, arahan M Nasir, semakin memudarkan bintang Mawi.

7. Aura Mawi selepas menjuarai AF3 sangat-sangat mempengaruhi dan menarik ramai remaja mahu menjadi penyanyi, serta mewah sepertinya. Kesederhanaan penampilannya ditambah dengan imej warak (Islam) sehingga timbul anggapan bahawa Mawi itu boleh diterima kerana dia "telur penyu" yang boleh dimakan, sedangkan AF adalah “penyu” yang haram dimakan oleh orang Islam. Lucu!

8. Namun, tidak semua mampu menjadi sepertinya. Ramai yang menyertai AF. Tetapi, ramai yang tidak menjadi sepertinya, termasuk juara AF4, Faizal, yang kini menjadi pelakon drama TV, dan filem. Diuar-uarkan AF9 sebagai musim terakhir; adakah hanya sekadar strategi untuk menarik kembali minat penonton yang dikatakan merudum. Jadi, ia hanya gimik dan isyarat akan dteruskan? Memang elok sangat AF dihentikan, tidak kiralah terikat dengan kontrak atau tidak. Sudah terlalu ramai penyanyi di negara kita yang tidak membawa sumbangan bermakna apa-apa pun. Masih tidak cukup-cukupkah? Sudah ada Mentor, One in A Million, dan LG Star.

9. Tidak cukup dengan itu, ada pula Bintang Kecil di TV9 yang bertujuan mencungkil bakat penyanyi kanak-kanak, tetapi menyanyi lagu yang langsung tidak sesuai dengan usia mereka. Sepatutnya Bintang Kecil digunakan untuk mengetengahkan lagu rakyat yang lebih bermanfaat, ketimbang lsgu komersial dewasa berbaur cinta kecewa hampa memujuk rayu sendu-senduan!

10. Belum lagi RTM yang berterusan dengan penganjuran Bintang RTM, Bintang Klasik Nasional, dan pelbagai bintang lagi. Cuma, bintang tujuh jula juli sahaja yang belum. AF, Mentor, dan lain-lain sebenarnya tidak peduli pesertanya akan menjadi penyanyi atau tidak. Yang penting bagi mereka ialah wang masuk menerusi iklan, dan penajaaan. Mentor, sebagai contohnya, ada antara calon peserta diuji menyanyi di hadapan penyanyi dan komposer, Ajai, misalnya, sebagai penguji. Jika gagal menyanyi dengan baik (meskipun sebenarnya lagu itu tidak sesuai dengan suara calon peserta tersebut – bukankah penyanyi yang menghasilkan album hanya memilih (dipilih oleh penerbit) lagu yang sesuai dengan suaranya sahaja? Bukan semua penyanyi boleh menyanyikan semua lagu). Calon peserta itu gagal dan disuruh pulang begitu sahaja bersama wang tambang!

11. Jadi, di mana keikhlasan dan kejujuran program realiti itu? Sepatutnya lagu yang sesuai, bukan lagu yang dipaksa (wajib). Sudahlah program hiburan tidak bermanfaat, niat pula tidak baik. Stesen TV dan juri atau mentor yang mendapat "habuan". Jadi penyanyi atau tidak, engkau punya pasallah! Sebenarnya, yang lebih penting ingin dipersoalkan dalam tulisan ini ialah sejak 2003, telah sekian banyak wang remaja Melayu Islam mengalir ke dalam kantung pemilik Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan.

12. Tidak kira siapa pengetuanya, AF wajar dihentikan. Lucu pula ada yang menganggap penganjur tiada semangat patriotik kerana melantik seniman Indonesia sebagai Pengetua AF9. Sejak bila pula AF merupakan program yang (bertujuan) menyemai patrotisme? AF akhirnya hanya melahirkan ramai pelakon dan pengacara TV atau penyiar radio swasta. Ramai johannya yang tidak ke mana-mana sebagai penyanyi. Selain Faizal, Vince (juara AF1), Zahid (AF2), serta finalis seperti Marsha Londoh yang akhirnya menjadi pelakon. Cuma, yang nampak lebih positif sedikit ialah finalis AF1, Farah yang kini menjadi pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 (bergandingan dan sering diusik oleh Aziz Desa). Lebih menariknya, Farah bertudung dan mahu kekal begitu.

Isu Kartun Ultraman : Jangan Mudah Diperbodoh!

Kesihan melihat Zoy "dilaknat dan dicaci maki" oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia yang berotak kartun. Golongan ini cuba menunjukkan rasa simpati dan sensitif terhadap mangsa tsunami di Jepun - tetapi hairan pada masa yang sama tidak pula menunjukkan rasa simpati terhadap saudara seIslam yang dicaci-maki dan dikafirkan di negara sendiri. Kebencian mereka sebenarnya ditujukan kepada akhbar Berita Harian - dan bukan semata-mata atas simpati kepada rakyat Jepun. Tidak pula kita mendengar golongan yang "melaknat" Zoy di laman-laman sosial kerana kartun Ultramannya itu - turut sama "melaknat" ratusan kartun Zunar yang tidak henti-henti memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Mahathir dan para pemimpin UMNO yang lain dengan lukisan-lukisan yang penuh penghinaan dan keaiban. Sebaliknya Zunar pula diangkat sebagai hero, walaupun sangat jelas hasil lukisannya selama ini, tidak hanya menghina, bahkan memalukan pemimpin-pemimpin negara.

Masyarakat Islam di Malaysia sangat suka menunjukkan simpati kepada orang lain - tetapi jauh sekali menyayangi saudara seagama, kita juga gemar berbaik dan bertolak ansur dengan orang kafir - tetapi pada masa, kita juga sanggup mengkafirkan saudara seIslam. Inilah otak kartun Ultraman yang masih melekat dalam sebahagian besar generasi muda masa kini! (baca di sini).

JCorp Mungkin Lumpuh!

Nampaknya mungkin satu lagi organisasi perniagaan Melayu akan lumpuh dan hancur di bawah pentadbiran yang tidak tahu erti perjuangan dan berjihad dalam perniagaan. Setelah berjaya menyingkirkan bekas CEO Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim daripada terus menerajui rangkaian perniagaan oraganisasi tersebut beberapa bulan yang lalu - kini pentadbiran baharu JCorp dikatakan sedang merancang untuk menjual sebuah anak syarikat JCorp yang paling bernilai - iaitu syarikat Kulim Bhd. Khabar angin ini sekiranya benar-benar terjadi - ia tidak hanya menjejaskan sumber pendapatan utama JCorp, bahkan lebih jauh daripada itu, JCorp juga akan kehilangan pegangan saham dalam QSR Brands Bhd dan KFC Holding Bhd yang terbukti telah membawa keuntungan besar kepada syarikat milik kerajaan Johor itu. Kekecewaan Ali Hashim ada asasnya - setelah bertungkus-lumus membangunkan JCorp selama 30 tahun dan berjaya melahirkan begitu ramai usahawan Melayu yang bernaung di bawahnya, kini terdapat pula "tangan-tangan ghaib" yang mahu menghancurkan segala kejayaan dan kebanggaan itu. Nampaknya - memang Melayu mudah lupa. Mudah lupa terhadap jasa orang lain dan mudah lupa terhadap pengorbanan orang lain. Jcorp bakal hancur sekiranya yang memimpin organisasi itu merupakan "gunting dalam lipatan". Baca laporan di sini...

March 12, 2011

Isu Saman Ekor : Jawapan Balas Zulhazmi Sharif

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka. Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!

ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Fatwa Terbaru Ulama PAS : Membeli dan Membaca Buku Mahathir Adalah Fasiq!

Belum sampai seminggu buku tulisan Tun Mahathir Mohamad berada di pasaran - para "ulama" tidak bertauliah PAS sudah pun mengeluarkan fatwa yang berbunyi, "Siapa yang menulis, membaca, membeli dan menjual buku Tun Mahathir itu merupakan orang fasiq" - Nauzubillah min zalik. Mengucap panjang saya mendengarnya. Siapakah kita yang layak menjatuhkan hukum fasiq kepada sesiapa yang kita suka. Namun demikian - itulah realiti yang berlaku dalam parti PAS. Sekiranya fatwa ini diterima - sekurang-kurangnya 50 000 orang yang telah membeli buku Tun Mahathir sudah dikira "confirm" ahli neraka. Baca kisah menarik di sini...

March 11, 2011

Isu Pengedaran Kitab Injil : Najib Perlu Beri Penjelasan

Saya mengharapkan - berita ini adalah berita dusta! Dusta sama sekali, sekiranya tidak - kerajaan terpaksa menanggung dosa yang amat besar. Laporan berhubung dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membenarkan pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia di negara ini adalah sesuatu yang sangat berat dan perlu dibuktikan, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam. Saya yakin - mungkin terdapat salah faham dalam isu ini - antara Perdana Menteri dengan Persatuan Kristian Malaysia - adalah tidak masuk akal sekiranya Datuk Seri Najib mengizinkan pengedaran kitab Injil dalam bahasa Melayu dilakukan di negara ini tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada kabinet dan nasihat Majlis Mufti.

Hal ini sangat serius - kerana keizinan tersebut boleh dianggap sebagai tindakan yang membelakangkan perlembagaan negara. Kita sedia maklum - perlembagaan negara ini tidak menghalang penganut selain agama Islam untuk mengamalkan kepercayaan mereka - tetapi, dengan syarat, ajaran agama mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk disebar dan didakwahkan kepada masyarakat Islam. Dengan kata mudah - selain agama Islam, tiada agama lain pun yang diizinkan untuk disebar dalam kalangan komuniti Islam di bumi bertuah ini. Lantaran itu - keizinan mengedarkan kitab Injil dalam bahasa Malaysia dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha dan gerakan untuk menyebar serta mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini agar menganut agama Kristian. Pada hemat saya - Perdana Menteri harus segera menjelaskan isu ini dengan lebih jujur dan amanah. Baca berita di bawah :

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia di negara ini adalah berat dan ia perlu dibuktikan bagi mengelakkan kekeliruan. Menurut Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Ab Rahim, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia itu amat berat dan ia perlu dibuktikan bagi meredakan kegelisahan di kalangan rakyat terutamanya yang beragama Islam.

“Abim memandang berat kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Kristian Malaysia yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan tiada pengharaman dibuat ke atas kitab Injil dalam bahasa Malaysia, kita juga memandang serius kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia yang turut mendakwa Perdana Menteri telah menjanjikan pengedaran kitab-kitab tersebut di Sabah dan Sarawak secara bebas.

“Sebagai pemerintah eksekutif tertinggi di negara ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan menggambarkan pendirian serta polisi kerajaan mengenai sesuatu perkara, dalam konteks ini, dakwaan Persekutuan Kristian Malaysia ini seakan-akan menggambarkan persetujuan kerajaan untuk pengedaran kitab Injil berbahasa Malaysia dalam negara ini sedangkan tiada sebarang pewartaan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan. Sambung bacaan anda di sini..

Buku Tun Mahathir Sudah Habis Di Pasaran : Racun Bisa Yang Membunuh!

1. Saya menerima maklumat berkenaan buku tulisan Tun Mahathir Mohamad - A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr. Mahathir sudah habis terjual dipasaran. Lewat petang semalam sejumlah 50 000 naskah buku tersebut sudah kehabisan stok dan sedang dalam proses cetakan kedua. Bahkan - sehingga petang ini, rakan-rakan saya menceritakan mereka terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan buku tersebut. Soalnya hanya satu - apakah rakyat Malaysia sangat dahagakan kebenaran? Sehingga tidak sampai seminggu buku tersebut berada di pasaran, ia sudah terjual sebanyak 50 000 naskah? Apakah kebenaran yang sangat dicari-cari oleh rakyat Malaysia sekarang? Kebenaran tentang Anwar atau pun riwayat politik Mahathir? Yang mana satu lebih penting?

2. Dan sekarang saya terpaksa bertanya, mengapa Anwar Ibrahim tidak menulis sebuah buku untuk menceritakan kisah yang sebenarnya berlaku antara beliau dengan Tun Mahathir? Mengapa beliau lebih sibuk dengan ceramah daripada mendokumenkan segala peristiwa penting yang beliau alami sepanjang bersama Tun Mahathir dalam politik? Sekiranya hujah Anwar Ibrahim yang menuduh kononnya Tun Mahathir berbohong berkenaan salah laku seksnya di dalam buku terbaru beliau - A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad diterima bulat-bulat oleh para penyokong fanatiknya - saya fikir kepala otak mereka sudah dipenuhi dengan anai-anai dan siput babi. Fikiran mereka bukan sahaja dikawal oleh Anwar Ibrahim - bahkan seolah-olah sudah hilang pertimbangan waras dan akal fikiran yang sihat. (Baca di sini)

3. Bagi mereka yang mendapat hidayah Allah, InsyaAllah akan dapat melihat kebenaran yang nyata lagi jelas - dengan soalan - untuk apa lagi Mahathir memfitnah Anwar? Apa lagi yang ditakuti oleh Mahathir terhadap Anwar? Mahathir sudah memperoleh segalanya dalam hidup - kuasa, pengaruh dan kekayaan, telah dinikmati sepenuhnya oleh Mahathir. Tiada sebabnya mantan Perdana Menteri itu mahu kembali ke arena politik semata-mata mahu membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim. Siapakah Anwar Ibrahim yang sangat perlu ditakuti oleh Mahathir sekarang? Apakah Mahathir terlalu bodoh dan tolol, sehingga terpaksa menulis sebuah kisah dan cerita yang sengaja direka-rekanya hanya untuk seorang insan bernama Anwar Ibrahim?

4. Cubalah kita fikirkan sejenak, masih adakah keistimewaan Anwar Ibrahim kepada Mahathir pada waktu ini? Tiada sebab Mahathir menulis dan menerbitkan sebuah buku setebal 817 muka surat hanya untuk memburukkan Anwar Ibrahim. Apa yang Mahathir dapat? Pada hemat saya, hanya golongan jahil sahaja yang sanggup menelan hujah-hujah bodoh tersebut. Apakah tergamak Mahathir membazirkan usia emasnya selama 8 tahun - semata-mata ingin menulis sebuah bab yang direka-reka ceritanya bagi memfitnah dan mengaibkan Anwar Ibrahim? Bodohlah Mahathir kalau buat kerja seperti itu. Sanggupkah Mahathir berbohong sepanjang hayatnya, hanya untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim?

5. Apabila Mahathir menulis pengalaman peribadinya bersama Anwar - maka kebenaran akan terselah serta boleh dinilai oleh masyarakat. Dengan kata mudah, masyarakat mampu menilai sejauh mana Mahathir konsisten dan istiqamah dengan keyakinannya terhadap salah laku seks yang membabitkan moral Anwar Ibrahim selama ini. Bahkan, watak-watak yang terkandung di dalam setiap halaman buku yang ditulis oleh Mahathir itu, mampu ditemui untuk mengesahkan cerita dan menjadi saksi - sama ada benar atau pun salah segala yang dicoretkan oleh mantan Presiden UMNO tersebut.

6. Benarkah selama ini Mahathir menipu, berbohong dan mereka-reka cerita berkenaan salah laku seks Anwar Ibrahim? Sanggupkah seseorang menulis kisah bohong dan fitnah setebal 817 muka surat selama 8 tahun semata-mata menginginkan populariti dan sedikit royalti? Berbaloikah Mahathir berbuat sebegitu terhadap "Insan Pilihan Tuhan" bernama Anwar Ibrahim? Tidakkah Mahathir takut kepada Allah dan berhadapan dengan jutaan saman fitnah? Seandainya segala yang ditulisnya itu hanyalah riwayat dongengan bertaraf Pak Pandir?

7. Berbalik semula kepada persoalan utama di atas, mengapa Anwar tidak menulis sebuah buku yang menceritakan memori politiknya, ketika beliau merengkuk di dalam penjara? Bukankah waktu itu merupakan waktu yang paling sesuai untuk menghasilkan sebuah buku yang super hebat? Bukankah tokoh-tokoh pejuang dunia sering menghasilkan karya agung mereka sewaktu mereka berada di dalam penjara? Lupakah kita dengan karya-karya yang ditulis oleh tokoh-tokoh pejuang terkenal seperti Sayid Qutub dengan kitabnya Ma'allim fith Thariq dan Fizhilalil Quran, Ibn Taimiyyah dengan kitabnya Majmu Fatawa, Prof Hamka dengan kitabnya Tafsir Al-Azhar, Zainab al-Ghazali - mujahidah Ikhwanul Muslimin dengan kitabnya Ayyamun Min Hayati, dan Dr. Aidh al-Qarni dengan kitabnya La Tahzan? Semua karya hebat tokoh-tokoh ini ditulis sewaktu mereka berada di dalam penjara! Soalnya mengapa tokoh "Anugerah Tuhan" yang bernama Anwar Ibrahim yang disanjung dan dipuja oleh para penyokong fanatiknya, tidak menghasilkan sebuah karya super hebat ketika berada di dalam penjara bagi membela dirinya? Bukankah ia pelik lagi memelikkan?

8. Saya yakin - sebab utama mengapa Anwar tidak berupaya menulis segala pengalaman yang dialaminya dalam politik adalah disebabkan kerana beliau suka berbohong dan bersangka buruk dengan orang lain. Cerita beliau tidak konsisten - banyak lompang dan tanda tanya. Sebagai contoh, sekiranya benar Anwar terlalu yakin bahawa terdapat konspirasi besar untuk menjatuhkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri - mengapa tidak sahaja Anwar menulis sebuah buku atau catatan yang kukuh dengan fakta dan bukti bagi membela dirinya? Mengapa kisah konspirasi tersebut dibiar menjadi persepsi dan dicanai di pentas politik semata-mata untuk menimbulkan amarah rakyat, tanpa mengizinkan rakyat berfikir secara logik?

9. Anwar sebenarnya takut untuk menulis memori politik gelapnya - kerana beliau percaya memori politiknya itu penuh dengan percanggahan fakta serta dibina atas persepsi dan sangkaan buruk semata-mata. Bahkan sehingga sekarang - kita tidak pernah tahu bagaimanakah sebenarnya konspirasi yang sering didakwa oleh Anwar Ibrahim itu terjadi dan bermula. Hakikatnya, Anwar tiada bukti, beliaulah yang sebenarnya berbohong dan menipu, dan kemudian menuduh kononnya Mahathir menipu. Malah - tiada satu pun dokumen yang ditulis oleh Anwar Ibrahim bagi menceritakan secara terperinci berkenaan konspirasi Mahathir yang kononnya mahu menjatuhkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

10. Jika diteliti dengan jujur, segala tuduhan Anwar terhadap Mahathir selama ini sering didasarkan atas persepsi serta sangkaan - dan bukan atas bukti yang nyata. Anwar Ibrahim merupakan seorang lelaki yang penakut - takut untuk menulis kisah sebenar yang sering didakwanya sebagai konspirasi - takut kalau-kalau tulisannya itu dapat dihidu akan segala pembohongannya - bahkan kalau tersilap hari bulan Anwar bisa sahaja disaman oleh watak-watak yang cuba dikaitkan dengan teori konspirasinya selama ini. Malah, Anwar sebenarnya tidak berupaya untuk menulis sebuah buku pun berkenaan perjalanan politiknya - kerana beliau tahu, bukanlah mudah untuk menipu dan terus menipu di dalam setiap helaian tulisannya itu. Dalam hal ini - adalah jelas Mahathir tidak berbohong! Wallahualam.

Di Mana Kesesatan Itu?

Masih ada pengikut Syiah yang degil dengan kenyataan ini? (baca di sini). Saya memberi nasihat ikhlas kepada semua pendukung dan pencinta ajaran Syiah - agar segera menghentikan dakwah mereka terhadap penganut ahli sunnah wal jamaah di negara ini. Nasihat ini juga ditujukan terhadap sasterawan-sasterawan muda yang masih jahil dan naif berkenaan ajaran Syiah. Didapati sasterawan-sasterawan muda ini masih aktif menggunakan blog dan pengaruh mereka untuk menyebarkan fahaman dan ajaran Syiah atas nama kebebasan bersuara dan berkarya. Berselindung di sebalik nama "Kesusasteraan Melayu Tradisional" - golongan ini cuba menghalalkan pelbagai ajaran karut Syiah, di samping memperbodoh-bodohkan golongan belia yang masih jahil dengan pelbagai fakta serta hujah yang batil. Golongan ini cuba menunjukkan kononnya Syiah merupakan salah satu mazhab feqah dalam Islam - sedangkan hakikatnya aqidah golongan Syiah sangat jauh berbeza daripada ahli sunnah wal jamaah. Terlalu banyak perbezaan antara Syiah dengan Ahlu Sunnah wal Jamaah. Ia bukan sekadar perbezaan dari aspek feqah semata-mata, bahkan termasuk perbezaan dari aspek aqidah. Kerajaan harus serius memantau pergerakan Syiah di Malaysia yang didakwa sudah mencecah 40 000 orang pengikut. Wallahualam.

March 9, 2011

Tun Mahathir Dalam Bahaya!

Saya rasa Anwar Ibrahim akan menyaman Tun Mahathir dengan jumlah amaun yang sangat besar - mungkin mencecah RM 1 Bilion. Mahathir sangat berani mendedahkan kebenaran, sekali pun beliau mungkin akan dizalimi oleh Anwar dan kumpulannya. Berita di bawah saya petik daripada portal Agenda Daily - tulisan Helme Hanafi. Selamat membaca.

1. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD mengakui sepanjang 22 tahun mentadbir Malaysia beliau buat banyak silap, tetapi menegaskan keputusan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan satu kesilapan sama sekali. Bekas Perdana Menteri itu berkata Anwar sepatutnya menjadi pemimpin nombor satu negara kini, tetapi itu tidak berlaku kerana perbuatannya sendiri Ini dinyatakan beliau dalam memoir bertajuk ‘A doctor in the house’ yang dilancarkan di Kuala Lumpur petang Selasa.

2. Dr Mahathir menulis dua bab dalam buku itu untuk menjelaskan tentang isu Anwar.Buku setebal 816 muka surat itu keseluruhan terbahagi kepada 62 bab. Bab pertama mengenai kemasukan Anwar ke dalam UMNO, dan yang kedua –yang paling ditunggu-tunggu, mengenai pemecatan Anwar dan pembabitan bekas timbalan perdana menteri itu dalam aktiviti seks luar tabii. Tulis Dr Mahathir, dalam bab ke 53 bertajuk ‘Anwar’s Challenge’ beliau pertama kali dimaklumkan oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berhubung dakwaan yang mengaitkan Anwar dengan aktiviti homoseksual.

3. Kemudian, pada 1997, beliau menerima surat dari perempuan bernama Ummi Hafilda Ali, yang kata Dr Mahathir “Isinya menganggu saya kerana lebih spesifik dan lengkap mengenai dakwaan liwat membabitkan Anwar’. Pun begitu, kata Dr Mahathir, tuduhan itu seperti tidak masuk akal, jika dakwaan membabitkan Anwar mempunyai ‘hubungan’ dengan perempuan, “Saya tidak begitu terkejut, tetapi bagaimana orang yang kelihatan alim ini berkemungkinan terlibat dengan aktiviti homoseksual?” Pada mulanya, Dr Mahathir tidak mengambil serius surat Ummi, tetapi sebulan kemudian, Ummi hantar lagi satu surat, yang memaklumkan beliau menarik semua tuduhannya sebelum ini.

4. “Saya hairan kenapa dia nafi apa yang dia kata sebelum ini,” tulis Dr Mahathir. Beliau hanya memandang kes tersebut secara serius apabila bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dan pegawai peyiasat ( ketika itu) Tan Sri Musa Hassan menunjukkan bukti “termasuk gambar dan pengakuan mereka yang terlibat. Saya sedar saya tidak boleh mengabaikan maklumat ini” Kata Dr Mahathir, beliau mahu bertemu dengan saksi dan bercakap sendiri dengan mereka secara peribadi.

5. “Saya bertemu mereka secara persendirian, di rumah rasmi saya di Sri Perdana, saya beritahu mereka bahawa perbualan ini adalah sulit dan saya hanya mahu mendengar cerita mereka untuk diri saya sendiri,”katanya. Antara yang beliau temui Azizan Abu Bakar, iaitu bekas pemandu isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail. “Polis beritahu Azizan banyak kali diliwat Anwar. Saya tanya Azizan mengenai dakwaan tersebut, dan sudah tentulah beliau takut kerana Anwar merupakan timbalan perdana menteri.

6. “Ketika perjumpaan itu, Azizan gementar dan tidak selesa. Azizan menceritakan pada saya secara teliti bila kali pertama kejadian itu berlaku. Dia kata dia takut sebab Anwar begitu berpengaruh, dan boleh menyebabkan banyak masalah kepadanya, sebab itulah kata dia tidak melawan,”. “Saya tahu betapa susah untuk ingat tarikh dan waktu sebenar bila ia berlaku, jadi saya tidak beri perhatian kepada perkara-perkara tersebut. Tapi pertemuan itu cukup untuk menyakinkan saya bahawa dia (Azizan) bercakap benar.

7. “Dalam mahkamah, tarikh dan masa sebenar kejadian adalah perkara penting, dan mencukupi untuk mensabit atau menbebaskan seseorang, tapi saya ragu sekalipun hakim atau peguam dapat mengingati secara tepat apa yang mereka lakukan setahun lalu. “Ada orang simpan diari, tetapi tidak ada siapapun yang rekod semua yang dilakukannya setiap hari,” kata beliau. Dr Mahathir berkata beliau juga menyoal empat wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan ‘seseorang yang berpengaruh”.

8. Dr Mahathir menulis bahawa mereka dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bersama Nalla. “Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills (Bukit Tunku). Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenalinya sebagai timbalan perdana menteri. “Mereka telah diminta menanggalkan pakaian untuk tujuan mengadakan hubungan seks,” tulis Dr Mahathir.

9. “Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi untuk bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan,” tulis Dr Mahathir. Mengenai dakwaan beliau melakukan konspirasi politik, kata Dr Mahathir, “Bagaimana orang boleh mempercayai ini (teori konspirasi), kalau hendak berkonspirasi melawan Anwar, saya perlu menggunakan polis, Peguam negara dan pendakwaraya, saksi-saksi, hakim, pakar makmal forensic, dan ramai lagi sebagai rakan subahat saya” “Sudah pasti, seseorang dari yang ramai itu membocorkan perkara yang kami rancangkan kepada umum.

10. Tetapi tidak ada siapa yang muncul dan mendakwa bahawa saya memaksa beliau untuk menipu bagi menyokong dakwaan saya (terhadap Anwar). Dr Mahathir turut memuatkan sebahagian dari penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat. Dalam penghakiman tersebut hakim-hakim membuat kesimpulan bahawa aktiviti homoseksual berlaku tetapi kerana masalah teknikal maka kes tersebut digugurkan.

11. Kata Dr Mahathir, biasanya beliau seorang yang pemaaf dan biasa memberi peluang kedua kepada mereka yang pernah ‘lawan’ beliau secara politik. “Bahkan seorang dari mereka saya namakan sebagaikan penganti selepas Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, tapi saya susah untuk memafkan Anwar kerana merosakkan nama baik saya di mata dunia,” katanya. Beliau menutup bab tersebut dengan menulis bahawa Anwar sepatutnya menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana tindakannya sendiri. “Pilihan yang saya ada hanyalah memecat beliau dan saya lakukan apa yang saya fikir terbaik untuk negara ini. Saya mungkin buat banyak silap, tetapi memecat Anwar bukan satu kesilapan sama sekali,”katanya. Memoir tersebut dijual dengan harga RM100 setiap naskah dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama seluruh negara.

Mahathir Belum Mati! Bila Tiba-Tiba Kita Jadi Dewasa!

Akhirnya - Tun Mahathir berjaya juga menerbitkan buku yang selama ini dijanjikannya kepada kita semua. Buku ini, pada hemat saya adalah setanding dengan buku tulisan Lee Kuan Yew yang berjudul The Singapore Story : Memoirs of Lee Kuan Yew. Bezanya hanya satu - Mahathir tidak mendakwa segala kejayaan yang berlaku di Malaysia adalah hasil titik peluhnya sendiri - sebaliknya Mahathir lebih berminat untuk memaparkan sejarah dan kebenaran menerusi kaca mata beliau sebagai seorang bekas Perdana Menteri Malaysia. Kebiasaanya, sejarah seringkali ditulis oleh golongan yang menang - soalnya apakah kali ini, Mahathir akan menang dalam pertarungan dengan musuh-musuhnya? Saya percaya - banyak pihak yang akan mengambil kesempatan atas penerbitan memori Mahathir ini - bahkan tidak terkecuali Anwar Ibrahim. Mahathir mempunyai ramai musuh yang sedang menanti peluang dan kawan-kawan yang mungkin menikam dari arah belakang. Namun demikian, saya percaya kepada kebenaran yang ditulis oleh Tun Mahathir, InsyaAllah saya akan bersama-sama dengannya , sekiranya buku tersebut mula diserang! Selamat membaca.

KUALA LUMPUR 8 Mac - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bersedia menghadapi apa jua tindakan undang-undang termasuk kemungkinan disaman oleh pihak tertentu ekoran memoir bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri dalam buku memoir terbarunya yang baru dipasarkan hari ini itu menyentuh mengenai pelbagai perkara yang merupakan pengalaman hidupnya selama 85 tahun termasuk pengamalannya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Semasa saya menulis, saya cuba elakkan daripada menyakitkan hati orang. Namun demikian saya terpaksa menulis apa yang benar dan saya berpendapat bahawa akan ada orang yang rasa tak senang hati kerana dalam masyarakat kita sekarang ada budaya 'swing', hendak RM100 juta, RM200 juta hendak cuba bankrapkan saya.

"Jadi, apa jua kemungkinan, saya terima saja, kalau hendak saman pun samanlah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bukunya itu di sini hari ini. Antara yang disentuh dalam bukunya itu ialah bagaimana beliau terpaksa memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Turut disentuh dalam bukunya ialah mengenai Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah menaruh harapan untuk menjadi perdana menteri sebuah negara yang besar seperti Malaysia.

"Singapura awal 1960-an terlalu kecil bagi dirinya dan impiannya. Malaysia adalah negara sebenar, bukan sebuah negara bandar raya dan menjadi Perdana Menteri Malaysia akan memenuhi impian beliau khususnya untuk memiliki kuasa dan lebih daripada (hanya sebagai) peranan bandar raya," tulis Dr. Mahathir dalam bukunya itu.

Negarawan itu dalam bukunya berkata, apabila Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj buat pertama kali bercakap mengenai pembentukan Malaysia merangkumi Semenanjung, Singapura dan Borneo, Kuan Yew dengan tidak sabar-sabar mengalu-alukannya. Bekas Perdana Menteri itu dalam bukunya turut memceritakan beliau mempunyai darah keturunan India dalam badannya tetapi mempertahankan dirinya masih seorang Melayu dan berbangga kerana status tersebut. Beliau dalam bukunya berkata, menjadi orang Melayu bukan lagi persoalan keturunan tetapi satu ikatan perundangan.

"Dari segi perundangan, orang Melayu didefinisikan sebagai seorang yang bercakap bahasa Melayu, amalkan budaya orang Melayu dan beragama Islam. Oleh itu, mereka yang memenuhi syarat-syarat itu adalah orang Melayu dan layak menikmati 'sesetengah hak' di bawah lunas perundangan," kata Dr. Mahathir dalam bukunya. Sementara itu, selain tidak takut sekiranya disaman, bekas Perdana Menteri itu juga turut bersedia sekiranya ramai pihak yang sebelum ini adalah kawan tetapi bertukar menjadi musuh selepas membaca buku memoir tulisannya itu.

March 4, 2011

PAS 2011 : Jangan Panggil Aku Hantu!

Strategi PAS yang tidak mengira dosa dan pahala dalam berpolitik - sudah dikenali oleh rakyat jelata sejak dari dahulu lagi. Pendedahan Rashid Wahab di bawah ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan - bahkan ia merupakan budaya mazmumah yang telah lama berakar umbi dalam PAS. Sekiranya budaya jahiliah ini terus-menerus diamalkan oleh para pendukung PAS, tidak mustahil lama-kelamaan parti tersebut menuju ke gaung kehancuran. Baca laporan di bawah :

KUALA LUMPUR 3 Mac - Seorang bekas penyokong fanatik Pas, Rashid Wahab, hari ini tampil mendedahkan bahawa parti itu bukan sahaja memperalatkan agama bagi mengkafirkan ahli UMNO malah menyeru ahlinya supaya mengangkat senjata menentang UMNO. Rashid yang 22 tahun mengabdikan diri kepada Pas berkata, kerana taksub dengan amanah Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau terpaksa meringkuk dalam penjara apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak tiga kali.

"Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak tiga kali kerana membawa senjata. "Kononnya berjuang untuk Islam tetapi saya bersyukur kerana akhirnya telah diberi hidayah daripada terus ditipu oleh Pas," katanya seperti dipetik dari portal, http://umno-online.com, hari ini.

Pendedahan itu sekali gus mengesahkan mengenai kewujudan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikaitkan dengan Pas, sehingga menyaksikan anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Adli dan puluhan ahli Pas ditahan di bawah ISA. Menurutnya, kerana amanah Abdul Hadi itu juga, beliau dan rakan-rakannya bukan sahaja mengkafirkan ahli UMNO malah, tergamak mengkafirkan bapa sendiri hanya kerana insan yang membesarkan mereka itu tidak menyokong perjuangan Pas.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan bahawa pucuk pimpinan Pas tidak pernah ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini sebaliknya ia dijadikan perkakas dan modal politik bagi memancing sokongan orang Melayu.

Katanya, hakikat itu terbukti apabila para pemimpin Pas berdolak-dalik setiap kali ditanya mengenai hukum hudud dan penubuhan negara Islam, sedangkan dahulu mereka berjanji sebaik sahaja memegang kuasa, Pas akan melaksanakan perundangan Islam di negara ini. "Apabila didesak mengenai kes hudud kenapa tidak dilaksanakan selepas menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, jawapan yang diberi oleh pucuk pimpinan Pas adalah hudud ini hanya satu per dua ribu sahaja dalam Islam, maknanya mereka berbohong," jelasnya.

Dedah Rashid lagi, Pas juga pernah mengeluarkan 'fatwa' bahawa solat di masjid-masjid yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah tidak sah dan ahli parti itu diharamkan daripada beribadah di masjid terbabit kerana perjuangan nasional tidak selari dengan Islam. Bagaimanapun jelas beliau, sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada 1999, segalanya berubah dan Abdul Hadi yang menjadi Menteri Besar pada ketika itu, membenarkan masjid yang dahulunya haram digunakan oleh ahli Pas bagi tujuan ibadah.

"Pas menggunakan agama. Dalam usrah dan ceramahnya, Pas sering mengelirukan pengikutnya dengan cerita-cerita keislaman pada zaman Rasulullah SAW. Jadi pengikut Pas terasa dengan menyokong Pas mereka berjuang untuk Islam tetapi mereka sebenarnya keliru. "Mereka tidak dapat membezakan yang mana satu parti dan yang mana satu agama. Selama menyertai Pas selama 22 tahun, sekarang barulah saya sedar, Pas dan Islam adalah berbeza. Islam itu adalah agama dan Pas hanyalah sebuah parti," terangnya.

March 3, 2011

Fatwa Menyeleweng Nik Aziz : Menjawab Kononnya PAS Tidak Pernah Sesatkan UMNO

Saya tertarik untuk mengupas kenyataan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (di sini) yang cuba mempertahankan fatwa-fatwa Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang selama ini tidak hanya mengelirukan masyarakat Islam, bahkan terlalu banyak fatwa Nik Aziz yang sebenarnya merupakan fitnah dan andaian jijik lagi kotor terhadap UMNO. Fatwa-fatwa liar Nik Aziz sudah pun ditegur oleh ulama-ulama yang sezaman dengannya termasuklah ulama-ulama pondok di Kelantan dan terbaru Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Pada saya cukuplah tiga fatwa hanyir Nik Aziz di bawah ini sebagai bukti bahawa Mursyidul Am PAS itu - sama ada sedar atau pun tidak, beliau telah pun menyesat dan mengkafirkan ahli-ahli UMNO. Terdahulu Nik Aziz mencabar Tun Mahathir agar membuktikan bilakah beliau telah mengkafirkan orang-orang UMNO (baca di sini)

Bukti-bukti di bawah ini saya petik daripada sumber kitab paling sahih dan utama PAS - iaitu Harakah Daily. Maka, tidak timbul lagi dakwaan kononnya kenyataan atau fatwa Nik Aziz di bawah ini telah diselewengkan oleh UMNO atau BN. Pada hemat dan kajian saya - riwayat fatwa-fatwa Nik Aziz di bawah ini adalah berstatus Shahih Mutawatir Maknawi dan Lafazi - sekali gus menjadikan ia sebagai sandaran dan bukti bahawa PAS - melalui lidah Nik Aziz memang mengkafir dan menyesatkan UMNO. Untuk makluman pembaca, saya sedang menyusun sebuah kitab yang khusus berkenaan fatwa-fatwa Nik Aziz yang menyeleweng dan meragukan umat Islam - kitab tersebut berjudul, "Shahih Azli Shukri". Di bawah ini saya paparkan terlebih dahulu sebahagian kecil daripada kandungan kitab saya tersebut di bawah bab : Nik Aziz Nik Mat Dakwa UMNO Sesat.

Fatwa ke-37 Nik Aziz Nik Mat :

37. "Tok Ayah Pin dicap sesat. Habis kenapa Umno tidak sesat? Sama-sama tidak kenal agama belaka. Al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya."Umno kenapa tidak sesat lagi? Salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak usah kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak, aku reti juga," - Nik Aziz Nik Mat sewaktu berceramah di Chuchoh Puteri, Manek Urai, Malaysiakini 8 Julai 2009. 38. "Umno, dia tolak Islam automatik dia tolak roh, bila dia tolak Islam, Nabi Muhammad pun dia tolak, al-Quran pun dia tolak, Allah Taala pun dia tolak," - Nik Aziz Nik Mat, Ucapan di Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Pusat di Masjid Rusila, Harakahdaily, 3 Oktober 2010.

Fatwa ke-32 Nik Aziz Nik Mat :

32. "Perjuangan UMNO sebenarnya amat dhalalah (sesat-sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama" - Nik Aziz Nik Mat, Harakahdaily, 8 Mac 2010.

Fatwa ke-38 Nik Aziz Nik Mat :

38. "Dan dalam konteks Umno, mereka tidak ada 'aamana' (tidak beriman). Ada Islam sahaja. Mereka menolak Islam, nak dikatakan beriman macam mana. Ini perkara yang tidak ada dalam Umno. Umno menerima Islam tetapi mereka tidak beriman. Iman mesti ada, selain daripada Islam ialah iman." – Nik Aziz Nik Mat, Harakahdaily 30 Jun 2009.

March 1, 2011

Sokongan Melayu Semakin Terhakis : Kesedaran Mujahid Sudah Terlewat!

Akhirnya - PAS terpaksa mengakui, walaupun cuba menafikannya bahawa pola pengundi Melayu semakin hilang daripada parti tersebut. Sokongan dan undian yang diberikan oleh orang Melayu terhadap PAS selama ini, telah disia-siakan begitu sahaja. Mujahid Rawa mungkin salah seorang pemimpin PAS yang menyedari dan berpijak di bumi nyata - sesungguhnya PAS benar-benar semakin hilang sokongan orang Melayu sejak akhir-akhir ini. Keegoan dan sikap sombong mendabik dada para pemimpin kanan PAS, akhirnya memakan diri sendiri. Mungkin masih terdapat pemimpin-pemimpin PAS yang terawang-awang dengan kejayaan luar biasa Parti Pembangkang dalam PRU ke-12, tiga tahun yang lalu serta mengambil sikap mudah terhadap kemerosotan pengaruh PAS dalam kalangan orang Melayu pada saat ini.

Malah, PAS juga ditegur oleh DAP, agar lebih memberi fokus terhadap orang Melayu supaya mereka berasa lebih terjamin dan terbela di bawah parti Islam tersebut. Malangnya, PAS selalu lupa dan leka - mulut celupar para pemimpinnya seringkali menyebabkan orang Melayu dalam UMNO begitu tersinggung, sedangkan pada masa yang sama PAS sangat memerlukan undi ahli-ahli UMNO yang sanggup berpaling tadah. Tanpa sokongan dan undi orang Melayu yang berada dalam UMNO - PAS boleh melupakan sahaja hasrat mereka untuk menguasai Putrajaya.

Bahkan - sekiranya tiada undi protes besar-besaran dalam kalangan orang Melayu UMNO terhadap kepimpinan Abdullah Badawi pada tahun 2008 - jangan bermimpi PAS boleh menang besar seperti mana yang berlaku dalam PRU ke-12. Pokoknya, PAS di kala ini telah mula lupa untuk menjaga hati ahli-ahli UMNO dan bersikap lemah-lembut terhadap mereka - kerana ahli-ahli UMNO juga merupakan orang Melayu dan undi mereka mampu menentukan sama ada PAS boleh menang atau sebaliknya!

Malangnya - PAS lebih selesa mewujudkan kontroversi dengan UMNO secara pukul rata - bahkan PAS seringkali cuba melabelkan seolah-olah semua ahli UMNO adalah jahat dan tidak berguna - sedangkan dalam politik, seni memujuk adalah sangat penting demi satu undi! PAS lupa semua ini - mereka merasa terlalu hebat dan kuat, sehingga membawa mereka ke dalam dunia fantasi dan ilusi kejayaan yang masih terlalu jauh untuk dicapai. Namun demikian, dalam keadaan sebegini, masih ada pemimpin PAS yang berpijak di bumi nyata - dan semakin merasakan orang Melayu mula menjauhi PAS. Baca luahan ikhlas Mujahid Yusuf Rawa di bawah ini :

IBARAT "SENI YANG MEMUNGKIN KEMUSTAHILAN" itu sendiri menjelaskan bahawa politik kadang-kala melangkaui "logik". Kemenangan tidak semestinya menjanjikan kesenangan, jikalau tidak dikendalikan dengan baik; sokongan pula tidak semestinya mendukung, tetapi boleh juga meruntuhkan sesebuah parti politik. Demikianlah dilema PAS yang perlu dikendalikan dengan cermat - apabila sokongan Cina terhadap parti ini kelihatan lebih terserlah daripada undi tradisionalnya yang bersumberkan Melayu-Muslim.

Pertama, sesungguhnya PAS melalui Pakatan Rakyat berjaya meraih undi Cina, namun pola pengundian juga menunjukkan penurunan undi Melayu di kawasan desa terhadap PR. Realitinya, kebanyakan calon PAS bertanding di kawasan majoriti Melayu, dan jelas pola pengundian terkini tidak memihak kepada PAS. Keduanya, PAS-PR yang diserang media milikan pemerintah terpaksa meyakinkan Melayu bahawa kepentingan kaum majoriti ini tidak akan tergadai, seandainya PR menawan Putrajaya. Apabila retorik ini terlebih dikumandangkan, ia memberi persepsi kepada masyarakat bukan Melayu bahawa PAS-PR tidak berbeza dengan UMNO-BN...Sambung bacaan anda di sini...