Skip to main content

SBPA : Dunia Penerbitan Ilmiah Malaysia Bakal Hadapi Krisis

Dalam keghairahan Perdana Menteri memperkenalkan misi transformasi dalam sektor awam bagi menjenamakan semula imej UMNO dan kerajaan - seharusnya ia akan lebih membawa seribu rahmat kepada penjawat awam dan bukan mengundang kekeliruan yang bisa sahaja dijadikan senjata maut Pakatan Rakyat untuk terus menghasut mereka agar membenci kerajaan. Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan baru-baru ini sudah mula mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, bahkan ada yang merasakan bahawa SBPA lebih bersifat paksaan daripada mengemukakan satu dokumen tawaran.

Beberapa transformasi yang terkandung dalam SBPA sama sekali tidak mencermini hasrat dan laungan sebenar pihak kerajaan yang diuar-uarkan di media massa. Sebagai satu contoh yang sangat klasik - semalam Datuk Seri Najib mengumumkan dana sejumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku karya asli di negara ini melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kata lain - maksud tersiratnya adalah untuk memperkasakan dunia penerbitan di negara ini.

Tetapi, malangnya DS Najib terlupa, mulai tahun hadapan sudah tidak ada lagi jawatan Pegawai Penerbitan di seluruh universiti awam di negara ini - semuanya akan bertukar skim menjadi Pegawai Penerangan! Skim Pegawai Penerbitan di bawah SBPA sudah dijumudkan - ramai yang tidak tahu bagaimana sebenarnya pekerjaan seorang Pegawai Penerbitan universiti. Ia tidak boleh dimasukkan di bawah klasifikasi tugas seorang Pegawai Penerangan.

Tugas penerbitan di bawah Pegawai Penerangan tidak sama dengan tugas Pegawai Penerbitan di sebuah universiti awam yang menguruskan kerja-kerja penerbitan karya asli, jurnal, prosiding dan pembinaan judul! Justeru itu, mana mungkin kerajaan mampu memperkasakan dunia penerbitan ilmiah di negara ini, sekiranya jawatan dan tugas Pegawai Penerbitan universiti sudah pun diserapkan dalam fungsi bersama Pegawai Penerangan!

Kerja-kerja Pegawai Penerbitan tidak boleh dibebankan dengan tugas-tugas pentadbiran. Mereka adalah editor! Mengurus sebuah manuskrip karya ilmiah, bukan seperti menulis minit mesyuarat atau menguruskan sebuah tender sebut harga!

Bila disebut Pegawai Penerbitan - sebenarnya kita bercakap soal kualiti hasil sesebuah buku! Pegawai Penerbitan merupakan juruaudit terhadap bahasa, kandungan dan kualiti sesebuah karya ilmiah sebelum ia sampai ke tangan pembaca. Proses ini tidak boleh dibuat sambil lewa atau bersahaja. Jika seseorang Pegawai Tadbir boleh masuk dan keluar meeting tiga hingga empat kali sehari - Pegawai Penerbitan pula tidak boleh mengedit tiga atau empat buah buku dalam tempoh satu hari, itu kerja gila.

Pada ketika kerajaan cuba memperkasakan dunia penerbitan ilmiah di negara ini - di sisi lain mereka terlupa bahawa mereka jugalah yang meranapkan tiang-tiang serinya. Skim jawatan Penerbitan sewajarnya diperluas dan bukan dijumudkan. Penerbitan dan Penerangan dua perkara yang berbeza. Peranan dan fungsi kedua-dua jawatan tersebut terlalu besar dan tidak boleh dijamakkan dalam satu skim, cacar-merba jadinya. Saya khuatir - penjawat awam semakin jauh daripada UMNO/BN kerana isu-isu seperti ini. Wallahualam.

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre. Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat selama dua tahun iaitu RM3 juta pada tahun ini dan RM2 juta pada tahun hadapan. Tambah beliau, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

"Bagi membolehkan matlamat ini dapat direalisasikan secepat mungkin, kerajaan mengambil keputusan agar peranan ITNM diperluaskan iaitu selain menjadi peneraju dalam industri terjemahan, agensi ini juga akan bertanggungjawab menerbitkan karya asli dengan nama dan penjenamaan baru iaitu Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia (ITBM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan jubli emas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga di sini, malam ini. Menurut Najib, kerajaan yakin ITBM berupaya menguruskan peruntukan yang diberikan bagi memastikan karya asli penulis muda yang telah diterima dapat diterbitkan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Tambah beliau, kerajaan juga mengharapkan Pena sebagai 'pemegang saham' dalam peruntukan itu dan dapat turut melaksanakannya dengan menyaring serta memantau isi kandungan yang bakal dihasilkan penulis muda.

"Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada Pena sebagai sokongan terhadap peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pertubuhan ini," katanya.

Najib menambah, kerajaan turut menyedari proses rumit percetakan yang sedikit-sebanyak melambatkan tempoh masa penerbitan sesebuah buku. Justeru kata beliau, sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) telah bersetuju membentuk kerjasama strategik bersama ITBM dan Pena.

Comments

Anonymous said…
Bravo la Tuan Azli... Selamatkan Pegawai Penerbitan... JPA dah terlebih teliti sehingga tidak tahu ada Pegawai Penerbitan di IPTA. perkara ni perlu diperjuang kalau tidak hasrat nak memperkasakan penerbitan sia2 saja.
azlishukri said…
InsyaAllah rakan2 lain sedang melakukannya...kami akan buat yang termampu

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A