Tetamu Kehormat...

October 7, 2011

Elaun Wakil Rakyat Naik : Bukan Untuk Wakil Rakyat Tetapi Untuk Rakyat

Susah kalau bercakap dengan orang yang tidak faham bahasa. DS Najib menaikkan elaun ahli-ahli Parlimen bukan untuk diri mereka - tetapi untuk dikembalikan semula kepada rakyat. Kalau selama ini biasanya para wakil rakyat meng"hulur" RM50 untuk sebuah rumah kenduri dalam kawasannya, maka pada kali ini "hulur"lah lebih sedikit, selepas elaun mereka dinaikkan oleh DS Najib. Itulah maksud tersiratnya! Ingat mudah menjaga satu kawasan parlimen? Kalau tak cukup elaun, jangan harap dapat merasa wakil rakyat belanja minum kopi atau teh tarik, apabila mereka melawat kawasan.

Tabiat rakyat di bawah ini pula, pantang sikit nampak muka wakil rakyat mereka - mesti nak minta macam-macam sponsor, seolah-olah kerja seorang wakil rakyat mengecop duit sepanjang masa! Dah jadi budaya, para wakil rakyat perlu banyak duit, tak kira wakil rakyat UMNO atau PR, sama sahaja. Jadi, elaun wakil rakyat dinaikkan, bukan untuk wakil rakyat tetapi untuk rakyat. Dengan menaikkan elaun wakil rakyat, sekurang-kurangnya mengekang mereka daripada melakukan rasuah.

KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri. Mengulas belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi salah tadbir negara.

"Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi. Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat.

"Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya. Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan.

"Bukan masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen. Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya. Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion.

Perjuangan Pakatan

Salahuddin dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Mereka harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya. Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan.

"Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya. PAS sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British. Namun Najib dalam pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang negara.

"Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya

1 comment:

Anonymous said...

Setakat naik elaun untuk banteras rasuah itu alasan dangkal.Ahli parlimen sendiri nak tonjol diri sebagai santa claus untuk pancing undi. Jadi, bila ada tawaran, ada permintaan. Ini kena ubah baru betul kaedah yg dipakai negara kelas pertama.