Tetamu Kehormat...

September 26, 2011

Tanah Melayu Memang Dijajah - Dr Ahmad Kamal

Jawapan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Status Negara-Negeri Melayu pada Era Pentadbiran British, dalam Wacana Merdeka, Anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya pada 13 September lalu berhubung benar atau tidak Tanah Melayu dijajah mampu memecahkan kebuntuan.

"Hampir mustahil untuk mendakwa kita tidak dijajah British," tegasnya, menjawab soalan. Beliau turut mengemukakan hujah yang selalu digunakan, iaitu Artikel 6, Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874) bahawa segala nasihat yang diberikan Residen British hendaklah diambil tindakan oleh Sultan kecuali yang menyentuh soal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Kedudukan tersebut diperkukuhkan dalam Artikel 10 yang menyebut bahawa pungutan dan kawalan terhadap hasil pendapatan serta pentadbiran negeri hendaklah ditadbir dengan nasihat Residen.

"Dari segi undang-undang, kedudukan Negeri-Negeri Melayu (NM) pada era pentadbiran British sememangnya bertarafkan Negeri Lindungan. Namun begitu, dalam amalan, keseluruhan perjalanan pentadbiran dalaman NNM sememangnya dikuasai pihak British. Ini bermakna, disebabkan penguasaan itu, pada realitinya NNM sememangnya dijajah," kertas kerjanya dipetik.

"Meskipun terdapat perjanjian bagi membolehkan pihak British seolah-olah diberi izin oleh pihak yang berdaulat untuk menjalankan pentadbiran, namun dalam banyak hal kandungan perjanjian tersebut memberi ruang kepada pegawai British berperanan sebagai pemerintah de facto.

"Kawalan British terhadap dua elemen pemerintahan yang terpenting, iaitu kewangan dan undang-undang, dilakukan dengan seni muslihat yang paling licik. Malah pada 1909, Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pernah dilucutkan kedaulatan baginda terhadap undang-undang dengan kaedah yang sengaja ditaksakan biarkan disedari ia merupakan satu kesalahan," tegasnya.

Dr Ahmad Kamal juga menekankan bagaimana Residen British yang menguasai kawalan dan pengurusan kewangan Negeri-Negeri Melayu mesti mendapat kelulusan gabenor di Singapura ketika menyediakan belanjawan tahunan NNM.

"Malah Residen British diarahkan untuk tidak membentangkan draf belanjawan kepada pemerintah Melayu. Residen Douglas (Selangor) diberi amaran keras apabila mengajukan draf belanjawan kepada gabenor dengan cop mohor sultan. Douglas diingatkan beliau tidak berkhidmat di bawah cop mohor Raja-Raja Melayu," ujarnya. Ya... seperti kesimpulan Mohamad Abu Bakar: "Apakah orang Melayu akan mengatakan mereka dijajah hanya selepas dikenakan tindakan ganas dan buas?"

Apakah jika penjajahan itu dilakukan dalam bentuk halus dan licik, walaupun kesannya cukup sengsara dan pedih, maka kita dikira masih bebas dan merdeka? Tetapi, kalau tidak dijajah, mengapa ada gerakan kemerdekaan dan ada pula bapa kemerdekaan? (Baca di sini).

1 comment:

shamshul anuar said...

Saudara azli,

Perbezaan pendapat( samada dijajah) ujud kerana orang melihat dari sudut berbeza.

British seperti penjajah lain memang licik. Mereka menguasai Negeri Negeri Melayu melalui raja raja. Jika dilihat pada perjanjian antara British dan Raja raja Melayu, memang benar Negeri Melayu beraja tidak dijajah, hanya sebagai naungan.

Hakikat ini dapat dilihat bila British masih perlukan tandatangan Raja Raja untuk ujudkan Malayan union. Malah perjanjian kemerdekaan Negeri Negeri Melayu adalah antara Raja Raja dan British.

Walaupun, dari segi undang undang Negeri negeri Melayu adalah negeri naungan, namun British yang berkuasa. Nasihat mereka mesti dipatuhi.

Segala hal pentadbiran adalah dibawaah residen British.

Jadi menyatakan Negeri melayu dijajah betul juga. Kerana walaupun dari undang undang meletakkan Negeri Melayu sebagai naungan, praktiknya Negeri melayu diterima dan diupandang sebagai jajahan.

Ini cerita lama. Tak perlu buang masa berbahas mengenainya.