Tetamu Kehormat...

September 5, 2011

Siapa Blogger Yang Akan Sertai DAP?

Agak menarik perkembangan politik tanah air kita sejak akhir-akhir ini - sudah muncul satu dakwaan bahawa "orang Melayu semakin ramai sertai DAP" - soalan pertama saya - apakah yang sebenarnya berlaku? Benarkah terdapat orang Melayu yang cuba mengintai peluang untuk menjadi calon pilihan raya bagi mewakili DAP? Atau hakikatnya mereka benar-benar sudah hilangan kepercayaan terhadap perjuangan UMNO dan PAS. Saya percaya menjelang hujung tahun ini, akan lebih ramai orang Melayu yang menyertai DAP - sama ada mereka diberi imbuhan atau pun janji kedudukan politik dalam parti tersebut - saya tidak tahu. Namun demikian, perkembangan ini, pada hemat saya hanya memecahbelahkan lagi umat Islam di negara ini. Yang lebih menarik - DAP mendakwa terdapat blogger Melayu yang bakal menyertai parti tersebut. Soalnya, siapakah blogger itu? Mungkin kita sudah boleh mengagak. Wallahualam.

KUALA LUMPUR, 5 Sept — DAP sedang aktif mempelawa beberapa blogger kalangan orang Melayu untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat itu, kata pemimpin pusatnya Loke Siew Fook. Difahamkan pengumuman kemasukan mereka, dilihat sebagai perkembangan terbaru di sebalik peredaran landskap politik semasa, dijangka diumumkan secara rasmi dalam waktu terdekat, kemungkinan bulan ini.

“Memang kita aktif mempelawa beberapa blogger kalangan masyarakat Melayu... tetapi masih dalam perbincangan, kita hanya dapat membuat pengumuman selepas cuti sambutan hari raya,” kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah kepada The Malaysian Insider ketika ditemui baru-baru ini.

Tanpa memberi butiran lanjut Loke, ketua Pemuda Sosialis DAP berkata, “kita sedang berbincang dengan beberapa individu, memang ada mendampingi mereka untuk menyertai DAP.”

“Sudah ada perbincangan awal dan mereka juga sudah menunjukkan perkembangan positif untuk menyertai DAP. Kami berharap kemasukan mereka akan memberi semangat untuk lebih ramai menyertai DAP,” katanya lagi. Loke berkata ia sebahagian daripada pendekatan parti itu untuk membawa masuk pemimpin-pemimpin kalangan kaum Melayu dan Bumiputera menyertai DAP.

“Usaha ini dilakukan secara aktif, khususnya selepas pilihan raya umum 2008,” kata Loke sambil menambah, perundingan itu yang bertujan menarik pemimpin pelbagai lapisan dalam masyarakat Melayu untuk menganggotai parti itu.

Malah kata beliau, selain landskap politik baru negara memerlukan keperluan itu dipertingkatkan, malah kalangan orang Melayu dan Bumiputera sendiri melahirkan hasrat untuk menyertai parti berusia lebih empat dekad ini.

“Kami mengundang mereka yang boleh memberi tenaga kepada perkembanagn DAP daripada kalangan orang Melayu, dan di Sarawak Dayak... ini merupakan dua etnik khusus, yang DAP beri perhatian buat masa sekarang,” katanya. Loke, antara pemimpin yang secara aktif terlibat dalam proses itu membawa masuk ahli-ahli kalangan Melayu dan kaum Dayak berkata, DAP tidak berhadapan masalah mendapatkan keahlian kalangan kaum India di Semenanjung dan juga masyarakat Kadazan di Sabah.

Majoriti ahli DAP buat masa sekarang adalah orang Cina. Katanya, walaupun musuh-musuh politik mereka melabel DAP sebagai “parti kaum Cina”, tetapi umumnya “kami bangga untuk mengatakan bahawa DAP adalah sebuah parti rakyat Malaysia.”

“Kami sentiasa berjuang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia... perkara ini sudah mula disedari oleh orang Melayu sendiri,” katanya yang memberi alasan sebab pihaknya mula diterima oleh kaum Melayu dan Bumiputera dengan terbuka - perkembangan yang dilihat sejak selepas pilihan raya umum 2008. Katanya, DAP pernah ada pemimpin-pemimpin Melayu sebelum ini, antaranya Allahyarham Ahmad Nor, tetapi selepas kematian beliau, penekanan membawa masuk lebih ramai orang Melayu sebagai pemimpin ‘agar perlahan’ buat satu tempoh tertentu.

“Jadi, sekarang usaha ini dipertingkatkan dan diaktifkan di seluruh negara... sebab itu kita ada program ‘outreach’,” kata Loke lagi sambil menambah, “di peringkat Semenanjung, kami perlu berusaha untuk mendapatkan lebih ramai pemimpin Melayu.”

Katanya, pendekatan sejak kebelakangan ini merupakan satu hala tuju baru yang tepat dan “saya juga memainkan peranan aktif untuk bertemu dan sama-sama menjemput mereka masuk ke dalam DAP.”

“Saya fikir bahawa sudah sampai masanya, DAP, kita berharap yang ini akan menjadi satu usaha berterusan terutama dengan kemasukan golongan cendekiawan Melayu... masuk ke dalam DAP, kami berharap proses ini akan menguatkan, dan memberi satu suntikan baru ke dalam DAP,” katanya lagi. DAP menerima penyertaan terbaru iaitu tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar awal bulan lalu.

8 comments:

Anonymous said...

perkembangan ini tidak mengesankan parti Melayu sebaliknya memberi tamparan pada parti Isle.

Anonymous said...

blogger bukanlah politikawan dalam ertikata "winnable candidate". kalau RPK belum dikira wajar diletakkan sebagai calon makanya apakah ada blogger lain yang lebih layak dari RPK?

justeru usaha dan permainan Dap dalam konteks menarik penyertaan Melayu boleh di lihat sebagai kurang tepat dan ada udang sebalik batu.

blogger Melayu tak sama potensi kebolemenangannya jika dibandingkan dengan blogger yang bermadah menggunakan bahasa vernakular.

Ini kerana seperti semua sedia maklum, bagi kawasan bandar, waima tunggul dan kayu diletak sebagai calon akan diberi undi asalkan impak positif akhirannya ialah dominasi politik nasional berpihak kepada golongan minoriti.

Pelayar Media Siasah

Anonymous said...

Buktikan dulu blogger Melayu mampu memberikan kerusi kepada parti Dap di kawasan bermajoriti bukan Melayu sebelum pihak berkenaan mendabik dada mendakwa itu dan ini.

Anonymous said...

sejarah akan menilai mereka yang bakal menyarung jersi simpanan divisyen tiga parti ultrakiasu sebagai pihak kacau daun saja. tak lebih dari itu.

Anonymous said...

Blogger macam juga lain-lain profesion (agamawan, jutawan, politikawan) hanyalah manusia biasa yang ada lebih dan kurangnya.

Menganggap Dap memiliki tongkat sakti yang bakal mengubah kualiti kepolitikan individu Melayu dalam sekelip mata adalah seumpama mempercayai Pas mampu mengubah sistem sedia ada kepada sistem lebih Isramik!

Namun khurafat politik bukanlah kepercayaan yang baru menjelma dalam gelanggang politik nasional. Cumanya, ia semakin berkembang kebelakangan ini apabila semua pihak telah bermimpi akan menaiki roket untuk pergi ke bulan. Wow!

Hik hik hik

Muhammad Azli Shukri said...

Tq

Anonymous said...

DAP hanya mempergunakan orang Melayu sebagaimana PAP, bapak kepada DAP memperalatkan sokongan orang Melayu, lepas berkuasa mereka akan pecah belahkan orang Melayu bagi jadi minoriti di banyak kawasan pilihanraya sebagaimana di Singapura, kesannya jangan haraplah orang Melayu nak menang. Di Singapura, PKMS tak pernah menang kerana semua kawasan pilihanraya 70% kaum cina, macam mana nak menang? Tapi ada juga orang yang tak faham, mereka ini samada tak faham atau 'ditumbuk rusuk' dengan jawatan sebagaimana beberapa orang Melayu sebelum ini yang diberikan jawatan tertentu seperti setiausaha politik Lim Guan Eng dan Timbalan Pengerusi DAP. Mereka ini akan macam Pengerusi PKM, Musa Ahmad yang hanyalah boneka sedangkan kuasa sebenar di tangan Chin Peng, tapi masih tak sedar diri.

cityiklan said...

kenapa libatkan blogger dengan parti politik??
blogger ialah hosting bukannya parti politik..dan jangan libatkan blogger dengan parti politik sebab blogger bukannya milik malaysia..jadi tiada kaitan dengan blogger..tajuk tu sepatutnya di tukar kepada "Siapa Penulis Blogger di malaysia yang akan sertai DAP" bukannya "Siapa Blogger Yang Akan Sertai DAP?"..

inilah masalah kebanyakkan penulis..libatkan pihak yang tidak terlibat..menyebabkan maklumat yang di sampaikan tidak benar dan betul..tolong tukar tajuknya agar tidak tersalah anggap..

Salam
http://cityiklan.blogspot.com