Tetamu Kehormat...

August 6, 2011

Slogan Selangorku Tak Laku - Kerajaan Negeri Gagal!

Oleh Zulkifli Jalil. ALAHAI! Selangor...Selangor. Benarkah kata orang luar yang baru tiba di Selangor, negeri itu tidak lagi seperti sebelum Mac 2008. Ia kini bergentayangan dengan sepanduk-sepanduk dan kain rentang slogan yang macam-macam. Terbaru - slogan retorik 'Selangorku'.

Janji lama tidak tertunai, kini timbul pula janji baru. Pelancaran slogan baru 'Selangorku' pada Ahad 24 Julai lalu di Stadium Malawati Shah Alam persis siri ceramah biasa pakatan pembangkang.

Ramai mengatakan bahawa slogan dilancarkan semata-mata untuk menyaingi gagasan 1Malaysia yang semakin tampak bisanya sehinggakan majlis pelancaran membongkar cerita yang tidak enak didengar.

Antaranya, wujud boikot daripada ketua-ketua jabatan dalam pentadbiran negeri yang bertindak tidak hadir pada majlis berkenaan dengan sebilangan kerusi yang disediakan untuk mereka kosong.

Jika sebelum ini pembangkang sering memperlekeh dan menguar-uarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memanipulasi program kerajaan negeri, rentak pakatan pembangkang di Selangor lagi dahsyat - memanggil ke program itu pemimpin yang tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri.

Antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dengan diselangi pula dengan kutukan dan hentaman terhadap kerajaan BN, meneriak dan bercerita pasal 'Bersih' - ibarat meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Malahan, ibarat terdesak untuk memastikan program pelancaran 'Selangorku' dibanjiri ramai, kerajaan negeri diketuai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup pula mengedarkan 40,000 kupon percuma bernilai RM5 kepada pengunjung untuk membeli makanan dan minuman di gerai-gerai yang disediakan.

Di sebalik ini semua, kerajaan PKR Selangor sebenarnya kian merasai bahang longgarnya hubungan mereka dengan rakyat negeri itu. Sebab itu mereka mahu mencetuskan momentum baru. Tetapi sayangnya rakyat semakin jelak dengan 'wayang' yang dimainkan oleh para pemimpin pakatan pembangkang di Selangor ini.

Rakyat Selangor bukannya tidak mengerti ini semua, apatah lagi dengan rancangan terbaru dicetuskan oleh kerajaan negeri yang tampaknya umpama 'cakap tidak serupa bikin' dengan perincian logo 'Selangorku'.

Banyak janji dalam bidang pendidikan di Selangor tidak pernah tertunai. Malah, ia 'terhumban' lagi. Terbaru, tindakan tidak bijak kerajaan negeri itu melalui Yayasan Selangor menutup asrama mereka di ibu negara dan tindakan memindahkan asrama ke tempat lain.

Ia amat merugikan para pelajar luar bandar untuk mengikuti pengajian di kota metropolitan Kuala Lumpur. Tujuan asrama itu dibina adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar di sekolah-sekolah terbaik seperti Victoria Institution, Cochrane Kuala Lumpur, Aminuddin Baki dan St. John agar mereka terdedah dengan pembelajaran urban.

Objektif ini memang tersurat dalam penubuhan Yayasan Selangor pada 5 November 1970 lalu. Jika asrama ini ditutup, ia mestilah dicarikan ganti yang lebih baik daripada ini. Jika tidak, mereka menutup peluang pelajar-pelajar bumiputera untuk belajar di Kuala Lumpur.

Sememangnya rakyat cukup maklum dengan situasi tidak menyenangkan di Selangor dalam tempoh tiga tahun ini. Sejak PKR dan sekutunya, DAP memerintah Selangor, terdapat semacam satu usaha terancang pakatan dalam merencatkan pendidikan anak Melayu.

Dahulu, ketika Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hendak membina kampus UiTM di Serendah, ditolaknya oleh Abdul Khalid dengan pelbagai alasan. YBK dilanyak kiri dan kanan hanya kerana tidak mahu menuruti permintaan Abdul Khalid supaya melantik beliau sebagai bos.

Akhirnya rakyat Selangor rugi besar apabila kampus UiTM itu berpindah ke Melaka hasil tindakan pantas dan bijak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Tahun lepas pula sekali lagi pakatan pembangkang menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sungai Besar atas alasan tidak efisien. Sedangkan IKYS adalah penempatan yang diwujudkan untuk pelajar Melayu yang gagal dalam SPM tetapi berminat dalam kursus teknikal.

Tiga tahun, tiga pusat pendidikan anak Melayu ditutup. Universiti Industri Selangor (Unisel) pula sedang mengalami kerugian dan semakin terpinggir serta tidak lagi menjadi pilihan pelajar.

Adakah ini usaha terancang pakatan pembangkang PKR, Pas dan DAP untuk melanyak pendidikan anak Melayu? Kenapa Pas senyap? Mana perginya pejuang-pejuang 'pakatan rakyat' yang prihatin? Mana pergi ADUN-ADUN Pas yang heboh dengan 'Negeri Berkebajikan' yang dilaung-laungkan itu.

Rakyat Selangor bukannya buta. Rakyat Selangor sudah buka mata atas segala tindakan kerajaan negeri Selangor dalam bidang pendidikan. Justeru, agak melucukan pula apabila slogan 'Selangorku' dimunculkan oleh Abdul Khalid.

Kerana itu amat tepat dan kena pada masanya kini rakyat Selangor merenung sejenak janji-janji pakatan pembangkang atau Barisan Alternatif dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-12 tempoh hari.

Baru-baru ini dikatakan ada perjumpaan penduduk dengan Azmin Ali dan dibangkitkan penduduk tentang janji pakatan mahu memberi hadiah sebanyak RM1,000 seorang kepada setiap anak Selangor sebaik-baik sahaja menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

Namun PKR cuba berdolak-dalik dengan menyatakan duit RM1,000 itu mahu diagihkan pula kepada keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Slogan terbaru 'Selangorku' hanyalah sekadar kain rentang yang dijaja di merata-rata dengan gambaran 'kehebatannya'. Sedangkan pengisian komponennya kosong belaka. Cukup-cukuplah berbohong kepada rakyat Selangor.

No comments: