Tetamu Kehormat...

August 1, 2011

Hanya Ku Li Layak Ganti Anwar

Oleh ZULKIFLEE BAKAR. PADA 25 Julai lalu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chandra Muzaffar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah liabiliti kepada pembangkang. Pelbagai masalah moral yang melumuri Penasihat PKR itu telah menyebabkan dua rakan sekutu parti tersebut iaitu Pas dan DAP pening kepala. Mereka memerlukan Anwar tetapi Anwar sendiri banyak masalah.

Justeru bukanlah satu yang menghairankan apabila wujudnya dakwaan bahawa pembangkang kini terutamanya Pas berusaha memancing Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai pembangkang bagi menggantikan Anwar.

Pelawaan itu didakwa dilakukan memandangkan majoriti pemimpin-pemimpin pembangkang mungkin semakin yakin bahawa Anwar tidak akan terlepas dalam kes liwat melibatkan pembantu peribadinya Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Oleh itu pembangkang perlu mencari alternatif bagi memastikan pakatan mereka tidak kehilangan nakhoda. Tengku Razaleigh dipilih mungkin kerana berdasarkan rekod bahawa beliau pernah menyatukan pembangkang suatu ketika dulu melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif.

APU melibatkan kerjasama antara Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan beliau dengan Pas, manakala Barisan Alternatif pula melibatkan S46 dengan DAP. Dua kerjasama berkenaan diwujudkan kerana pada masa itu, Pas dan DAP tidak boleh berada sekapal berbanding sekarang yang sudah boleh tidur satu katil, satu bantal, satu selimut biar pun mimpi berbeza.

Bagaimanapun penulis tidak berhasrat untuk menghuraikan soal kedudukan atau pendirian Tengku Razaleigh, apa yang hendak ditegaskan ialah bagaimana sokongan terhadap Anwar semakin luntur dalam pakatan pembangkang sendiri. Sememangnya sentimen tidak mahukan Anwar bukanlah baru malahan ia sudah lama wujud terutamanya di kalangan penyokong-penyokong Pas. Mereka merasakan masalah moral Anwar banyak menjejaskan kredibiliti pakatan pembangkang dari semasa ke semasa.

Menurut pengikut Pas mereka sudah letih apabila perlu berhujah setiap masa bagi mempertahankan Anwar dan ini termasuklah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan itu yang terpaksa ‘bersilat’ bagi membela Anwar dalam isu melibatkan moral ketua pembangkang berkenaan.

Malahan kadang kala dalam tindakan itu, imej Pas sebagai sebuah parti Islam terjejas. Ia termasuklah apabila Abdul Hadi membuat kenyataan bahawa rakaman video tidak boleh menjadi saksi kerana ia adalah ‘besi’. Kenyataan itu biar pun menggembirakan Anwar dan penyokongnya tetapi menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat. Pas dilihat benar-benar tersepit kerana terpaksa berhujah apa sahaja untuk mempertahankan Penasihat PKR tersebut demi kepentingan politik bersama.

Pas juga semakin tersepit apabila dilihat terlalu bergantung kepada Anwar demi meraih kuasa sehingga sanggup mengenepikan yang benar itu benar dan yang batil itu batil. Parti itu berbuat demikian bukan kerana merasakan tidak bersalah tetapi terpaksa melakukan sandiwara politik demi kepentingan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun akhirnya, Pas mungkin mula menyedari bahawa Anwar tidak selamanya perlu dibela. Alternatif perlu dicari bagi memastikan tidak berlaku kekosongan jika Anwar terpaksa kembali ke penjara Sungai Buloh. Oleh itu, mahu tidak mahu demi survival politik pembangkang terutamanya dalam mencapai impian ke Putrajaya, pengganti Anwar perlu dicari.

Pas tidak mahu memilih di kalangan pemimpin DAP untuk menjadi ketua begitu juga DAP mereka sudah pasti sampai kiamat pun tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin Pas menjadi ketua pembangkang selagi mereka ada kekuatan. Justeru alternatif di luar pakatan dicari dan Tengku Razaleigh dilihat pemimpin paling layak.

Anwar sudah pastilah kecewa dengan perkembangan ini kerana tidak menyangka bahawa Pas akan mengamalkan politik tikam belakang. Di hadapan umum, mungkin Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain akan menafikan apa yang sedang berlaku tetapi secara tersirat Anwar sememangnya sudah tidak diperlukan lagi oleh pembangkang.

Tambahan pula, satu kajian baru-baru ini menunjukkan sokongan rakyat termasuklah di kalangan kaum India dan Cina terhadap Anwar semakin merudum di seluruh negara. Ia ditambah pula dengan jumlah kehadiran ke majlis-majlis ceramah Anwar yang dikatakan merosot teruk. Sokongan yang semakin merosot kepada Anwar juga turut menyeret parti pembangkang yang lain terutamanya Pas.

Semua ini memberikan petunjuk kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain terutamanya Pas bahawa Anwar bukanlah harapan baru mereka, sebaliknya Anwar adalah bebanan yang harus dilepaskan jika pembangkang berhasrat meraih sokongan rakyat.

Apatah lagi berbanding dengan pemimpin-pemimpin pembangkang lain sama ada daripada DAP mahupun Pas tidak pernah berlaku di kalangan mereka yang berhadapan dengan dakwaan masalah moral yang begitu buruk seperti mana dihadapi oleh Anwar.

Semua ini sudah tentulah telah lama berada dalam kotak pemikiran pemimpin-pemimpin pembangkang yang pada mulanya melihat Anwar ‘anugerah Tuhan’ untuk mereka. Apa pun sudah jelaslah kini bahawa Anwar tidak lagi pemimpin kebal atau ulung dalam pembangkang. Beliau kini perlu bersedia untuk disingkirkan bila-bila masa.

Anwar mungkin akan berusaha untuk menghalang apa yang dirancang itu menjadi kenyataan tetapi ia sekurang-kurangnya memberi isyarat kepada beliau bahawa sudah ada gerakan untuk menyingkirkan beliau daripada menerajui pembangkang.

Hasrat menyingkirkan Anwar itu juga menunjukkan selama ini Pas dan DAP amat memahami sejauh mana kekuatan PKR. Jika PKR kuat sudah pastilah tidak akan wujud usaha untuk menggantikan Anwar sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang tetapi PKR tidak ada apa-apa kekuatan. Selama ini PKR wujud atas ehsan Pas dan DAP, jika kedua-dua parti itu tidak memberi bantuan sewajarnya, PKR tidak akan ke mana.

Ia termasuklah bersikap baik hati seperti mana ditunjukkan oleh Pas yang sanggup mengorbankan kerusi selamat mereka kepada PKR demi kerakusan ingin berkongsi kuasa, kesudahan Pas pula yang dilihat bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ – satu status yang sepatutnya disandang oleh PKR jika dikaji dari segi sejarah parti masing-masing.

Apa pun Anwar kini semakin memahami betapa bahayanya politik tikam belakang - satu amalan politik yang tidak asing lagi bagi beliau sama ada semasa dalam pembangkang atau kerajaan suatu ketika dulu.

8 comments:

Zek said...

Mudah-mudahan dibulan yang mulia ini dapat menyedarkan penyokong2 PAS tentang kesilapan mereka menyokong AI yang UMNO dah tolak lama dah.

Anonymous said...

siapa liabiliti dalam UMNO?

Anonymous said...

Alhamdulillah. semoga kita menerima Ketua Pembangkang iaitu dari pas hadi awang sendiri. Tidak perlu import orang luar untuk jadi ketu apembangkang. Lim Kit Siang elok bersara awal kerana tiada sebarang kemajuan yang dibawa oleh beliau.

Anonymous said...

Biarlah pembangkang diketuai oleh golongan kafir. Mereka lebih layak menjadi pembangkang.
Biarlah lembu-lembu menjadi pengikutnya.

kih... kih.. kih...

Malaysia adalah contoh negara Islam, cuma penyatuan ummah yang longgar yang melemahkan umat Islam.

Anonymous said...

Bila TGNA sendiri mengaku tak mampu mengetuai PR ... siapa saja boleh ... asalkan org Kelantan ... begitu lah taksub dan assabiah nya org negari itu.

Adayg tak setuju ?

anti bohmau said...

ALLAH SWT MAHA KAYA, MAHA MENGETAHUI & MAHA SEGALANYA...

SEDIKIT DEMI SEDIKIT KEHEBATAN NWAR SEMAKIN TERHAKIS...

PAS PERLU MENCARI ALTERNATIF JIKA MAHU TERUS DISOKONG OLEH MELAYU ISLAM...SIAPA YG MRK CARI? ORANG MRK SENDIRI???

APAPUN, IMEJ PAS SUDAH LAMA TERJEJAS KRN BERDAMPING DGN NWAR & PKR YG TERNYATA LEBIH SEKULAR, LEBIH LIBERAL KRN MENGANUT PLURALISME YG MENGHALALKAN SEGALA BENTUK HUBUNGAN SESAMA MANUSIA, WALAUPUN LARANGAN AGAMA KITA JELAS SEKALI MEMUSUHI KAUM NABI LUT YG DILANATI ALLAH SWT.

Aznan Isa said...

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan khabar angin yang disebar oleh cyber troopers Umno yang mengaitkan beliau dengan perbincangan melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lawak jenaka.

Sambil menafikan perkara itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menasihatkan mereka yang menyebarkan fitnah itu agar segera menghentikannya sesuai dengan bulan Ramadhan yang mulia.

"Lawak jenaka!, Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik YBM Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan, sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar. Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak," katanya melalui Facebook.

Penjelasan itu sekaligus menolak khabar angin yang tersebar itu.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa telah mendapat maklumat bahawa Pakatan Rakyat mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang merupakan bekas ahli PKR itu mendakwa pelawaan terhadap Tengku Razaleigh itu ekoran Anwar yang berhadapan masalah berhubung kontroversi video seks dan dipercayai akan dipenjarakan berikutan kes liwat.

Menurutnya ianya juga sebagai persiapan Pakatan Rakyat bagi menghadapi Plihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ekoran dakwaan itu, beberapa blogger Umno kemudiannya menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah dalang utama yang merancang untuk membawa Tengku Razaleigh ke dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mendakwa terdapat satu pertemuan telah berlaku antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan anak-anak pejuang Umno termasuk anak kepada bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris, Mazlan Harun bersama anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar serta seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.

Pertemuan itu didakwa berlaku di kediaman Menteri Besar Kelantan.

Mengulas lanjut tuduhan tidak berasas itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata beliau hairan kenapa dakwaan tersebut timbul, atau keputusan untuk memenjarakan Anwar sememangnya benar.

"Apa yang peliknya, ada akhbar yang boleh membuat cerita bahawa cadangan ini timbul kerana dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke penjara ekoran kes liwatnya yang sedang dibicarakan.

"Adakah benar keputusan mahkamah di negara ini sudah boleh dijangka atau sememangnya keputusan tersebut sudah bocor?" soalnya.

Anonymous said...

senang saja, sapa yang BN rasa boleh mencabar kuasa mereka, komfirm akan masuk jail...
Kalau nak cari penzina dengan peliwat dalam BN, bersepah...

tapi sebab diorang bukan ancaman BN, maka tiada pertuduhan...

Cuba kita fikirkan, kenapa si eskay tak kantoikan anwar dengan tangkap khalwat/zina sedangkan dia ckp dia tahu anwar selalu buat benda tu... kenapa nak guna video tak dak warna... pasal kes liwat, lagila merapu...

selamat menyambut ramadhan