Tetamu Kehormat...

August 16, 2011

Berakhirnya Dosa Yang Tersisa

MANUSIA tidak bijak dalam semua hal. Boleh jadi kita bijak dalam beberapa hal dan bodoh dalam beberapa hal lain. Sebab itu dalam Islam, kita disuruh bertanya kepada orang yang tahu, "Tanyalah kepada pakar, jika kamu tidak tahu." Orang yang bijak, tahu apa yang mereka tahu dan tahu juga apa yang mereka tidak tahu. Salah satu tanda orang yang bijak ialah mengatakan tidak tahu untuk perkara-perkara yang mereka tidak kuasai. Atau dijawab dengan "Wallahua'lam". Kita selalu dengar kisah seorang lelaki datang dari jauh membawakan 40 soalan untuk ditanyakan kepada Imam Malik bin Anas.

Imam Malik diberi jolokan Imam Darul Hijrah membawa makna beliau antara orang alim dan bijak dari kalangan pendudukan Madinah yang dihuni orang ramai ilmuwan dan sarjana lain. Namun Imam Malik menjawab hanya beberapa soalan sahaja, dan menjawab "saya tidak tahu" dalam banyak soalan lain. Ini satu tanda orang yang bijak dan pintar, "tahu apa yang mereka tidak tahu."

Setelah usia dunia bertambah dan zaman batu berganti logam, manusia mula memberi ukuran kepada bijak dan pintar. Adanya sekolah dan universiti. Orang bijak menurut sistem sekolah dan universiti dipakaikan 'jubah' dan ada gelaran. Ada doktor dan profesor. Lebih tinggi lagi, ada profesor emeritus dan beberapa lagi.

Setinggi mana pun gelaran yang mereka peroleh, itu bukanlah lesen mutlak buat orang pintar untuk mengulas apa sahaja isu, apa sahaja kes. Setiap bidang punya pakar dan ahlinya masing-masing. Justeru menjadi kekeliruan bagi orang awam apabila menelan bulat-bulat pendapat atau fatwa dari orang yang bergelar doktor atau profesor. Disangka semuanya benar-benar belaka. Walhal mungkin profesor itu dari jurusan perubatan, mengulas struktur jalan raya dan persimpangan bertingkat.

Baru-baru ini seorang ahli agama yang baru mendapat gelar profesor madya membuat satu kesimpulan mudah terhadap isu serbuan Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap sebuah gereja. Katanya, "Pihak berkuasa agama bimbang apabila ada orang Islam pergi ke gereja. Risau nanti mereka terpengaruh dengan Kristian.

"Peliknya kenapa dulu mereka menghalang orang bukan Islam masuk ke masjid? Apakah mereka juga bimbang bukan Islam terpengaruh dengan Islam?"

Penat-penat menyelidik, menulis tesis dan mengembara seluruh benua mengaji, namun masih juga Allah mahu menunjukkan bahawa ilmu yang Allah titiskan di dunia ini sangatlah luas. Kalau boleh kita letak tepi dahulu soal hukum. Kerana yang pasti perbahasannya panjang. Ia tidak semudah satu campur satu. Hatta daging babi pun yang jelas haram dalam al-Quran, tetap diberi kelonggaran dalam kes-kes tertentu untuk di makan. Inikan pula perbahasan Islam-masuk-gereja dan kafir-masuk-masjid. (Baca soal jawab Jais: http://soaljawab.jais.gov.my/index.php?option>com_content&task>view&id>291&Itemid>91)

Yang ingin dilontarkan ialah salah satu logik yang berlaku dalam hujah sang doktor ini. Ia jelas ketara bukan pertama kali. Bahkan sudah beberapa kali dalam beberapa kes yang lain. Seperti ada sesuatu yang menghalang beliau untuk berfikir dengan jernih dan jelas.

Berdasarkan dalil-dalil yang sahih dari kedua kem penentang dan penyokong memasuki rumah ibadah, menunjukkan bahawa Islam tidak melarang secara mutlak orang kafir untuk masuk ke dalam masjid, begitu juga orang Islam memasuki gereja.

Namun yang diberi perhatian ialah situasi dan keadaan. Dalam keadaan tertentu ia boleh jadi terlarang dan dalam keadaan lain ia boleh jadi dibenarkan.

Salah Faham dalam Logik

Dalam kes orang kafir masuk masjid, yang menjadi masalahnya ialah mereka dimuliakan. Bukan sahaja dimuliakan kerana berminat mendekati masjid atau menjadi tetamu. Bahkan mereka diberi kesempatan untuk berucap di dalam rumah ibadah dan menyampaikan sumbangan.

Sedangkan dalam hadis Thumamah yang dijadikan dalil bolehnya orang kafir masuk masjid, orang kafir itu diikat di tiang masjid dalam keadaan yang hina. Maka, wajiblah perhatikan situasi bukan sekadar boleh atau tidaknya.

Bimbang-bimbang kalau kaedah berfikir ini silap, esok-esok kalau ada orang tersesat dalam hutan tiada makanan, mereka akan sembelih babi untuk makan dan membawa balik lebihan daging itu untuk kaum-kerabatnya merasa. Alasannya, kerana darurat membenarkan.

Manakala dalam kes orang Islam masuk gereja ini, kita percaya sebelum ini sudah banyak kali orang Islam yang sudah masuk gereja namun JAIS tidak tangkap pun. Mungkin tukang kebun, atau boleh jadi tukang cuci, tukang sapu memasuki gereja untuk kerja-kerja mereka. Atau mana-mana ahli yang berhormat melawat kawasan dan singgah ke gereja untuk melawat orang Kristian di dalamnya.

Namun berbeza dengan kes ini, (walaupun masih dalam siasatan) tentu sahaja JAIS punya maklumat dan motif lain untuk membuat serbuan. Bukan sekadar kerana orang Islam memasuki gereja. Di sana ada dakwaan bahawa ada usaha-usaha untuk menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam.

Usaha Menyebarkan Agama Lain kepada Umat Islam

Dan hal ini sama sekali tidak boleh disangkal. Agama Kristian dari satu hal berkongsi ciri yang sama dengan agama Islam. Iaitu sifatnya menyebar. Penganut kedua-dua agama ini menyakini akan tanggungjawab untuk menyebarkan agama mereka.

Seorang pendakyah Kristian Amerika menulis sebuah buku menjelaskan misi dakyahnya, dalam buku, "Mission work has been carried on among the people of the Dutch possessions in Malaysia since 1603. The results have not been very gratifying, owing partly to the methods adopted and partly to the opposition of the government to the use of aggressive measures in evangelization. Dr. Callenbach, a Dutch authority, says that in 1900 there were " some 41 European clergymen and evangelists, aided by 355 ordained natives, native preachers and teachers, working among 234,073 natives of the undenominational Protestant Church of the East Indies."

(The Malaysia Mission of the Methodist Episcopal Church: The rev. John Russell Denyes, Missionary, Singapore Malaysia, 1869)

Sedangkan anak gadis di tepi jalan pun ada yang didakwahi, ibarat 'ikan dihidang kepada kucing' apabila ada orang Islam yang sanggup hadir ke gereja pada acara rasminya. Ini yang kabur pada mata tuan doktor. Semoga Allah melapangkan dadanya dan mencerahkan matanya untuk melihat. Sekali lagi isunya bukan semudah masuk masjid atau masuk gereja. Ia lebih 'mendalam' daripada itu. Sumber : Oleh Mohd Riduan Khairi

5 comments:

mae1000 said...

Teringat terjemahan Quran Surah At-Taubah ayat 17 : "Tidaklah pantas orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka mengakui bahwa mereka sendiri kafir."

Anonymous said...

"Jauhilah org2 kafir dari menghampiri masjid dan agama Islam. Biar Islam dari peranakan kaum muslimin". Hadis moden ini diriwayatkan oleh Al-Imam Songkok Mereng.
Semua blogger minta perihatin bahawa penggadaian kerakyatan sudah ke tahap kritikal. Fikirlah jangka panjang kalaupun untuk survival PRU13. Terbaru isteri rakan2 saya di Sg. Petani Kedah telah pun perolehi Mykad tetapi beralamat di satu kawasan Khir Toyo, Selangor dan layak mengundi. Walaupun rakan2 sy gembira, tetapi tetap menjadi persoalan kepada beliau, adakah yg tidak berlaki dan berbini juga mendapat Mykad segera dan layak mengundi melalui pemutihan bio?

Anonymous said...

Kalau seseorang pelajar masuk menara gading (MG) sudah tentu fiil pelajar akan berubah ikut fiil kebanyakan pelajar di MG berkenaan.

Namun ada juga yang tidak dapat membudayakan fiil berkenaan disebabkan terlalu berpegang pada budaya yang sedia ada -- taksub kepada budaya bangsa/negeri/daerah.

Sama juga kalau haiwan berkawan dengan manusia maka dapatlah dia sedikit sebanyak perangai manusia tetapi kalau manusia berkawan dengan bukan manusia ada kemungkinan dia terbawa-bawa sifat haiwan berkenaan seperti tikam-belakang dsbnya.

Begitu juga kalau kafir berkawan dengan mukmin makanya dapatlah sedikit sebanyak pengaruh penampilan mukmin tetapi kalau mukmin berkawan dengan kafir pandai-pandailah saring antara elemen sesuai dengan yang tidak sesuai.

Justeru kalau si umat masuk gereja atau si kafir masuk masjid maka akan berlakulah penerapan nilai/pahaman tertentu dalam minda dan tingkah laku iaitu baik secara sedar atau tidak sedar.

Mengatakan persekitaran langsung tidak ada pengaruh terhadap individu adalah tidak benar sama sekali. Kalau tidak, masakan politikus yang masuk UMNO jadi UMNO, masuk PKR jadi macam PKR, masuk Pas jadi macam Pas atau masuk Dap jadi macam Dap!

Cumanya, dalam konteks kafir masuk masjid sudah tentu sikafir itu yang sepatutnya didakwahkan tetapi bukannya si kafir memberi tunjuk ajar kepada pihak masjid.

Dalam konteks sama, sudah tentu pihak gereja yang mahu memberikan tunjuk ajar kepada mukmin yang masuk ke gereja dan bukan sebaliknya.

Kalau kafir masuk masjid dan mendapat hidayah maka dia berada atas landasan yang betul tetapi kalau mukmin terpengaruh dengan gereja ia adalah satu kesesatan dan perasaan sama juga dikongsi oleh pihak di sebelah sana!

Maknanya, semua pihak mempunyai pandangan yang sama terhadap pihak yang satu lagi dan sebaliknya. Makanya atas sebab itu, mana-mana pihak jangan sebarkan sesuatu secara tidak berhemah seolah-olah dalam bab sebaran agama pihak berwajib tidak perlu pertahankan batas dan peraturan.

Antihipokrit

Farid Harasy said...

"Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi.

"Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana.

"Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam," katanya

mae1000 said...

Farid,

Ada pernah dengar PAS berhujah secara ilmiah ?