Tetamu Kehormat...

July 16, 2011

Untuk Menghapuskan Maksiat Tidak Perlu Berunding Dengan DAP!

Menteri Besar Kedah - Azizan Razak tidak perlu gentar dengan panggilan daripada Jawatankuasa PAS Pusat yang mahu mendapatkan penjelasan daripada beliau berhubung isu penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Sesungguhnya Azizan berada di pihak yang benar - ketua beliau bukannya DAP atau PAS Pusat dalam Pentadbiran Negeri Kedah, Ketua Azizan di Kedah ialah Sultan Kedah. Justeru itu, mana-mana pihak luar jangan sibuk campur tangan dalam urusan agama dan penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan kebajikan untuk agama Islam dan kesejahteraan umat manusia secara amnya.

Agak hairan dan pelik, mengapa dengan tiba-tiba DAP, khususnya Lim Kit Siang terlalu sibuk dan mengamuk dengan enakmen tersebut - benci sungguh beliau terhadap apa-apa sahaja unsur Islam yang hendak dilaksanakan di Malaysia. Begitu juga dengan PAS Pusat - menyibuk tidak tentu pasal, kalau di Selangor dan Pulau Pinang, habuk pun tak ada suara PAS hendak didengar, tetapi di Kedah, negeri yang dikuasai sepenuhnya oleh PAS, tiba-tiba boleh jadi kecut disergah oleh Lim Kit Siang. Untuk melaksanakan perintah Allah tidak perlu tanya Lim Kit Siang atau Jawatankuasa PAS Pusat, yang jelas haram, maka haramlah hukumnya. Soalnya sekarang, siapakah yang sebenarnya memerintah Kedah, DAP atau PAS? Baca Laporan di bawah :

KUALA LUMPUR, 16 Julai — PAS mahu kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak agar memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja pusat parti itu esok rasional larangan penuh ke atas operasi pusat-pusat hiburan semasa Ramadan yang bermula bulan depan. Kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.

Nain Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata taklimat khas dipanggil ekoran langkah kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu kini menjadi satu isu kebangsaan ekoran liputan meluas media.

“Ada keperluan untuk diketahui alasan kerajaan negeri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Ada keperluan bagi kami mendengar dan mengadakan satu perbincangan mengenai perkara ini,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Azizan yang diminta memberi penjelasan tidak dapat hadir sebaliknya akan menghantar wakil ke mesyuarat esok. Azizan juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah. Kelmarin, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan. Sementara MCA dan Gerakan membantah langkah itu sejak awal minggu ini, Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.

Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak Barisan Nasional mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini. Beliau berkata, di bawah enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko. Kata beliau, terdapat pengecualian untuk pertunjukan berkaitan keagamaan dan kepercayaan sesuatu kaum dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan, selain mendapat sokongan daripada pegawai pelesenan. Langkah kerajaan negeri dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS pusat dan Persatuan Ulama Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

DAP, MCA & GERAKAN bersatu dlm isu yg melibatkan bukan Islam. Kita patut menyokong MB Kedah mempertahankan larangan tersebut. Apa kata satu demo besar-besaran dibuat di Kedah utk mengatakan pendirian umat Islam Malaysia.

Muhammad Azli Shukri said...

Tq