Tetamu Kehormat...

July 26, 2011

Ke Mana Kita Selepas Ini?

Masalahnya, ramai pejuang bahasa, termasuk sasterawan negara sudah lupa asas perjuangan mereka. Daripada memperjuangkan isu bahasa Melayu, mereka sekarang ini sibuk dijadikan kuda tunggangan parti pembangkang. Lihat sahaja yang berlaku kepada A. Samad Said.

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad terkilan kerana orang Melayu terlalu bergantung pada bahasa Inggeris sebagai “model” sehingga menyumbang kepada krisis martabat bahasa kebangsaan.

“Oleh sebab kita tidak tahu atau menganggap bahasa Melayu ‘belum maju’, maka kita banyak sekali bergantung pada bahasa Inggeris sebagai ‘model’ kita.

“Kita menganggap bahawa dari segi pembinaan korpus bahasa, bahasa Melayu perlu bergantung pada kosa-kata atau perkataan bahasa Inggeris untuk membina ‘istilah baru’ dalam bahasa Melayu,” kata beliau pada satu ceramah yang disampaikan di Seremban hari ini. Kertas kerja beliau bertajuk “Dasar Bahasa Kebangsaan Di Malaysia: Melihat Semula Peranannya Sebagai Alat Perpaduan dan Kemajuan Negara”. Tokoh bahasa ini menambah, orang Melayu tidak bertolak dari kekuatan dalaman yang sudah ada pada Melayu sejak ratusan tahun lamanya dalam mencari atau mencipta ‘istilah baru’.

Katanya, apa sahaja perkataan biasa atau bahasa Inggeris yang dianggap sebagai ‘istilah’ diterjemahkan secara harfiah ke dalam bahasa Melayu, maka lahirlah ratusan istilah yang pelik-pelik dalam bahasa Melayu.

“Saya suka menyebut contoh-contoh berikut... perkataan Inggeris ‘head’ yang dahulu pernah digunakan sebagai istilah perbendaharan kerajaan, diterjemahkan bulat-bulat sebagai ‘kepala’. Maka lahirlah istilah ‘kepala kecil’ yang diterjemahkan dari istilah Inggeris ‘sub head’ dan istilah ‘pecahan kepala kecil’ yang diterjemahkan dari istilah Inggeris ‘sub-sub head’.

“Geli hati saya mendengar istilah ini dalam bahasa Melayu. Tidak kurang peliknya ialah istilah ‘pegawai sangkut’ yang diterjemahkan dari istilah Inggeris ‘attachment officer’,” kata beliau.

“Tidak tahu saya bagaimana manusia atau pegawai kerajaan boleh disangkut, seperti orang menyangkut gambar atau cermin di dinding,” kata Hassan lagi. Justeru kata Hassan, contoh-contoh istilah seperti itu dalam bahasa Melayu menunjukkan bahawa perancang bahasa atau pencipta istilah Melayu masa itu seolah-olah percaya bahawa kalau bahasa Melayu tidak bergantung kepada bahasa Inggeris, bahasa Melayu tidak akan maju.

“Masalah sebenarnya ialah tiga, pertama, mereka tidak tahu bahawa bahasa Melayu mempunyai perbendaraan kata yang kaya dan mungkin lebih kaya daripada perbendaharaan kata umum (biasa) bahasa Inggeris,” katanya.

Selain itu mereka tidak berfikir dalam bahasa Melayu tetapi berfikir dalam bahasa Inggeris atau melalui perkataan Inggeris, katanya.

“Ketiga, mereka tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kalau mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik dan berfikir dalam bahasa Melayu, mereka tentu dapat akan mencipta istilah yang lebih betul dan tepat, misalnya ‘Tajuk’, ‘Tajuk Kecil’ dan ‘Ceraian Tajuk Kecil’, dan ‘attachment officer’ sepatutnya menjadi ‘pegawai sandaran’ dalam bahasa Melayu,” kata beliau. Hassan menambah, beliau menyebut contoh tersebut sebagai peringatan bahawa sehingga hari ini itulah cara pihak bertanggungjawab ‘memajukan’ kosa-kata bahasa Melayu.

“Banyak perkataan atau istilah umum yang dianggap baru kebanyakannya diterjemahkan secara literal dari perkataan bahasa Inggeris — kebanyakannya diciptakan oleh orang yang bahasa Melayunya lemah dan tidak berfikir dalam bahasa Melayu.

“Kerana inilah saya masih mendengar orang Melayu dan bukan Melayu berkata bahawa ‘without the English language, the Malay vocabulary will still be very restricted and poor’,” kata beliau sambil menambah, “saya menganggap itu adalah kata orang yang tidak mengetahui bahasa Melayu.”

4 comments:

Anonymous said...

Kesian Datuk Hassan ni, selama ni bercakap ngan Ambiga gune bahasa ape?? Pernah dengar Ambiga tu cakap Melayu sepenuhnya???

tungkaran hati said...

sebenarnya kita telah dijauhkan antara adat, budaya dan bahasa sehingga anak-anak kita tidak tahu lagi susur-galur bangsa dan wilayahnya sendiri.

Muhammad Azli Shukri said...

Tq

Anonymous said...

Melayu...dah ekonomi melukut di tepi gantang, bahasa jiwa bangsa pun dipandang rendah. Cukuplah, bagi peluang kat 'pejuang' lain pulak utk memartabatkan bangsa dgn roh dan kaedah yg lebih baik.