Tetamu Kehormat...

July 30, 2011

Isu Wahabi Selesai : Ulama Jangan Cepat Melatah!

Inilah jadinya apabila ulama turut sama berpolitik dan main emosi! Kononnya "ada orang dalam" yang salurkan maklumat tentang Wahabi itu ancaman negara. Lebih malang lagi, ia disebut dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan terus disahkan seolah-olah itu keputusan rasmi kerajaan - maka melentinglah para ulama salaf di Malaysia.

Maka hiruk-pikuklah negara kerana ulama meloncat lebih tinggi daripada menteri. Belum ada apa-apa keputusan rasmi atau kenyataan rasmi, maka ulama-ulama ini tanpa usul periksa terus membuat tuduhan melulu, kononnya kerajaan mewartakan bahawa golongan Wahabi mengancam keselamatan negara. Nampaknya, ulama-ulama ini tidak beramal dengan ilmu yang mereka miliki - mudah melatah, cepat buat kenyataan tanpa usul periksa, tidak menyelidiki keshahihan sumber dan mudah berburuk sangka.

Ulama yang ada di Malaysia pada hari ini semakin susah untuk dipercayai. Ilmu agama tinggi, tetapi amalan masih seperti orang jahil. Selidiklah terlebih dahulu isu Wahabi ini, betul atau tidak bahawa kerajaan telah mewartakan Wahabi sebagai ancaman kepada negara? Atau ia sekadar pandangan individu tertentu sahaja yang belum tentu kerajaan menerima pandangannya itu bulat-bulat. Tidak semua yang dibincangkan dalam MKN diputuskan secara muktamad, banyak perkara yang dibincangkan lebih kepada untuk mendapat maklumat dan penerangan daripada pakar bidang tertentu.

Jadi, janganlah cepat melatah dan menuduh yang bukan-bukan terhadap kerajaan. Sekarang ini, nampaknya senario politik sudah berubah, ulama pula yang berperanan sebagai pencetus fitnah ke tengah masyarakat. Tanpa banyak usul periksa dan menyelidik, ulama-ulama seperti ini terus membuat kenyataan di media-media massa pro-pembangkang seakan-akan kerajaan BN/UMNO ini anti-Wahabi dan membenci golongan salaf as-soleh, padahalnya itu semua hanyalah sangkaan dan hasutan yang mana umat Islam di Malaysia berpecah belah. Baca berita di bawah :

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Putrajaya dipercayai telah memaklumkan satu mesyuarat penting bahawa sememangnya tidak wujud ancaman keselamatan didakwa dibawa oleh Wahabi, susulan polemik terbaru mengenai isu itu sejak awal minggu ini, kata bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim. Shahidan berkata, berdasarkan pada maklumat yang beliau peroleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ada memaklumkan bahawa “tiada perkara sedemikian” di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan enggan menyebut bila dan lokasi menteri itu menyatakan pendirian tersebut. Usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan Jamil Khir juga tidak berhasil, malah beliau belum memberikan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan. Jamil Khir memutuskan untuk enggan mengulas isu berkenaan Selasa lalu ketika didampingi wartawan pada satu majlis di ibu negara.

“Mengikut keterangan Datuk Seri Jamil Khir, beliau cuma tidak mahu menyatakan perkara ini secara terbuka setakat ini, tetapi menjelaskan bahawa tiada perkara sedemikian.

“Menurut beliau, pendapat mengatakan Wahabi menjadi ancaman dan menjurus ke arah aktiviti pengganas... ini adalah pendapat individu sahaja, ia telah dibuat di tempat yang tidak sepatutnya dibuat iaitu MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Shahidan sambil menekankan “majoriti Muslim Malaysia mengamalkan mazhab Syafie.”

Kata Shahidan, mengikut maklumat terbaru diterimanya, mesyuarat Isnin lalu tidak sepatutnya membincangkan perkara tersebut tetapi diteruskan dengan memfokus isu yang kini hangat diperkatakan. Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pasukan keselamatan memutuskan amalan Wahabi memang wujud di negara ini, tetapi dakwaan bahawa ia menjadi ancaman ke atas keselamatan negara bukan sesuatu yang membimbangkan buat masa sekarang.

“Memang ada amalan Wahabi, tetapi ia bukan di peringkat yang amat membimbangkan,” kata sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan. Malah katanya, maklumat yang digunakan dalam pembincangan Isnin lalu adalah berdasarkan pada perkembangan setakat Februari lalu.

Isu mengenai amalan Wahabi pernah muncul di media massa April lalu dengan memfokus kepada kerajaan negeri Perlis. Bagaimanapun sumber itu mengakui tindakan mengaitkan isu itu dengan Arab Saudi ada membawa kesan ke atas hubungan kedua-dua negara.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat Isnin lalu yang hanya memfokus pada isu Wahabi ada menimbulkan dakwaan wujudnya “kesesatan Saudi.”

Dalam kenyataannya, Shahidan juga berkata “isu ini tidak patut dihidupkan semula, yang bertujuan menunjukkan siapa yang kuat.”

Sehubungan itu, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Isnin lalu yang menyatakan sokongan kepada bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa antara mereka yang disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau oleh pihak berkuasa agama negeri.

Turut disenaraikan ialah Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu. Difahamkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam ada dibangkitkan isu semasa ini. Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider Selasa lalu, Shahidan menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan sama sekali dan tidak mahu terus dibangkitkan lagi.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai “dikehendaki” dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu. Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.

1 comment:

Anonymous said...

Mesti la ULAMA nak masuk UMNO,

UMNO parti ISLAM.
Dalam UMNO mane ade rasuah,judi,arak,sex,kezaliman,boros,tutup aurat,menindas. semua tu HARAM.

Mana ade parti lain yang sama dengan UMNO

Kepimpinan UMNO ikut syariat ISLAM