Tetamu Kehormat...

July 21, 2011

Berakhirnya Kejahatan

SEPANJANG JULAI LALU terdapat beratus siri demonstrasi di seluruh dunia. Hampir semuanya mempunyai korban tersendiri. Sama ada korban dari segi kerosakan harta benda awam, kerugian perniagaan dan yang paling malang ialah kehilangan nyawa. Itu risiko yang berlaku dalam setiap demonstrasi, rusuhan, tunjuk perasaan mahupun perhimpunan haram.

Tindak-tanduk liar para peserta, pertembungan dengan pihak berkuasa dan perbalahan dengan kumpulan yang menentang pasti akan meninggalkan kesan fizikal. Situasi yang berlaku di seluruh dunia memberi gambaran cukup jelas bahawa apa juga bentuk demonstrasi, perhimpunan, perarakan dan rusuhan tidak pernah meninggalkan kesan yang elok.

Sama ada di negara maju yang kononnya bertamadun, di negara membangun seperti Malaysia mahupun di negara-negara miskin. Demonstrasi sentiasa datang bersama masalah. Yang membezakan sama ada ia kecil atau besar. Pihak yang bertanggungjawab menganjurkan aktiviti seperti itu sepatutnya sedar akan kesan yang bakal berlaku.

Mengambil contoh di Bahrain misalnya, sejak Februari lalu sebanyak 33 nyawa telah terkorban ekoran demonstrasi oleh puak Syiah yang menentang keluarga diraja Hamad bin Isa al-Khalifa. Di Syria pada 17 Julai lalu, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam apabila penentang dan penyokong Presiden Bashar al-Assad bertempur.

Yang paling dekat dengan negara ini ialah pertempuran antara kumpulan baju merah dan baju kuning di Thailand tahun lalu yang menyebabkan aktiviti ekonomi di Bangkok dan industri pelancongan di negara itu lumpuh selain banyak nyawa terkorban. Pada April tahun lalu, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh ekoran demonstrasi antikerajaan oleh kumpulan baju merah yang menuntut supaya parlimen di bubar.

Walaupun pada tahun ini Parlimen negara itu dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan baru, namun ia tentunya tidak setimpal dengan nyawa yang melayang. Bak kata bidalan 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Itu juga yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Perhimpunan haram yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Kejayaan tertinggi perhimpunan haram itu ialah kematian Baharuddin Ahmad, 55, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur setelah dikatakan rebah dekat KLCC. Ambiga - bekas Presiden Majlis Peguam yang terkenal kerana 'penampilannya' dalam beberapa kes murtad - sebagai ketua perhimpunan haram yang majoritinya disertai oleh orang Melayu beragama Islam itu tentu sedar bahawa akan ada tindak balas daripada pihak berkuasa jika ia diteruskan.

Tetapi kerana memikirkan publisiti yang bakal diperolehi terutama daripada media luar negara, maka hanya pertimbangan peribadi yang diambil kira. Tidak ada pihak berkuasa di mana-mana negara pun di dunia ini yang akan hanya duduk berdiam diri memerhatikan dari jauh apabila ada kumpulan berarak secara besar-besaran menentang kerajaan.

Sedang penonton bola sepak pun di kawal rapi oleh pihak polis, inikan pula perhimpunan haram yang sudah pasti akan mendatangkan lebih banyak masalah daripada kebaikan. Di United Kingdom (UK) - yang medianya menghentam cara polis Malaysia mengendalikan perhimpunan haram 9 Julai lalu itu - polisnya turut membelasah para penunjuk perasaan antikapitalis yang diadakan di ibu kota London.

Sebahagian besar daripada mereka ditangkap dan dihumban dalam penjara tanpa dibicara pun. Tidak ada pula jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat tindakan polis terhadap penunjuk perasaan di negara itu. Tetapi situasi di Malaysia berbeza. Pihak yang menyertai perhimpunan haram hingga menyusahkan jutaan penduduk Kuala Lumpur, yang menyebabkan perniagaan di tutup, kenduri dan majlis kahwin terjejas serta kerosakan harta benda awam tidak bersalah.

Yang bersalah ialah polis yang mahu mengekalkan ketenteraman awam. Orang yang mencetus huru-hara, kacau bilau, yang membaling batu, yang berkumpul di tengah-tengah jalan hingga menggugat ketenteraman awam adalah wira yang perlu mendapat pembelaan.

Selepas bertungkus-lumus memastikan ketenteraman dan harta benda awam terpelihara ekoran perhimpunan haram 9 Julai lalu, kini polis dibebankan pula dengan dakwaan kononnya mereka bertindak ganas terhadap kelompok peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang tersebut. Sedangkan berbulan-bulan sebelum perhimpunan itu berlangsung pelbagai amaran telah dikeluarkan supaya orang ramai tidak menyertainya.

Malah polis sejak awal lagi telah melakukan sekatan supaya para penyokong perhimpunan haram itu tidak berkumpul. Tetapi semua itu tidak diendahkan. Atas nama demokrasi dan hak asasi, mereka melanggar semua amaran dan larangan tersebut. Seolah-olah kumpulan itu sengaja meletakkan diri mereka supaya dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Tindakan-tindakan yang dilakukan oleh para pengikut Ambiga itu seolah-olah disengajakan. Supaya ia boleh dijadikan modal untuk memburuk-burukkan pasukan polis. Kini nyata kerana yang dipersalahkan ialah polis. Polis bersalah kerana melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta perhimpunan haram itu. Polis bersalah kerana menggunakan meriam air. Yang paling serius kini polis dituduh membunuh salah seorang peserta perhimpunan itu.

Daripada laporan-laporan yang disiarkan di Internet memberi gambaran seolah-olah polis tidak berhak berada di ibu negara pada hari perhimpunan haram itu. Kerana 'kesalahan' yang dilakukan oleh pihak polis itu, maka terpaksa ditubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan berlakunya keganasan dan tindakan keras.

Penemuan oleh jawatankuasa itu selepas ini kemungkinan akan menyaksikan beberapa anggota polis yang bertugas untuk mengekalkan keamanan pada hari itu dikenakan tindakan atau mungkin kehilangan kerja. Sedangkan mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram itu yang mendakwa dikasari polis enak menikmati hidangan yang disediakan di Pulapol.

Inilah nasib pasukan polis di negara ini. Kerja keras mereka menjaga ketenteraman awam pada 9 Julai lalu langsung tidak dihargai. Sebaliknya mereka dikecam dan dilempar dengan pelbagai tuduhan termasuk membunuh. Perkara ini tentu tidak berlaku jika tiada perhimpunan haram yang diketuai Ambiga pada 9 Julai lalu. Ambiga dan konco-konconya tentu tersenyum puas kerana matlamat peribadi mereka telah tercapai.

Rencana ini hasil tulisan Aznan Bakar klik di sini.

2 comments:

Anonymous said...

pembangkang tak peduli semua nie

Muhammad Azli Shukri said...

Tak pe..