Tetamu Kehormat...

June 14, 2011

Bulan Bukanlah Satu

1. Tulisan yang menarik untuk kita berkongsi sama berhubung sejarah kerajaan perpaduan antara UMNO dengan PAS. Baca tulisan Prof. Dr. Ahmad Atory Hussien ini. URA-URA UNTUK mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan UMNO sebenarnya dimulakan sebaik-baik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang menunjukkan Barisan Nasional (BN)/UMNO menghadapi kemerosotan kuasa yang mana lima buah negeri (Perak, Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang) dikuasai parti pembangkang.

2. Daripada 222 kerusi Parlimen, BN hanya memperoleh 140 kerusi yang buat kali pertama dalam sejarah, BN tidak mendapat dua pertiga kerusi Parlimen. Bahawa persepsi politik orang Melayu dan UMNO khususnya terhadap kerajaan pakatan pembangkang bukanlah berorientasikan kemelayuan dan keislaman lagi! Yang ada di benak hati kebanyakan orang Melayu (kecuali segelintir ialah kerajaan pakatan pembangkang adalah ditunjangi oleh DAP (Cina) di sebalik bertopengkan Pas (Melayu) dan PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) .

3. Ini yang menjadi masalah politik Melayu kini! Maka usaha hendak mewujudkan kerajaan perpaduan seperti pada era tahun tujuh puluhan dahulu telah pun diuar-uarkan oleh banyak pihak. Tetapi, usaha itu menemui jalan buntu. Difahamkan "tidak ada azam politik" yang kuat" untuk mengadakan rundingan di antara kedua belah pihak.

4. Mengikut catatan penulis, pada mulanya, dikatakan UMNO dan Pas ada membuat beberapa usaha bermukabalah dan bermuzakarah ke arah kerjasama dan perpaduan kedua-dua parti Melayu itu. Pas mahu menggunakan istilah "mukabalah" yang tidak menekankan penggabungan/perkongsian kuasa tetapi lebih kepada mencari formula untuk kerjasama politik yang lebih bermoral dan menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

5. Dikatakan UMNO dan Pas memberi respons kepada tekanan orang Melayu (melalui beberapa NGO Melayu seperti konvensyen Melayu di Johor dan di Perak sebelum itu) agar wakil-wakil rakyat UMNO dan Pas termasuk PKR juga mesti mempunyai wadah mementingkan bangsa, agama dan tanah air daripada mementingkan kuasa, kedudukan, pangkat dan darjat dalam parti masing-masing.

6. Maka pada Julai 2008 itulah juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam diam-diam menjalankan usaha mencari ruang berunding dengan pemimpin Pas bagi mencari jalan penyelesaian masalah perpaduan orang Melayu dan akhirnya telah membuat pengakuan yang beliau ada membuat pertemuan dengan pemimpin Pas untuk bermuzakarah.

7. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga memperakuinya. Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut lantas mencadangkan agar Pas dan UMNO dibubarkan sahaja dan menubuhkan sebuah parti yang mewakili keseluruhan orang Melayu. Maka heboh akhbar-akhbar tempatan menyiarkan pandangan pro dan kontra. Yang ramai sekali ialah mereka yang pro daripada kalangan pembaca dan orang Melayu.

8. DAP melalui kenyataan Karpal Singh nampaknya menentang cadangan Pas bermuzakarah dengan UMNO. Sementara itu, pemimpin MCA berpendirian sederhana, asalkan tidak menyentuh Perlembagaan Malaysia. Bagi yang tidak faham dan tidak ingat sejarah kerajaan campuran Pas/UMNO 1973-1977 dahulu mungkin berfikiran akan berlaku peristiwa yang sama jika cadangan kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan pada masa ini.

9. Ia ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin Pas. Pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kaveas menyarankan supaya BN itu sendiri dijadikan sebuah parti menyatukan seluruh kaum di Malaysia. Tetapi cadangan ini kurang popular. Begitulah kalau orang Melayu sekarang ini yang penulis gambarkan sebagai berada dalam keadaan "sesat politik". Maka berbagai-bagailah kerenah masing-masing ingin menegakkan benang basah, ada pula ibarat enau ingin melepaskan pucuk masing-masing, tidak ambil pusing dengan keadaan kekalutan politik Melayu sesama Melayu hari ini.

10. Dalam politik demokrasi, ada masanya sukar mencari kebenaran, sebab ia melibatkan kepentingan ahli-ahli politik terutama di peringkat kepimpinan elit. Ia boleh dicapai dengan ketakwaan, keikhlasan dan keimanan yang tinggi. Bolehkah? Sebab itu, bagi mereka yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik, ia melihat sesuatu isu itu di atas landasan kebenaran tanpa bersandar kepada kepentingan diri dan puak, pangkat, tetapi lebih kepada kepentingan watan, negara. perpaduan ummah Melayu dan Islam.

11. Dalam sejarah hubungan politik antara UMNO dan Pas, tidaklah dilihat sebagai tegang selama-lamanya. Ada masa dan ketika kedua-kedua parti berkelahi, bertikam lidah dan tuduh menuduh satu sama lain dan saman-menyaman. Anehnya saman menyaman itu jarang-jarang sampai ke mahkamah pun. Hanya tinggal di balai polis sahaja. Sebagaimana air laut, ada pasang-surut hubungan Pas dengan UMNO. Begitulah keadaannya seperti yang diucapkan oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak; "dalam politik macam-macam boleh berlaku, dulu kita berlawan, sekarang kita berkawan." (Utusan Malaysia 30 Julai 2008).

12. Perjuangan Islam yang dibawa parti itu memang telah wujud melalui penubuhan parti politik pertama Islam iaitu Hisbul Muslimin pada tahun 1947-1948 yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir. Malangnya parti itu dihapuskan oleh British. Buat sementara, sesetengah ahlinya menganggotai UMNO. Sebab itu, Pas dikatakan lahir dari rusuk kiri UMNO pada 1952 dahulu apabila Pengerusi Biro Agama UMNO ketika itu, Uztaz Ahmad Fuad keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya (Pas) yang bergerak hingga kini.

13. Seperti UMNO, Pas turut serta dalam semua PRU yang diadakan sejak 1955 hingga kini. Parti itu pernah menguasai Kelantan pada PRU 1959 hingga 1978, dan 1990 hingga PRU 2008. Pas menguasai Terengganu pada 1959 hingga 1961; menguasai semula negeri itu pada PRU 1999 hingga 2004. Pada PRU 2008, Pas berjaya menonjolkan wakilnya menjadi Menteri Besar Perak dari 9 Mac 2008 hingga 4 Februari 2009 atas tiket pakatan pembangkang.

14. Di peringkat Parlimen, Pas mengalami pasang surut. Pada PRU 1955, Pas memenangi satu kerusi (Parlimen Krian); manakala pada PRU 1959, Pas memperoleh 14 kerusi (9 Kelantan, 5 Terengganu); PRU 1964, 9 kerusi (8 Kelantan, 1 Terengganu) , PRU 1969, 12 kerusi (6 Kelantan, 3 Kedah, 2 Terengganu, 1 Perak); pada PRU 1974,14 kerusi (7 Kelantan, 3 Kedah, 3 Terengganu, 1 Perak); pada PRU 1978, 5 kerusi; PRU 1982, 5 kerusi; PRU 1986, satu kerusi; PRU 1990, 7 kerusi; PRU 1995 , 7 kerusi; PRU 1999, 27 kerusi; PRU 2004, 7 kerusi.

15. Pada PRU 2008, Pas mempunyai 23 kerusi Parlimen dan 83 buah kerusi Dewan Undangan Negeri untuk seluruh Semenanjung! Manakala sebagai perbandingan dengan rakan parti pembangkang yang lain di mana DAP 28 buah kerusi Parlimen dan 73 kerusi DUN; PKR 31 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN. Ternyata bilangan kerusi Parlimen yang banyak sekali diperoleh Pas adalah pada PRU 1999 (27), manakala dalam PRU 1986 merupakan bilangan yang sangat sedikit iaitu hanya satu kerusi sahaja, menyamai bilangan PRU 1955.

16. Dengan bermulanya kerjasama Pas dengan PKR dan DAP, bilangan kerusi Pas menurun daripada 27 kepada 23 sahaja, kemungkinan berkongsi dengan PKR. Sebab itu, nampaknya sejak 1999, Pas lebih selesa berkerjasama dengan DAP dan PKR dari segi memperolehi kerusi sama ada Parlimen atau DUN.

17. Jika mengimbau kembali selepas PRU 1969, hubungan Pas - UMNO mula rapat dan tidak lagi menggunakan politik antagonistik antara kedua parti orang Melayu yang sebelum itu ternyata membawa kerugian kepada perpaduan orang Melayu. Akhirnya Tun Abdul Razak telah melebarkan konsep parti Perikatan kepada BN sebaik-baik sahaja beliau menjadi Perdana Menteri pada 1971 dan pada 1 Januari 1973, Pas menganggotai BN sekali gus menubuhkan kerajaan campuran di peringkat pusat dan negeri.

18. Tetapi pada 1977, Pas keluar daripada gabungan BN dan mengisytiharkan "perang politik" dengan UMNO hinggalah ke hari ini! Sejarah berulang kembali, BN/UMNO sekali lagi menghadapi kemerosotan undi yang teruk pada PRU 12 lalu dan dilihat undi popular BN hanya sekitar tidak sampai 50 peratus dan kekuatan dan kekuasaan politik Melayu keseluruhannya nampak terhakis. Sampai bila orang Melayu dilanda perpecahan kerana perbezaan ideologi politik? Seperti yang disebut diawal tulisan ini, di akhir-akhir ini istilah mukabalah dan muzakarah antara Pas dan UMNO sudah tidak kedengaran lagi. Gencatan politik nampaknya telah dilanggar, masing-masing mencari haluan sendiri.

5 comments:

Anonymous said...

Gabungan PAS dan UMNO hanya merugikan Melayu Islam.

Cheguman said...

Tak perlu tunggu PAS dan UMNO bersatu. Pengundi yg perlu bijak memilih. Bersatu ertinya dalam kelompok yang besar. Memilih parti yang kecil akan mengecilkan kuasa politik ummat Islam. Mengharapkan kerusi PAS bertambah dalam PRU13 membawa risiko besar iaitu apabila PAS masih kalah manakala UMNO tidak menang.

Kesimpulannya, PAS perlu disekat kerana ia membuka jalan kpd DAP untuk merealisasi Malaysian Malaysia.

Keghairahan golongan muda cina terhadap DAP bukanlah dongengan kerana mereka kagum dengan kejayaan Lee Kuan Yew menerajui Singapura menjadi negara maju.

MCA dilihat gagal menguasai BN dan sekadar menjadi pengikut UMNO yang taat.

Bukan semua orang cina menolak BN. golongan veteran yang melalui sejarah susah senang di tanah melayu ini masih mengharapkan semua kaum bersatu di bawah BN.

Anonymous said...

DAP dikatakan jembalang dalam politik. Bagaimana pulak jembalang kapitan / kapitalis yg selalu mengekor orang besar politik dlm menguasai ekonomi sampai melayu masih hidup segan dan melukut di tepi gantang tanahair sendiri walaupun mandat sudah setengah abad di pegang oleh pejuang keris totok?

Anonymous said...

Hasil dasar BN melayu sekarang berdiri hampir sama tinggi dengan bukan melayu. Untungnya rakyat kita tak perlu keluar negara menjadi pembantu rumah dan buruh binaan seperti rakyat negara lain. Kalau dari dulu PAS memerintah, mungkinkah nasib kita sama seperti mereka yang terpaksa berhijrah demi sesuap nasi.....

Muhammad Azli Shukri said...

Tq