Tetamu Kehormat...

January 29, 2011

Milik Siapa Majlis Peguam?

Dari dahulu lagi saya tertanya-tanya, milik siapakah Majlis Peguam ini? Suara mereka tidak lagi membawa suara keadilan dan kebenaran, sebaliknya lebih hampir dan mirip dengan suara sebuah parti politik. Saya cadangkan agar Majlis Peguam ditukarkan sahaja statusnya menjadi sebuah badan politik - habis cerita. Sejak akhir-akhir ini Majlis Peguam tidak lagi menjalankan peranan mereka yang sebenar - sebaliknya terlalu sibuk mencari salah kerajaan dan tergesa-gesa mengejar perubahan. Isu terkini yang melibatkan majlis tersebut dilihat bertepatan dengan perpatah Melayu yang berbunyi, "lebih sudu daripada kuah". Baca berita di bawah :

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Pengerusi DAP, Karpal Singh merupakan saksi yang relevan dalam kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, ia berdasarkan dua faktor utama iaitu pertuduhan dihadapi oleh Anwar ketika ini sama dengan dakwaannya dalam kes liwat 1997 apabila kedua-dua kes berkenaan melibatkan bekas kakitangannya.

Beliau berkata, dua bekas kakitangannya yang terbabit iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan Azizan Abu Bakar. ''Kedua, orang yang didakwa melakukan perbuatan itu ialah orang yang sama iaitu Anwar sendiri. Tambahan pula keperluan memanggil Karpal sebagai saksi diperkuatkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat Anwar sebelum ini.

''Walaupun mahkamah pada masa itu membebaskan Anwar (dan adik angkatnya, Sukma Darmawan) dalam kes meliwat Azizan, namun Mahkamah Persekutuan menegaskan 'kami percaya kejadian liwat itu berlaku' tetapi disebabkan masalah teknikal Anwar dibebaskan,'' katanya dalam entri terbaru dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini.

Blog itu ditulis sebagai mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan baru-baru ini bahawa mengikut pandangan Majlis Peguam, Karpal tidak wajar dipanggil sebagai saksi dan memberi testimoni dalam perbicaraan kes liwat Anwar yang sedang berjalan. Kenyataan dikeluarkan rentetan daripada desakan beberapa pihak yang mahu Karpal berundur daripada menjadi peguam bela Anwar bagi kes liwat kedua yang dihadapinya kini.

Zulkifli berkata, keterangan Karpal penting untuk membuktikan system and pattern (sistem dan corak) iaitu kegiatan Anwar meliwat kakitangannya sendiri. ''Seperti mana saya sebutkan sebelum ini Karpal adalah orang yang mendedahkan mengenai kegiatan homoseks dan liwat Anwar semasa berucap di Parlimen pada 22 Oktober 1997. ''Selepas itu beliau membuat pendedahan mengejut di Hotel Federal KL yang beliau mempunya bukti mengenai kegiatan homoseks dan liwat Anwar,'' katanya. Karpal juga, katanya, menjadi peguam yang menasihatkan Azizan berhubung kes liwat Anwar.

Katanya, Karpal juga orang yang bertanggungjawab memberitahu kepimpinan Pas pada masa itu mengenai perbuatan yang dilakukan oleh Anwar. ''Jadi atas alasan apa Ragunath membuat rumusan Karpal tidak perlu dipanggil sebagai saksi?'' soalnya. Sementara itu, beliau mempertikaikan tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ragunath kerana tiada sebarang aduan dibuat pun kepada Majlis Peguam berhubung salah laku Karpal.

''Apakah locus standi beliau mahu menggunakan platform Majlis Peguam untuk membuat kenyataan menyebelahi Karpal Singh itu dan bila pula Majlis Peguam bermesyuarat bagi mengambil ketetapan itu.

''Jika ada pun salah laku Karpal, ia terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin yang perlu dibentuk untuk menyiasat sebarang aduan salah laku mana-mana peguam,'' katanya. Soal sama ada seseorang wajar dipanggil sebagai saksi atau tidak, beliau berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara. "Soal sama ada seseorang itu layak memberi keterangan atau tidak ataupun sama ada keterangannya relevan atau tidak adalah di bawah bidang kuasa hakim yang membicarakan kes,'' katanya.

Zulkifli berkata, kesimpulannya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ragunath itu langsung tidak rasional dan atas sebab itu beliau mendesak Majlis Peguam membuat mesyuarat khas mencela Ragunath. ''Mesyuarat tersebut perlu dijalankan kerana Ragunath membuat kenyataan yang memberi bayangan seolah-olah semua peguam di negara ini mempunyai pendirian yang sama.

''Kegagalan Majlis Peguam membuat mengambil ketetapan mencela dan menyanggah kenyataan Ragunath dikhuatiri akan memberi persepsi bahawa Majlis Peguam bertindak bagi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan,'' ujarnya.

2 comments:

Fairosza said...

kalau tak silap presiden majlis peguam yg baru ni super senior ex-sekolah saya..merangkap exsekolah dato' Ahmad Maslan gak...
kadang2 majlis peguam ni macam terlebih over ada gak

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih tuan fairosza