Tetamu Kehormat...

January 19, 2011

Kisah Sebenar Polemik Novel Interlok : Sesaat Kita Tidak Perlu Berbahasa!

Saya terpaksa mendedahkan hal yang sebenar - berhubung kebenaran isu dan polemik yang melingkari karya Sasterawan Negara Abdullah Hussian berjudul Interlok! Rupa-rupanya terlalu ramai yang tidak faham, apakah yang sebenarnya berlaku disebalik kontroversi novel tersebut. Bahkan pelbagai persoalan mula timbul, umpamanya - siapakah yang harus dipersalahkan dalam masalah tersebut? Perlukah kaum India "mengamuk", memprotes dan membakar novel Sasterawan Negara itu? Apakah punca kesilapan yang mengundang musibah dan malapetaka yang menyentuh sensitiviti kaum di dalam buku Interlok? Siapakah yang mesti dipertanggungjawabkan? Perlukan 100% Kementerian Pelajaran Malaysia dipersalahkan? Atau kesilapan dan kecuaian tersebut datangnya daripada individu yang tidak menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan betul? Saya tidak pernah memberi komen berhubung polemik novel Interlok sebelum ini - sehinggalah kebenaran semakin terselah! Dan kebenaran ini mesti didedahkan - demi menyelesaikan akar masalah agar tidak berulang pada masa akan datang.

Hakikatnya, novel dan penulis Interlok sama sekali tidak berdosa, Kementerian Pelajaran juga tidak berdosa, begitu juga dengan kaum India yang menuntut agar novel tersebut ditarik semula sebagai novel wajib tingkatan 5 untuk Zon Tengah juga tidak berdosa! Jadi siapakah yang sebenarnya yang berdosa? Yang berdosa ialah Dewan Bahasa dan Pustaka! Serta editor-editornya yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja penyuntingan secara profesional bagi memurnikan kandungan novel tersebut agar dapat disesuaikan untuk tatapan dan bacaan pelajar sekolah. Malangnya, para editor ini tidak melakukan kerja mereka dengan sebaik mungkin - sehingga novel Interlok menimbulkan keresahan kaum India.

Adalah menjadi kebiasaan, setiap novel yang dipilih untuk dijadikan sebagai novel bacaan wajib di sekolah-sekolah di seluruh negara, perlulah terlebih dahulu melalui proses pemurnian yang ketat, tidak semua tulisan atau karya seseorang Sasterawan Negara itu diambil terus dan diceduk untuk dijadikan sebagai novel wajib edisi pelajar, tanpa terlebih dahulu isi serta kandunganya disunting, diedit dan disesuaikan dengan realiti masyarakat majmuk di negara ini. Isu perkataan "Pariah" yang terdapat di dalam novel Interlok tidak akan muncul sama sekali, sekiranya para editor novel tersebut terdiri daripada para editor yang berpengalaman dan bukan dilantik secara "suka-suka" sahaja - Dan akhirnya, akibat daripada kecuaian yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang editor - satu negara menanggung azab!

Sekiranya kita membaca novel Interlok karya Abdullah Hussain yang asal - sememangnya terdapat beberapa muka surat yang jelas tertera perkataan "Pariah", namun demikian ia sudah disunting beberapa kali untuk edisi bacaan pelajar. Walaupun novel tersebut telah menjalani proses suntingan bagi penerbitan edisi pelajar beberapa tahun yang lalu, tetapi ia masih tidak memuaskan hati pihak Kementerian Pelajaran, dan sekali lagi novel tersebut "dibedah" untuk dimurnikan pada tahun 2010, agar kandungannya bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar sekolah menengah, di samping mengelak sebarang perasaan tidak senang antara kaum di negara ini.

Namun demikian, kerja penyuntingan ini tidak dilaksanakan dengan baik, sehingga perkataan "Pariah" masih tertinggal pada halaman 211 dan 210- sekaligus menimbulkan isu besar lagi sensasi kepada negara - dan kerana muka surat itulah juga, ribut satu negara! Sebagai bekas editor - saya dapat menghidu punca permasalahan ini dan "ada yang tidak kena" dengan mutu penyuntingan karya Interlok untuk edisi pelajar 2010. Tahap penyuntingannya sangat menakutkan di samping terdapat beberapa kesalahan pengeditan yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi terhadap sebuah karya hasil tulisan seorang Sasterawan Negara!

Dengan kata mudah - novel Interlok telah mencetuskan polemik dan isu politik adalah natijah daripada kerja-kerja editorial yang tidak profesional, dan diamanahkan pula kepada editor yang tidak jelas mutu dan tahap penguasaan ilmu sasteranya. Saya tidak menyalahkan editor-editor yang dilantik untuk menangani penyuntingan novel tersebut, mereka hanya menurut perintah dan arahan, tiada kuasa untuk menolak, walaupun mungkin mereka menyedari bahawa mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalam hal ini - individu yang perlu dipertanggungjawabkan ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau perlu segera meletakkan jawatan, kerana terbukti telah melakukan kecuaian dalam melantik editor yang sebenarnya tidak layak untuk memikul tanggungjawab bagi memurnikan karya Abdullah Hussain itu. Ikuti pendedahan yang lebih mencabar dalam posting saya yang akan datang bertajuk - DBP 2010 : Menjalarnya Lumut Bahasa!.

6 comments:

Anonymous said...

Kalau di luar Malaysia, pemimpin yang didapati melakukan kesalahan berat yang memalukan, menjejaskan imej bangsa dan negara, semuanya akan dipecat atau terpaksa meletakkan jawatan serta merta. Lihat sahaja senario di negara Eropah, Korea, Jepun. Baru-baru ini juga jurulatih pasukan bola sepak Arab Saudi dipecat disebabkan kekalahan Arab Saudi yang memalukan di tangan lawan yang jauh rendah prestasinya. Di Malaysia? Ada berani???

Nasir Hamid said...
This comment has been removed by the author.
Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih komen tuan2

Anonymous said...

Sdr Nasir,

Saya setuju, sastera itu indah kerana bahasa... tetapi isunya sekarang ialah sastera indah yang sudah dirosakkan oleh bahasa editor yang tidak mamahami sastera.
Sudahkah saudara baca kedua-dua versi Interlok yang hebat diperkatakan sekarang?
kalau belum = saudara belum layak untuk komen.

Uthaya Sankar SB said...

Salam. Pendedahan yang menarik! Ikuti juga hujah di blog saya berhubung kontroversi Interlok.

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih tuan utaya