Tetamu Kehormat...

January 19, 2011

Karpal Singh "Dibelasah" Lagi

"Pukulan" Wee Choo Keong kepada Karpal Singh sangat bisa rasanya. Dalam minggu ini, Karpal merupakan individu yang diserang dari semua arah dan penjuru. Kisah lama Karpal yang mahu mengheret Anwar Ibrahim ke mahkamah kerana terlibat dengan seks songsang semakin membuka mata rakyat bahawa parti tersebut sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi dalam politik Malaysia. Baca hujah Wee Choo Keong di bwah : KUALA LUMPUR 18 Jan. – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, menggelar Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai ‘harimau penakut’ kerana tidak berani mempertahankan prinsip mengenai bukti perlakuan seks songsang anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sambil turut menyifatkan Karpal ibarat `seekor harimau lidah bercabang’, Choo Keong berkata, walaupun Karpal pernah mendakwa mempunyai bukti mengenai aktiviti songsang bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kini, peguam veteran tersebut sanggup membela Anwar, malah menuduh pihak yang mahu dirinya di sepina sebagai tidak faham undang-undang.

Pada masa yang sama, jelas Choo Keong, Karpal juga sanggup membuat ‘pusingan U’ dengan mengeluarkan kenyataan seolah-olah ‘bersetuju’ dengan pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (pada 1997) yang menolak desakannya supaya Anwar disiasat. Sedangkan, menurut wakil rakyat Bebas tersebut, Karpal sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan pendirian Dr. Mahathir dan ia terbukti apabila gesaan supaya Anwar disiasat dan dipecat kemudian dibawa ke Dewan Rakyat selepas bekas Perdana Menteri itu menolak gesaan awal DAP.

“Dr. Mahathir menolak gesaan itu kerana menyifatkan ia sebagai bermotif politik pada 23, 24 dan 25 Ogos 1997 sebelum disusuli dengan pendirian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah pada 3 September tahun yang sama. “Karpal yang tidak berpuas hati kemudiannya membawa isu aktiviti seks songsang ini ke Dewan Rakyat pada 22 Oktober 1997 dan mendedahkan bahawa dia mempunyai bukti. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan pendirian kerajaan pada masa itu.

“Kemudian pada awal 1998 ketika sesi ceramah DAP di Hotel Federal, Karpal sekali lagi dengan bangganya mendakwa bukti Anwar memang terlibat dengan aktiviti homoseksual berada dalam tangannya,” kata Choo Keong dalam blognya, http://weechookeong.wordpress.com. Choo Keong mengulas pengakuan Karpal semalam, bahawa beliau memang ada membuat desakan pada 1997 agar kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Anwar atas dakwaan terbabit dengan kegiatan meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Dalam pengakuan itu, Karpal berkata, Dr. Mahathir, Mohtar dan Rahim menolak desakannya pada 1997 supaya Anwar disiasat dan dipecat kerana menganggap pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi DAP itu sebagai tidak benar dan bermotifkan politik. Karpal juga menambah, beliau hanya membantu Anwar selepas diminta oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 iaitu selepas dia dipecat daripada Kabinet dan juga UMNO sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan.

Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, jika Karpal menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang membebaskan Anwar sebagai asas untuk mengetuai pasukan peguam bela, Pengerusi DAP itu juga perlu mengakui bahawa ketua pembangkang itu memang meliwat. Ini kerana tegasnya, penghakiman oleh Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad pada 2004 mengesahkan bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan mahkamah sendiri cenderung percaya bahawa kejadian itu berlaku di Tivoli Villa, cuma wujud percanggahan teknikal terhadap bukti yang ada.

Abdul Hamid dipetik sebagai berkata: “Kami mempunyai bukti bagi mengesahkan perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung percaya bahawa kejadian berlaku di Tivoli Villa tetapi mahkamah hanya akan menyabitkan perayu dengan kesalahan yang dituduh jika bukti melangkaui keraguan munasabah”.

No comments: