Tetamu Kehormat...

January 21, 2011

Isu Semakin Ramai Wakil Rakyat Meninggal Dunia : Najib Digesa Segerakan PRU Ke-13 ?

1. Mungkin ada kebenaran dalam tulisan terbaru saudara JEFRI ZACHARIAH dari Malaysia-Intinct berhubung begitu kerapnya Pilihan Raya kecil di negara ini. Kebanyakan pilihan raya kecil yang diadakan ini adalah akibat daripada kematian wakil rakyatnya yang mengidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Mungkin sesuatu harus dilakukan sebelum seseorang itu boleh dicalonkan sebagai wakil rakyat. Pada hari ini faktor kesihatan semakin diberi perhatian. Kesihatan yang baik, bermakna kita boleh bertugas dengan baik juga - itulah falsafahnya. Pada saya wakil rakyat juga tidak terlepas dalam hal ini. Baca rencana menarik Jefri Zachariah di bawah ini :

2. BELUM PUN BERMULA penamaan calon untuk pilihan raya kecil DUN Tenang, negara dikejutkan pula dengan pemergiaan ke rahmatullah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pukul 8.10 malam tadi akibat serangan jantung. Maknanya akan ada satu lagi pilihan raya kecil. Betul, perkara 'by election' sejak akhir-akhir ini menjadi bahan lawak di kedai-kedai kopi, malah sudah ada suara nakal yang mahu Guiness Book Of Record menyenaraikan Malaysia sebagai negara paling banyak pilihan raya! Sejujurnya, saya tidak melihat ini sebagai satu beban untuk kerajaan, tetapi saya melihat ia lebih kepada tanggung jawab yang harus dipikul dan dilaksanakan demi menghormati konsep demokrasi itu sendiri.

3. Cuma saya rasa, sudah tiba masanya kita melihat kembali kriteria seseorang yang ingin bertanding dalam satu-satu pilihan raya. Selama ini kita cukup menitikberatkan latar belakang seseorang calon seperti kelayakan akademiknya, sejauh mana pengalaman politiknya, sejauh mana sokongan yang diterimanya, tetapi kita langsung tak pernah mengambil kira, adakah dia CUKUP SIHAT untuk menjalankan tugas sekiranya dipilih? Benar, kalau nak cari calon yang sihat dan bebas penyakit, saya berani kerat jari, hampir kesemua wakil rakyat yang ada sekarang mempunyai sejarah kesihatan mereka yang tersendiri. Bukan, bukan itu maksud saya. Maksud saya, kita perlu mengambil kira faktor kesihatan seseorang calon pilihan raya dengan MEWAJIBKAN pemeriksaan kesihatan atau 'medical check up' ke atas mereka yang hendak bertanding.

4. Ini bukan bermakna mereka tidak boleh bertanding sekiranya ada penyakit jantung sebagai contoh, tetapi mereka mestilah telus supaya para pengundi dapat lebih gambaran mengenai status seseorang calon yang mereka hendak undi. Saya yakin, pengundi tak kira sama ada calon itu ada darah tinggi ke, sakit jantung ke...kalau dah suka, mereka mesti pilih. Namun sekurang-kurangnya pengundi tahu, wakil rakyat mereka ini ada penyakit tertentu jadi mereka akan lebih bersedia sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini pada wakil rakyat mereka itu. Idea ini mungkin tak masuk akal, tetapi sampai bila kita sanggup melihat lepas satu, satu wakil rakyat kita meninggal dunia begitu saja

5. Memanglah hidup mati bukanlah urusan kita, tetapi sebagai manusia yang dikurniakan fikiran, apa salahnya kita berikhtiar. Bayangkan, macam mana nak jadi wakil rakyat yang baik sekiranya diari hariannya penuh dengan temujanji di klinik dan hospital? Bagaimana nak jadi wakil rakyat yang efisyen sekiranya asyik keluar masuk wad? Kalau 'medical check up' wajib untuk seseorang yang hendak masuk bekerja di tempat baru, apa salahnya jika SPR juga menetapkan 'mecial check up' wajib untuk mereka yang hendak bertanding? Kita kena ingat, tugas jadi wakil rakyat ini memang mencabar...bukan saja mental tetapi juga mencabar dari segi fizikal. Memang, ramai yang bimbang buat 'medical check up'

6. Ramai yang risau jika keputusannya kelak menunjukkan mereka menghidap penyakit tertentu. Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas kerana lebih cepat sesuatu penyakit dikesan, lebih baik supaya kita boleh mendapatkan rawatan sewajarnya dengan segera. Kaedah rawatan lebih mudah dan murah jika penyakit masih di peringkat awal. Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya pemeriksaan kesihatan sedangkan mereka berasa cukup sihat?

7. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan. Pemeriksaan kesihatan adalah kaedah untuk mengesan penyakit sebelum gejala penyakit muncul dan mengenalpasti punca sekiranya ada sebarang tanda tidak normal. Ini kerana ada banyak penyakit terutama penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kanser yang bersarang dalam diam; gejala hanya muncul apabila penyakit sudah teruk.

8. Penyakit jantung, strok dan kanser adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian. Banyak masalah kesihatan dan penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian awal sebenarnya boleh dicegah. Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, kita bukan saja mengetahui status kesihatan diri sendiri malah meningkatkan kesedaran terhadap penyakit, faktor risiko, jenis rawatan dan bentuk sokongan yang ada jika disahkan menghidap penyakit tertentu. Apapun ini cuma cadangan saya, tak semesti betul dan pada masa yang sama, tak semestinya salah. Tepuk dada tanya selera (tapi wakil rakyat yang ada sakit jantung tolong jangan tepuk dada, ada yang terpaksa dikejarkan ke IJN pula nanti!).

1 comment:

blogenstarz said...

ALLAH maha mengetahui apa yang terbaik untuk Malaysia !