Tetamu Kehormat...

May 27, 2010

Maafkan Saya....KJ


Maafkan Saya...KJ


Belum terlewat kirasanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Khairy Jamaluddin atas kejayaan beliau menamatkan kursus asas ketenteraan - bahkan beliau juga turut diumumkan sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan dan Peserta Terbaik Akademik. Saya melihat apa yang telah dilakukan oleh Khairy ini sebagai perbuatan yang baik dan patut dicontohi oleh generasi muda. Malah, tidak keterlaluan rasanya jika saya memuji kehebatan khairy tatkala melihat beliau berpakaian segak dengan uniform tentera - benar-benar memiliki kelasnya yang tersendiri. Syabas Khairy!


Maka - hari ini, adalah hari yang sangat saya nanti-nantikan. Menjadi bukti kepada semua penyokong Khairy sesungguhnya Khairy Jamaluddin sememangnya pintar dan selayaknya beliau menjadi penjawat awam, seperti mana pelajar-pelajar pintar yang lain. Dunia politik terlalu kotor untuk anda. Anda sama-sekali tidak mempunyai seni berpolitik di samping ketumpulan karisma dan ketokohan sebagai seorang ahli politik yang sejati. Secara ikhlas, biarlah saya berterus-terang kepada saudara Khairy yang saya kasihi.


Sesungguhnya, saudara seorang yang pandai, terimalah hakikatnya ini dan kepandaian saudara itu sepatutnya digunakan dalam sektor awam. Dengan kata lain sebagai penjawat awam. Bidang pekerjaan yang sesuai untuk saudara adalah seperti Pegawai Tentera, Pegawai Tadbir dan Diplomatik atau setidak-tidaknya sebagai seorang pensyarah. Anda tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu. Cukuplah dengan apa-apa yang telah berlaku sewaktu bapa mertua saudara menjadi Perdana Menteri. Dan sekarang - Pemuda UMNO semakin lemah dan lesu. Perpecahan yang berlaku akibat daripada nafsu politik saudara yang terlalu besar dalam politik UMNO - menyebabkan UMNO semakin nazak. Cukuplah, wahai saudaraku Khairy. Saudara telah buktikan bahawa saudara layak untuk menjadi seorang tentera yang baik dan berdedikasi. Sesungguhnya, dunia ketenteran di Malaysia tidak sabar-sabar menanti insan seperti saudara. Tidak mustahil pada satu hari nanti saudara mampu bergelar Jeneral.


Justeru itu, saya dengan rendah diri, memohon kepada saudara agar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan segerlah menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) - bakat anda terselah sebagai seorang tentera yang berjiwa patrotisme. Saya percaya, kerajaan Malaysia tiada masalah untuk melantik saudara terus ke pangkat Mejar, dengan syarat saudara tinggalkan politik dan berbaktilah sepenuh masa untuk negara. Percayalah, saudara tidak mempunyai bakat seorang politik, sebaliknya saudara mempunyai bakat yang sangat terserlah sebagai seorang tentera, ahli akademik atau pun sebagai PTD. Mohon, saudara tinggalkan jubah politik UMNO segera. Dan saya percaya ahli-ahli Pemuda UMNO akan bersyukur dalam hal ini. Maafkan saya jika saya berterus-terang dengan nada yang mungkin kurang enak untuk didengar. Wallahualam.

May 26, 2010

Siapa yang Bersalah?


Siapa yang Bersalah?


Saya memetik sebuah tulisan dari blog The Kelantan Insider yang patut kita renungkan berhubung isu pergolakkan dalaman Istana Kelantan. Sama-sama kita fikirkan.


Sesungguhnya sebelum ini kami di the Kelantan Insider, sebagaimana ramai rakyat Kelantan lainnya, amat menghormati Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Universiti 'Ain Syams, Universiti Al-Azhar, Universiti Kent dan Universiti Malaya, apa lagi dengan jawatan-jawatan beliau sebagai bekas Pengarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya dan sebagai Timbalan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tidak cukup dengan itu, beliau juga merupakan menantu kepada bekas Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Mohd Nor Ibrahim, di samping turut merupakan penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah pada 26 Februari 2010.

Bagaimanapun, penghormatan tinggi kami dan ramai rakyat Kelantan lainnya ke atas Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi terhakis teruk lantaran tulisan beliau di dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada hari ini bertajuk “Che Puan, bersabarlah” yang kandungannya sangat mengejutkan dan sangat bertentangan dengan tahap keilmuan yang dimiliki oleh beliau.

Pertamanya, sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi sepatutnya mengetahui bahawa apa yang diperkatakan oleh beliau itu tidak sepatutnya diperkatakan di dalam satu forum terbuka kerana ia merupakan satu perkara yang subjudice dan boleh mengganggu proses perbicaraan yang sedang berjalan di mahkamah syariah. Beliau sepatutnya dapat bersabar untuk menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah syariah sebelum memberikan sebarang pandangan kepada umum.

Apabila Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi memperkatakan mengenai perkara yang masih dibicarakan di mahkamah syariah, maka gambaran yang kita dapat di dalam fikiran kita ialah bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai keyakinan ke atas proses kehakiman di mahkamah syariah. Lebih malang lagi, tindakan beliau ini memberi gambaran kepada kita bahawa beliau seolah-olah mahu mengajar rakyat supaya tidak menghormati proses kehakiman di mahkamah syariah. Tawaran terbuka beliau di dada akhbar untuk menjadi orang tengah bagi menjernihkan suasana dengan menyatakan kesediaan untuk menemui peguam kedua-dua belah pihak yang bertelagah, walaupun mungkin mempunyai niat yang baik, adalah suatu perkara yang jelas tidak betul. Tawaran ini tidak sepatutnya dibuat oleh beliau kerana ia menunjukkan bahawa beliau seolah-olah tidak yakin dengan, dan mahu mengambil-alih peranan, hakim mahkamah syariah sedangkan beliau jelas tidak mempunyai sebarang kuasa atau mandat untuk berbuat demikian.

Kami di the Kelantan Insider sebenarnya tidak berniat untuk mengulas perkara ini kerana sebodoh-bodoh kami pun kami mengetahui bahawa perkara yang masih di dalam proses perbicaraan di mahkamah syariah tidak sepatutnya diperkatakan di dalam satu forum terbuka. Walaupun begitu, disebabkan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi telah dengan beraninya memperdagangkan martabatnya untuk memperkatakannya maka kami juga akan turut dengan beraninya memperkatakan perkara yang sama walaupun hanya di dalam konteks mengulas apa yang beliau perkatakan sahaja.

Kepada Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi, kami di the Kelantan Insider tetap mengalu-alukan hasrat anda untuk menjadi orang tengah walaupun ia jelas sekali tidak kena pada tempatnya. Walaupun begitu, jika anda betul-betul mahu menjadi orang tengah, anda hendaklah terlebih dahulu membuktikan keupayaan anda untuk bersifat adil kepada kedua-dua belah pihak. Tanyalah diri anda sendiri, adilkah namanya untuk anda memberi pandangan dan membuat kesimpulan mengenai sesuatu perkara dengan hanya menemui pihak yang tertentu sahaja tanpa menemui pihak yang lain? Sekiranya anda dapat beberapa kali menemui DYMM Raja Perempuan Kelantan mengapakah anda langsung tidak berusaha untuk menemui Cik Puan Elia Suhana bagi membolehkan anda melihat perkara ini dari perspektif yang lain pula?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Gesaan anda agar semua pihak menghormati "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan dan tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan mereka sangatlah kami di the Kelantan Insider hormati. Walaupun begitu, gesaan anda ini sebenarnya menimbulkan satu persoalan yang besar bagi kami yang tidak dapat memahami apakah yang anda cuba maksudkan melaluinya. Apakah anda sudah lupa apa yang telah anda sembahkan kepada YMM Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sewaktu anda bersama-sama 12 lagi ahli Jawatankuasa Ulama’ Negeri Kelantan menghadap Baginda pada pukul 10.30 malam 3 Mac 2010 di Hotel Grand Hyatt, Singapura? Apakah anda juga sudah lupa apa yang telah anda kemukakan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Ulama’ Negeri Kelantan pada 4 April 2010 yang lalu? Jika anda memang sudah benar-benar berubah fikiran, apakah yang menyebabkan anda menjadi sedemikian rupa? Apakah ia berpunca dari tawaran jawatan Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan yang dikemukakan oleh pihak tertentu (yang sebenarnya tidak lagi mempunyai kuasa untuk berbuat demikian) kepada anda baru-baru ini? Sebagai seorang ilmuan Islam, anda tidak boleh bersikap “melempar batu sembunyi tangan”. Jika anda betul-betul ikhlas dan berani, kami mencabar anda untuk tidak bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga, sebaliknya silalah dedahkan apa yang sebenarnya sedang berlaku kepada rakyat jelata. Sebagai seorang ilmuan Islam, apakah anda tidak percaya kepada qadha’ dan qadar Tuhan? Pernahkah anda menyelami hati sanubari YMM Pemangku Raja Kelantan serta mendengar rintihan Baginda di atas segala apa yang berlaku sekarang? Jika anda ingin menjaga nama baik dan maruah KDYMM Tuanku Ismail Petra, maka YMM Pemangku Raja Kelantan sebagai anak sulung Baginda lebih-lebih lagilah mempunyai hasrat sebegitu. Ingatlah, anda hanyalah mata yang memandang tetapi YMM Pemangku Raja Kelantan adalah bahu yang memikul.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah pula anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya menjadi punca mengapa "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan tidak lagi dihormati? Begitu juga, jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah juga anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan mereka?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Kami di the Kelantan Insider juga dapat menerima kenyataan anda bahawa melibatkan raja yang memerintah dengan mahkamah adalah suatu tindakan yang terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu. Walaupun begitu, jika sekalian rakyat jelata dapat melihat dengan jelas apa yang sebenarnya sedang berlaku di dalam Istana Kelantan pada waktu ini, maka mengapakah pula anda yang berilmu tinggi ini menjadi begitu buta untuk melihat bahawa diri atau kumpulan yang anda sokong secara membabi-buta inilah yang sebenarnya melakukan suatu tindakan yang bukan sahaja terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu malah mendedahkan Sultan Kelantan, KDYMM Tuanku Ismail Petra, kepada keaiban di kalangan rakyat jelata?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 365)” bahawa perceraian merupakan tindakan halal yang paling dibenci oleh Allah dan bahawa, berasaskan kedudukan ini, perceraian perlu dilakukan dengan adil dan para suami seharusnya tidak bersifat keterlaluan dalam menggunakan haknya itu. Tanyalah diri anda sendiri, apakah tidak mengaibkan kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra sebagai ketua agama Islam di negeri Baginda untuk didakwa oleh pihak ketiga sebagai bersifat keterlaluan dalam menggunakan hak Baginda apabila Baginda digambarkan kepada rakyat jelata sebagai tergamak untuk menceraikan isteri kedua Baginda dengan talak tiga? Tanyalah diri anda sendiri juga, sekiranya mahkamah syariah memutuskan bahawa lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh Baginda ke atas isteri kedua Baginda itu adalah sah, maka apakah tidak lebih mengaibkan lagi kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra sebagai ketua agama Islam di negeri Baginda untuk berhadapan dengan kemungkinan didakwa di bawah enakmen jenayah syariah negeri Baginda sendiri di atas kesalahan menceraikan isteri kedua Baginda ini di luar dan tanpa mendapat kebenaran mahkamah syariah?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda juga menggesa Cik Puan Elia Suhana menangguhkan dulu hasrat beliau untuk melawat KDYMM Tuanku Ismail Petra sehingga kes dakwaan cerai oleh Baginda selesai dibicarakan kerana “mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri”. Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada akhiran sebuah hadith yang telah dikeluarkan oleh Muslim yang bermaksud: Dan jika mengenai akan dikau oleh suatu kemudaratan atau luput faedah maka janganlah engkau berkata “kiranya aku perbuat begini nescaya jadi ia begini begini” dan tetapinya kata olehmu “telah ditakdirkan oleh Tuhan dan apa yang dikehendaki oleh Tuhan berlaku ia” kerana bahawasanya kata engkau (kiranya atau jikalau atau kalau atau jika) itu membukakan amalan syaitan seperti menyesal hati atas yang luput atau berdukacita atau lainnya.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada kandungan sepotong ayat al-Qur’an yang bermaksud: Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Surah Yunus: Ayat 36)

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sewaktu anda menyebut perkataan “kalau-kalau” ini juga, apakah anda sebagai seorang ilmuan Islam sudah lupa kepada kandungan sepotong lagi ayat al-Qur’an yang bermaksud: Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). (Sural al-Najm: Ayat 28)

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sesungguhnya kami di the Kelantan Insider berpendapat bahawa pandangan anda di atas, sekiranya diguna pakai, mempunyai potensi yang besar untuk menimbulkan kecelaruan, kekecohan dan kehuruharaan di dalam masyarakat kerana ia dengan sekaligus membuka ruang untuk penganiayaan dilakukan ke atas mana-mana pasangan suami isteri beragama Islam. Sesiapa sahaja yang menyimpan perasaan hasad dengki boleh memisahkan mana-mana pasangan suami isteri beragama Islam ini dengan membuat aduan di mahkamah syariah bahawa beliau mendengar si suami melafazkan cerai ke atas si isteri kerana, berdasarkan kepada pandangan anda di atas, sebelum mahkamah syariah memutuskan kesahihan lafaz cerai tersebut maka pasangan suami isteri beragama Islam ini sudah tidak lagi mempunyai hak sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri. Apakah tidak benar bahawa hak seseorang sebagai seorang suami atau sebagai seorang isteri kekal sehingga mahkamah syariah memutuskan bahawa lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh si suami ke atas si isteri adalah sah dan perceraian telah berlaku?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Jika sekalipun dakwaan cerai oleh KDYMM Tuanku Ismail Petra ini benar, apakah anda benar-benar percaya bahawa adalah menjadi satu kesalahan dari segi hukum dan budaya untuk Cik Puan Elia Suhana beserta rombongan beliau melawat Baginda yang masih lagi berada di dalam kegeringan?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda menyebut mengenai betapa lawatan yang tidak dijemput ke Istana Mahkota Kelantan oleh Cik Puan Elia Suhana itu merupakan tindakan di luar budaya dan kesopanan Melayu serta menyalahi kehendak agama yang mahukan kita meminta izin terlebih dahulu sebelum kita bertandang kerana Istana Mahkota Kelantan merupakan “kediaman persendirian yang tidak boleh diceroboh kalau tidak dibenarkan masuk”. Kami di the Kelantan Insider dengan ini mengakui bahawa tanah tapak Istana Mahkota Kelantan pada waktu ini telah didaftarkan di atas nama DYMM Raja Perempuan Kelantan. Walaupun begitu, kami juga berpendirian bahawa Istana Mahkota Kelantan tidaklah boleh dikatakan sebagai “kediaman persendirian” sepenuhnya kerana banyak dana dan harta kerajaan yang telah ditumpahkan di situ, apatah lagi apabila kebanyakan daripada kakitangan yang bertugas di situ juga adalah kakitangan kerajaan. Sekali lagi ingin kami tegaskan di sini bahawa, sebagai seorang Sultan, KDYMM Tuanku Ismail Petra bukanlah sekadar menjadi milik peribadi sesiapa sahaja kerana Baginda juga sebenarnya adalah menjadi milik seluruh rakyat jelata. Selaras dengan itu, maka ruang yang luas sepatutnya diberikan bukan sahaja kepada pakar-pakar perubatan mahupun para pembesar negeri dan negara tetapi juga kepada seluruh rakyat jelata untuk menziarahi Baginda dari masa ke semasa. Untuk itu, sukalah kami mencadangkan agar Baginda tidak lagi ditempatkan di apa yang dikatakan sebagai “kediaman persendirian” ini dan sebaliknya dipindahkan ke “kediaman kerajaan” sepenuhnya tanpa mengira sama ada ia adalah Istana Negeri, Istana Balai Besar atau Istana Kota Lama.

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Sesungguhnya, kami di the Kelantan Insider tidak dapat memahami mengapa anda sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah lebih banyak mengasaskan gesaan anda supaya Cik Puan Elia Suhana Suhana menangguhkan dulu hasrat beliau untuk melawat KDYMM Tuanku Ismail Petra kepada keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu sedangkan anda sepatutnya mengasaskannya kepada keperluan untuk mematuhi syariah. Ingin sekali kami mengemukakan satu pertanyaan kepada anda: Yang mana satukah pada pandangan anda lebih perlu diberikan keutamaan oleh orang Melayu-Islam di antara keperluan untuk mematuhi perintah mahkamah syariah dan keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 281-282)” mengenai betapa Fasal 8 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 memperuntukkan bahawa sesiapa yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana perempuan bersuami atau mana-mana lelaki beristeri supaya bercerai atau mengingkari kewajipan atau tanggungjawab di antara satu sama dengan yang lain adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, tidakkah anda terfikir bahawa kewajipan anda adalah untuk memperkatakan mengenai perkara sebegini berbanding dengan untuk memperkatakan mengenai keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Anda juga pernah menyebut di dalam buku anda yang bertajuk “Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah Di Malaysia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, halaman 274 dan 354-355)” mengenai betapa Seksyen 97(b) Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983 memperuntukkan bahawa seseorang yang memaksa seseorang lain berkahwin tanpa persetujuannya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali kerana kesalahan ini adalah jelas berasaskan larangan menceroboh hak serta kebebasan orang lain sebagaimana yang terdapat dalam al-Qur’an. Sebagai seorang tokoh ilmuan yang memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah, tidakkah anda terfikir bahawa kewajipan anda adalah untuk memperkatakan mengenai perkara sebegini berbanding dengan untuk memperkatakan mengenai keperluan untuk menghormati budaya dan kesopanan Melayu?

Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi,
Harap maaf, tetapi sesungguhnya tulisan anda di dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia pada hari ini bertajuk “Che Puan, bersabarlah” membuatkan kami di the Kelantan Insider, sebagaimana ramai rakyat Kelantan lainnya, tidak lagi menghormati anda sebagai seorang tokoh ilmuan walaupun anda memperolehi kelulusan yang tinggi di dalam bidang syariah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Universiti 'Ain Syams, Universiti Al-Azhar, Universiti Kent dan Universiti Malaya, walaupun anda pernah menjadi Pengarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya dan kini menjadi Timbalan Dekan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, walaupun anda juga merupakan menantu kepada bekas Mufti Kerajaan Kelantan, iaitu Dato’ Mohd Nor Ibrahim, dan walaupun anda turut merupakan penerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah pada 26 Februari 2010.

Kepada Cik Puan Elia Suhana pula, kami di the Kelantan Insider sangat menghargai pengorbanan anda meletakkan jawatan sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan semata-mata untuk berkongsi kehidupan dengan KDYMM Tuanku Ismail Petra. Selaku isteri Baginda, anda sesungguhnya mempunyai taraf yang tinggi di sisi rakyat jelata, tetapi apabila taraf tinggi anda ini tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu maka biarlah pihak peguam dan pembantu peribadi anda sahaja berurusan dengan mereka. Selain itu, berbincanglah juga dengan Pengelola Istana Diraja mengenai cara terbaik untuk menangani perkara ini. Harap anda dapat bersabar buat sementara waktu. Percayalah, Allah tetap akan bersama dengan orang-orang yang benar.

Semoga Kelantan dan segala penghuninya sentiasa berada di dalam peliharaan Allah.

Bersama-sama ini disertakan tulisan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi yang berkaitan:

Che Puan, bersabarlah
Utusan Malaysia
25 Mei 2010

SEMUA pihak digesa agar menghormati "kesendirian" (privacy) Istana Kelantan dan tidak cuba mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku sekarang untuk tujuan kepentingan diri atau kumpulan.

Meskipun Raja-Raja Melayu di Malaysia merupakan raja berperlembagaan, namun istana mereka dikawal oleh tradisi dan budaya yang tersendiri, yang tidak sama dengan tradisi dan budaya yang mengawal istana dan raja-raja di negara-negara lain, misalnya di England.

Melibatkan raja yang memerintah dengan mahkamah, meskipun daripada aspek tertentu perundangan merupakan sesuatu yang mungkin boleh dilakukan, namun dari segi tradisi dan budaya ia adalah suatu tindakan yang terpelanting jauh daripada adat dan tatasusila bangsa Melayu.

Merujuk keputusan penyemakan kes hak melawat suami oleh Che Puan Elia Suhana oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, suka saya memberi pendapat bahawa berasaskan hukum dan budaya Che Puan perlu menangguhkan dulu acara lawatan berkenaan sehingga kes dakwaan cerai oleh Tuanku Ismail Petra selesai dibicarakan.

Mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri.

Dalam syariat Islam, talak akan jatuh sebaik saja dilafazkan. Walaupun undang-undang keluarga Islam Kelantan mengatakan ia mesti disahkan oleh mahkamah kalau ia dijatuhkan di luar mahkamah tetapi undang-undang juga tidak menafikan bahawa talak seperti itu berlaku dari segi agama.

Memaksa istana untuk menerima lawatan beliau dalam keadaan seperti ini membangkitkan berbagai implikasi, termasuk hukum, budaya dan malah mungkin undang-undang sendiri.

Saya berpendapat, mahkamah yang memutuskan semakan itu tidaklah berniat untuk memaksa Istana Mahkota Kelantan menerima Che Puan masuk mengadap Tuanku, kerana Istana tersebut adalah tempat bersemayam Tuanku dan Permaisuri Baginda dan merupakan kediaman persendirian yang tidak boleh diceroboh kalau tidak dibenarkan masuk, apa lagi untuk mengatakan menghalang kemasukan Che Puan untuk mengadap Baginda.

Orang biasa pun mempunyai hak untuk mempertahankan kediaman masing-masing dari dimasuki oleh orang yang mereka tidak suka.

Ternyata sekali lawatan yang tidak dijemput ke Istana Mahkota Kelantan itu merupakan tindakan di luar budaya dan kesopanan Melayu dan sepatutnya dielakkan agar semua pihak dapat menjaga maruah masing-masing.

Dari segi agama juga mungkin ada persoalan yang timbul, kerana dari segi agama sebelum kita bertandang perlu meminta izin terlebih dahulu.

Saya bersedia untuk bertemu para peguam bagi kedua-dua belah pihak bagi membincangkan perkara tersebut agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.

Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar dapat diselesaikan dengan saksama berdasarkan hukum dan adat Melayu.

Sebagai seorang rakyat Negeri Kelantan saya rasa berkewajipan untuk memberi pandangan ini dan mengharapkan ia mendapat perhatian semua pihak agar maruah Istana dan Raja-raja Melayu dapat diselamatkan.

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
Kuala Lumpur


May 20, 2010

Judi Bola Sepak 2010 : The World Is Not Enough


Judi Bola Sepak 2010
The World Is Not Enough

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung menjelaskan, lesen itu bukanlah lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada syarikat berkenaan.

"Syarikat itu pernah menerima lesen tersebut pada 1987 tetapi telah memulangkannya kembali kepada kerajaan pada tahun 1990 kerana pada masa tersebut tidak ramai yang berminat untuk bertaruh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Kementerian Kewangan telah bersetuju mengeluarkan lesen pertaruhan itu kepada Berjaya Group semalam.

Chee Heung berkata, memandangkan banyak kes perjudian secara haram dilaporkan pada masa ini, syarikat berkenaan telah membuat permohonan untuk mendapatkan kembali hak penganjuran pertaruhan Piala Dunia 2010 dalam keadaan yang terkawal.

"Setelah diteliti, kerajaan telah menimbangkan permohonan ini agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, beberapa garis panduan telah diberikan kepada syarikat tersebut untuk dipatuhi antaranya hanya 200 cawangan pusat perjudian di seluruh Semenanjung dibenarkan menganjurkan pertaruhan itu dan tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Selain itu Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

"Kesemua cawangan diwajibkan untuk meletakkan papan kenyataan yang mengatakan orang Islam tidak dibenarkan membeli tiket pertaruhan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kajian yang dibuat kerajaan mendapati negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan Australia turut bersetuju supaya pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 diadakan secara terbuka agar kegiatan perjudian haram tidak bermaharajalela.

"Cukai yang dikutip daripada pertaruhan itu boleh digunakan untuk membangunkan bidang sukan tertentu di negara ini malah digunakan untuk kerja-kerja amal yang bersesuaian," jelasnya.


Ulasan Saya


Ramai dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO sangat kecewa dengan keputusan kerajaan berhubung isu meluluskan lesen judi bola sepak kepada Berjaya Group baru-baru ini. Walauapa pun alasannya - kerajaan sama sekali tidak harus meluluskan lesen tersebut. Selain daripada faktor judi itu sememangnya haram di sisi Islam, ia juga memberi implikasi yang sangat buruk terhadap imej, maruah dan prinsip perjuangan UMNO yang mengimpikan perubahan.

Rakyat, khsusunya ahli UMNO menolak keputusan ini bukanlah bersandarkan faktor politik semata-mata - bahkan bagi saya, penolakannya utamanya adalah kerana Islam itu sendiri mengharamkan segala bentuk aktiviti judi. Apatah lagi - keputusan memberi lesen judi bola sepak ini pasti ditafsirkan sebagai permulaan untuk menghalalkan perbuatan haram yang lain atas nama undang-undang pencegahan dan pengawalan.

Saya dan rakan-rakan blogger yang cintakan kebenaran - memohon kepada kerajaan agar segera menarik balik kelulusan tersebut. Selain daripada isu ini bakal dipolitikkan oleh PAS, ia juga secara tidak langsung merosakkan imej dan sokongan rakyat kepada UMNO. Wallahualam.

May 18, 2010

PAS 2010 : Jasad Tanpa Kulit


PAS 2010
Jasad Tanpa Kulit



1. Apabila Nik Aziz menghalalkan nama Allah digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh masyarakat kafir khususnya DAP, serta menolak hujah yang diberikan oleh Dr. Haron Din dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani - maka tidak ada seorang pun ahli PAS yang kononnya mengaku cerdik dan bijak pandai membantah kenyataan celupar Nik Aziz tersebut.


2. Bahkan - tanpa segan dan silu ahli-ahli PAS bersekongkol pula dengan Nik Aziz bagi menghalalkan kalimah Allah untuk digunakan oleh kaum kafir dengan sesuka hati mereka. Nampaknya, segala keilmuan Haron Din dan Mufti Perak tidak ada maknanya kepada para penyokong PAS yang sangat taasub kepada Nik Aziz. Walaupun sebelum ini Haron Din sudah memberi amaran keras kepada sesiapa yang menyokong penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Gereja Katolik boleh tergelincir imannya, tetapi para pemuja yang taasub kepada Nik Aziz langsung tidak mengendahkannya. Sebaliknya, menghalalkan pula perbuatan tersebut.


3. Malah, golongan ini mula mengalihkan perhatian kepada isu kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak kepada Berjaya Group - kita harus faham tidak semua ahli UMNO bersetuju dengan keputusan kerajaan tersebut, malah DS Khir Toyo pun mengkritik keputusan kerajaan berhubung isu ini. Saya juga - secara peribadi tidak bersetuju dengan kelulusan tersebut. Judi adalah jelas haramnya di sisi Islam, maka ia sama sekali tidak boleh dihalalkan melalui undang-undang dengan apa-apa cara sekali pun.


4. Namun demikian, dalam isu ini, sesungguhnya tidak ada dosa yang jauh lebih besar daripada mengizinkan kalimah Allah dipersenda-sendakan oleh orang kafir secara "rasmi" oleh seorang ulama yang bertaraf Tok Guru serta mempunyai pengikut yang ramai. Selain perbuatan tersebut adalah salah di sisi Islam, ia juga mengundang fitnah atas nama perjuangan Islam dan fitnah kepada semua ulama di Malaysia, seolah-olah mereka tidak bersepakat dalam soal ini. Padahalnya isu ini adalah jelas hukumnya di dalam Islam, cuma Nik Aziz sahaja yang tidak mahu menurutinya.


5. Lantaran itu, dalam hal ini antara dosa meluluskan lesen judi dengan mengizinkan nama Allah dipersendakan oleh orang bukan Islam - maka adalah jelas, dan terang lagi bersuluh sesungguhnya perbuatan mengizinkan nama Allah dipersendakan oleh kaum kafir seperti mana yang diizinkan oleh Nik Aziz merupakan dosa besar - dan silap haribulan iman kita boleh tergelincir dan terkeluar daripada Islam. Manakala jika seseorang pemimpin itu meluluskan lesen judi untuk orang kafir - tetapi hatinya tahu dan beriktikad sesungguhnya judi itu adalah haram di sisi Islam, maka dia berdosa kerana tidak patuh perintah Allah, namun imannya masih ada dan tidak terkeluar daripada Islam.


6. Sebaliknya - jika kita bersetuju dan menyokong agar orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah di dalam penerbitan majalah mereka serta mentafsir "God" sebagai Allah sebagai mana yang mereka fahami - maka kita secara tidak langsung telah mensyirikkan Allah, Subhanallah! Inilah dosa yang sangat besar apabila kita menyokong perbuatan tersebut beralaskan kepada nama sebuah perjuangan Islam.


7. Justeru itu, sudah jelas perbuatan Nik Aziz mengizinkan orang kafir menggunakan kalimah Allah merupakan perbuatan yang membawa fasad (kerosakan) yang sangat besar ke atas umat Islam di negara ini. Perbuatan tersebut tidak hanya mencemarkan maruah Islam, bahkan jauh lebih besar daripada itu boleh menyebabkan umat Islam mensyirikkan Allah tanpa sedar. Antara dosa berjudi, dosa memberi lesen judi dengan dosa menghalalkan kalimah Allah untuk dipersendakan oleh orang kafir - maka dosa mengizinkan kalimah Allah dipersendakan (tidak kira sama ada atas dasar kejahilan atau pun secara sengaja) adalah jauh lebih besar. Oleh itu, saya menyeru kepada penyokong-penyokong PAS agar fikir-fikirkan soal ini. Wallahualam.

May 17, 2010

Sibu 2010 : Apabila Masa Terhenti


Sibu 2010
Apabila Masa Terhenti


SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat.

"Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya. Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak, kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat. Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah.

"Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka, Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen. Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib.

"Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya. Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.


Ulasan Saya

1. Sejak kemenangan DAP di Sibu semalam - saya melihat golongan yang paling gembira dan bahagia ialah PAS. Mereka - seolah-olah melompat-lompat keriangan, tatkala melihat BN tumbang di Sibu. Malah, PAS seakan-akan mahu sahaja menjerit kegembiraan dengan menyanyikan lagu, "Kami Telah Membunuh Syaitan yang Besar". Inilah hakikat iman bagi manusia yang menjadikan politik dan demokrasi melebihi daripada perintah Allah dan Rasul-Nya.


2. Musuh umat Islam yang utama dijadikan rakan - manakala saudara seIslam sendiri dianggap seolah-olah seperti syaitan atau seperti manusia yang tidak beriman. Bukankah Allah sudah mengingatkan kita semua melalui firman-Nya di dalam surah al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang." Ayat ini sudah sangat jelas - sesungguhnya Islam tidak akan menang dan bangkit semula selagi kita meminggirkan orang-orang yang beriman. Dan sesungguhnya PAS sama sekali tidak akan berjaya menegakkan Islam melalui lidah para pemimpin DAP! PAS juga jangan bermimpi di siang hari kononnya Islam semakin baik dan diterima di bawah Pakatan Rakyat.


Ini semua pembohongan yang jijik dan sengaja dibuat atas nama perjuangan Islam. Apakah kita menyangka bahawa Islam akan menang dengan cara menjadikan DAP yang jelas menolak dan memusuhi Islam sebagai pembantu untuk menjatuhkan saudara semuslim kita? Apakah kita yakin sesungguhnya perjuangan kita diredhoi Allah apabila kita sanggup bersengkongkol dengan musuh Allah atas nama demokrasi dan peti undi bagi menghalalkan perbuatan kita menjatuhkan saudara seIslam kita sendiri? Apakah ini namanya perjuangan Islam tatkala kita sendiri mengetahui, sesungguhnya PAS di dalam Pakatan Rakyat, bersama DAP dan PKR langsung tidak mempunyai sedikit pun ruang dan peluang untuk melaksanakan Islam di negara ini? Tetapi, mengapa PAS masih terus berdegil dan bongkak?


Walaupun semua ahli PAS dan kepimpinan PAS tahu dan sangat arif, sesungguhnya adalah mustahil untuk mereka melaksanakan Islam (sama ada hudud, dll) di negara ini melalui kerjasama antara DAP dengan PKR. DAP dan PKR bukan parti Islam - mereka merupakan parti sekular yang menolak Islam.


Dalam surah Ali Imran ayat 28 pula Allah berfirman yang bermaksud :"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin. Barangsiapa berbuat sedemikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana muslihat yakni memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksa-Nya), dan hanya kepada Allah kamu dikembalikan." Soalnya sekarang, mengapa PAS mengambil DAP sebagai penolong/pemimpin serta meninggalkan orang-orang UMNO yang jelas beriman kepada Allah? Bukankah sudah jelas kekafiran DAP dan prinsip mereka terhadap Islam? Dan mengapa PAS masih mahu lagi bersama dengan DAP?



Dan di dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi wali (pembantu), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang, padahal mereka telah kafir (menyangkal) kebenaran yang datang kepadamu." Bukankah PAS tahu bahawa DAP begitu anti dengan hukum hudud dan negara Islam? Jadi mengapa PAS tetap berdegil untuk meneruskan kerjasama dengan DAP? Malah yang lebih pelik, mengapa PAS masih tetap mahu menjadikan DAP sebagai wali (pembantu) bagi menghancurkan saudara seagama (UMNO) semata-mata mahukan kuasa? Bukankah PAS tahu bahawa DAP telah menyangkal kebenaran yang terkandungan di dalam al-Quran dengan menolak hukum Hudud dan negara Islam? Jadi apakah alasannya lagi untuk PAS meneruskan hubungan kasih-sayangnya dengan DAP?



Dalam hal ini adalah jelas, selagi umat Islam menjadikan musuh Allah (kaum kafir) sebagai penolong untuk menegakkan kalimah tauhid, maka selagi itulah umat Islam akan gagal dan kecewa. Sehingga kini, tiada satu pun negara Islam yang berjaya menegakkan daulah Islamiyyah selagi mereka bersengkongkol dengan musuh Allah. Hal yang sama juga tidak terlepas daripada PAS, selagi PAS mengabaikan peringatan Allah ini, maka PAS harus bersiap sedia menggali lubang kuburnya sendiri.


Lantaran itu, bersoraklah penyokong-penyokong PAS atas kemenangan DAP di Sibu, "Hore, Hore, Hore, kita menang, kita menang - UMNO kalah", maka kita pun bergembira sakan melihat saudara sendiri berjaya ditumbangkan, lantas tergadailah Islam, ibu pertiwi dan bangsa sendiri, lantaran disebabkan kejahilan dan kebodohan kita memahami erti demokrasi, peti undi dan Islamisasi. Jangan kita tangisi apa-apa selepas ini, andaikata negara dan bumi tercinta kita bertukar tangan serta Islam yang kita laung-laungkan itu tergadai akibat daripada kebodohan dalam kita berjuang! Wallahualam.

May 12, 2010

Sibu 2010 : Ini Rasa Hati Saya


Sibu 2010
Ini Rasa Hati Saya


SIBU, 11 Mei (Bernama) -- Masyarakat Cina di sini memberi maklum balas kepada Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu, kata bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat. Meskipun hanya menyertai kempen semalam, Ong berkata beliau dapat merasai sokongan itu semasa melakukan tinjauan mesra di kawasan Cina di sini.

"Daripada maklum balas yang kami terima, ia memberi kami beberapa petunjuk siapa yang bersama-sama kami (BN) dan siapa yang tidak. Tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," katanya pada satu sidang akhbar selepas mengadakan dialog dengan para pengusaha lori, bas dan pemandu teksi di sini pada hari Selasa.

Beliau berkata masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan BN semasa tempoh berkempen bagi mendapatkan sokongan daripada pengundi Cina, yang merupakan 66.7 peratus pengundi di Sibu.

"Walaupun kami mungkin tahu kawasan "putih" dan "kelabu", kami masih memerlukan beberapa hari lagi untuk meyakinkan pemilih untuk mengundi calon BN dan menyangkal dakwaan parti pembangkang," kata beliau. Mengenai sesi dialog itu, Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata ia adalah inisiatif kementerian untuk mendengar masalah-masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi dan di Sibu, tindakan seumpamanya dilakukan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan sebelum ini, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Anggota Parlimen Sibu.

"Ia dilakukan bukan kerana Sibu sedang menghadapi pilihan raya kecil. Kami sentiasa peka dengan keperluan rakyat selama ini dan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya," kata beliau.

Semasa dialog itu, wakil-wakil persatuan membangkitkan beberapa permohonan dan menyuarakan masalah dihadapi semasa melakukan operasi mereka. Semalam, Ong mengadakan sesi dialog dengan kumpulan peniaga dalam industri maritim Sibu.

Pilihan raya kecil Sibu pada Ahad ini diadakan kerana kematian Lau pada 9 April akibat barah hati. Calon BN, Robert Lau Hui Yew, atau lebih dikenali sebagai Robert Lau Junior. Beliau akan berhadapan calon DAP Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron, pada pilihan raya kecil itu.

-- BERNAMA


Ulasan Saya

1. Saya mengingatkan kepada BN agar jangan terlalu mudah menerima laporan maklum balas daripada MCA berhubung sokongan padu penduduk Cina di Sibu terhadap Barisan Nasional menjelang pilihan raya kecil di kawasan tersebut tidak lama lagi. Hal ini adalah berpunca daripada sikap dan pendirian pengundi Cina terhadap BN dan Kerajaan masih benar-benar belum pulih.

2. Kita dapati - Isu kalimah Allah masih menjadi modal politik DAP di Sibu bagi menakut-nakutkan pengundi Cina kononnya BN/UMNO bersikap perkauman, anti-kristian dan anti-Cina. Kita tidak tahu sejauh mana isu ini mempengaruhi pola pengundian di Sibu - tetapi, jika BN tidak bijak menepis hujah-hujah DAP berkenaan isu ini, kita bimbang persepsi buruk bakal menimpa BN di Sibu.

3. BN disogokan dengan cerita kononnya masyarakat Cina di Sibu berbeza dengan masyarakat Cina di semenanjung - namun demikian, kita telah lupa - mereka hanya berbeza dari aspek geografi semata-mata, tetapi tidak berbeza dari aspek semangat, matlamat dan impian.

4. Ramalan awal saya berkenaan siapa yang bakal menang di Sibu adalah seperti berikut : BN Menang dengan majoriti undi sekitar 1500 - 2000 undi sahaja. Sekali gus menunjukkan sentimen berterusan penurunan undi, khususnya dalam kalangan masyrakat Cina di Sibu.

5. Namun demikian - keadaan mungkin berubah pada saat-saat akhir - andaikata strategi kempen BN berkesan ke atas masyarakat Cina di sekita Sibu, itu pun saya fikir tidak akan benyak mengubah keadaan. Saya percaya BN akan mengekalkan kerusi Parlimen Sibu - namun demikian majoriti undi yang diperoleh BN, saya kira, tidak melebihi 3000 undi. Wallahualam.

May 10, 2010

Menanti Kehancuran PKR


Menanti Kehancuran PKR

KULIM 10 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila kira-kira 1,700 ahlinya di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu malam tadi mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan mereka khususnya Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka yang keluar parti itu melibatkan ahli-ahli masyarakat India dari 10 cawangan PKR iaitu Jalan Kutta Raja, Paya Besar, Taman Saderi, Taman Makmur, Taman Mutiara, Taman Sg. Kob, Taman Ria dan Pekan Padang Serai dalam Parlimen Padang Serai.

Turut dibubarkan ialah PKR cawangan Kampung Padang Buluh dan Ladang Dublin Pusat di Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Seorang usahawan, Letchumanan Kattu Raja, 60, yang mengetuai kumpulan terbabit berkata, keputusan membubarkan PKR cawangan dan jawatankuasa terbabit dibuat serta-merta selepas mendapat mandat majoriti daripada ahlinya yang tidak lagi percaya dengan perjuangan PKR,

Katanya, kesemua yang meninggalkan parti akan menyertai MIC dan memberikan sokongan secara tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN). – Utusan


Ulasan Saya

1. Tidak lama lagi kita mungkin akan mendengar kenyataan daripada pemimpin-pemimpin PKR yang berbunyi seperti ini, "1 700 ahli PKR yang keluar parti itu, sama sekali tidak akan menjejaskan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, ia sedikit pun tidak memberi kesan kepada PKR."

2. Tidak kurang juga yang akan berkata, "Kita syak UMNO/BN telah memberi rasuah agar ahli-ahli PKR tersebut keluar parti".

3. Dan jangan terkejut jika ada kenyataan yang berbunyi, "Mereka yang keluar daripada PKR itu merupakan ahli-ahli PKR yang tidak berguna kepada parti - mereka lebih mementingkan wang ringgit daripada sebuah perjuangan."

Inilah wajah PKR yang tidak pernah mahu insaf dan bertaubat...

May 4, 2010

Abdullah Badawi 2010 : Masa Depan Yang Gagal Mendarat


Abdullah Badawi 2010
Masa Depan Yang Gagal Mendarat


KUALA LUMPUR, 3 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

“Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

“Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara,” ujarnya pada sidang media di lobi Dewan Negara, tengah hari ini. Turut serta ialah Senator Mohd Yusof Husin dan Senator Mumtaz Mohd Nawi. Menurut beliau, Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan. Perkara 2 juga, menurut Mahfuz, membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, beliau menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Tambahnya lagi, walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, Mahfuz turut mempersoal tindak-tanduk kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Menurut beliau, dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

“(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

“Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan,” beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.


Ulasan Saya


1. Dalam isu penyerahan telaga minyak kepada Brunie yang semakin membengkak dari sehari ke sehari ini - saya terpaksa bercakap secara jujur dan amanah. Sesungguhnya kita perlu bersikap telus. Sekarang, sama ada kita mahu atau pun tidak - segala perjanjian dan dokumen yang melibatkan isu ini HARUS SEGERA DIDEDAHKAN secara umum - rakyat perlu dimaklumkan secara teliti dan berterus-terang tentang isu yang sangat kritikal ini.


2. Jika kita masih mahu menyembunyikan sesuatu - kita akan terus dikecam dan dikutuk dengan pelbagai kata kesat. Kita bimbang, jika benar penyerahan dua telaga minyak tersebut telah dipersetuju oleh Jemaah Menteri/Kabinet - maka, seluruh ahli kabinet yang menganggotai kabinet Abdullah Badawi pada Mac tahun 2009 - harus bertanggungjawab.BN sedang berhadapan pilihan raya kecil di Sibu, jika isu ini tidak diurus dengan baik, saya fikir Anwar Ibrahim bakal menjadi hero dan Parlimen Sibu pasti bertukar tangan.


3. Kita tidak mahu Kabinet DS Najid dituduh sebagai "Kabinet Pengkhianat Rakyat" gara-gara kita tidak mahu bersikap telus dalam isu ini. Malah, pada hemat saya - segala persoalan yang telah dibangkitkan oleh Tun Mahathir di dalam blognya - haruslah dijawab segera oleh pihak kerajaan dengan jujur dan ikhlas, kerana isu penyerahan dua telaga minyak ini sudah menjadi isu nasional, dan memberi impak yang kuat ke atas hati rakyat. Silap haribulan BN boleh kecundang di Sibu. Apatah lagi pembangkang sedang ligat memainkan isu Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh Polis Shah Alam sebagai isu kekejaman Polis kepada rakyat, ditambah pula dengan kerugian sebanyak RM530 juta yang sedang ditanggung oleh Pos Malaysia berhad - merancakkan lagi tukang karut pembangkang untuk memanipulasikan sentimen yang sedia ada.


4. DS Najib harus sedar, krisis antara Abdullah Badawi dengan Dr. Mahathir masih berlarutan - ia belum lagi reda. Selagi masih timbul persepsi kononnya Dr. Mahathir telah membazirkan wang rakyat selama 22 tahun pemerintahannya - maka selama itulah juga Dr. Mahathir mahu membuktikan andaian tersebut adalah salah, melalui kegagalan dan pembaziran wang rakyat yang terlalu banyak dilakukan oleh Abdullah selama 4 tahun rejimnya berkuasa.


5. UMNO, DS Najid dan BN - tidak akan upaya lagi menerima hentakan politik yang sebegini rupaya. Kita akan dituduh sebagai parti yang menjual tanah airnya sendiri untuk kesejahteraan yang sementara. Saya menyeru kepada DS Najid, agar isu telaga minyak ini disiasat dan didedahkan kepada pengetahuan rakyat - jika tidak, UMNO dan BN pasti akan dihukum sekali lagi dalam pilihan raya umum yang akan datang!


6. Jika memang benar kita bersalah dalam isu ini - kita mesti segera perbetulkan dan jika benar tuduhan Dr. Mahathir tidak berasas, maka kita harus mengemukakan buktinya. Jika isu ini terus-menerus menjadi tanda tanya kepada rakyat, maka selama itu jugalah kita akan difitnah dan tuduh sebagai pengkhianat dan juru jual negara. Saya rasa, kita perlu amanah dalam hal ini, jika Abdullah bersalah, maka beliau harus bertanggungjawab dan dosanya tidak perlu ditanggung oleh DS Najid mahu pun parti. UMNO dan BN tidak bersalah dalam soal ini - yang bersalah hanyalah pemimpin-pemimpinnya. Wallahualam.