Tetamu Kehormat...

March 31, 2010

Mariko Bersedih Lagi : Menjawab Persoalan Calon Paling Layak di Hulu Selangor


Mariko Bersedih Lagi
Menjawab Persoalan
Calon Paling Layak di Hulu Selangor



1. Mungkin, dan barangkali mungkin - saya tidak sependapat dengan sebahagian besar para blogger dan ahli-ahli UMNO yang lain, berhubung isu siapakah yang layak dicalonkan sebagai wakil rakyat untuk mewakili BN di Hulu Selangor. Adakah mesti mengikut tradisi? atau kita harus akur dengan kehendak akar umbi. Jika kita mengikut tradisi - maka calon dari MIC adalah pilihan, tetapi jika kita mengikut suara hati dan akar umbi, maka calon dari UMNO haruslah kita dahului.


2. Soalnya sekarang ialah, apakah kaedah yang digunapakai bagi memilih calon terbaik untuk memastikan kemenangan BN di Hulu Selangor? Adakah kaedah melalui "unsur perkauman" masih relevan untuk BN merampas kawasan tersebut atau pun, kita harus kekal dengan kaedah lama iaitu, berteraskan muafakat dan kesepaduan parti komponen. Jika kita memilih unsur perkauman dan majoriti pengundi di kawasan tersebut, maka kita terpaksa mengorbankan semangat BN yang berteraskan kepada permuafakatan dan setiakawan. Malah, tidak mustahil selepas ini BN akan dituduh sebagai alat tunggangan UMNO kerana sanggup menikam rakan parti komponennya sendiri demi mencapai kemenangan.


3. Sebaliknya, jika kita memilih kaedah lama sebagai jalan untuk memilih calon di kawasan tersebut - hal ini bermakna UMNO menghormati semangat setiakawan dan permuafakatan dalam kalangan parti komponen BN yang sedia ada, sekaligus menghormati MIC yang selama ini setia bersama BN. Soalnya sekarang - apakah benar hipotesis ini? Iaitu, seandainya calon daripada UMNO yang bakal diletakkan di Hulu Selangor, maka BN akan beroleh kemenangan besar di samping berupaya memalukan PKR? Atau kita akan dikutuk dan dituduh sebagai parti yang mengkhianati muafakat yang sudah sekian lama terjalin dalam kalangan parti komponen BN. Mungkin juga UMNO akan dituduh sebagai bersikap racis dan mementing diri sendiri kerana sanggup mengenepikan amalan tradisi sebagai nadi kekuatan BN selama ini? Apakah kita tidak tahu, sesungguhnya BN kuat bukanlah atas dasar racis - sebaliknnya BN kuat atas dasar muhibbah dan kesepakatan yang sekilan lama terjalin antara parti komponen yang menganggotai BN sejak sekian lama - dan kejujuran ini, tidak boleh dikhianati hanya kerana kita menginginkan kemenangan!


4. BN perlu mengekalkan tradisinya - yakni tradisi jujur dan saling mempercayai demi perpaduan bersama. Memilih calon dalam kalangan pemimpin UMNO, hanya membuka pintu fitnah dan krisis kepercayaan yang berpanjangan dalam kalangan ahli komponen BN itu sendiri dan untuk masa yang panjang, masalah ini akan menjadi lebih kompleks - malah ia bisa sahaja menjadi modal parti pembangkang bagi memecahbelahkan keutuhan dan kesepakatan BN. Perasaan buruk sangka dan saling bersikap prejudis akan menghantui rumah tangga Barisan Nasional, hal ini perlu dielakkan. PKR tahu kekuatan BN adalah berpaksikan kepada keutuhan dan kerjasama dalam kalangan anggota BN yang sudah menjadi adat dan tradisi - jika ini dapat dileraikan, maka asas simpulan untuk membuka kelemahan BN menjadi semakin mudah.


5. Rekod kemenangan PKR di Hulu Selangor bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan - dengan kemenangan majoriti undi yang tidak sampai 200 orang, bisa sahaja dipintas, seandainya jentera BN bersatu padu. Tidak perlu rasanya BN menggadaikan prinsip kemuafakataannya semata-mata mahu mencari kelebihan 200 undi. Kawasan itu dalam pilihanraya sebelum ini adalah kawasan jagaan MIC - maka seharusnya mereka yang lebih layak berada di situ dan bukan UMNO. Inilah masanya Tuhan menguji tahap pengorbanan kita. Apakah kita masih berpegang kepada janji, atau kita lebih suka mengikut rasa hati. Tidak sukar rasanya untuk membaca fikiran DS Najib dalam hal ini. Saya percaya dan menyakini - DS Najib akan mengikut tradisi sedia ada kerna, tersilap langkah, kita bisa dihakimi. Lantaran itu - ramalan saya, DS Najib akan tetap memilih calon dari MIC bagi mewakili BN di Parlimen Hulu Selangor. Ini adalah tradisi dan sumpah janji. Wallahualam. Maaf jika pandangan saya ini tidak disukai.

March 30, 2010

Anwar 2010 : Tiba-tiba Sejarah Membelok II


Anwar Ibrahim
2010
Tiba-tiba Sejarah Membelok II


KUALA LUMPUR 27 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya licik merancang konspirasi termasuk dengan menggunakan akuan bersumpah. Oleh itu, katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung konspirasi mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu. Menurut Dr. Mahathir, beliau sendiri turut menjadi mangsa Anwar yang bijak bermuka-muka di hadapannya tetapi secara diam-diam merancang konspirasi menjatuhkan beliau.

"Dia pernah membuat konspirasi untuk menjatuhkan saya, semua orang tahu dia arah orang serang saya, kata saya ada kroni tetapi Anwar sendiri berpura-pura baik (sebagai) orang nombor dua dalam Kabinet.

"Belakang saya dia lakukan tetapi di depan saya kami boleh duduk semeja, itulah dia, jadi saya tidak pelik dengan tuduhan bahawa dia ada konspirasi untuk menjatuhkan Najib," katanya. Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini. Pada Rabu lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia tersebut. Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga turut membidas Anwar kerana mempersoalkan salah seorang anaknya yang tersenarai sebagai antara orang terkaya di negara ini sedangkan ia berlaku selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri. Beliau turut menempelak Anwar kerana telah mengkayakan kawan-kawannya sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan tahun 90-an.

"Ada seorang kawan dia memiliki kekayaan RM239 juta, kalau jadi Perdana Menteri macam itulah (lagi teruk) sebab baru jadi Timbalan Perdana Menteri kawan-kawan dia semua jadi kaya, banyak duit juga tapi tidak tahulah dari mana," katanya. Dalam isu berasingan, Dr. Mahathir menyifatkan Pas telah bersubahat dengan Anwar dalam budaya fitnah dan pembohongan apabila Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar perbuatan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kerana mendedahkan rahsia impian 16 September.

"Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedah perbuatan jahat yang dilakukan, jika kita tahu benda itu salah tapi kita tak ambil tindakan untuk mendedahkan kesalahan, itu semacam bersubahat.

"Nik Aziz sokong Zahrain jangan dedah, jadi dia bersubahat dengan Anwar," tegasnya.


Ulasan Saya

1. Kita sedang berhadapan dengan masalah politik paling bahaya abad ini. Hampir setiap hari perilaku buruk Anwar Ibrahim semakin terlondeh dan terdedah. Terbaru - Tun Mahathir turut mengaku bahawa Anwar Ibrahim terlibat secara sulit dalam merencana konspirasi bagi menjatuhkan beliau daripada kerusi Perdana Menteri. Maka, sudah terbukti bahawa Anwar Ibrahim bukanlah insan yang baik - sebaliknya beliau merupakan manusia yang sangat licik dan jahat bagi mengejar keinginan dunia yang sementara ini. Sudah pelbagai cerita dan berita kita dengar berkenaan Anwar Ibrahim - dan adalah mustahil semua cerita tersebut adalah bohong dan rekaan semata-mata. Dari isu liwat, main perempuan, kuku besi, berbohong, mengaibkan orang lain, kronisme, menjatuhkan orang lain, politik wang dan pelbagai isu buruk yang lain sudah semakin membelit batang tubuh suci Anwar Ibrahim yang dipuji dan dipuja oleh segolongan manusia yang merasakan bahawa Anwar Ibrahim ialah manusia hebat dan tiada cacat-cela.


2. Sudah begitu banyak sumber yang mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim sememangnya seorang manusia yang penuh dengan kebobrokan, dan adalah mustahil sumber-sumber ini berpakat dalam memburuk-burukkan Anwar Ibrahim secara terancang. Sumber yang mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim sebagai manusia yang tidak boleh dipercayai, tidak hanya datang daripada pihak UMNO atau kerajaan semata-mata, bahkan pendedahan kejahatan Anwar sering didedahkan oleh bekas ahli-ahli parti PKR sendiri. Adalah mustahil jika kita mendakwa mereka sengaja mereka-reka cerita bagi menjatuhkan Anwar Ibrahim. Ahli-ahli PKR yang mendedahkan pembohongan Anwar bukanlah baru sekarang muncul, sebaliknya sejak awal penubuhan parti tersebut, hal ini termasuklah daripada mantan Ketua Penerangan PKR Ruslan Kasim, Ezam Mohd Noor, dan mantan Naib Presiden PKR Chandra Musafar. Justeru itu - apakah semua ini tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim sememangnya seorang manusia yang jahat dan bermuka-muka?


3. Hakikatnya - semua orang tahu Anwar seorang ahli politik yang jahat dan suka cakap berbelit-belit. Lim Kit Siang tahu, Karpal Singh pun tahu, Haji Hadi juga tahu, Mat Sabu lebih tahu - tetapi semuanya membutakan mata hati dalam soal ini. Mereka semua tahu Anwar Ibrahim seorang ahli politik yang jahat dan suka berbohong - jadi mengapa mereka masih menyokongnya? Malah, rakyat juga tahu semua cerita ini. Rakyat tahu Anwar seorang yang suka berjanji dan berpolitik 24 jam sehari. Rakyat juga tahu bahawa Anwar bukan seorang manusia yang maksum, hati kecil kita sendiri pun tahu bahawa sumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari ada kebenaran dan menepati kehendak Islam. Tetapi, mengapa jiwa kita masih berdegil untuk terus menyokong Anwar Ibrahim? Walaupun sudah jelas beliau sangat banyak membawa kemudharatan kepada agama, bangsa dan negara kita? Kita tahu kerana keceluparan mulut Anwar jugalah yang mengakibatkan para pelabur menarik keluar pelaburan mereka dari Malaysia. Kita juga tahu imej negara buruk di kaca mata dunia adalah berpunca daripada mulut jahat Anwar, yang tidak henti-henti memburuk negara dan kerajaan sendiri. Wallahualam.

March 25, 2010

Ke Mana Selepas Ini?


POLITIK MALAYSIA 2010
Ke Mana Selepas Ini?


KUALA LUMPUR 24 Mac – Genap seminggu Dewan Rakyat digemparkan dengan kejutan pertama, hari ini giliran Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) pula membuat pendedahan menggegarkan politik negara. Beliau mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Tanpa mendedahkan pihak terlibat, beliau berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut. Zulkifli berkata, ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman namun begitu beliau bersyukur kerana Allah melindunginya daripada terlibat dengan fitnah itu.

“Atas sebab ini juga saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil bagi saya untuk terus bertindak secara profesional sebagai peguam membela bagi kes berkenaan.

“Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT (orang kena tuduh) tersebut sanggup dihukum mati di tali gantung kalau benar Perdana Menteri dan isterinya terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut kerana saya sangat yakin pasti mereka akan dedahkan perkara itu jika ia benar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Rabu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat ‘16 September’. Zulkifli turut menegaskan, sebagai orang Islam semua pihak harus bersangka baik atau husnuzzan terhadap Perdana Menteri.

“Setahu saya Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada antara kita yang berani bersumpah menafikannya.

“Oleh itu, bersangka baiklah sesama kita dan berpegang teguhlah kepada al-Quran. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain,” ujarnya. Dalam pada itu, katanya, beliau sungguh hairan bagaimana segelintir yang mengaku Islam tetapi dengan mudah menuduh seorang Islam lain melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti dan keterangan.

“Lebih malang lagi fitnah orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang soal lagi. Orang seperti P. Balasubramanian telah diterima fitnahnya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah dengan bayaran RM4.

“Namun begitu fitnah dan tohmahan tidak pernah dibangkitkan Balasubramaniam ketika memberi keterangan di mahkamah dan kepada pihak polis. Bagi saya dia hanya seorang oportunis yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia,” tambahnya. Pada sidang Dewan itu, Zulkifli turut mendedahkan beliau pernah diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang bernama Nadim dalam satu kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

“Saya tidak lupa pada sekitar 2004, apabila saya diminta mengaitkan Yang Berhormat Padang Rengas dengan gunakan kes pembunuhan Darren Kang di mana anak Yang Berhormat bernama Nadim ditohmah terlibat dalam pembunuhan itu kerana kebetulan berada di lokasi pembunuhan.

“Sedangkan lima warga Thailand iaitu pekerja Restoran Uncle Don di Sri Hartamas kemudian telah didakwa, dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya telah diminta mengaitkan Nadim dengan mereka,” katanya. Sambil mengucapkan syukur, Zulkifli berkata, Allah sekali lagi menyelamatkannya daripada fitnah itu. Katanya, beliau juga telah diarah dan diminta melaksanakan banyak perkara tidak betul yang ada di antaranya tidak dilaksanakannya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. Saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan,” katanya. Zulkifli mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak meletakkannya dalam keadaan yang memaksanya mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku.

“Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekadar ‘kentut yang sepi’. Begitulah kotornya mainan politik negara masa ini,” tambahnya.


Ulasan Saya :

1. Semua cerita daripada Zulkifli Nordin dan DS Zahrin sudah cukup membuktikan bahawa Anwar Ibrahim dan PKR adalah Dajjal yang membuka pintu fitnah kepada Malaysia. Manusia seperti ini hukuman yang selayaknya adalah hukuman gantung sampai mati. Golongan ini langsung tidak ada perasaan takut sedikit pun kepada Allah. Bagi mereka fitnah dan tipu-daya halal belaka atas nama demokrasi dan peti undi. Anwar Ibrahim bukanlah manusia yang baik - beliau merupakan manusia yang bertopengkan kejahatan. Sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mengejar cita-cita ke Putrajaya.

2. Sudah tiba masanya Anwar Ibarhim dan kuncu-kuncunya disumbat ke penjara semula. Dihukum sebaik-baiknya, agar fitnah yang melanda negara kembali pulih. Rakyat mudah ditipu dan dikelentong oleh Anwar Ibrahim, sehingga yang batil dikatakan benar, dan yang benar dikatakan batil.

3. Politik Malaysia semakin kotor dan jijik selepas Anwar Ibrahim keluar daripada penjara. Walaupun tidak dinafikan ada hikmah disebalik apa-apa yang berlaku selama ini. Namun demikian, jelas ahli-ahli politik semakin tidak bertanggungjawab atas segala kenyataan dan penipuan yang mereka lakukan, sehingga ekonomi negara dan rakyat jelata terancam lantaran ucapan-ucapan mereka.

4. Hakikatnya - politik Malaysia sedang menuju ke arah sindrom baharu, iaitu politik untuk diri sendiri dan bukan untuk parti, untuk negara atau untuk agama, sebaliknya politik hanya untuk makan gaji dan berpencen. Makin ramai ahli Yang Berhormat besar kepala dan tidak peduli kata-kata orang lain, mereka berasa sudah cukup hebat dan bijak tatkala bergelar ahli Parlimen. Sanggup menghina dan memfitnah sesiapa sahaja demi mengejar kuasa dan wang ringgit. Inilah politik yang bakal kita lihat mewarnai negara kita. Soalnya siapakah yang bakal mengubah senario ini?

March 17, 2010

Anwar Ibrahim 2010 : Selamat Datang Hari Celaka!


Anwar Ibarhim 2010
Selamat Datang Hari Celaka!


KUALA LUMPUR 16 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan meneruskan rayuan untuk meminta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya. Beliau berkata, notis penarikan itu difailkan menerusi firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pagi tadi.

"Setelah menimbang masa yang diambil agak panjang dan kami jelas tentang perjalanan mahkamah dan sistem kehakiman negara, kami memilih untuk menyegerakan kes ini dengan tarikh pendengaran semula pada 25 Mac dan dari situ tarikh akan ditetapkan agar pasukan peguam saya dapat menyoal balas (pengadu) Mohd. Saiful Bukhari Azlan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen hari ini. Pada 19 Mac ini, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan Anwar berhubung keputusan Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri daripada mendengar kes liwat itu.

Pada 8 Februari lalu, Anwar membuat permohonan supaya hakim itu menarik diri dengan alasan Mohamad Zabidin bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonan oleh peguam utama Anwar, Karpal Singh, untuk mengenakan tindakan menghina terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar ini. Anwar menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Add to Google
Ulasan saya :

1. Kebenaran semakin hampir untuk Anwar dan Saiful Bukhari.

2. Hayat politik Anwar dan PKR juga semakin menemui jalan mati.

3. PRU ke -13 kelak, Anwar Ibrahim akan dihukum atas segala perbuatannya selama ini yang memecah-belahkan keamanan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

4. Anwar Ibrahim akan tewas kerana ditikam oleh kawan-kawannya sendiri. PKR bukanlah sebuah parti yang benar-benar ikhlas dan jujur. Ia sebuah parti hanya untuk menjatuhkan BN atau UMNO, ia bukan parti untuk rakyat.

5. Yang untung hanyalah DAP dan PAS - yang meneguk di air yang keruh, mendapat untung daripada perpecahan orang Melayu. Tetapi yang malang ialah orang Melayu - PAS mendapat sedikit keuntungan duniawi bagi memuaskan hati mereka yang menginginkan puncak kuasa - sebaliknya kehancuran akibat daripada persekongkolan antara PAS dengan DAP jauh lebih besar daripada keuntungan yang diperoleh oleh PAS dan Anwar Ibrahim.

6. Syaitan bertepuk dan kita menari - orang Islam bercakaran, orang kafir berjoget. UMNO dan PAS bermusuhan - orang lain ambil kesempatan. Inilah hakikat politik kita. Mahu cepat berjaya tanpa banyak usaha. Mahukan kuasa dengan apa-apa cara. Berfikiran pendek budaya kita. UMNO dan PAS, kita sama-sama menunggu bencana!

March 12, 2010

DBP 2010 : Legasi JJ Berakhir


DBP 2010
Legasi JJ Berakhir



Sudah hampir empat tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkocak dan tidak tentu arah. Bermula dengan campur tangan Datuk Johan Jaaffar (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) berhubung isu pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP, En Kamarulzaman yang penuh diselubungi misteri dan tanda tanya - disusuli pula dengan pertentangan secara berterusan antara pihak pengurusan DBP dengan pihak Kesatuan Sekerja DBP yang selama ini benar-benar berasa sudah bosan dengan segala macam bentuk penyelewengan dan politik tikam menikam - yang akhirnya mengakibatkan staf DBP berpecah teruk menjadi tiga puak. Iaitu, puak yang menyokong dan taat setia kepada kumpulan Johan Jaaffar, puak yang berpihak kepada kebenaran yang diperjuangkan oleh Kesatuan Pekerja DBP dan puak yang ketiga ialah puak yang berdiri atas pagar, tunggu, lihat dan ambil kesempatan.


DBP pada hari ini tidak lagi seperti DBP dahulu - ia tidak lagi dihormati, kepakarannya sudah mula dipertikaikan oleh masyarakat, manakala fungsinya pula semakin tenggelam dalam arus modenisasi. Yang tinggal hanyalah birokrasi dan si kuku besi. Tatkala penyelewengan semakin berleluasa - kebenaran dicampak ke tepi, dan jampi-menjampi semakin menjadi-jadi, kini DBP seolah-olah telah mendapat rohnya yang selama ini telah hilang entah ke mana. Dikhabarkan, sinar cahaya kebenaran akan menyerlah semula di menara DBP, sekali gus melenyapkan kuncu-kuncu dan saki-baki para pendukung setia Johan Jaaffar. Johan Jaaffar - nama yang seringkali dikaitkan dengan bermacam konspirasi serta kerosakan yang mengakibatkan bahtera DBP dilanda musibah sepanjang empat tahun belakangan ini - JJ nama timangan dan nama yang acapkali mengundang fitnah dan menyebabkan DBP gundah-gelana. Teka-teki berhubung sama ada kontrak JJ sebagai Pengerusi LP DBP akan disambung atau pun tidak semakin panas dan berapi - semakin panas dan penuh warna-warni.


Tinggal tidak kurang sebulan tempoh kontrak JJ akan berakhir, TS Muhyiddin, Menteri Pelajaran Malaysia masih belum memutuskan sama ada JJ akan disambungkan kontraknya atau beliau boleh terus melupakannya. Risik-risik, antara calon yang layak menggantikan JJ sebagai Pengerusi LP DBP dan direstui pula oleh TS Muhyiddin, ialah Datuk Seri Dr. Sidek Baba - seorang ahli akademik, penulis prolifik, pakar motivasi, pendidik dan ilmuan Islam yang tersohor. Namanya disebut-sebut sebagai calon paling berpotensi untuk mengembalikan semula DBP ke era emasnya - sekali gus menyingkirkan parasit-parasit yang sudah lama bersarang di menara DBP itu.


Saya percaya dan yakin, sama ada Kesatuan Sekerja DBP, mahu pun pihak pengurusan DBP - mereka bersedia dipimpin oleh DS Sidek Baba - seorang yang jujur, amanah dan tidak bermain politik. Semoga hasrat ini menjadi realiti di samping mengembalikan kepercayaan rakyat kepada organisasi pejuang bahasa tersebut. Sudah tiba masanya DBP mesti dibersihkan daripada penyelewangan dan politik kotor lagi jijik yang selama ini menyelubunginya. Sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan. Selamat datang Sidek Baba dan selamat tinggal Johan Jaaffar! Adios. Wallahualam.

March 11, 2010

Selamat Tinggal Anwar, Nik Aziz!


SELAMAT TINGGAL ANWAR, NIK AZIZ!


Baca Tulisan di Harakahdaily ini : Pada pandangan peribadi saya mengenai berberapa pemimpin dari PR yang keluar dari parti dan menyokong parti pemerintah (Umno/BN) menunjukkan mereka ini adalah pengkhianat kepada pengundi yang memilih mereka dalam pilihan raya yang lepas. Memang tidak dinafikan lagi bahawa pemimpin seperti ini hanya mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat seluruhnya.

Pemimpin seperti ini hanya akan dijadikan kuda tunggangan Umno dan BN untuk mereka jadikan bahan dan modal bagi mereka untuk meraih sokongan rakyat namum begitu rakyat tidak sekali-kali akan tertipu dengan dakyah mereka ini kerana pembohongan yang dilakukan oleh mereka telah menunjukkan bahawa mereka inilah petualang yang sebenarnya.

Lihatlah nanti apabila tiba pilihan raya akan datang peserta-peserta lompak katak ini akan menjadi balaci dan pencacai untuk mencari penyokong untuk meraih undi simpati, tiada jawatan penting yang akan diberikan kepada mereka oleh Umno/BN kerana mereka adalah pertualang yang bila-bila masa saja akan beralih disebabkan pangkat dan kepentingan tidak tercapai.

Rakyat boleh menilai yang mana baik untuk mereka. Bagi parti PKR dan PR, ini adalah satu kebaikan demi untuk mengekalkan pemimpin yang betul-betul memenuhi aspirasi rakyat yang berjuang demi bangsa, agama dan seluruh rakyat yang berbilang kaum tanpa mengira kepentingan diri dan keluarga.

Kepada PKR, buat lagi pembersihan secara total supaya tiada lagi petualang yang tinggal di dalam PKR dan hanya pemimpin yang benar-benar jujur sahaja yang layak untuk memimpin PKR dan PR demi keutuhan parti. Pemimpin boleh datang dan pergi namun rakyat akan sentiasa tetap akan memilih yang terbaik untuk mereka.


Ulasan Saya


1. Inilah wajah sebenar para penyokong dan pemimpin PKR, apabila ada dalam kalangan ahli parlimen PKR yang sudah insaf dan mahu kembali ke pangkal jalan dan keluar daripada parti tersebut, maka kedengaranlah oleh kita suara-suara sumbang yang menghina dan mengutuk mereka dengan perkataan-perkataan yang jijik dan keji, umpamanya, "pengkhianat rakyat", "menghancurkan amanah rakyat", "petualang", "kuda tunggangan UMNO" dan pelbagai lagi kata-kata kesat yang tidak seharusnya keluar daripada mulut manusia yang kononnya ingin menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia. Hakikatnya, rakyat tidak lagi bodoh dan dungu serta boleh digula-gulakan dengan retorik gaya Anwar Ibrahim, seperti "Kuasa Rakyat", "Keadilan untuk Semua" dan pelbagai lagi permainan kata yang acapkali diputarkan oleh Anwar Ibrahim bagi menggambarkan kebangkitan rakyat untuk menolak UMNO/BN dalam PRU yang akan datang. Realitinya, jika seorang ahli parlimen PKR menyertai UMNO, maka ahli parlimen tersebut akan segera dikatakan sebagai petualang dan pengkhianat amanah rakyat yang mengundinya, sebaliknya, jika terdapat ahli parlimen UMNO/BN yang ingin menyertai PKR, maka itu bukan dikira sebagai pengkhianat amanah rakyat yang mengundinya atas tiket UMNO/BN. Lantaran itulah, tidak pelik apabila Nik Aziz pernah berkata, jika ahli parlimen UMNO/BN lompat menyertai pembangkang itu tidak kira sebagai berdosa atau mengingkari amanah rakyat, sebaliknya jika ahli parlimen pembangkang menyertai UMNO/BN dikira berdosa besar dan akan dikira sebagai pengkhianat amanah rakyat. Hujah Nik Aziz sangat dangkal - menurut beliau, mana-mana ahli UMNO yang menyertai pembangkang mereka dikira sebagai manusia yang sudah insaf dan ingin ke arah kebaikan, sebaliknya mana-mana ahli parti pembangkang yang menyertai UMNO/BN dianggap sebagai manusia yang mahukan kejahatan, kedunian dan keburukan - fahaman semacam ini merupakan kefahaman yang karut dan terbukti fahaman seperti ini telah dicemari oleh hasutan syaitan dan iblis. Justeru itu, PAS bukanlah sebuah parti Islam yang benar-benar mahu melihat Islam tertegak di negara ini, sebaliknya, PAS merupakan parti yang hanya bermatlamatkan untuk mendapatkan kuasa dan menumbangkan UMNO/BN sahaja. Niat perjuangan PAS mahu mendekatkan masyarakat kepada Allah sudah lama hilang dan digantikan pula dengan niat mahukan dunia dan mabuk kuasa. Ahli-ahli PAS boleh dipecahkan seperti berikut :


1. Golongan yang menyertai Pas kerana Allah - 10% sahaja

2. Golongan yang menyertai Pas kerana fakto kebencian kepada UMNO/BN - 50%

3. Golongan yang menyertai Pas atas faktor suka-suka dan ikut trend - 20%

4. Golongan yang menyertai Pas atas dasar kepentingan diri sendiri - 20%


2. Saya meramalkan bahawa sebelum PRU ke 13 kelak, PKR dan Anwar Ibrahim akan berkubur. Hujah saya adalah seperti berikut :


a. Anwar Ibrahim akan menerima pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya terhadap Saiful Bukhari. Kemungkinan besar beliau akan mendapat suaka politik daripada Amerika Syarikat.


b. Banyak kepalsuan dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasi pakatan rakyat tidak ditegur dan diperbetulkan oleh Anwar Ibrahim. Sebaliknya jika kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO - sangat pantas Anwar mempolitikkan dan mengkritiknya. Lantaran itu, sikap bias atau sikap condong dalam membela puak atau kumpulannya secara membuta-tuli seperti ini sangat dikutuk keras oleh Rasulullah. Oleh sebab itu sikap seperti ini digambarkan oleh Rasulullah sebagai sikap assabiyyah yakni sikap mempertahankan puak atau ahli kumpulannya, sekali pun telah terbukti kesalahan mereka. Golongan seperti ini tidak akan lama berkuasa.


c. Terbukti jika mengikut Mufti Perak, Tan Sri Harussani PAS melalui Ahmad Awang sangat benci kepada UMNO dengan kata lain - Nik Aziz dan Ahmad Awang seolah-olah langsung tidak menganggap bahawa ahli-ahli UMNO juga merupakan saudara seagama mereka. PAS seakan-akan terlalu bongkak dan angkuh, kononnya mereka merupakan golongan yang pasti menang atas nama Islam, walaupun cara dan perbuatan mereka seringkali bercanggah dengan dasar dan prinsip Islam. Golongan semacam ini - yakni seperti parti PAS yang lebih mengutamakan kaum kafir berbanding dengan saudara seagamanya sendiri sama-sekali tidak akan dibantu oleh Allah. Dan jelas, PAS, PKR, dan DAP menuju ke arah kehancuran! Malah, Anwar Ibrahim juga sedang mencari kaedah agar hayat politiknya terus hidup.


d. PAS dan PKR sanggup menggunakan apa-apa sahaja bagi menghapuskan saudara seagama - sama ada cara halal mahupun cara haram - ianya akan digunakan demi menghancurkan UMNO yang kononnya didakwa sebagai zalim dan jahat. Kaedah seperti ini adalah sama dengan kaedah matlamat menghalalkan cara - dan sudah tentu cara ini tidak akan kekal lama. Justeru itu - PAS akan punah dan hancur jika ini merupakan amalan mereka.

Ini Bukan Hassan Ali yang Saya Kenal 15 Tahun Dahulu


Ini Bukan Hassan Ali
yang Saya Kenal 15 Tahun Dahulu


Saya sangat terkejut dengan sikap dan peribadi terkini Datuk Dr. Hassan Ali. Selama ini saya mengenali beliau sejak dari kecil lagi sebagai seorang motivator dan penceramah yang sentiasa berpegang kuat kepada agama dan melarang umat daripada mencaci dan mengaibkan orang lain, namun demikian, sejak akhir-akhir ini, sifat dan tabiat Hassan Ali sudah jauh berubah. Bacalah sendiri kata-kata kesat dan tuduhan-tuduhan Hassan Ali terhadap UMNO dan DS Najib yang penuh dengan prasangka dan tidak berpegang kepada cara Islam yakni "Janganlah Kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain"

Oleh Lim Hong Siang

(Harakahdaily)

"Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, tak ada orang tak kata. Satu dunia kata. Yang tak kata Utusan Melayu. Yang tak kata Berita Harian. Yang tak kata TV3. Yang tak kata TV1. Yang tak kata TV2. Tapi satu dunia kata pimpinan UMNO Barisan Nasional, zaman berzaman, adalah pimpinan yang paling korup!"

Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh Hasan Ali (gambar kiri), EXCO Kerajaan Negeri Selangor terhadap UMNO-BN. Malah, Pesuruhjaya PAS Selangor yang beberapa kali mencetus kontroversi di kalangan PR ini, menyerang habis-habisan pimpinan UMNO-BN dan bekas Menteri Besar BN Selangor Khir Toyo, semalam.

Susulan daripada seruan terbuka untuk "mengebumikan UMNO-BN pada PRU ke-13" dalam ucapannya di Konvensyen PR Selangor pada 7 Mac, Hasan Ali semalam membuktikan dirinya masih bersama PR, dengan kata-kata pedasnya yang dilemparkan terhadap UMNO-BN dalam "Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor", di Stadium Malawati Shah Alam.

Pemimpin yang pernah "dikhabarkan" bakal "melompat" untuk menjatuhkan kerajaan PR Selangor ini bermula dengan melafazkan syukur kepada Allah swt, "... Sebab, bagi sesetengah orang, UMNO terutamanya, meramalkan kita (PR) dapat memerintah Selangor ini sekadar enam bulan. Ada yang meramalkan tak lebih daripada tiga bulan. Tapi sekarang sudah masuk bulan yang ke-24, dua tahun hari ini."

Melihat kepada sambutan masyarakat Selangor terhadap PR, Hasan Ali menyambung ucapannya dalam tepukan, "...Yakinlah, Pakatan Rakyat terus jadi pilihan rakyat untuk tahun-tahun dan dekad-dekad yang akan datang!"

Batu asas dalam tamadun manusia

Sebermulanya Hasan Ali berucap, beliau menyeru agar hadirin-hadirat memujuk keluarga, jiran dan orang ramai untuk bersama perjuangan politik PR.

"Nak pujuk untuk apa? Nak pujuk untuk bersama-sama meletakkan satu batu asas pembinaan tamadun manusia, tamadun yang akan ditegakkan atas dasar... satu perkataan yang..., tuan-tuan, sangat memberikan harganya, nilai yang paling tinggi...," sebelum beliau menyambung, "Perkataan itu ialah keadilan."

"Saya nak tengok anak saya hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cucu Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cicit Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Adil untuk dirinya, adil untuk keluarganya, adil untuk masyarakatnya, adil untuk negerinya, adil untuk teman-teman Cina, teman-teman India, teman-teman Melayu yang mesti digarap, yang mesti disongsong atas makna keadilan yang sebenarnya!" kata-katanya disambut dengan tepukan daripada lebih 4,000 penyokong yang hadir semalam.

Khir Toyo menjadi sasaran

Hasan Ali kemudian memperhebatkan serangannya terhadap bekas kerajaan negeri Selangor BN, dengan membandingkan antara UMNO-BN dengan PR.

"Sejarah seluruh Menteri Besar (Selangor), sejarah mereka dicatit dengan sejarah hitam, black history," katanya merujuk kepada 13 orang bekas MB Selangor BN sebelum Khalid Ibrahim menyandang jawatan tersebut selepas PRU ke-12. Beliau sempat mengusik Khir Toyo, dengan berkata, "...Menteri Besar UMNO BN akhir sebelum Khalid Ibrahim, rumah di Shah Alam, (bernilai) 24 juta."

Hasan Ali menyindir Khir Toyo yang memanggil sidang akhbar dalam minggu pertama ketika baru-baru dilantik menjawat MB, memberitahu media bahawa beliau berasal dari "keluarga yang sangat miskin", "...jual botol untuk bayar yuran sekolah", "tapi anak jual botol bina rumah (bernilai) 23 juta!"

Untuk membandingkan antara UMNO-BN dengan PR, beliau mendakwa setiap kali sebelum mesyuarat kerajaan negeri, Menteri Besar (PR, gambar kanan) akan sendiri baca doa, "Wahai Allah, Hindarkan kami dari rasuah, wahai Allah..."

Hasan Ali kemudiannya cuba menonjolkan kekayaan dan kemewahan hidup yang dinikmati pemimpin UMNO-BN, dengan berkata, "Kalau ada istana di Sabak Bernam, istana itu adalah rumah ADUN-ADUN atau MP-MP UMNO-Barisan Nasional, betul atau tidak?"

Malah, beliau seterusnya menyasarkan bekas MB, "Kalau ada istana selain daripada istana Sultan di Shah Alam ini, istana itu pastinya istana Menteri Besar yang ke-13, Yang Amat Berhormat Khir Toyo!"

Kepimpinan Ulamak

Untuk Hasan Ali, perbezaaan kedua yang wujud antara UMNO-BN dengan PR adalah, PR berjaya membariskan ulamak besar seperti Nik Aziz (Mursyidul Am PAS), Hadi Awang (Presiden PAS), Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) dan Harun Taib (Ketua Dewan Ulama' PAS) dalam pimpinannya.

"Untuk membangun negara, kita perlukan ulamak besar ini untuk merintis jalan kita," katanya. Beliau kemudian menjelaskan bahawa pimpinan ulamak tersebut akan memastikan PR sentiasa berada dalam jalan lurus yang diredai Allah, iaitu jalan yang adil, menjaga hak negeri, tidak mementingkan sendiri, keluarga dan kekayaan untuk peribadi.

Media: Najib-Rosmah-Muhyiddin

Hasan Ali memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Selain membentangkan pencapaiannya dalam "menghidupkan semula masjid dan surau", selepas mengambil alih kerajaan negeri dari UMNO-BN, beliau juga menyentuh isu kebebasan bersuara.

Sambil mempertikaikan "keadilan" yang ditampilkan media cetak arus perdana, beliau menyindir penyiaran rancangan televisyen yang sarat dengan muka-muka tertentu sahaja. "Buka pula televisyen, lepas Najib (Perdana Menteri), Rosmah (isteri Najib). Lepas Rosmah, Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri). Lepas Muhyiddin, Rosmah balik..." kata-katanya ini disambut dengan gelak-ketawa di bawah pentas.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan PR Selangor sedang mengkaji pengubalan Enakmen Keterbukaan Infomasi Maklumat, yang diusahakan oleh EXCO Selangor, Elizabeth Wong. Beliau menjanjikan saluran maklumat yang tepat dan adil untuk masyarakat, melalui saluran media PR seperti Selangorkini, TV Selangor dan sebagainya.

March 5, 2010

Selamat Petang Liow Tiong Lai!


Selamat Petang
Liow Tiong Lai



Saya secara peribadi menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang merupakan bekas Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan Malaysia untuk dicalonkan semula bagi menerajui MCA. Sudah tiba masanya keikhlasan Liow Tiong Lai dibalas dengan sebaik mungkin. Selama ini pertikaian antara Timbalan Presiden MCA dengan Presiden MCA telah menyebabkan Liow Tiong Lai menjadi mangsa keadaan dan dikambinghitamkan. Sekarang, mahu atau tidak, pemilihan pucuk kepimpinan MCA mesti dilakukan semula bagi memilih Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang baharu. Semoga pada kali ini MCA akan kembali ke landasan yang betul, sekali gus mengukuhkan semula sokongan masyarakat Cina kepada pihak kerajaan. Saya juga tanpa berselindung memikirkan bahawa Datuk Seri Liow Tiong Lai amat sesuai dicalonkan sama ada sebagai Presiden MCA atau pun Timbalan Presiden MCA. Dengan cara ini sahaja MCA akan kembali bersatu.

March 1, 2010

Ku Li vs DS Najib 2010 : Yang Tersirat Disurat


Isu Royalti Minyak Kelantan
Hasrat Ku Li Yang Tak Terlihat



Saya memetik tulis Datuk A.Kadir Jasin berhubung isu ini dan kemudian saya beri ulasan saya di bawah :

PRESIDEN Umno Mohd Najib Abdul Razak pada 25 Februari berkata dia menyerahkan kepada keahlian parti memutuskan jika tindakan perlu diambil ke atas Tengku Razaleigh Hamzah. Tindakan Ku Li menentang dasar kerajaan pusat mengenai tuntutan royalti minyak/gas oleh kerajaan Kelantan dilaporkan mendapat bantahan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi Umno. Mereka mempersoalkan “kekebalan” bekas Naib Presiden Unmo itu. Mohd Najib menyatakan pendirian itu ketika ditekan oleh pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MT. Nampaknya, Mohd Najib sama ada mahu mencari jalan selamat mengelakkan konfrontasi dengan Ku Li atau dia mahu ahli Umno membantunya menamatkan riwayat politik Ku Li.

Umno sudah biasa dengan taktik main selamat Mohd Najib. Tetapi perlu disebutkan juga yang Ku Li telah mencuba menyekat Mohd Najib daripada mengisi jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lalu tetapi gagal. Sebagai veteran terakhir Umno yang masih cergas dalam politik dan mewakili sebuah kerusi Parlimen, Ku Li mungkin berasa dia tidak akan rugi apa-apa dengan tindakannya itu. Kalau dia dikenakan tindakan oleh Umno, dia tetap akan menjadi hero kepada sesetengah orang dan pihak. Bagi ahli dan penyokong Umno Kelantan, isu ini umpama telan mati ibu, luah mati bapa.

Tetapi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mohd Najib tidak boleh berdiam diri membenarkan seorang ahli parti menentang dasar parti dan kerajaan secara terbuka, apatah lagi di saat-saat Umno dilihat sebagai sedang mengalami pemulihan dan pembangkang semakin kelam-kabut.

Serentak itu Umno dan Pas berdepan dengan kepelbagaian suara Melayu/Islam yang semakin lantang dengan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur Sabtu lalu (27 Feb.). Maka bagi seorang pembesar Umno seperti Ku Li bersekongkol dengan parti lawan adalah bukan alang-kepalang kesalahan. Kalau Mohd Najib tidak bertindak tegas dan pantas, dia akan dianggap tidak tegas dan mungkin pembesar Umno dan Barisan Nasional lain mungkin mengikut langkah Ku Li memberontak. Inilah dilema Mohd Najib. Apatah lagi, Ku Li bukan orang lain, tetapi antara guru yang diamanahkan oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, untuk mendidiknya.

Jika berlaku konfrontasi terbuka antara Mohd Najib dan Ku Li, ia adalah perlawanan yang cukup menarik.

1. Ia berupa perlawanan antara murid dengan guru. Pasti ada sebab Abdul Razak menghantar anaknya yang baru pulang dari belajar di England berguru dengan Ku Li di Petronas di mana Ku Li adalah pengerusinya;

2. Sama ada kerana keturunan, kebijaksanaan atau ketentuan nasib si murid telah menjadi lebih berkuasa daripada guru;

3. Perlawanan kali kedua setelah Ku Li gagal mencabar Mohd Najib untuk jawatan Presiden Umno pada tahun 2009. Ku Li tidak memperoleh cukup kuota pencalonan bahagian untuk bertanding;

4. Perbezaan pendapat dalam Umno mengenai isu royalti minyak ini akan memberi kesan langsung dan besar kepada keputusan pilihan raya umum akan datang di Kelantan;

5. Cabaran Ku Li ini adalah sesuatu yang Mohd Najib perlu tangani dengan berhati-hati kerana walaupun Ku Li tidak lagi mempunyai kedudukan dalam kepemimpinan tertinggi parti, tetapi dia masih dihormati ramai;

6. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ku Li dianggap sebagai pelindung hak Melayu dan antara beberapa kerat pembesar Umno yang masih berani bersuara;

7. Ku Li pernah menjadi putera mahkota politik Umno selaku naib presiden termuda di era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Dia kenal benar siapa Mohd Najib;

8. Ku Li menjadi kuasa di belakang gerakan menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan dan mengembalikan pemerintahan Umno pada tahun 1977;

9. Antara 1977 dan 1987 Ku Li menjadi peneraju pembangunan negeri Kelantan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kelantan;

10. Dia tentu sedar dengan hasil minyak yang lebih besar, Kelantan boleh dimajukan semula seperti zamannya dahulu. Kalau dia memihak kepada Pas, kerajaan Pas Kelantan pasti akan meminta nasihatnya;

11. Dia membantu menjatuhkan kerajaan BN Kelantan dan menaikkan semula Pas dalam pilihan raya umum 1990 apabila parti barunya, Parti Melayu Semangat 46 (S46) bersekongkol dengan Pas. Atas sebab itu, Pas sentiasa bersimpati dengan Ku Li; dan

12. Zaman Ku Li menerajui pembangunan Kelantan antara 1977 dan 1987 dianggap sebagai zaman keemasan Umno Kelantan.

Soalnya adakah pendirian beliau mengenai isu royalti minyak ini berupa episod kedua dan terakhir cabarannya terhadap Mohd Najib? Ku Li tentunya sedar bahawa sama ada dia menjadi duri dalam daging kepada Umno atau dipecat, dia tetap akan menjadi wira di mata ramai ahli Umno dan orang Melayu. Pada usianya sekarang, dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi Mohd Najib pula, bagaimanakah dia mengharapkan keahlian Umno memberi kata putus mengenai Ku Li? Apakah caranya bagi ahli Umno yang berjuta bilangannya itu menyatakan pendirian mereka mengenai tindak-tanduk Ku Li? Secara tidak langsung, keahlian Umno, melalui mesyuarat agung bahagian awal tahun lalu, telah menyatakan pendirian apabila mereka memberi sokongan sebulat suara kepada Mohd Najib dan menolak pencalonan Ku Li.

Jadi, adalah tidak mustahil bahawa Ku Li menggunakan isu royalti minyak ini untuk memberi kesempatan terakhir kepada dirinya dan kepada Mohd Najib untuk menentukan masa depannya dalam Umno dan BN.

Dia (Ku Li) sama ada kekal dalam Umno sebagai melukut di tepi gantang dan duri dalam daging atau menjadi “man of the hour” dipecat daripada Umno.


Ulasan Saya

1. Pertembungan "kebenaran" yang dibawa antara Ku Li dengan DS Najib harus segera ditamatkan dengan cara halus dan baik. Kita akui - isu royalti, sama ada DS Najib yang betul atau Ku Li yang benar - ia tetap memberi kemenangan moral kepada Ku Li. Ku Li tetap akan menjadi wira kepada rakyat Kelantan - itu jelas. Kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya tidak mungkin mampu dikecapi orang lain, kecuali menanti kematian beliau sahaja.

2. Secara realitinya, dari segi sejarah DS Najib bukanlah tandingan Ku Li - sebagai guru politik kepada DS Najib, Ku Li tahu benar akan kelemahan dan kekuatan DS Najib, lantaran itu adalah tidak wajar untuk melagakan DS Najib dengan Ku Li. Jika sebelum ini kita telah menyaksikan pertembungan dahsyat antara Mahathir dengan Pak Lah yang mengakibatkan UMNO kalah teruk dalam PRU ke-12, maka adalah sesuatu yag mengecewakan andaikata konflik antara Ku Li dengan DS Najib berlarutan sehingga PRU ke-13 dan tidak segera diselesaikan.

3. Kita akui DS Najib berada dalam dilema - apakah tindakan yang harus dilakukan terhadap Ku Li? Mengheretnya ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO? atau membiarkan Ku Li terus-menerus membicarakan soal royalti minyak Kelantan sehingga menguntungkan PAS dan pembangkang. Jawapannya mudah - pentadbiran DS Najib tidak perlu rasa tertekan dan mudah menerima hasutan daripada menteri-menteri tertentu, agar Ku Li dikenakan tindakan disiplin - pada hemat saya biarkanlah Ku Li bersuara, sudah sekian lama beliau mengharapkan dan mengidamkan suatu platform untuk bercakap dan berucap melalui hati nuraninya, secara jujur dan berterus-terang, namun demikian, tiada seorang pun di dalam UMNO yang mahu memberi peluang itu - seolah-olah pandangan serta buah fikiran beliau tidak diperlukan oleh negara dan parti. Hal yang sama pernah berlaku ke atas Tun Mahathir, sewaktu Pak Lah mengambil alih kepimpinan negara - Mahathir disisih dan diketepikan, baik dari segi pandangan mahu pun dari segi peranan. Maka, sudah tentulah beliau akan mencari isu tertentu untuk kembali bersuara dan memberikan pandangannya secara berterus-terang - ini adalah sifat lumrah bagi mana-mana tokoh besar dalam kepimpinan negara yang telah bersara. Mereka sedikit sebanyak mahu dihargai dan diberi peranan dalam membangunkan negara dan bangsa. Inilah yang sebenarnya sedang dihadapi oleh jiwa Mahathir dan Ku Li yang kita semua tidak nampak.


Dalam hal royalti minyak dan Ku Li, suka saya menyalahkan diri kita sendiri. UMNO seolah-olah telah alpa terhadap kewujudan ahli Parlimen Gua Musang yang hebat ini - kita memandang rendah dan sering berburuk sangka terhadap beliau. Malah, lebih malang lagi sewaktu DS Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri, kita sudah mendengar "cakap-cakap" agar Ku Li dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negara, namun demikian kita buat-buat tidak tahu, dan memandang enteng cadangan tersebut. Inilah masalah kita, masalah UMNO dan masalah Barisan Nasional. Kita tidak mahu merapatkan hubungan antara kepimpinan UMNO yang lama dengan kepimpinan UMNO yang baru, agar UMNO menjadi lebih kuat.


Apabila Pak Lah membina benteng pemisah antara beliau dengan Mahathir pada satu ketika dahulu, maka Mahathir mula terasa tersisih dan tidak dihargai, maka begitu jugalah dengan Ku Li! DS Najib merupakan anak didiknya, maka mengapa perlu menyisihkan beliau daripada politik arus perdana? Ku Li bukan mahu menjadi Pedana Menteri (seperti Anwar Ibrahim) , sebaliknya Ku Li mahu membuktikan bahawa beliau masih mampu menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara, maka beliau perlulah diberikan peranan yang sewajarnya. Jika UMNO menyisihkannya, maka beliau akan mencari platform lain untuk bersuara dan berjuang, hal ini adalah berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri yang tidak peka bagi menyediakan platform untuk beliau memberikan pandangan dan buah fikirannya demi membagunkan negara dan bangsanya. Malah, harapan Ku Li untuk sama-sama membangunkan negara dan bangsa hampir berkecai tatkala beliau tidak diberi peranan yang sewajarnya sebagai seorang ahli UMNO yang veteran dan pakar ekonomi dalam pentadbiran DS Najib - sekurang-kurangnya beliau boleh dilantik sebagai Pengerusi GABEM (Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu) atau pun Penasihat Ekonomi Negara. Melalui cara ini Ku Li akan terasa lebih dihargai dan dihormati. Namun demikan, kita memandang kecil hal-hal seperti ini.


Secara peribadi - sekarang nasi sudah menjadi bubur! Apa-apa yang telah dilakukan oleh Ku Li pada saat ini - adalah salah kita sendiri, kita menyisihkan beliau dan menganggap beliau merupakan seorang ahli politik yang sudah tua dan tidak berguna, sedangkan Ku Li benar-benar berharap semoga di bawah pentabdiran DS Najib, beliau akan diberi peranan yang penting sebagai salah seorang ahli UMNO veteran yang mampu menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan dan kekuatan politik orang Melayu pada masa akan datang- sepertimana harapan Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah, maka begitu jugalah harapan Ku Li terhadap kepimpinan DS Najib. Justeru itu, ingat- ingatlah, UMNO jangan sekali-kali menyisihkan Ku Li dan ahli-ahli UMNO veteran yang lain, termasuk Pak Lah, Mus Hitam dan Tun Daim. Semoga Allah Selamatkan UMNO. Wallahualam.

Gambar : Penulis bersama Ku Li.